Menonton Emak Ingin Naik Haji ternyata memberikan kepuasan berbanding mana-mana tontonan filem Melayu hari ini. Ini kerana plot dan naratif yang diangkat menerusi filem ini terasa kewujudan Allah dan Islamnya yang tinggi dalam mengungkap percaturan hidup manusia. Ceritanya ringkas-mengenai emak yang teringin sangat untuk menunaikan haji dan pergi ke Mekah. Sebagai anak, Zein amat memahami betapa ibunya berusaha keras mengumpul duit untuk beliau naik haji. Namun, dek kerana kemiskinan mereka wang yang seharusnya dikumpul masih belum mencukupi malah sukar sekali mencukupi 30 juta rupiah. Yang ada hanya tabungan 5 juta yang telah dikumpul dalam masa 5 tahun. Itupun telah dikeluarkan untuk membiayai sakit anak Zein. Manakala jiran mereka, Haji Saun seorang yang kaya dan sering dapat menunaikan haji dan umrah bersama-sama keluarga.
Filem arahan sutradara Aditya Gumay ini hasil adaptasi dari sebuah cerpen karya Asma Nadia. Dengan tagline 'Ketika Rumah Allah Sudah di Hati' memberi kesan yang amat sangat. Ketika menontonnya....ungkapan Labbaik Allahumma Labbaik...Labbaik Lasyarilaka Labbaik...amat menusuk jiwa sentimentalku...air mata bercucuran sederas air di kali...mengingati kuasa yang Maha Agung.
Filem Emak Naik Haji ini membuktikan tidak perlu watak antagonis untuk mewujudkan konflik dalam menjayakan sesebuah penceritaan. Kehidupan mereka menjadi antagonis yang mencabar untuk plot bergerak dan yang menariknya watak-watak yang dipaparkan dalam cerita ini mempunyai kekuatan masing-masing yang saling melengkapi. Watak Emak amat menjadi dan menghibakan. Impian Emak untuk ke Tanah suci tetap kuat. Cerita yang mengaitkan kemampuan manusia yang merancang namun Allah jua yang menentukan jelas menunjukkan kehebatan Allah sebagai Yang Maha Berkuasa. Sujud Syukur di atas segalanya.
Sentiasa berdoa agar filem Melayu kita juga mampu menghasilkan karya sehebat ini...Agar bila mana menonton filem, hati dan jiwa sering diingatkan untuk menjadi manusia yang lebih baik selepas menontonnya...Inilah fungsi filem yang sebenar untuk turut menyampaikan dakwah Islamiah....Percayalah setiap jiwa manusia ada soft spotnya yang boleh disentuh untuk mengubah diri dan memberi peluang berfikir dan bermuhasabah agar menjadi manusia yang lebih baik demi Islam. Cabaran buat para karyawan Muslim di Malaysia!