Media Dakwah dan Tingkah Laku Prososial: Satu Perspektif
Oleh
Rosmawati Mohamad Rasit, Salasiah Hanin Hamjah (Ph.D) & ‘Adawiyah Ismail (Ph.D)
Jabatan Pengajian Dakwah & Kepimpinan, Fakulti Pengajian Islam, UKM
Abstrak
Media selain dikatakan menyumbang kepada tingkah laku negatif (anti sosial) seperti keganasan, merokok dan juga aktiviti seksual turut berperanan dalam membentuk tingkah laku prososial. Media menjadi model sosial yang mempengaruhi idea, nilai, kognitif mahupun tingkah laku masyarakat. Oleh itu, apa yang dipertontonkan melalui media mampu mempengaruhi bagaimana masyarakat sepatutnya bertingkah laku. Artikel ini mengupas isu dan persoalan mengenai sejauhmana media dakwah dapat mempromosikan tingkah laku prososial. Islam sebagai agama yang menganjurkan kedamaian dan tolong menolong menerima tingkah laku prososial. Justeru, jika media dakwah mampu berperanan dalam menyebarkan nilai-nilai prososial, ia secara tidak langsung berupaya mempengaruhi tingkah laku masyarakat secara yang lebih positif.
Kata Kunci: Tingkah laku prososial, media dakwah, model sosial, kognitif
Pengenalan
Mesej-mesej media lazimnya disampaikan kepada masyarakat melalui pendedahan terhadap televisyen, radio, filem, iklan yang dipaparkan akhbar dan majalah, internet dan juga buku, brosur serta poster (Wakefield et al., 2003). Isu-isu kajian perbincangan bidang media termasuk media konvensional seperti televisyen, radio, akhbar, filem mahupun media baru seperti internet merangkumi aspek falsafah, konsep, struktur dan amalan yang jelas berpaksikan Barat. Isu kesan dan pengaruh media serta kebergantungan masyarakat kepada media bukanlah suatu isu yang baharu malah telah diperdebatkan oleh ahli-ahli sarjana media dan komunikasi sebagai model sosial.
Perbincangan mengenai isu kesan dan pengaruh media ini telah menyumbang dan menghasilkan beberapa teori penting di dalam bidang komunikasi massa yang dikenali sebagai teori kesan-kesan media (media effects theory) dan juga teori media dan masyarakat (media and society theory). Di antara teori kesan media yang popular dan mendapat perhatian daripada para sarjana teori dan penyelidik komunikasi media ialah seperti teori sistem pergantungan media (Media system dependency theory), teori peluru (Magic bullet theory), teori penggunaan dan pemuasan kehendak (Uses and gratification theory) dan teori kognitif sosial (Social cognitive theory) (Lihat Miller, 2005; Littlejohn & Foss, 2008; Baran & Davis, 2009; McQuail, 2005).
Kajian-kajian mengenai media banyak membincangkan mengenai kesan negatif yang dipaparkan oleh media. Media digambarkan sebagai medium yang sering mempengaruhi pemikiran, sikap dan tingkah laku khususnya remaja (Wakefield et al., 2003). Di antara kajian mengenai kesan media yang menjadi perhatian para sarjana media komunikasi termasuk kajian keganasan media (Contoh Anderson et al., 2003; Funk et al., 2004; Huesmann, 2007; Md Salleh et al., 2009), kandungan seksual media (Contoh Weisz & Earls, 1995), pendedahan merokok kepada remaja (Contoh Wakefield et al., 2003; Wills et al., 2008; Sargent, 2005). Walaubagaimanapun, kajian mengenai tingkah laku prososial turut menjadi perhatian para sarjana dan penyelidik media seperti Wilson (2008) dan Strasburger et al. (2009). Strasburger et al. (2009) menyatakan bahawa para penyelidik yang mengkaji mengenai pembelajaran prososial melalui media selalunya meletakkan andaian yang mana karakter media yang menonjolkan sifat-sifat seperti baik hati, saling bekerjasama, bertanggungjawab dan tidak mementingkan diri menyediakan contoh kepada kanak-kanak khususnya untuk mereka belajar dan meniru tingkah laku tersebut.
Manakala Islam turut menerima tingkah laku prososial seperti saling berkasih sayang dan juga tolong menolong. Dalam konteks penyebaran dakwah melalui amar makruf nahi mungkar, paparan tingkah laku prososial melalui media dakwah dilihat sebagai faktor penolak untuk terus menyebarkan dan mengekalkan mesej Islam dan kebaikan dalam masyarakat. Dalam perkembangan teknologi media hari ini, kerja-kerja dakwah seharusnya mampu bersaing menggunakan sistem teknologi media terkini untuk membawa mesej dakwah kepada khalayak. Justeru, kertas kerja ini membincangkan mengenai peranan media dakwah sebagai mempromosi tingkah laku prososial dalam kalangan pengguna media. Dengan kata lain, media selain dikatakan menyumbang kepada tingkah laku negatif seperti merokok, pergaulan bebas dan juga keganasan turut berperanan dalam mempromosi tingkah laku positif iaitu tingkah laku prososial.
Kajian Media dan Tingkah laku prososial
Tingkah laku prososial bergantung kepada kepercayaan bahawa seseorang individu tersebut merupakan sebahagian daripada masyarakat setempat yang mana mereka saling memerlukan pertolongan, menyokong antara satu sama lain dan juga hidup saling berkasih sayang (Twenge et al., 2007; Baron et al., 2009). Justeru, seseorang individu yang mengamalkan tingkah laku prososial yang digalakkan oleh budaya masing-masing akan merasai bahawa mereka diterima dalam masyarakat mereka. Terdapat kajian mengenai tingkah laku prososial yang dikaitkan dengan peranan media (Contoh Wilson, 2008; Strasburger et al., 2009; Ostrov et al., 2006). Hasil kajian Ostrov et al. (2006) membuktikan wujudnya perkaitan di antara pendedahan media (media exposure) dan tingkah laku prososial. Dalam kajian longitudinal yang dijalankan selama dua tahun, Ostrov et al. (2006) menyiasat corak dan paten perubahan dan perkembangan terhadap sampel yang sama iaitu terhadap kanak-kanak awal tadika, ibu bapa mereka dan guru besar. Kajian Ostrov et al. (2006) mengenai peranan pendedahan media dilihat sama ada menyumbang kepada aggression dan juga tingkah laku prososial.
Manakala kajian korelasi yang dijalankan oleh Gentile et al. (2009) menunjukkan perkaitan yang positif mengenai tingkah laku prososial dengan pendedahan permainan video game prososial (prosocial game exposure). Kajian Udornpim dan Singhal (1999) pula mengetengahkan watak dalam drama soap opera Jepun “Oshin” sebagai role model media dalam kalangan penonton di Thailand. Hasil kajian Udornpim dan Singhal (1999) mendapati bahawa “Oshin” mempamerkan karakter watak yang berjiwa besar, kuat semangat, tabah serta berfikiran positif dan juga sanggup membantu ahli keluarganya yang memerlukan pertolongan. 23 nilai prososial dibincangkan dalam kajian Udornpim dan Singhal (1999) ini seperti bertoleransi, berdikari, bertanggungjawab, saling tolong menolong, mengambil berat, memaafkan, bersyukur, rajin dan bercita-cita tinggi serta berkasih sayang. Watak “Oshin” menjadi role model yang positif oleh para penonton dan bagaimana mereka mempelajari nilai-nilai prososial menerusi drama tersebut.
Menurut Baran et al. (1979) pula drama televisyen menjadi ‘fasilitator’ dalam membentuk tingkah laku prososial. Baran et al. (1979) berhujah bahawa jika televisyen selain mempunyai perkaitan dan hubungan dengan keganasan dan keagresifan yang mempengaruhi tingkah laku penonton, pasti peranannya turut boleh dimainkan dalam mengajar penonton mengenai tingkah laku prososial. Ia dapat memberi manfaat kepada penonton dan masyarakat. Menurut Bandura (2001) kanak-kanak yang terdedah dengan model prososial dan isi kandungan media pendidikan akan lebih terikut dengan tingkah laku prososial tersebut semasa mereka berinteraksi dengan rakan-rakan.
Media Dakwah dan Tingkah Laku Prososial
Pendekatan dakwah hari ini perlu bersesuaian dengan cabaran dan situasi semasa (Ab. Aziz, 1997; Norkumala, 2009). Konsep dakwah hari ini perlu diperkemaskan dengan pendekatan media komunikasi dalam memastikan usaha dakwah menjadi satu proses yang lebih berkesan (Shahril Anuar, 2006). Dengan menggunakan bidang media dan komunikasi sebagai salah satu strategi pendekatan dakwah amat perlu pada masa kini bagi mendekati khalayak dakwah yang pelbagai. Ini kerana tugas dakwah itu sendiri turut mengandungi aspek komunikasi dalam penyampaiannya (Sohirin, 2008). Oleh itu, media boleh digunakan sebagai saluran dakwah sebagai media dakwah. Ini kerana pendakwah hendaklah menyalurkan dakwahnya melalui saluran yang paling moden dan berpengaruh, di samping saluran-saluran tradisional yang diakui keberkesanannya. Para pendakwah pasca moden seharusnya menggunakan peluang yang ada untuk menyebarkan Islam kepada masyarakat.
Kajian dalam bidang media komunikasi dari perspektif Islam dan dakwah telah mula diterokai oleh para sarjana Muslim (Contoh Mohd Yusof, 2003; Zulkiple, 2003; Siddiqui, 1991). Siddiqui (1991) berhujah bahawa peranan media yang berpaksikan Barat menterjemahkan masyarakat moden yang menghilangkan nilai dan sikap di atas nama kebebasan dan keterbukaan. Peranan media dakwah perlu bertitik tolak daripada prinsip al-amru bi al-ma’ ruf wa al-nahy an al-munkar (menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran) (Siddiqui, 1991; Aminuddin et al., 2009). Melalui peranan media yang dikaitkan sebagai instrumen pembinaan insan soleh, sudah semestinya mesej yang perlu dibawa ialah nilai yang baik yang tercakup di dalamnya unsur-unsur al-bir (kebaikan) dan al-taqwa kerana media mempunyai peranan sebagai agen yang membantu mencorakkan masyarakat (Aminuddin et al., 2009).
Nilai-nilai murni dan elemen akhlak juga dapat disebarkan melalui penyiaran media berunsur dakwah. Ini adalah selari dengan peranan dakwah yang secara definisinya ditakrifkan sebagai satu usaha yang dilakukan bagi menggalakkan manusia ke arah kebaikan dan petunjuk, menyuruh ma‘ruf serta mencegah mungkar bagi mencapai kejayaan di dunia dan akhirat (‘Ali Mahfuz, 1975; Barghuth, 2005; Ahmad ‘Aid, 1995). Menurut al-Ghazali (2000) dakwah adalah satu usaha menyuruh melakukan kebaikan (al-‘amr bi al-ma‘ruf) serta melarang daripada melakukan kemungkaran (al-nahy ‘an al-mungkar). Menurut Yusuf al-Qaradawi (1978) pula usaha dakwah merupakan amalan yang paling mulia selepas beriman kepada Allah s.w.t kerana ia merupakan suatu usaha membimbing seseorang kepada petunjuk dan kebenaran, menggalakkan ke arah kebaikan, menjauhkan daripada kejahatan dan kebatilan serta mengeluarkan seseorang daripada kegelapan kepada cahaya.
Kaedah yang boleh digunakan untuk maksud tersebut ialah dengan memberi pengajaran. Dalam konteks memberi pengajaran, bagi al-Ghazali (2000) ia perlu dilakukan dengan dengan cara memberi penerangan dan maklumat terlebih dahulu. Setelah itu barulah disusuli dengan nasihat tetapi dilakukan dengan penuh hikmah dan lemah lembut. Hal ini amat menepati kaedah yang boleh dilakukan menerusi media dakwah seperti melalui filem, drama, media cetak dan sebagainya yang disaratkan dengan mesej pengajaran dalam bentuk penerangan dan nasihat secara hikmah agar mempengaruhi sasaran untuk bertingkahlaku prososial.
Sebagai contohnya, pelbagai unsur dakwah dan elemen mujahadah al-nafs seperti menahan diri daripada godaan nafsu, mencegah sikap menipu, mendengar kata orang tua, membaca al-Quran, berpuasa, solat dan amalan bersedekah ada ditonjolkan dalam siri kartun animasi Upin dan Ipin episod 6-12. Dakwah dan mujahadah al-nafs merupakan antara perkara yang perlu diketengahkan dalam kalangan masyarakat supaya nilai-nilai murni, kesopanan serta tata susila yang berlandaskan ajaran Islam dapat diaplikasikan oleh ahli masyarakat kita. Ini penting terutamanya di kalangan kanak-kanak supaya mereka dapat belajar bagaimana mengaplikasikan ajaran Islam di samping menerapkan budaya bermoral bagi menjamin kesejahteraan masyarakat. Langkah yang diambil dalam pembikinan kartun animasi ini wajar diikuti oleh penggiat seni tanah air lain supaya setiap kartun yang ditampilkan bukan sahaja menonjolkan aspek hiburan semata-mata tetapi turut menerapkan nilai moral dan ajaran Islam untuk diteladani (Salasiah & Najwa Hanani, 2009).
Islam memandang tinggi nilai-nilai yang sama yang dibincangkan melalui tingkah laku prososial. Islam sebagai agama yang menganjurkan kedamaian dan tolong menolong menerima tingkah laku prososial. Ini kerana masyarakat yang beragama sangat mementingkan nilai-nilai agama yang luhur seperti saling tolong menolong, berkasih sayang dan memaafkan seperti Firman Allah dalam Surah al-Maidah ayat 2:
“Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan taqwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat siksa-Nya”. (Al-Maidah : 2)
Kesimpulan
Tingkah laku prososial seperti saling tolong menolong, empati dan juga berkasih sayang bukan sahaja diiktiraf dalam masyarakat Barat malah Islam sudah lama menerima dan menggalakkan sifat dan akhlak yang baik sejajar dengan apa yang menjadi perbincangan nilai-nilai prososial tersebut. Islam merupakan agama kedamaian yang sentiasa menggalakan umatnya agar sentiasa hidup dalam berkasih sayang dan saling menghormati kerana setiap muslim dan mukmin itu adalah bersaudara. Sikap saling bantu membantu dan saling berkasih sayang adalah dituntut oleh Islam. Justeru, setiap muslim yang beriman seharusnya berlapang dada dalam usaha membantu saudara muslim yang lain berlandaskan ukhuwwah fi Allah. Firman Allah:
Maksudnya: “Sesungguhnya orang beriman itu bersaudara. Sebab itu perdamaikanlah antara dua saudara mu dan takutlah kepada Allah mudah-mudahan kamu mendapat rahmat”. (al-Hujurat:10)
Ini menjelaskan bahawa tingkah laku prososial adalah selari dengan kehendak dakwah kerana usaha dakwah adalah bertujuan untuk menggalakkan masyarakat mempraktikkan nilai-nilai murni dalam kehidupan. Salah satu kaedah yang boleh digunakan bagi melancarkan misi dakwah dalam membentuk tingkah laku prososial adalah menerusi media kerana media merupakan saluran sebaran dakwah paling berpotensi mempengaruhi masyarakat. Ini kerana media boleh mempengaruhi sasaran dakwah dalam pelbagai aspek iaitu dari sudut kognitif, afektif dan tingkah laku.
Media dakwah yang mampu mengajak masyarakat bertingkah laku prososial adalah merupakan medium dakwah yang amat diperlukan pada masa kini dan merupakan satu cabaran yang perlu diterokai oleh golongan pendakwah. Pendakwah kontemporari wajar menguasai bidang media supaya dapat menyalurkan dakwah dalam bentuk yang tidak hanya bergantung kepada penggunaan naratif dan penceritaan tetapi lebih berbentuk persembahan yang menggunakan visual dan alatan teknologi moden. Ini lebih memberi kesan kepada jiwa dan tingkah laku sasaran dakwah. Media berperanan penting dalam menyalurkan maklumat ke arah tingkah laku prososial bagi menjamin kesejahteraan masyarakat dan hidup dalam situasi saling kenal mengenali, tidak berpuak-puak malah saling hormat menghormati antara satu sama lain sebagaimana firman Allah (al-Hujurat 49:13);
يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَى وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ
“Wahai umat manusia, sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah s.w.t ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah maha Mengetahui lagi Maha mendalam PengetahuanNya ( akan keadaan dan amalan kamu)”.
Perkembangan media yang berpaksikan dakwah di Malaysia menampakkan usaha dan kesungguhan pihak-pihak tertentu dalam terus memartabatkan Islam. Kewujudan stesen radio, majalah, televisyen serta filem yang memfokuskan perjuangan Islam mendapat sokongan padu khalayak dan terus kukuh bersaing dalam arus perjuangan media yang lebih sekular. Stesen radio IKIM, TV Astro OASIS, TV al-Hijrah serta pengeluaran beberapa majalah Islam seperti ANIS dan juga SOLUSI disedari oleh banyak pihak di Malaysia. Ini mengukuhkan lagi perjuangan media dakwah sebagai usaha menarik sasaran dakwah. Oleh itu, para pendakwah hari ini seharusnya memanfaatkan peluang yang ada dengan menyediakan alternatif terbaik kepada khalayak yang mana melalui program dan rancangan yang mereka tonton, dengar mahupun baca dapat mendekatkan mereka dengan Islam dan mengubah tingkah laku dan akhlak prososial mereka ke arah yang lebih baik. Justeru, media dakwah mampu menjadi antara pendekatan dakwah alaf baru yang memerlukan kemahiran pendakwah bagi terus mempromosi kebaikan khususnya tingkah laku prososial.
-Wisdom was never built in one day- This blog is dedicated to all those who strive the work of da'wah especially in media & communication
Followers
Saturday, December 31, 2011
Saturday, December 17, 2011
SOLEHAH mantapkan program di TV al-Hijrah
Semalam (16 Disember 2011) telah berakhirnya program realiti Solehah di tv al-Hijrah. Suatu program realiti yang mampu memberikan saingan terhadap lambakan realiti tv sejak akhir-akhir ini. Yang pasti hasil usaha tv al-Hijrah selama lebih kurang 3 bulan ini dilihat berbaloi kerana ke sepuluh-sepuluh finalis SOLEHAH berjaya menampilkan kemantapan ilmu masing-masing.
Setelah menonton setiap kali program ini berlangsung hampir setiap minggu, saya memerhati perkembangan setiap finalis, daripada episod 1 yang mana masih takut-takut dan kurang keyakinan, mereka menunjukkan prestasi yang amat cemerlang pada episod finale semalam. Syabas & Tahniah! terutama kepada Maryam dan Wan Nor Mazuani yang sangat cemerlang. Walaupun pada kemunculan awal mereka berdua dilihat sebagai peserta yang agak lemah tetapi mereka membuktikan bahawa dengan kekuatan, keyakinan, usaha dan kemantapan ilmu boleh dipelajari dengan bimbingan yang baik.
Tahniah juga buat Amie Sofia yang sememangnya konsisten sejak episode pertama lagi...Sebenarnya saya dah agak Amie boleh menang, dilihat dari segi kemahiran berkomunikasi bersahaja, idea dan point serta style pengucapannya...
Apapun tahniah buat TV al-Hijrah kerana lahirkan program realiti SOLEHAH yang masih berlandaskan nilai Islam yang sebenar. Tahniah juga kerana SOLEHAH tidak terikut-ikut dengan program realiti ala-alat Barat yang menjadikan penyingkiran sebagai tunjang mendapatkan empati penonton. Yang jelas tanpa penyikiran peserta, SOLEHAH ke arah membina para da'ie yang lebih bersedia melalui setiap proses pengajaran dan pembelajaran ilmu dengan cara yang santai. Tidak kurang juga cemerlangnya SOLEHAH kerana keberadaan para juri yang hebat dan bersahaja tanpa make-up yang berlebih-lebihan sehingga menimbulkan fitnah dan syubhah...Tidak kurang juga saya fikir, berjayanya SOLEHAH turut dikongsi kerana pengacaranya, Iman & Irma yang berjaya mengendalikan program itu dengan cukup baik. Tahniah untuk semua! Harapan agar dunia Islam lebih meriah dengan kehadiran para pendakwah muda wanita yang bersedia memikul cabaran dakwah ini.
Sememangnya SOLEHAH berjaya menjadi program yang mantap yang disiarkan TV al-Hijrah. :)
Wednesday, December 14, 2011
Monday, December 12, 2011
Friday, December 9, 2011
Teori Filem sebagai al-Risalah
Rasanya mahu berkongsi satu teori tentang filem yang mungkin menjadi landasan anjakan paradigma baharu dalam memperjuangan mesej kebaikan melalui filem. Teori filem sebagai al-Risalah telah diperkenalkan oleh Prof. Madya Dr. Abu Hassan Hasbullah, pensyarah kanan di Jabatan Pengajian Media, UM. Menurut Dr. Abu, berlandaskan teori filem sebagai al-Risalah dapat menjelaskan tentang peranan filem yang hanya bukan semata-mata sekadar hiburan. Malah filem turut berperanan dan bertanggungjawab dengan apa yang dipertontonkan kepada audien. Filem Melayu sebagai contohnya menjadi medium yang mampu menyebarkan mesej kebaikan dan sekaligus mengukuhkan dramaturgi dalam wayang gambar Melayu. Dr. Abu juga berhujah bahawa filem Melayu seharusnya mengukuhkan peranan manusia Islam sebagai hamba & khalifah Allah yang dapat membawa kembali manusia menemui jalan kepada Tuhannya.
Justeru, jika diteliti konsep al-Risalah menemukan kita dengan satu paradigma yang membawa khalayak penonton kepada penerokaan jiwa dan penemuan spiritual. Kerana filem sebagai al-Risalah menjadi medium yang membawa penonton kepada keadilan, ketakwaan, keluhuran, keimanan dan juga kekudusan. Alangkah baiknya teori filem sebegini dapat diterokai dan dirungkai serta dihadam oleh para pembikin filem sebelum menghasilkan sesebuah filem.
Lahirkanlah filem-filem yang memberikan kita pahala yang mana dapat kita persembahkan kepada Allah tatkala Allah menyoal kita tentang setiap apa yang kita lakukan di dunia ini. Lahirkanlah filem-filem yang berbekalkan konsep rukun Iman, rukun Islam dan akhlak Islam. Agar kita ada sesuatu yang kita boleh dibawa bila mengadap Allah nanti. Yakinlah, kebaikan yang dipertontonkan berulang kali dapat membawa khalayak penonton kepada perubahan akhlak Islam yang lebih baik. "Small things make difference"
Lupakan pemikiran dari sarjana filem Barat seperti Bazin dan Rudolf Arheim yang memperdebatkan tentang sinema realisme dan juga formalisme. Sudah sampai masanya saya kira para pembikin filem kita berkarya dengan identiti kita sendiri. Mana mungkin kita masih berkiblatkan Barat sedangkan kita tahu budaya kita dengan budaya mereka tidak sama apatah agama kita dengan agama mereka sememangnya totally different! Adakah jika mereka bebas memaparkan tentang seks luar nikah dan keganasan di atas dasar kreativiti, kita juga lebih-lebih mengangkat budaya zina dan juga pergaulan bebas di atas dasar yang sama? Mana mungkin isu-isu agama turut kita perjudikan di atas dasar kebebasan berkarya tanpa mengambil kira hukum hakam Islam. Karyawan Barat menjadi kreatif dan berkarya dengan pelbagai genre filem tanpa meletakkan hukum Tuhan di depan mereka. Adakah kita turut rasa kita perlu lakukan seperti mereka untuk menjadi duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan mereka? Tepuk dada tanya Iman :)
Subscribe to:
Posts (Atom)