Followers

Sunday, October 26, 2014

Mengangkat Citra Bangsa dalam 'Catatan Penglipur Lara Sang Majistret'



Sebelum menyambut hari raya Korban 2014, saya didatangi En Zabidi dan isteri (Kak Asmah) ke ofis saya. Adalah beberapa perkara yang kami bincangkan khususnya tentang projek bersama FINAS. Alhamdulillah sebelum pulang saya dihadiahkan buku 'Catatan Penglipur Lara Sang Majistret'. Sebenarnya saya teringin lama dah untuk membacanya tapi selalu lupa nak tanya En. Zabidi apabila kami berjumpa. Terima kasih di atas hadiah yang sangat berharga ini. Saya berjanji akan menghabiskan bacaannya dan memasukan review tentang buku ini dalam blog saya. Sebenarnya saya dah khatam lama buku ni semasa cuti raya korban hari tu lagi kerana kami beraya di Bangi, tak berkesempatan untuk balik beraya kat kampung. JAdi adalah masa santai di rumah.

untuk pertama mulanya, saya ucapkan tahniah kepada penulisnya kerana membuatkan saya ketawa sorang-sorang. Maksudnya memang buku ini sangat menghiburkan. Ada unsur humor yang 'witty' dalam karya ini. Diangkat dalam bahasa yang mudah dan santai membuatkan buku ini ada nilainya yang tersendiri. Jadi kempen yang pernah dilaksanakan oleh En Zabidi sebelum ini tentang baca dulu baru bayar sangat berjaya. Tapi mestilah saya rugi kerana bila habis baca saya terpaksa membayarnye kerana memang saya gelak sakan sepanjang proses pembacaannya.

Antara kisah yang paling saya suka ialah tentang kisah seludup beras siam. Dan saya perlu akui bahawa pengalaman En. Zabidi sepanjang berkhidmat di Kelantan sememangnya menarik. Perkongsian ini adalah bukti bagaimana seorang individu seperti beliau yang tidak mempunyai pengalaman langsung mengenai masyarakat di Kelantan tercampak ke negeri tersebut. Saya sebagai anak jati Kelantan amat berbangga membaca karya ini. Antara kenangan unik dalam karya ini ialah bagaimana penulis menyenaraikan beberapa istilah Kelantan yang sangat tinggi laras bahasanya serta terjemahan dalam Bahasa Melayu surat. JAdi, apabila orang luar meraikan laras-laras tersebut itu suatu yang membanggakan kami anak-anak Kelantan. Perkongsian pengalaman beliau sepanjang keberadaannya di negeri Kelantan sangat saya kagumi. Pada hakikatnya masyarakat Kelantan sememangnya berbeza. JIka sesiapa yang tidak memahami karakter kami mungkin akan wujud prejudis dan skeptikal dengan sikap kami rakyat Kelantan.

Saya pun masih ingat bagaimana orang luar selalu 'anti' dengan perangai orang Kelantan. Masa belajar di UM dulu pun kami sering ditempelak dek kerana berpuak-puak / asabiahnya kami. Apatah lagi jika bertemu dengan orang yang satu negeri walaupun tidak pernah kenal dan jumpa namun terus mesra. Justeru, saya merasakan membaca karya 'Catatan Penglipur Lara Sang Majistret' membuatkan saya mengimbau banyak kenangan lalu ketika berada di bumi Tanah Serendah Sekebun Bunga.

Dalam buku ini banyak memaparkan citra bangsa khususnya bagaimana keberadaan bangsa Melayu dalam mengenali diri. Beberapa kisah yang diangkat dalam ''Catatan Penglipur Lara Sang Majistret' seperti Kisah di Penjara Pudu memberikan interpretasi kita sebagai pembaca dalam menilai citra bangsa. Suatu perkongsian yang menarik apabila dipaparkan kisah banduan yang terpaksa menerima hukuman rotan. Penerimaan bangsa iaitu Cina, India dan Melayu menggambarkan konotasi makna identiti bangsa yang perlu kita akui.

Kisah tentang jemaah Tabligh juga menarik. Kadang-kadang wujud manusia yang sering salah dalam menginterpretasi dan membuat andaian khususnya bila berkaitan dengan agama. NIat murni dalam memperjuangkan agama melalui jemaah tabligh sangat dihargai. Namun, apa pun perjuangan dakwah seharusnya berhati-hati agar tidak timbul fitnah. Fitnah kepada masyarakat awam mengenai orang agama. Cara orang agama mengangkat jiwa dan peribadi sangat penting kepada masyarakat awam agar tidak timbul skeptikal yang negatif sehingga mereka lari daripada orang agama. Apatah lagi jika menggunakan agama demi kepentingan diri sendiri.

Sebetulnya karya ini sangat jujur dalam mengangkat citra bangsa Melayu khususnya. Sudah sampai masanya Melayu Islam di Malaysia menerima perubahan dari segi minda, jiwa dan spritual ke arah yang lebih terbuka sifatnya. Cukup-cukuplah bangsa Melayu ini sinonim dengan perangai gemar menghukum, dengki, sombong, suka menyebar fitnah, menjaja cerita, keras kepala, 'gedebe' dan juga menipu. Ini semua adalah sifat mazmumah yang perlu dinyahkan dalam diri kita semua. Cari dan pupuklah akhlak mahmudah kerana seharusnya bangsa Melayu Islam perlu berjiwa besar.

Sesungguhnya seusai membaca 'Catatan Penglipur Lara Sang Majistret' saya termenung sejenak....kerana wujud persoalan yang tidak terjawab adakah citra bangsa kita sudah kukuh selaras dengan perkembangan gajet teknologi yang sangat mencabar ataupun sebaliknya....

LinkWithin