Followers

Friday, December 9, 2011

Teori Filem sebagai al-Risalah


Rasanya mahu berkongsi satu teori tentang filem yang mungkin menjadi landasan anjakan paradigma baharu dalam memperjuangan mesej kebaikan melalui filem. Teori filem sebagai al-Risalah telah diperkenalkan oleh Prof. Madya Dr. Abu Hassan Hasbullah, pensyarah kanan di Jabatan Pengajian Media, UM. Menurut Dr. Abu, berlandaskan teori filem sebagai al-Risalah dapat menjelaskan tentang peranan filem yang hanya bukan semata-mata sekadar hiburan. Malah filem turut berperanan dan bertanggungjawab dengan apa yang dipertontonkan kepada audien. Filem Melayu sebagai contohnya menjadi medium yang mampu menyebarkan mesej kebaikan dan sekaligus mengukuhkan dramaturgi dalam wayang gambar Melayu. Dr. Abu juga berhujah bahawa filem Melayu seharusnya mengukuhkan peranan manusia Islam sebagai hamba & khalifah Allah yang dapat membawa kembali manusia menemui jalan kepada Tuhannya.

Justeru, jika diteliti konsep al-Risalah menemukan kita dengan satu paradigma yang membawa khalayak penonton kepada penerokaan jiwa dan penemuan spiritual. Kerana filem sebagai al-Risalah menjadi medium yang membawa penonton kepada keadilan, ketakwaan, keluhuran, keimanan dan juga kekudusan. Alangkah baiknya teori filem sebegini dapat diterokai dan dirungkai serta dihadam oleh para pembikin filem sebelum menghasilkan sesebuah filem.


Lahirkanlah filem-filem yang memberikan kita pahala yang mana dapat kita persembahkan kepada Allah tatkala Allah menyoal kita tentang setiap apa yang kita lakukan di dunia ini. Lahirkanlah filem-filem yang berbekalkan konsep rukun Iman, rukun Islam dan akhlak Islam. Agar kita ada sesuatu yang kita boleh dibawa bila mengadap Allah nanti. Yakinlah, kebaikan yang dipertontonkan berulang kali dapat membawa khalayak penonton kepada perubahan akhlak Islam yang lebih baik. "Small things make difference"


Lupakan pemikiran dari sarjana filem Barat seperti Bazin dan Rudolf Arheim yang memperdebatkan tentang sinema realisme dan juga formalisme. Sudah sampai masanya saya kira para pembikin filem kita berkarya dengan identiti kita sendiri. Mana mungkin kita masih berkiblatkan Barat sedangkan kita tahu budaya kita dengan budaya mereka tidak sama apatah agama kita dengan agama mereka sememangnya totally different! Adakah jika mereka bebas memaparkan tentang seks luar nikah dan keganasan di atas dasar kreativiti, kita juga lebih-lebih mengangkat budaya zina dan juga pergaulan bebas di atas dasar yang sama? Mana mungkin isu-isu agama turut kita perjudikan di atas dasar kebebasan berkarya tanpa mengambil kira hukum hakam Islam. Karyawan Barat menjadi kreatif dan berkarya dengan pelbagai genre filem tanpa meletakkan hukum Tuhan di depan mereka. Adakah kita turut rasa kita perlu lakukan seperti mereka untuk menjadi duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan mereka? Tepuk dada tanya Iman :)

Tuesday, November 29, 2011

Teori Kognitif Sosial dari pandangan seorang muslim!


Perjalanan tesis ku masih belum sampai ke penghujungya...masih lagi berjuang demi mencapai matlamat yang diimpikan...masih lagi bergelumang dengan metode penyelidikan yang perlu dikuasai bagi seorang penyelidik dan masih juga bernafas dengan inti pati teori-teori kajian yang menjadi tunjang sebuah kajian...Hari ini aku ingin berkongsi sedikit ilmu teori khususnya berkenaan dengan teori kesan media yang sangat popular iaitu teori kognitif sosial yang menjadi teori utama kajian aku selain daripada teori filem sebagai al-risalah yang juga aku gunakan.

Teori kognitif sosial merupakan antara teori tentang perubahan tingkah laku melalui modeling dan persekitaran. Teori ini sebenarnya merupakan hasil perkembangan evolusi daripada teori pembelajaran sosial yang diperkenalkan oleh Albert Bandura dan rakan-rakan beliau seperti Walters, Grusec dan Menlove pada tahun 1960-an.

Persoalannya...relevankah teori kognitif sosial ini aku gunakan dalam kajian aku...mungkin ada yang persoalkan...inikan teori lama...cari lah teori baharu untuk kajian alaf 21 ni...Namun, walauapapun...aku punya justifikasi aku sendiri kenapa aku memilih teori kognitif sosial yang sudah berabad ini menjadi teori yang aku gunakan sebagai kerangka teoretikal aku...jawapannya teori ini sememangnya mengalami perkembangan dan evolusi yang cukup mantap dan kukuh dalam membincangkan tingkah laku manusia. Bandura melalui Teori pembelajaran sosial, mendokong model behaviorisme yang amat popular dengan kajian eksperimen klasik Bobo Doll,kemudiannya pada tahun 1986 menukar arah aliran paradigma kepada konstruktivis sosial apabila beliau secara rasmi menukar nama teori tersebut kepada teori kognitif sosial dengan beberapa penambahbaikan konstruk-konstruk penting.


Menurut Bandura, seseorang individu dapat mempelajari sesuatu tingkah laku melalui modeling dan pemerhatian. Dengan kata lain, selain pembelajaran secara formal melalui pendidikan, manusia turut dapat belajar melalui pemerhatian dan dapat meniru tingkah laku yang dipertontonkan. Melalui prinsip observational learning, individu berupaya menterjemahkan tingkah laku yang dilihat. Namun, ia turut bergantung kepada sejauhmana vicarious learning tersebut mampu memberikan peneguhan dan motivasi kepada mereka yang melihat. Bandura turut memperkenalkan konsep timbal balik (reciprocal determinism) di antara persekitaran (environment), tingkah laku (behavior) dan juga personal. Melalui konsep ini, Bandura menyatakan bahawa ketiga-tiga faktor ini saling berhubung dan saling mempengaruhi di antara satu sama lain. Sebagai contohnya, tingkah laku manusia turut dipengaruhi oleh persekitaran dan juga faktor individu tersebut sama ada dari aspek ilmu dan juga sikap yang akan menterjemahkan tingkah laku yang berbeza. Begitu juga, jika seseorang individu tersebut tinggi nilai efikasi kendirinya (self-efficacy) iaitu sebagai faktor tingkah laku, mungkin kurang dipengaruhi oleh persekitaran yang tidak baik atau mungkin sebaliknya. Dengan kata lain, faktor persekitaran juga menjadi faktor yang boleh kita kawal untuk mendapatkan tingkah laku yang lebih baik.

Teori kognitif sosial banyak digunakan sebagai teori kesan media yang mana media dilihat sebagai alat yang mampu memberikan perubahan tingkah laku kepada mereka yang menontonnya. Media sebagai transmission tool kepada keganasan dan tingkah laku agresif menjadi fokus utama kajian penyelidikan yang banyak dijalankan oleh para penyelidik media. Namun, sejak akhir-akhir ini terdapat juga kajian yang melihat bahawa faktor media boleh diletakkan peranan positif yang menyumbang kepada nilai prososial. Selain itu, teori kognitif sosial turut kukuh dalam kajian mengenai health behavior dan juga pendidikan.

Walaubagaimanapun, teori ini turut mempunyai limitasi dan skop yang tertentu sebagai hasil teori manusia biasa. Hakikatnya teori kognitif sosial mempunyai terlalu banyak konstruk yang dibincangkan. Namun, hanya terdapat beberapa konstruk sahaja yang sering digunakan dan popular seperti observational learning, symbolic modeling, self-efficacy. Mungkin bagi sarjana komunikasi Barat melihat Bandura sebagai sarjana hebat yang mampu menghasilkan teori sedemikian rupa, tetapi aku masih lagi meneroka dan mengkaji teori ini melalui pandangan aku sebagai seorang muslim. Hari ini aku masih lagi menghadam setiap konstruk dan konsep yang diutarakan dalam teori ini dan masih berjuang mencari suatu keajaiban untuk turut mengangkat sisi pandangan muslim dalam membincangkan teori ini.

Yang pasti aku memahami dan menemui kebenaran di sebalik teori ini, iaitu sebagai teori berasaskan Barat, teori kognitif sosial tidak mengiktiraf kuasa Tuhan yang dapat menentukan tingkah laku manusia. Namun, sebagai seorang muslim, kita jangan menafikan campur tangan Allah dalam menterjemahkan tingkah laku seseorang itu. Perkara-perkara sam'iyyat yang tidak dapat dirungkai melalui akal fikir kita wajib kita yakini. Begitu juga kepercayaan rukun iman yang enam perlu kita fahami termasuklah percaya kepada qada' dan qadar Allah. Bila kita menyakini kewujudan Allah barulah kita dapat menerima bahawa segala apa yang berlalu merupakan ketentuan Allah di samping usaha yang telah kita pertingkatkan. Oleh itu, logiklah jika berlakunya masalah sosial dalam kalangan remaja yang mendapat didikan agama dan bersekolah agama khususnya menimbulkan bicara dan perbualan hangat masyarakat. Ini kerana mereka mengangggap mana mungkin pelajar dari kelompok tersebut bertingkah laku dengan tingkah laku yang teruk, seperti mengandungkan anak luar nikah, berzina, membuka aurat dsb kerana mereka faham hukum dan agama. Namun, inilah percaturan Allah...setiap musibah dan ujian itu ada hikmahnya. Namun, akal kognitif sebagai muslim juga menjadi simbol kewarasan setiap keputusan yang diambil. Justeru, kita tidak menidakkan faktor kognitif yang dibincangkan oleh Bandura ini. Malah Islam melalui ayat-ayat al-Quran sering membahaskan mengenai peranan akal melalui ayat-ayat seperti ya'qilun dan juga yatafakkarun serta membandingkan di antara orang yang berilmu dengan yang tidak berilmu.

Doakan aku agar aku dapat menemui kebenaran di sebalik sebuah kajian ini demi memartabatkan ilmu untuk kepentingan Islam sarwajagat. Ameen :)

Wednesday, November 23, 2011

Membina Komunikasi Vertikal dalam mencari Hubungan dengan Allah



Dalam bidang komunikasi, jenis komunikasi vertikal sering dilihat dalam konteks ruang komunikasi yang wujud di antara manusia yang tidak sama levelnya seperti hubungan kerja di antara bos dan pekerja bawahan. Namun, Prof. Dr Zulkiple Abd Ghani mencetuskan paradigma baharu yang melihat perspektif komunikasi vertikal lebih kepada komunikasi secara menegak dengan Tuhan.

Walaubagaimanapun, bidang komunikasi Barat tidak menyentuh secara langsung tentang bagaimana pentingnya komunikasi manusia dengan Tuhan. Yang ada hanya komunikasi intrapersonal iaitu tentang seseorang individu yang berkomunikasi dengan intuisi kata hatinya semata-mata.

Sebagai agama fitrah, Islam melihat betapa pentingnya kewujudan manusia yang sangat memerlukan Tuhan yang Maha Pencipta. Justeru, sebagai seorang Islam, kita harus menyakini bahawa selain keperluan membina hubungan sesama manusia, kita turut dipandu dalam mencari hubungan dengan Allah. Sebab itulah bagi membentuk seorang manusia Islam yang benar-benar beriman, kita perlu mencapai dua prinsip penting; hubungan dengan Allah dan hubungan dengan manusia.

Muslim dan mukmin mampu mencari Allah dengan berkomunikasi terus kepadaNya sama ada melalui solat, doa, zikir malah ketika bermuhasabah kita dapat berhubung secara langsung dengan Allah. Komunikasi vertikal ini mampu membentuk diri kita yang memahami untuk apa kita dijadikan di atas muka bumi ini. Setiap ujian, musibah, cabaran malah ganjaran dan berita kegembiraan yang sering kita lalui dan perolehi hanyalah untuk kita kenal diri kita sebagai hambaNya yang perlu sentiasa mencari Allah walau dalam apa jua keadaan kita. Dengan kata lain, di kala susah dan senang jangan lah lupa untuk kita sentiasa mengingatiNya. Jika musibah dan ujian yang kita tempuhi, maka sabar dan usaha yang perlu kita pegang. Jika nikmat dan kegembiraan yang kita dapat jangan lupa pula untuk kita bersyukur kepadaNya.


Sebelum kita meneroka bidang dan jenis komunikasi yang lain, carilah dahulu komunikasi vertikal yang dapat menemukan kita dengan Allah SWT.

Tuesday, October 25, 2011

Berkongsi makna dalam Bengkel Penulisan Skrip

Mengikuti Bengkel Penulisan Skrip bersama En. Zabidi Mohamed memberikan banyak pengalaman dan ilmu yang amat bermanfaat. Lebih-lebih lagi dalam ruang dan peluang untuk meneruskan perjuangan menulis skrip drama berunsurkan Islam dan dakwah bersama Zabidi Mohamed dan Layar Consult. Sudah selesai 4 sesi dan masih ada satu lagi sesi akhir nanti. Namun, sebenarnya amat sukar memerah daya dan idea kreatif untuk menulis dan menghasilkan skrip yang baik. Terasa kosong dan kerdil je diri ini tatkala diberi tugasan untuk menghasilkan skrip drama. Dalam hati bercelaru dan berkonflik, mampukah diri ini di saat kesibukan mendesak diri berupaya menyiapkan skrip yang diminta. Moga-moga Allah memberikan ilham ke atas jiwa hamba yang kerdil ini untuk terus menyahut cabaran demi meningkatkan dan mengangkat martabat perjuangan dakwah melalui penghasilan skrip drama.

Drama-drama Melayu yang kita tonton di Malaysia terasa sangat klisenya. Malah sedap pula asyik condemn dan kritik je kerja kita kan. Fuhh, rupanya payah jugak untuk menghasilkan skrip drama yang baik. Terasa amat kagum sekali dengan kreativiti En. Zabidi yang banyak menghasilkan skrip. Drama-drama beliau amat saya kagumi seperti Makbul, Hani, Ihsan, Aku Bukan Rabiatul, Aku Terima Nikahnya, Basikal itu dan banyak lagi dan saya senang sekali menjadi peminat setia menantikan drama-drama beliau yang ditayangkan di kaca televisyen. Bayangkan daripada seorang majistret beralih karier sebagai penulis skrip sepenuh masa, saya tabik betul dengan kemampuan beliau. Yang paling saya kagum dengan prinsip beliau mengenai watak putih dan watak hitam. Saya suka dengan pilihan beliau untuk tidak memasukkan watak hitam dalam drama-drama beliau. Konflik cabaran hidup (obstacles) sebagai halangan amat menarik seperti mana juga mewujudkan watak-watak yang menghalang watak protagonis. Dengan kata lain kita tak memerlukan watak jahat untuk menghidupkan jalan cerita.

Banyak yang dipelajari dan difahami daripada bengkel skrip yang telah dijalankan. Walaupun sebenarnya ilmu teori tentang penulisan skrip sudah diketahui tetapi perkongsian ilmu En Zabidi mengukuhkan lagi perjalanan saya untuk menjadi seorang penulis skrip. Pentingkah bagi saya untuk menjadi seorang penulis skrip? Cita-cita yang tidak kesampaian kah ataupun hanya sekadar mencuba nasib? Namun, ia lebih daripada itu. Apa yang boleh saya katakan ia lebih kepada tanggungjawab kepada masyarakat dan juga demi mengangkat drama dakwah di Malaysia. Tetapi jangan pula menunggu skrip atau tayangan drama hasil skrip saya hehehehe kerana saya tidak tahu bila impian saya mampu menjadi kenyataan. Saya telah mencuba dan masih mencuba.

Dalam kepala sudah ada cerita tetapi tak sempat diterjemahkan lagi ke atas kanvas Final Draft sebagai buah tangan sesi akhir 12 November nanti. Sudah 3 bengkel skrip yang pernah saya ikuti; En Kamal Ishak, Pn Maizura Ideris dan juga En. Zabidi Mohamed. Ketiga-tiga mereka mampu memberi ilmu dan pengalaman mereka dalam konteks yang berbeza. Entri kali ini hanya sekadar berkongsi makna daripada Bengkel Skrip yang pernah saya hadiri. Doakan saya & Terima kasih semua :-)

LinkWithin