Sambungan akhir artikel mengenai metateori bidang komunikasi....khusus dalam membincangkan metateori bidang komunikasi dakwah...
Membangunkan Pendekatan Metateori bidang komunikasi Dakwah
Definisi dan pendekatan metateori komunikasi yang telah dikemukakan lebih memfokuskan perbincangan komunikasi dalam pendidikan sekular Barat. Oleh itu, pengajaran komunikasi hari ini terlepas pandang dalam memahami prinsip dan kaedah pendekatan metateori dari sudut komunikasi dakwah. Bidang komunikasi dakwah merupakan satu bidang baharu yang muncul di dalam penelitian akademik. Menurut Zulkiple (2001) kesedaran membentuk bidang komunikasi menurut perspektif Islam dan dakwah ini menyumbang kepada perkembangan falsafah, pendekatan dan perlaksanaan ilmu komunikasi yang dipindahkan dari Barat. Dari perspektif agama, Islam dilihat sebagai agama yang bersifat mission yang menggesa penganutnya supaya berterusan menyebarkan mesej sama ada kepada rakan-rakan Muslim ataupun kepada bukan Muslim. Setiap individu Muslim dianggap komunikator agama atau da’i (pendakwah) di mana diwajibkan menyampaikan mesej mengikut kadar keupayaan masing-masing.
Siddiqui (1991) berhujah bahawa dalam mengkaji dan membincangkan mengenai ontologi dan epistimologi bidang komunikasi perlu mengaitkannya dari perspektif Islam. Ontologi yang dibincangkan oleh Barat berkaitan dengan persoalan mengenai apa iaitu persoalan tentang realiti yang wujud di sekeliling kita ataupun hakikat kewujudan kita. Manakala epistimologi merupakan cabang falsafah mengenai bagaimana kita menyelidik dan memperolehi ilmu pengetahuan (Miller 2005; Siddiqui 1991). Namun, perbincangan ontologi dan epistimologi dari perspektif Islam melangkaui jauh daripada apa yang telah dihujahkan oleh teori komunikasi Barat, bukan hanya setakat membincangkan mengenai realiti yang berlaku dalam kehidupan manusia sama ada perspektif realiti tersebut dilihat secara realis, nominalis mahupun konstruktionis sosial seperti apa yang dijelaskan oleh Barat.
Malah menurut Siddiqui (1991) realiti iaitu mesej (message) dalam proses komunikasi tidak hanya bergantung kepada pengalaman lepas sahaja yang mana mempengaruhi niat dan sikap kedua-dua pihak sama ada penyampai (sender) atau penerima (receiver) seperti yang dijelaskan dalam teori komunikasi Barat. Malah dari perspektif Islam, niat, sikap dan juga tingkah laku sama ada fizikal mahupun verbal turut berkait dan bergantung dengan kepercayaan (belief) dan nilai (values) seseorang. Siddiqui (1991) turut berhujah bahawa dalam perbincangan kompleksiti model komunikasi walaupun hakikat realisme (realism) mempengaruhi kehidupan manusia dan memberi kesan dalam proses komunikasi mereka tetapi manusia juga bebas untuk memilih apa yang akan dilakukannya. Walaubagaimanapun, tindakan seseorang muslim itu haruslah selari dengan apa yang diperintahkan Allah SWT dalam mempertimbangkan apa yang baik dan buruknya. Justeru, mereka perlu bertanggungjawab di atas segala apa yang mereka lakukan. Tindakan seseorang muslim juga berkait rapat dengan iman dan niat (Siddiqui 1991). Beriman kepada Allah bermakna mengakui kewujudan Allah sebagai Pencipta yang Maha Berkuasa sebagaimana Firman Allah dalam surah Thaha ayat 14 yang bermaksud: “Sesungguhnya Aku ini Allah, tidak ada Tuhan (yang hak) selain Aku, maka sembahlah Aku dan dirikanlah shalat untuk mengingat Aku."
Begitu juga dengan epistimologi seperti yang dibahaskan oleh Siddiqui (1991) bahawa ilmu pengetahuan dalam Islam tidak hanya bergantung dengan apa yang diterima logik oleh akal sahaja melalui kajian saintifik, pemerhatian, persepsi, intuisi dan juga pengalaman sahaja. Islam turut mendekatkan diri manusia dengan ilmu-ilmu di luar kemampuan akal fikiran dan logik manusia yang diwahyukan kepada Rasulullah melalui dalil-dalil daripada kitab Al-Quran. Melalui sumber al-Quran, ilmu pengetahuan mengenai alam ghaib seperti hari akhirat, kematian, siksa kubur, syurga, neraka serta padang mahsyar dan sebagainya diperjelaskan kepada manusia (Siddiqui 1991). Aminuddin et al. (2009) pula menekankan tentang mesej yang perlu dibawa oleh media dan komunikasi iaitu nilai yang baik yang tercakup di dalamnya unsur-unsur al-bir (kebaikan) dan al-taqwa.
Sarjana Muslim perlu meneroka dan menggali khazanah falsafah dan pemikiran Islam berkaitan komunikasi dan media khususnya melalui sumber al-Quran dan al-Sunnah supaya bidang tersebut berkembang dalam acuan kita sendiri. Unsur-unsur komunikasi dan media yang merosakkan masa depan masyarakat perlu dikenal pasti dan dinyahkan manakala unsur-unsur kebaikan hendaklah terus diperkasakan. Komunikasi dan amalan media Islam perlu tunduk kepada kekuasaan Allah sebagai kuasa mutlak yang menentukan hala tuju kehidupan manusia (Zulkiple 2003). Justeru, komunikasi dakwah seharusnya lebih luas skop metateorinya berbanding dengan komunikasi Barat serta mencakupi hubungan komunikasi kehidupan manusia secara lebih menyeluruh seperti apa yang telah dihujahkan oleh Ghazali (2008). Ghazali (2008) menjelaskan bahawa komunikasi Islam melibatkan hablul minal Allah, hablul minal Nas, al-muhasabah (berhubung dengan diri sendiri) serta komunikasi dengan alam. Zulkiple (2001) turut menghuraikan prinsip dan kaedah komunikasi Islam yang meliputi aspek berkomunikasi secara menegak atau vertikal iaitu dengan Allah, dan berkomunikasi secara horizontal iaitu sesama manusia. Jelasnya, terdapat dua bentuk hubungan komunikasi dalam ajaran Islam iaitu habl min Allah (hubungan dengan Allah) dan habl min al-nas (hubungan sesama manusia).
Justeru, para sarjana dan intelektual Muslim khususnya perlu menilai kembali pendekatan pengajaran komunikasi dari aspek metateori seperti apa yang dikemukakan oleh Siddiqui (1991). Fuziah Kartini (1989) (Dlm. Zulkiple 2003) turut berhujah:
It is no wonder that communication, as a study, has always been western tradition. Such was communication when it was introduced as a subject in the academic institutions of the east some twenty years ago, and such is communication pursued now by most eastern scholars – with a totally western perspective, oblivious of some contradictions to their indigenous values.
Zulkiple (2003) menyokong hujah tersebut dengan menjelaskan apa yang berlaku di seluruh negara Islam termasuk Malaysia yang berorientasikan pengajaran komunikasi di institusi pengajian tinggi yang terikat dengan pendekatan sekular Barat. Justeru, pengajaran komunikasi yang wujud dekad ini hanya mementingkan penemuan yang bersifat rasional dan empirikal yang menafikan ketauhidan Allah sebagai yang Maha Pencipta. Isu-isu di luar keupayaan mental manusia seperti kehidupan selepas mati dan perkara berkenaan sam’iyyat tidak mendapat tempat, apatah lagi dihargai. Malah, soal ilmu pengetahuan perlu dibincangkan sejujurnya dalam konteks Islam yang diturunkan oleh Allah SWT yang Maha Mengetahui.
Kesimpulan
Kesimpulannya, falsafah komunikasi Barat perlu disuntik dengan pembaharuan bersandarkan perbezaan dimensi budaya, moral dan agama setempat. Perkembangan bidang komunikasi melalui pendekatan metateori melahirkan pengukuhan kajian penyelidikan terutamanya dari aspek dasar teori komunikasi. Teori-teori komunikasi telah dibina dari lingkungan konteks dan dipengaruhi oleh pelbagai tanggapan penyelidik. Justeru, perkembangan ilmu asas metateori membantu sebagai petunjuk dalam proses perkembangan teori dengan perbincangan aspek-aspek ontologi (kewujudan realiti), epistimologi (kewujudan ilmu pengetahuan) dan aksiologi (peranan nilai).
Oleh itu, para sarjana dan intelektual Muslim khususnya perlu menilai kembali pendekatan pengajaran komunikasi dari aspek metateori agar penyampaian bidang komunikasi dakwah lebih secara menyeluruh bersumberkan al-Quran dan al-Hadith. Usaha membangunkan pegangan asas metateori yang dilihat dari perspektif Islam ini penting agar bidang komunikasi dakwah yang diterokai tidak berkembang dengan hanya bersandarkan logik dan rasional akal semata-mata malah seharusnya tunduk dan mengakui asas pendekatan hubungan hablul minal Allah dan hablul minal Nas secara intergrated.
Sebagai contohnya dari aspek ontologi, perspektif dakwah seharusnya menjelaskan dimensi dakwah seperti konsep, tujuan, matlamat, metode, wasilah serta perkaitannya dengan sasaran dakwah dalam menyampaikan dakwah. Para pendakwah seharusnya memahami dan menguasai aspek ontologi komunikasi dakwah bagi mengukuhkan fungsi dan peranannya. Manakala epistimologi komunikasi dakwah harus didasarkan sumber wahyu al-Quran dan al-Hadith. Ini yang membezakan di antara komunikasi sekular Barat dengan komunikasi dakwah. Bidang komunikasi sekular Barat hanya menerima kefahaman dan penjelasan mengikut rasional akal semata-mata melalui elemen dan prinsip komunikasi manakala ilmu dalam bidang komunikasi dakwah melangkaui jauh sehingga turut mengetengahkan isu-isu sam’iyyat dan alam ghaib yang bersumber al-Quran dan al-Hadith.
Perkembangan epistimologi bidang komunikasi dakwah juga meneroka contoh teladan terbaik melalui model yang dibawa oleh Rasulullah SAW sama ada melalui cara berbicara, nasihat yang baik, pendekatan berhikmah malah kemampuan baginda SAW berkomunikasi. Kajian Dakroury (2001) membuktikan bahawa kejayaan Nabi Muhammad SAW mengubah bangsa Arab kepada kekuatan iman terhadap Allah SWT merupakan pendekatan komunikasi yang telah digunakan oleh baginda SAW dan para pengikut awal baginda. Al-Quran banyak menjelaskan mengenai metode berdakwah yang dapat dijadikan oleh para pendakwah seperti Firman Allah S.W.T dalam surah al-Nahl, ayat 125 jelas menjadi rujukan para pendakwah hari ini sebagai teori asas pendekatan dakwah Islamiah dalam menyampaikan dakwah dengan cara yang paling baik. Maksudnya: ”Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalannya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk” (14: 125)
Manakala aksiologi komunikasi dakwah seharusnya membawa konsep amar makrif nahi mungkar sebagaimana Firman Allah dalam surah al ‘imran ayat 104 yang bermaksud: “Dan hendaklah ada satu golongan di kalangan kamu yang menyeru kepada kebaikan, menyuruh berbuat makruf (kebaikan) dan melarang perbuatan mungkar (kejahatan). Mereka itulah orang yang mendapat kejayaan (kemenangan)”.
Nilai yang dibawa menerusi komunikasi dakwah perlu diselarikan dengan nilai yang baik berasaskan keimanan kepada Allah SWT. Para pendakwah sebagai religious communicator juga bertanggungjawab menjalankan amanah menyebarkan dakwah dengan prinsip-prinsip komunikasi dakwah yang baik untuk menjinakksan dan melembutkan hati sasaran dakwah. Justeru, mencari keredhaan Allah dengan jujur dan ikhlas serta memenuhi prinsip dan matlamat komunikasi dakwah secara efektif menjadi elemen penting yang membawa masyarakat serta sasaran dakwah kepada perubahan tingkah laku dan juga pengukuhan manifestasi iman. Firman Allah SWT yang bermaksudnya: “Sesungguhnya dengan rahmat daripada Allah, engkau (Muhammad saw) bersikap lemah-lembut kepada mereka (orang beriman yang telah melakukan kesalahan itu), kerana sekiranya engkau bersikap kasar lagi keras hati tentu sekali mereka menjauhkan diri daripada sekeliling engkau... (al-‘imran: 159)