Saya ucapkan tahniah kepada agensi dan syarikat kewangan yang sudah ada pendirian tentang ini...moga-moga pendirian ini akan kekal dan prinsip ini terus disokong...Tahniah kepada MARA....yang tak sokongnya ialah mereka yang merasakan sukar untuk mencari makan dan menerbitkan drama yang dikira sebagai patuh syariah. Sedih bukan!!!
Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) telah membuat sidang akhbar bagi menyuarakan rasa ketidakpuasan hati mereka. Mereka mendakwa syarat 'patuh syariah' ini membunuh sebahagian mereka malah sehingga ada yang terpaksa meminjam Ah LOng. Antara pernyataan yang disuarakan oleh pihak PTVM ini juga ialah mengenai syarat patuh syariah..."setiap drama yang bakal dihasilkan hendaklah mewajibkan para pelakon wanita memakai tudung, tidak boleh berpegangan tangan, tiada adegan di dalam disko serta beberapa peraturan lain yang tidak masuk akal". Ini antara perkongsian oleh Presiden PTVM.
Lagi sedih bila saya baca artikel keratan akhbar ini...sedih kerana kebanyakan mereka yang mewakili PTVM ini merupakan Melayu Islam. Sungguh ironinya kerana susah betul nak perjuangkan Islam di negara yang kita tahu majoritinya Islam, agama rasmi yang termaktub dalam perlembagaan ialah agama Islam malah telah diiktiraf oleh negara-negara OIC iaitu Malaysia sebagai sebuah negara Islam. Namun, sayangnya perjuangan untuk menghasilkan drama dan cerita yang patuh syariah tidak difahami oleh mereka yang terlibat dalam industri ini. Malah mereka beranggapan dengan syarat patuh syariah ini akan menyekat kebebasan mereka dalam berkarya. Persoalannya mana yang mereka mahu, pengiktirafan manusia ataupun pengiktirafan Allah. Seharusnya mereka mengambil peluang ini untuk mencapai suatu matlamat yang lebih besar iaitu selain untuk keuntungan material dan kewangan, melalui drama yang mereka hasilkan juga mampu mendekatkan mereka kepada agama Islam. Agensi perti MARA sudah memberi ruang kepada penghasilan karya melalui syarat patuh syariah...sepatutnya ia diterima baik dan dijadikan suatu inspirasi demi melahirkan karya-karya sebegini seperti yang diharapkan oleh syarikat kewangan dan juga masyarakat.
Hakikatnya, masyarakat sudah muak dengan cerita dan kisah klise percintaan yang haram, berdisko dan berkelab malam, adegan di luar batasan seorang muslim malah hilang nilai agama dan moral dalam setiap babak. Kami mahupun drama yang lebih matang, memahami Islam dengan lebih baik dan menyeluruh, patuh syariah bukannya mengangkat cebisan daripada agama Islam sehingga menimbulkan fitnah kepada agama itu sendiri. Malah berhubung dengan apa yang diperkatakan oleh panel syariah MARA bahawa perniagaan perfileman hukumnya haram memang betul jika itu yang dihidangkan kepada masyarakat. Namun, secara umumnya ia masih termasuk dalam hukum yang harus jika mematuhi apa yang ada dalam agama dan moral masyarakat itu sendiri. Sebagai contohnya jika ingin menunjukkan kasih sayang di antara suami dan isteri, di dalam drama tidak perlu dan seharusnya memaparkan babak berpelukan dan bercium...memang haram hukumnya kepada pasangan pelakon yang melakonkan watak tersebut bukan mahram. Pelakon yang melakonkan watak tersebut juga bukan patung yang kosong dosa pahalanya, tidak sifar amalannya. Malah mereka juga manusia yang akan dihisab di akhirat kelak amalan masing-masing yang dilakukan di atas muka bumi ini.
Malah, saya amat kecewa membaca pernyataan salah seorang penerbit drama yang aktif di Malaysia..."kalau pelakon nak pegang bahu antara lelaki dan perempuan pun tak boleh, macam mana nak tonjolkan pengajaran dalam drama? Adegan dalam disko pun kena sekat, susahlah untuk kita tonjolkan gambaran baik dan buruk untuk dijadikan pengajaran". Moga Allah SWT memberi hidayah kepadanya. Ameen.
Sayang sekali, jika ini tidak difahami dengan baik oleh setiap manusia Islam, maka ini lah jadinya. Melihat dan menganggap segala peraturan dan undang-undang Islam akan menyekat kebebasan mereka. Sedangkan prinsip hidup kita, segala apa yang kita lakukan sebagai muslim akan membawa kita kepada amalan pahala atau dosa. Sebaik-baiknya perlu menjadikan setiap amalan yang kita lakukan sebagai ibadah untuk kita bawa apabila bertemu Allah SWT kelak.
Saya menyeru kepada penerbit drama yang beragama Islam, yakinilah bahawa rezeki kita daripada Allah. Jika Allah ingin memberikannya maka Allah akan kurniakan kepada kita. Tetapi jangan lupa Allah juga Maha Berkuasa untuk menariknya bila-bila masa sahaja. Dan juga, untuk memberi pengajaran kepada masyarakat bukan hanya dengan memaparkan babak terlarang seperi berpegang tangan ataupun berdisko...malah Islam yang patuh syariah dalam konteks sosial menyakini bahawa matlamat tidak menghalalkan cara.
Bukan MARA yang perlu tukar polisi dan prinsip mereka. Tetapi sudah sampai masanya stesen TV di Malaysia perlu menukar cara fikir mereka dalam menerima drama-drama yang lebih baik kualiti moralnya. Moga-moga ramai penerbit TV seperti Layar Consult SDn. Bhd yang menyokong drama dan cerita yang patuh syariah ini. Moga mereka dimurahkan rezeki dalam mengharungi dunia penyiaran ini yang penuh dengan fitnah duniawi.
Terasa susahnya nak perjuangkan Islam di bumi Malaysia bilamana yang menolak Islam juga adalah kita sendiri :(