Followers

Thursday, April 26, 2012

Penelitian Pendekatan Metateori Bidang Komunikasi: Dari Perspektif Dakwah...samb. II



Agak lama tidak menulis...agak sibuk kebelakangan ini, berusaha untuk menyiapkan tesis di saat-saat yang terakhir. Nasib baik teringat yang artikel tentang metateori bidang komunikasi belum dihabiskan perkongsiannnya. Ini sambungan bahagian II...

Pendekatan Metateori Bidang Komunikasi

Metateori ialah teori mempelajari ilmu tentang teori (Miller 2005; Littlejohn dan Foss 2008). Saodah et al. (2003) menjelaskan peranan metateori yang membantu para sarjana komunikasi membuat klasifikasi tentang teori komunikasi. Metateori adalah seumpama peta topografi yang diperlukan untuk membuat klasifikasi, perbandingan dan penilaian teori-teori komunikasi. Pelbagai keterangan teoretikal tentang komunikasi dapat disusun dengan adanya metateori. Terdapat tiga asas ilmu metateori yang menjadi tunjang di dalam setiap proses komunikasi yang berlaku; ontologi, epistimologi dan aksiologi. Brugger (2003) membincangkan peranan dan kedudukan metateori (Rajah 3) sebagai faktor yang menyumbang kepada perkembangan kajian penyelidikan secara saintifik khususnya dalam bidang media dan komunikasi. Oleh itu, pemahaman mengenai ilmu metateori dapat menentukan jenis penyelidikan yang ingin dilakukan dengan berpandukan teori metode dan teori pemahaman yang betul. Ini kerana meteteori turut menjelaskan mengenai falsafah di sebalik setiap penyelidikan yang dipilih.


Rajah 3. Kedudukan Metateori dalam Kajian Penyelidikan Saintifik


Kajian ontologi melibatkan pemahaman mengenai kewujudan realiti di sekeliling kita. Ontologi menekankan fenomena realiti dengan persoalan mengenai ‘apa’. (Miller 2005; Amira Sariyati 2005; Guarino et al. 2009; Littlejohn dan Foss 2008). Para sarjana teori melabelkan tiga bentuk pandangan yang berbeza mengenai realiti. Mereka melihat sesuatu fenomena realiti itu sama ada melalui lensa realis, nominalis ataupun konstruktionis sosial. Bagi sarjana sosial realis, mereka melihat dunia secara objektif. Mereka berpandangan bahawa secara realitinya, memang wujud dunia lain di luar pengalaman dan pemikiran kita. Nominalis pula melihat dunia secara subjektif dan mendakwa semua benda di luar daripada pemikiran kita hanyalah wujud pada nama dan label semata-mata, tidak lebih daripada itu. Konstruktionis sosial berpendapat bahawa realiti ialah sesuatu yang dicipta oleh manusia dari interaksi yang mereka bina terdahulu dan juga semasa. Justeru, konstruktionis sosial berdiri antara realiti objektif dan realiti subjektif (Miller 2005; Amira Sariyati 2005).


Dalam konteks displin ilmu komunikasi, perbincangan ontologi dikaitkan tentang persoalan mengenai apakah yang dimaksudkan dengan komunikasi. Terdapat pelbagai pendapat yang dikemukakan oleh para sarjana komunikasi dalam mendefinisikan komunikasi. Secara umumnya komunikasi merupakan proses penyampaian maklumat daripada pengirim kepada penerima. Galvin dan Wilkinson (2006) menjelaskan komunikasi sebagai proses bagi menyampaikan mesej dengan tujuan untuk membina hubungan. Manakala Littlejohn dan Foss (2008) mengaitkan komunikasi sebagai proses yang membentuk interaksi sosial dengan menggunakan simbol dan elemen mesej melalui perkongsian maklumat. Buck dan VanLear (2002) pula berpendapat bahawa proses komunikasi memerlukan sumber bagi menyampaikan mesej kepada penerima untuk mempengaruhi tingkah laku penerima. Justeru, konsep komunikasi mempunyai pelbagai definisi dan makna bergantung kepada tujuan dan perspektif yang berbeza. Walaubagaimanapun, prosesnya yang fleksibel masih menekankan elemen-elemen yang sama dalam mewujudkan sesuatu fenomena.

Manakala, epistimologi berkaitan tentang bagaimana sarjana teori menyelidik sesuatu fenomena. Ia merupakan falsafah mengenai cara menyelidik dan mendapatkan ilmu pengetahuan. Bidang epistimologi ini menekankan cara pemerolehan ilmu secara objektif melalui proses penyelidikan saintifik di dalam menjelaskan tentang hubungan sebab-akibat sesuatu fenomena. Pemerolehan ilmu secara subjektif turut menjadi asas epistimologi tentang sejauhmana wujudnya proses penghasilan ilmu pengetahuan tersebut (Miller 2005; Amira Sariyati 2005; Browaeys 2004; Littlejohn dan Foss 2008). Para sarjana teori yang berorientasikan penyelidikan secara objektif yakin bahawa hanya bukti dan hasil yang dikutip melalui kajian empirikal dengan cara yang objektif dapat menjelaskan fenomena yang dikaji secara tepat dan benar. Walaubagaimanapun, bagi sarjana yang berorientasikan subjektif, mereka berpendapat bahawa kefahaman mengenai dunia sosial adalah bersifat relatif yang tidak akan diperolehi hanya dengan menumpukan kepada objektif semata-mata. Mereka berusaha mengkaji sesuatu fenomena dengan membina hubungan secara langsung dengan subjek kajian seperti yang sering didapati melalui kajian interpretif melalui temu bual atau etnografi (Miller 2005; Amira Sariyati 2005).

Epistimologi dalam displin komunikasi melihat kepada bagaimana untuk menghasilkan proses komunikasi yang efektif melalui elemen-elemen yang wujud dalam sesebuah proses komunikasi. Sebagai contohnya model komunikasi yang diperkenalkan oleh Laswell (1948) (Rajah 4) jelas mengaitkan kesan sebagai salah satu elemen dalam proses komunikasi. Ini bermakna kesan menjadi elemen utama dalam menentukan sejauhmana proses komunikasi yang berlaku memberi kesan yang efektif kepada penerima (receiver) selain daripada elemen-elemen komunikasi yang lain. Model komunikasi yang diperkenalkan oleh Harold Laswell (1948) menekankan aspek kesan dan impak kepada masyarakat daripada penggunaan media massa berbanding dengan model komunikasi yang lain (Littlejohn dan Foss 2008; Griffin 2009; Flensburg 2009).



Rajah 4: Model Komunikasi Laswell (1948): Who (sender) says what (message) in which (medium) channel to whom (receiver) with what (feedback) effect?


Aksiologi pula membincangkan mengenai persoalan nilai yang menjadi panduan para sarjana teori dalam membina dan mengembangkan teori (Miller 2005; Amira Sariyati 2005; Littlejohn dan Foss 2008). Terdapat pandangan sarjana teori yang menolak nilai dalam sesuatu penyelidikan yang dijalankan. Namun, terdapat juga mereka yang berpendapat bahawa seseorang penyelidik itu tidak mungkin dapat menolak nilai dari konteks penyelidikan. Hubungan di antara nilai dan teori menunjukkan bahawa mustahil untuk menolak nilai malah nilai peranan membawa penyelidik pada tahap kesarjanaan mereka. Namun, faktor-faktor seperti bias sentiasa menjadi faktor yang menjejaskan teori yang dibina (Miller 2005). Justeru, kewujudan nilai dalam proses komunikasi dibina melalui hubungan di antara penyampai dan penerima serta perubahan yang berlaku melalui proses komunikasi tersebut. Ini dijelaskan oleh Buck dan VanLear (2002) dan Flensburg (2009) yang mana proses komunikasi memberi kesan dan pengaruh terhadap tingkah laku, sosial dan juga emosi seseorang individu sama ada secara langsung ataupun tidak langsung.


InsyaAllah sambungan artikel ini bahagian III (akhir) akan menyusul.... tentang membangunkan pendekatan metateori bidang komunikasi dakwah

Tuesday, April 10, 2012

Diskusi Segar bersama Dr. Fazilah, UPM tentang filem dan drama tempatan


Alhamdulillah, ada juga ruang dan masa untuk mencoret sesuatu pada bulan April yang cukup sibuk :)

Kesempatan menjengok dan berborak dengan Dr Fazilah semalam amat dihargai. Satu diskusi yang cukup segar tentang filem dan drama Melayu. Sememangnya Dr Fazilah adalah antara ahli akademik yang hebat dalam bidang teater dan drama Melayu. Antara perbincangan semalam yang mungkin boleh dikongsi bersama ialah mengenai hala tuju filem tempatan, kepentingan kritikan tentang filem dan juga tanggungjawab para pembikin filem dalam memaparkan sesuatu yang tinggi nilai agama dan moralnya kepada audien dan masyarakat. Isu dakwah dan filem juga turut disentuh. Begitu juga dengan drama-drama tempatan hari ini yang semakin hilang identiti; penuh dengan babak zina, kurang nilai moral dan sosial serta content yang tak cukup research.

Wah, macam berat je antara isi-isi diskusi tersebut. Tetapi sebenarnya ia berlangsung dengan sangat santai dan menarik. Macam tak puas berborak dengan Dr Fazilah. Terima kasih ya Dr. InsyaAllah ada peluang kita berdiskusi lagi.

Besarnya amanat yang perlu digalas. Tanggungjawab yang perlu ditunaikan. Dan cabaran yang perlu dihadapi dalam usaha untuk terus mengangkat dan memahamkan orang-orang yang melibatkan diri dalam pembikinan filem khususnya untuk mereka berkarya dan pada masa yang sama memahami tanggungjawab sosial mereka. Ini kerana kadang-kadang ketidakfahaman tentang sesuatu isu khususnya soal agama akan menimbulkan kekeliruan kepada public dan audien yang menonton seperti filem 7 petala cinta yang ditayangkan sekarang. InsyaAllah jika ada kesempatan, saya akan mengulas tentang filem ini :)

Para pembikin filem dan mereka yang sekelompok dengannya juga janganlah cepat melatah dan perlu berlapang dada sekiranya terdapat teguran, kritikan dan juga perbincangan tentang filem-filem yang mereka hasilkan. Dengan harapan setiap kritikan filem khususnya dapat mencari titik positif dan membawa mereka kepada penghasilan filem yang lebih baik. Kerana ini yang sering dibincangkan dari kaca mata seorang penonton, bloggers yang mengkritik dan review filem mahupun ahli akademik yang turut berperanan dari perspektif mereka sendiri. Apa yang berlaku mengenai polemik tentang filem Bunohan membuktikan kita masih belum bersikap terbuka dan berlapang dada....

Mari kita sama-sama mendoakan yang terbaik :)

Wednesday, February 29, 2012

Penelitian Pendekatan Metateori Bidang Komunikasi: Dari Perspektif Dakwah

Hasil perbincangan saya dalam beberapa entri yang lepas mengenai pendekatan metateori serta juga tentang bidang komunikasi dan dakwah telah menghasilkan satu lagi artikel tentang isu ini. Saya mahu berkongsi mengenai satu artikel tentang "Penelitian Pendekatan Metateori Bidang Komunikasi: Dari Perspektif Dakwah" yang telah dimuatkan dalam buku Pembangunan Dakwah Semasa. 2011. Terbitan Jabatan Pengajian Dakwah & Kepimpinan dan disunting oleh Razaleigh Muhamat@Kawangit & Ideris Endot. Diharap artikel ini dapat membantu menjelaskan konsep metateori bidang komunikasi serta komunikasi dakwah dengan lebih baik lagi. InsyaAllah :)


Penelitian Pendekatan Metateori Bidang Komunikasi: Dari Perspektif Dakwah

Rosmawati Mohamad Rasit
Universiti Kebangsaan Malaysia
rosma_mr@ukm.my


Pengenalan

Komunikasi amat penting kepada setiap manusia dalam meneruskan kehidupan. Tanpa komunikasi, kita tidak mampu berkongsi dan menyampaikan maklumat serta ilmu dengan cara yang efektif. Justeru, displin komunikasi turut mendapat tempat sebagai bidang yang perlu diterokai. Displin komunikasi hari ini menjadi antara displin ilmu yang ditawarkan di institusi pengajian tinggi tempatan mahupun antarabangsa secara profesional. Ia menjadi bidang keperluan dalam melahirkan intelektual akademik yang memiliki kemahiran dalam memahami pengajaran, prinsip dan kaedah berkomunikasi dengan baik. Walaubagaimanapun, para sarjana Barat mendominasi bidang komunikasi (Ayish 2003; Chu 1985; Zulkiple 2001 & 2003; Miike 2002; Mohd Safar 2009) dengan mengukuhkan segala konsep, metateori, model, teori serta prinsip komunikasi berdasarkan perspektif dan cara fikir mereka. Malah kajian penyelidikan komunikasi yang dijalankan secara saintifik dan empirikal banyak dipengaruhi oleh pemikiran dan perspektif Barat. Mohd Safar (2009) menjelaskan bahawa falsafah komunikasi yang digunapakai di sebahagian besar dunia hari ini adalah berasaskan sumber Barat; dari segi amalannya dan juga dari segi world-viewnya.

Begitu juga dengan bidang pengajian komunikasi di Malaysia malah termasuk di negara-negara Asia yang terlalu bersandarkan perspektif Barat. Hujah ini disokong oleh Ahmad Murad (2009) yang menyatakan bahawa di Malaysia, penyelidikan dan ilmu pada tahap teori-meta, teori, empirikal dan kegunaan dalam komunikasi dan pengajian media berkiblat dan terbit dari Amerika Syarikat dan United Kingdom. Secara kasarnya, tidak ada teori-meta atau analisis teoretikal yang terbit dari dalam gagasan masyarakat kita sendiri selama lebih tiga dekad kewujudan pengajian komunikasi di Malaysia. Mohd Safar (2009) turut mengakui bahawa Malaysia juga menggunapakai falsafah yang bersumberkan Barat ini dengan menyesuaikannya mengikut sistem politik negara ini.

Namun, sejak akhir-akhir ini wujud idea dan pandangan yang membangkitkan isu bahawa displin komunikasi seharusnya turut dilihat dari perspektif yang berbeza bukan hanya bergantung kepada perspektif Barat semata-mata. Justeru, muncul para sarjana dari Asia dan khususnya Islam untuk turut sama memperjuangkan displin komunikasi dari perspektif selain daripada Barat seperti Ayish (2003), Miike (2002), Mowlana (2007), Mohd Hussain (1985), Chu (1985), Zulkiple (2001 & 2003), Tanudikusumah (1985), Dakroury (2006), Aminudin et al. (2009), Semati (2011), Mohd Safar (2009) dan Siddiqui (1991). Begitu juga dengan pendekatan metateori yang mendasari perbincangan teori komunikasi Barat membawa aspek ontologi, epistimologi dan aksiologi berdasarkan hujah pemikiran mereka. Justeru, melalui kertas kerja ini penulis melihat bahawa wujudnya peluang untuk menggali dan mencerakinkan potensi bidang pengajian komunikasi khususnya dari aspek pendekatan ilmu metateori dari perspektif dakwah. Ini kerana bidang dakwah tidak terkecuali daripada membincangkan mengenai aspek komunikasi yang menjadi antara prinsip penting oleh da’ie sebagai religious communicator. Selain itu, perbincangan ini turut melihat kepentingan untuk membangunkan pendekatan metateori komunikasi dakwah dari sudut pandangan Islam.


Dakwah Islamiah dan Komunikasi

Dakwah Islamiah merupakan aktiviti umat Islam yang didasari dengan iman dan keikhlasan untuk mengamal, menyebar kerahmatan (rahmatan) dan kedamaian (salaman) kepada umat manusia. Oleh itu, tiada dakwah yang dianggap gagal; hanya mungkin yang terjadi adalah dakwah yang tidak mampu merubah sasarannya ke arah kehidupan yang lebih baik dan lebih sejahtera, atau dakwah itu sendiri dicurigai sebagai penghalang dalam melakukan satu-satu perkara yang sudah menjadi kebiasaan atau tradisi sesebuah masyarakat (Syamsul Bahri 2003). Matlamat dakwah ialah untuk membawa manusia kepada kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat serta mendapat keredhaan Allah dan mengamalkannya dalam kehidupan sehari-hari, baik secara individu, keluarga mahupun kehidupan sosial kemasyarakatan (Zaydan 1976; Ab. Aziz 1997; Syamsul Bahri 2003; Sohirin 2008). Sebagaimanana Firman Allah:
Maksudnya: “kalau sekiranya penduduk negeri itu beriman dan bertaqwa, nescaya Kami tumpahkan kepada mereka keberkatan dari langit dan bumi, tetapi mereka itu mendustakan, sebab itu Kami siksa mereka disebabkan usahanya itu”(al-a’raf: 96).

Menurut Yaacob (1995), manusia merupakan objek pentarbiahan yang memerlukan pentarbiahan melalui konsep dakwah. Entiti-entiti atau komponen diri manusia itu sendiri membentuk skop dan dimensi tarbiah dalam Islam. Biasanya dirujuk dalam tiga aspek; al-ruh, al-jasad dan al-‘ql. Dengan itu tarbiah bersifat rohani, jasmani dan aqli (spiritual, fizikal dan kognitif). Aspek ini yang membezakan di antara komunikasi sekular Barat (Buck dan VanLear 2002; Griffin 2009; Flensburg 2009) dan dakwah yang mana tujuan komunikasi hanya mementingkan proses dan elemen yang memberikan perubahan sosial, tingkah laku dan juga emosi seseorang. Namun, konsep dakwah Islamiah lebih menyeluruh yang mana proses pentarbiahannya bertujuan mengajak dan mengubah sasaran dakwah dengan berpaksikan akidah, tauhid dan beriman kepada Allah SWT. Hakikatnya, komunikasi merupakan sebahagian daripada proses di dalam penyampaian dakwah. Para pendakwah memerlukan kemahiran berkomunikasi sebagai salah satu cara menguasai penyampaian dakwah yang berkesan. Ini bermakna, penyampaian dakwah Islamiah lebih luas dan lebih menyeluruh berbanding dengan proses komunikasi sebagaimana firman Allah SWT dalam surah Al-anbiya’:
وَما أَرْسَلْناكَ إِلاَّ رَحْمَةً لِلْعالَمِينَ
“Kami tidak mengutus engkau, Wahai Muhammad, melainkan sebagai rahmat bagi seluruh manusia” (Al-anbiya’: 107)

Semati (2011) menjelaskan komunikasi Islam atau turut dikenali dengan komunikasi dakwah sebagai proses menyebarkan mesej Islam menggunakan prinsip komunikasi yang bersumberkan al-Quran dan Hadith dari perspektif Islam (tauwhidi perspective). Oleh itu, konsep pendekatan komunikasi dakwah seharusnya bermatlamatkan untuk mencapai keredhaan Allah. Namun, ia tidak menghalang untuk dakwah Islamiah daripada menerima apa yang sesuai daripada bidang komunikasi Barat jika ia turut menyumbang kepada kebaikan dan perkembangan dakwah itu sendiri sebagaimana yang dijelaskan oleh Ab. Aziz (1997) yang berpendapat bahawa dakwah Islamiah seharusnya menggunakan kemudahan-kemudahan dan teori-teori ilmu komunikasi yang tidak bercanggah dengan Islam untuk membina satu metode dakwah yang mantap dan berkesan. Sebagai contohnya, penulis turut mengasimilasi model komunikasi Laswell (1948) yang boleh digunakan sebagai model komunikasi dakwah dengan beberapa perubahan dan penambahbaikan (Rajah 1). Zulkiple dan Saiful Azry (2009) pula telah mengemukakan sebuah model komunikasi yang dinamakan sebagai Dakwah bi al-Risālah (massa). Berdasarkan kepada model tersebut, Allah S.W.T. adalah sebagai sumber utama dalam komunikasi tersebut di mana Dia telah mengutuskan malaikat Jibrail supaya menyampaikan risalah al-Qur’an kepada nabi Muhammad s.a.w. untuk di sampaikan kepada umat seluruh alam (Rajah 2) .

Rajah 1. Model Komunikasi Dakwah yang diasimilasikan menerusi Model Komunikasi Harold Laswell (1948)

Rajah 2. Model Komunikasi Dakwah bi al-Risālah

Artikel ini bersambung ya....tak sempat nak upload semua :)

Wednesday, February 8, 2012

Rasa Syukur dan Ikhlas dalam 'Hafalan Shalat Delisa'


Alhamdulillah, telah diberikan kesempatan ruang dan masa untuk menonton filem Hafalan Shalat Delisa (HSD) dan akhirnya dapat berkongsi rasa dan jiwa dalam entri kali ini. Dan sesungguhnya saya amat yakin dan percaya bahawa kejayaan sesebuah filem itu banyak disumbangkan oleh content atau isi kandungan filem tersebut. Jika content yang diangkat dalam sesebuah filem ini baik dan dekat dengan masyarakat lebih-lebih lagi selari dan benar dari konteks pegangan agamanya, maka filem tersebut berjaya! Walaupun pada masa yang sama filem tersebut tetap lompang dan lemah dari aspek pembikinan yang lain seperti grafik dan teknikal filemnya. Ini yang saya lihat pada filem Hafalan Shalat Delisa. Satu penceritaan plot yang bagus dan dekat dengan agama. Cerita yang berlatarkan kisah benar tsunami yang teruk melanda Acheh pada tanggal 26 Disember 2004 telah diangkat oleh Sony Gaokasak ke layar perak hasil adaptasi novel Tere Liye.

Plot naratif HSD cukup mudah yang mengisahkan Delisa, 7 tahun sedang bersedia untuk melengkapkan bacaan-bacaan solatnya dan berusaha untuk lulus agar dia dapat menerima hadiah rantai leher yang berhuruf D daripada uminya. Begitu juga janji abinya untuk menghadiahkan kepada Delisa basikal baru jika dia berjaya lulus. Berada dalam lingkungan keluarga yang amat menyayanginya, Delisa anak bongsu daripada 4 beradik merupakan seorang kanak-kanak yang periang, tahan lasak dan juga kuat semangat. Watak Umi Salamah (Nirina Zubir) dan Abi Usman (Reza Rahadian) sangat menarik sebenarnya. Namun, beberapa watak lain tidak begitu menyerlah dan kelihatan agak kaku seperti watak Smith dan Sophie.

HSD mungkin bukan filem terbaik tetapi mempunyai mesej keagamaan yang jelas - tentang bagaimana kita seharusnya menerima segala apa yang berlaku sebagai ujian daripada Allah.

Apa yang boleh difahami oleh kanak-kanak sebaya Delisa tentang ujian Allah tetapi HSD mengangkat konsep ini melalui kanak-kanak yang diuji dengan tusnami, kehilangan umi dan 3 kakaknya malah kakinya juga terpaksa dipotong. Delisa tetap meneruskan kehidupannya walau adakalanya kesedihan dan kegundahan hatinya sememangnya menjerit sehingga mengatakan 'Allah tidak adil sama Delisa' 'Masakan Umam yang nakal boleh ketemu uminya semula'. Inilah yang sering kali berlaku pada kita sebagai manusia biasa yang iman kita sentiasa turun naik. Kadang-kadang kita sendiri tidak mampu menerima ujian getir daripada Allah lantas kita menuduh Allah tidak berlaku adil dan memaksa kita curiga dengan Allah. Namun, apa yang kita tidak sedar adalah bahawa setiap ujian, musibah dan apa yang berlaku pasti ada hikmahnya.

Cerita Delisa juga mempunyai hikmah yang besar untuk dia lebih memahami tentang rasa syukur dan ikhlas. Kerana selama ini dia sering melakukan sesuatu hanya untuk mendapatkan hadiah semata-mata. Begitu juga untuk hafalan solatnya. Allah memberi peluang kepada Delisa dan sebenarnya kepada kita untuk kita lebih fahami bahawa segala apa yang kita usahakan perlukan keikhlasan tanpa mengharapkan apa-apa balasan jauh sekali hadiah.


Delisa bersyukur kerana dia masih hidup dan boleh menemani abinya. Lebih-lebih lagi endingnya ialah Delisa mampu menyempurnakan bacaan solatnya yang sebelum ini tertunda kerana tsunami. Pengakhirannya, Delisa memahami bahawa tanggungjawabnya untuk menyempurnakan bacaan solatnya bukan untuk mendapatkan hadiah tetapi hanya untuk solat dengan baik.


HSD mengangkat sisi ikhlas yang bagi saya dikupas dengan sangat baik. Begitu juga dengan rasa syukur yang perlu difahami oleh kita sebagai khalayak penonton. Bersyukur bahawa Allah masih menyayangi kita. Masih hidup di bawah rahmat Allah yang melimpah ruah. Bersyukur bahawa bumi Malaysia masih lagi aman dan terhindar dari musibah bencana alam yang teruk. Malah bersyukur kerana masih bernafas menghirup udara Allah yang tidak perlu dibayar. Rasa kesyukuran inilah yang harus kita panjatkan dengan cara mengikhlaskan diri mencintai Allah dan Rasul serta menjalani kehidupan kita dengan cara yang berlandaskan agama dan syariat. Maksudnya di sini, jika kita masih lagi menjalani kehidupan yang jauh dan lalai daripada mengingati Allah bermakna kita sebenarnya tidak mensyukuri dengan apa yang telah Allah limpahkan kepada kita. Masa kan Maha Pemurahnya Allah dan Pengasihnya Allah tidak kita balas dengan apa yang sepatutnya! Ibaratnya jika manusia berbuat baik dan melayan kita dengan baik sudah tentu kita terasa malu untuk membalasnya dengan kejahatan. Apatah lagi Allah yang sentiasa melimpahkan sifat 'rahman' dan 'rahim' nya kepada kita :)

LinkWithin