Followers

Tuesday, May 22, 2012

Filem Berunsurkan Keagamaan (Islam) Vs. Filem Islam



Banyak pihak yang skeptikal dengan kewujudan filem yang berunsurkan keagamaan (Islam) apatah lagi filem Islam dalam industri filem tempatan. Apatah lagi jika membincangkan tentang mesej dakwah yang terdapat dalam filem-filem yang bergenre sedemikian. Isu ini telah banyak diungkapkan dan perbincangannya masih berlegar dalam ruang dan skop masa depan tentang penghasilan filem-filem sedemikian terutamanya di Malaysia. Kekurangan dari segi penghasilannya mahupun dari segi sambutan berbanding filem dalam genre-genre seperti komedi cinta, komedi seram dan juga komedi aksi membuatkan para karyawan filem tempatan berfikir seribu kali untuk melaburkan usaha dan wang untuk filem-filem keagamaan ini. Di samping itu, kurangnya kefahaman pembikin filem secara menyeluruh tentang interpretasi filem yang mengangkat elemen keagamaan (Islam) ini turut menyebabkan para khalayak filem berasa tawar hati untuk menyokong filem-filem ini seperti yang berlaku kepada filem 7 Petala Cinta (2012).

Berdasarkan hasil kajian tesis saya (belum diterbitkan lagi) wujud tahap minat yang tinggi dalam kalangan khalayak filem Malaysia terhadap filem yang berbentuk keagamaan (Islam)iaitu hampir 86%. Malah kajian menunjukkan dapatan yang signifikan di antara tahap minat dengan penontonan filem keagamaan (Islam). Namun, di mana silapnya apabila filem bergenre ini sering dianggap sebagai 'underdog' dan diketepikan oleh penggiat filem tempatan. Malah kewujudannya hanya dipandang sepi di bumi sendiri berbanding filem-filem bergenre sama dari Indonesia dan Iran. Apatah lagi filem-filem yang dihasilkan tidak memenuhi intipati syariat Islam yang sebenar.

Faktor-faktor ini menyumbang kepada persoalan kenapa Malaysia gagal menghasilkan filem keagamaan (Islam) yang baik berbanding dengan filem dari Indonesia dan juga Iran. Justeru, walaupun kajian membuktikan ramai khalayak filem Malaysia berminat dengan filem yang berbentuk keagamaan (Islam) ini tetapi apabila produk yang ditawarkan tidak begitu menepati citarasa mereka, sudah tentu sambutannya tidak begitu menggalakkan.

Malah sebagai pembikin filem tempatan, mereka seharusnya lebih memahami konsep filem yang berunsurkan keagamaan (Islam) dan filem Islam dengan lebih baik agar penginterpretasiannya lebih jelas dan menepati konsep Islam (akhlak, akidah, ibadah & syariat Islam) yang sebenar.

Naim Ahmad (2011) dalam buku 'Filem Islam: satu pembicaraan' telah membincangkan secara panjang lebar tentang filem yang berunsurkan Islam dan juga filem Islam. Menurut Naim (2011), filem berunsur Islam merujuk kepada filem yang antara paparannya mengandungi beberapa unsur yang selaras dengan tuntutan Islam. Namun, tidak keseluruhan filem tersebut ‘Islamik’. Mungkin daripada aspek naratif, dramatik, sinematografi, semiotik, aplikasi, teknikal dan kontekstualnya. Manakala, filem Islam menurut Naim (2011) pula membawa mesej penyerahan diri, tunduk, patuh dan bertauhid kepada Allah yang Maha Pencipta. Menurut Naim (2011):
“Hasil garapan inti-inti pembicaraan tentang seni dalam Islam, maka filem Islam diungkapkan sebagai sebuah hasil seni, berbentuk ‘produk halal’, pra dan pasca penerbitan dengan pengisian dan garapan bersandarkan kod etika dan nilai Islam sehinggalah kepada proses edaran, tayangan dan tontonan khalayak. Tujuannya menyebar dakwah, menerap nilai murni dan menegakkan amar makruf nahi mungkar”.


Sayang sekali....Malaysia sebagai negara Islam yang pernah menganjurkan Minggu Filem Islam sebenarnya berdepan dengan masalah produk filem sebegini untuk dipertontonkan kepada pengunjung-pengunjung yang meminati filem Islam. Yang pasti anjuran tahun 2009 itu masih lagi mengharapkan filem Syukur 21 (2000) sebagai mewakili Malaysia yang kita sendiri tahu gagal dari segi kutipan box-officenya. Ini berbeza dengan filem Laskar Pelangi sebagai contohnya yang mencapai kutipan box-office yang baik. Begitu juga dengan filem Ayat-ayat Cinta dan juga Ketika Cinta Bertasbih.

Hakikatnya kita masih jauh mencapai produk filem Islam. Malahan, filem keagamaan (Islam) pun kurang kuantitinya. Justeru, masa depan filem-filem sebegini di Malaysia macam mana?.........


Thursday, May 10, 2012

Interpretasi yang gagal dalam 7 Petala Cinta




Lama sudah sebenarnya menonton filem 7 Petala Cinta ini, cuma tak sempat berkongsi ulasannya dek kerana kesibukan masa. Idea yang sering bermain di kepala ini perlu dicurahkan, hanya sekadar berkongsi rasa tentang filem yang didakwa oleh sesetengah pihak sebagai naskhah filem keagamaan. Justeru, sebagai memenuhi tanggungjawab sosial, biar pun agak lambat (harap-harap tidak basi) saya gagahkan juga menulis entri kali ini berkenaan dengan filem 7 Petala Cinta yang telah saya pendam sekian lama. Bukan apa, jika persoalan tentang kenapa filem ini yang menjadi taruhan ulasan saya ialah kerana bila mana ada pihak yang mendakwa filem ini mengambarkannya sebagai filem keagamaan, saya rasa perlu kita beri perhatian dan tampil bersuara untuk menjelaskan sejauhmana kebenarannya dan sejauhmana kita boleh menerima 7 Petala Cinta sebagai filem agama?

Sayang sangat tentang 7 Petala Cinta. Idea dan usaha telah ada yang dipikul oleh Azhari Zain selaku sutradaranya. Tetapi hakikatnya menterjemahkan nilai keagamaan yang dapat kita lihat dalam 7 Petala Cinta ternyata gagal memberi kesan kepada saya sebagai khalayak penonton. Sebenarnya 7 Petala Cinta tidak lebih daripada filem cinta yang menyamar dalam nafas keagamaan. Konflik cinta tiga segi di antara Attar, Saidatul Nafisah dan juga Hamka hanyalah konflik cinta biasa yang sangat klise. Memang tidak dapat dinafikan karya 7 Petala cinta adalah filem berat yang tidak ramai yang gemar berbanding dengan filem-filem bergenre lain. Dan saya pasti rujukan Azhari adalah melalui naskah Ayat-ayat Cinta, Syahadat Cinta dan juga Dalam Mihrab Cinta.


Salah tafsiran tentang syariat Islam, akidah dan juga akhlak Islam sebenarnya memberi kesan interpretasi yang gagal disiapkan dalam 7 Petala Cinta. Berlatarkan pondok agama, pemakaian tudung dan purdah serta skrip ayat-ayat al-Quran bukan ukurannya dalam menjelaskan sesebuah filem itu bergenre Islami, jika tidak diseimbangi dengan isi kandungan filem dan jalan cerita plot naratif yang selari dengan nilai syariat yang sebenar. Tutur kata serta watak perwatakan ternyata seolah-olah plastik dan hidup dalam khayalan. Bicara dialog tidak asli, pelik dan sangat membosankan, susunan plot agak bercelaru malah dua sahabat baik Attar membawa watak yang sangat annoying!
Seolah-olah 7 Petala Cinta mengajar para remaja Muslim cara bercinta di dalam Islam. "Assalamualaikum cinta!" "Waalaikumussalam rindu!" Sangat jauh dari Islam sebenarnya!


Mengangkat sesuatu karya untuk dilabelkan sebagai filem keagamaan bukan hanya sekadar trend malah sebagai tanggungjawab para karyawan Muslim. Oleh itu, kajian dan penyelidikan perlu dijalankan terlebih dahulu sebelum memahami dan membawa naskhah keagamaan itu ke layar perak. Gagal dalam memahami cara hidup Islam yang sebenar membawa 7 Petala Cinta kepada kepincangan. Kesimpulannya, filem 7 Petala Cinta boleh diletakkan dalam filem yang berunsurkan keagamaan tetapi masih sangat jauh untuk melabelkannya sebagai filem Islami apatah lagi filem dakwah. Masih wujud kemungkaran (babak Nida mengoda Attar) dan kebaikan yang mencacatkan elemen agama dalam filem ini kerana pengarahnya masih tidak memahami bahawa mengangkat naskhah keagamaan yang sebenar ialah dengan menyampaikan dakwah amar makruf dan nahi mungkar secara integrated (bersepadu).

Walaubagaimanapun, saya tetap puji usaha para pemegang watak dan Azhari Zain sendiri kerana berani tampil dengan karya sebegini di saat masyarakat Malaysia dihidangkan dengan cerita-cerita komedi seram dan komedi aksi.


Friday, May 4, 2012

Penelitian Pendekatan Metateori Bidang Komunikasi: Dari Perspektif Dakwah...samb. III



Sambungan akhir artikel mengenai metateori bidang komunikasi....khusus dalam membincangkan metateori bidang komunikasi dakwah...

Membangunkan Pendekatan Metateori bidang komunikasi Dakwah

Definisi dan pendekatan metateori komunikasi yang telah dikemukakan lebih memfokuskan perbincangan komunikasi dalam pendidikan sekular Barat. Oleh itu, pengajaran komunikasi hari ini terlepas pandang dalam memahami prinsip dan kaedah pendekatan metateori dari sudut komunikasi dakwah. Bidang komunikasi dakwah merupakan satu bidang baharu yang muncul di dalam penelitian akademik. Menurut Zulkiple (2001) kesedaran membentuk bidang komunikasi menurut perspektif Islam dan dakwah ini menyumbang kepada perkembangan falsafah, pendekatan dan perlaksanaan ilmu komunikasi yang dipindahkan dari Barat. Dari perspektif agama, Islam dilihat sebagai agama yang bersifat mission yang menggesa penganutnya supaya berterusan menyebarkan mesej sama ada kepada rakan-rakan Muslim ataupun kepada bukan Muslim. Setiap individu Muslim dianggap komunikator agama atau da’i (pendakwah) di mana diwajibkan menyampaikan mesej mengikut kadar keupayaan masing-masing.

Siddiqui (1991) berhujah bahawa dalam mengkaji dan membincangkan mengenai ontologi dan epistimologi bidang komunikasi perlu mengaitkannya dari perspektif Islam. Ontologi yang dibincangkan oleh Barat berkaitan dengan persoalan mengenai apa iaitu persoalan tentang realiti yang wujud di sekeliling kita ataupun hakikat kewujudan kita. Manakala epistimologi merupakan cabang falsafah mengenai bagaimana kita menyelidik dan memperolehi ilmu pengetahuan (Miller 2005; Siddiqui 1991). Namun, perbincangan ontologi dan epistimologi dari perspektif Islam melangkaui jauh daripada apa yang telah dihujahkan oleh teori komunikasi Barat, bukan hanya setakat membincangkan mengenai realiti yang berlaku dalam kehidupan manusia sama ada perspektif realiti tersebut dilihat secara realis, nominalis mahupun konstruktionis sosial seperti apa yang dijelaskan oleh Barat.

Malah menurut Siddiqui (1991) realiti iaitu mesej (message) dalam proses komunikasi tidak hanya bergantung kepada pengalaman lepas sahaja yang mana mempengaruhi niat dan sikap kedua-dua pihak sama ada penyampai (sender) atau penerima (receiver) seperti yang dijelaskan dalam teori komunikasi Barat. Malah dari perspektif Islam, niat, sikap dan juga tingkah laku sama ada fizikal mahupun verbal turut berkait dan bergantung dengan kepercayaan (belief) dan nilai (values) seseorang. Siddiqui (1991) turut berhujah bahawa dalam perbincangan kompleksiti model komunikasi walaupun hakikat realisme (realism) mempengaruhi kehidupan manusia dan memberi kesan dalam proses komunikasi mereka tetapi manusia juga bebas untuk memilih apa yang akan dilakukannya. Walaubagaimanapun, tindakan seseorang muslim itu haruslah selari dengan apa yang diperintahkan Allah SWT dalam mempertimbangkan apa yang baik dan buruknya. Justeru, mereka perlu bertanggungjawab di atas segala apa yang mereka lakukan. Tindakan seseorang muslim juga berkait rapat dengan iman dan niat (Siddiqui 1991). Beriman kepada Allah bermakna mengakui kewujudan Allah sebagai Pencipta yang Maha Berkuasa sebagaimana Firman Allah dalam surah Thaha ayat 14 yang bermaksud: “Sesungguhnya Aku ini Allah, tidak ada Tuhan (yang hak) selain Aku, maka sembahlah Aku dan dirikanlah shalat untuk mengingat Aku."

Begitu juga dengan epistimologi seperti yang dibahaskan oleh Siddiqui (1991) bahawa ilmu pengetahuan dalam Islam tidak hanya bergantung dengan apa yang diterima logik oleh akal sahaja melalui kajian saintifik, pemerhatian, persepsi, intuisi dan juga pengalaman sahaja. Islam turut mendekatkan diri manusia dengan ilmu-ilmu di luar kemampuan akal fikiran dan logik manusia yang diwahyukan kepada Rasulullah melalui dalil-dalil daripada kitab Al-Quran. Melalui sumber al-Quran, ilmu pengetahuan mengenai alam ghaib seperti hari akhirat, kematian, siksa kubur, syurga, neraka serta padang mahsyar dan sebagainya diperjelaskan kepada manusia (Siddiqui 1991). Aminuddin et al. (2009) pula menekankan tentang mesej yang perlu dibawa oleh media dan komunikasi iaitu nilai yang baik yang tercakup di dalamnya unsur-unsur al-bir (kebaikan) dan al-taqwa.

Sarjana Muslim perlu meneroka dan menggali khazanah falsafah dan pemikiran Islam berkaitan komunikasi dan media khususnya melalui sumber al-Quran dan al-Sunnah supaya bidang tersebut berkembang dalam acuan kita sendiri. Unsur-unsur komunikasi dan media yang merosakkan masa depan masyarakat perlu dikenal pasti dan dinyahkan manakala unsur-unsur kebaikan hendaklah terus diperkasakan. Komunikasi dan amalan media Islam perlu tunduk kepada kekuasaan Allah sebagai kuasa mutlak yang menentukan hala tuju kehidupan manusia (Zulkiple 2003). Justeru, komunikasi dakwah seharusnya lebih luas skop metateorinya berbanding dengan komunikasi Barat serta mencakupi hubungan komunikasi kehidupan manusia secara lebih menyeluruh seperti apa yang telah dihujahkan oleh Ghazali (2008). Ghazali (2008) menjelaskan bahawa komunikasi Islam melibatkan hablul minal Allah, hablul minal Nas, al-muhasabah (berhubung dengan diri sendiri) serta komunikasi dengan alam. Zulkiple (2001) turut menghuraikan prinsip dan kaedah komunikasi Islam yang meliputi aspek berkomunikasi secara menegak atau vertikal iaitu dengan Allah, dan berkomunikasi secara horizontal iaitu sesama manusia. Jelasnya, terdapat dua bentuk hubungan komunikasi dalam ajaran Islam iaitu habl min Allah (hubungan dengan Allah) dan habl min al-nas (hubungan sesama manusia).

Justeru, para sarjana dan intelektual Muslim khususnya perlu menilai kembali pendekatan pengajaran komunikasi dari aspek metateori seperti apa yang dikemukakan oleh Siddiqui (1991). Fuziah Kartini (1989) (Dlm. Zulkiple 2003) turut berhujah:
It is no wonder that communication, as a study, has always been western tradition. Such was communication when it was introduced as a subject in the academic institutions of the east some twenty years ago, and such is communication pursued now by most eastern scholars – with a totally western perspective, oblivious of some contradictions to their indigenous values.

Zulkiple (2003) menyokong hujah tersebut dengan menjelaskan apa yang berlaku di seluruh negara Islam termasuk Malaysia yang berorientasikan pengajaran komunikasi di institusi pengajian tinggi yang terikat dengan pendekatan sekular Barat. Justeru, pengajaran komunikasi yang wujud dekad ini hanya mementingkan penemuan yang bersifat rasional dan empirikal yang menafikan ketauhidan Allah sebagai yang Maha Pencipta. Isu-isu di luar keupayaan mental manusia seperti kehidupan selepas mati dan perkara berkenaan sam’iyyat tidak mendapat tempat, apatah lagi dihargai. Malah, soal ilmu pengetahuan perlu dibincangkan sejujurnya dalam konteks Islam yang diturunkan oleh Allah SWT yang Maha Mengetahui.

Kesimpulan

Kesimpulannya, falsafah komunikasi Barat perlu disuntik dengan pembaharuan bersandarkan perbezaan dimensi budaya, moral dan agama setempat. Perkembangan bidang komunikasi melalui pendekatan metateori melahirkan pengukuhan kajian penyelidikan terutamanya dari aspek dasar teori komunikasi. Teori-teori komunikasi telah dibina dari lingkungan konteks dan dipengaruhi oleh pelbagai tanggapan penyelidik. Justeru, perkembangan ilmu asas metateori membantu sebagai petunjuk dalam proses perkembangan teori dengan perbincangan aspek-aspek ontologi (kewujudan realiti), epistimologi (kewujudan ilmu pengetahuan) dan aksiologi (peranan nilai).

Oleh itu, para sarjana dan intelektual Muslim khususnya perlu menilai kembali pendekatan pengajaran komunikasi dari aspek metateori agar penyampaian bidang komunikasi dakwah lebih secara menyeluruh bersumberkan al-Quran dan al-Hadith. Usaha membangunkan pegangan asas metateori yang dilihat dari perspektif Islam ini penting agar bidang komunikasi dakwah yang diterokai tidak berkembang dengan hanya bersandarkan logik dan rasional akal semata-mata malah seharusnya tunduk dan mengakui asas pendekatan hubungan hablul minal Allah dan hablul minal Nas secara intergrated.

Sebagai contohnya dari aspek ontologi, perspektif dakwah seharusnya menjelaskan dimensi dakwah seperti konsep, tujuan, matlamat, metode, wasilah serta perkaitannya dengan sasaran dakwah dalam menyampaikan dakwah. Para pendakwah seharusnya memahami dan menguasai aspek ontologi komunikasi dakwah bagi mengukuhkan fungsi dan peranannya. Manakala epistimologi komunikasi dakwah harus didasarkan sumber wahyu al-Quran dan al-Hadith. Ini yang membezakan di antara komunikasi sekular Barat dengan komunikasi dakwah. Bidang komunikasi sekular Barat hanya menerima kefahaman dan penjelasan mengikut rasional akal semata-mata melalui elemen dan prinsip komunikasi manakala ilmu dalam bidang komunikasi dakwah melangkaui jauh sehingga turut mengetengahkan isu-isu sam’iyyat dan alam ghaib yang bersumber al-Quran dan al-Hadith.

Perkembangan epistimologi bidang komunikasi dakwah juga meneroka contoh teladan terbaik melalui model yang dibawa oleh Rasulullah SAW sama ada melalui cara berbicara, nasihat yang baik, pendekatan berhikmah malah kemampuan baginda SAW berkomunikasi. Kajian Dakroury (2001) membuktikan bahawa kejayaan Nabi Muhammad SAW mengubah bangsa Arab kepada kekuatan iman terhadap Allah SWT merupakan pendekatan komunikasi yang telah digunakan oleh baginda SAW dan para pengikut awal baginda. Al-Quran banyak menjelaskan mengenai metode berdakwah yang dapat dijadikan oleh para pendakwah seperti Firman Allah S.W.T dalam surah al-Nahl, ayat 125 jelas menjadi rujukan para pendakwah hari ini sebagai teori asas pendekatan dakwah Islamiah dalam menyampaikan dakwah dengan cara yang paling baik. Maksudnya: ”Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalannya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk” (14: 125)

Manakala aksiologi komunikasi dakwah seharusnya membawa konsep amar makrif nahi mungkar sebagaimana Firman Allah dalam surah al ‘imran ayat 104 yang bermaksud: “Dan hendaklah ada satu golongan di kalangan kamu yang menyeru kepada kebaikan, menyuruh berbuat makruf (kebaikan) dan melarang perbuatan mungkar (kejahatan). Mereka itulah orang yang mendapat kejayaan (kemenangan)”.

Nilai yang dibawa menerusi komunikasi dakwah perlu diselarikan dengan nilai yang baik berasaskan keimanan kepada Allah SWT. Para pendakwah sebagai religious communicator juga bertanggungjawab menjalankan amanah menyebarkan dakwah dengan prinsip-prinsip komunikasi dakwah yang baik untuk menjinakksan dan melembutkan hati sasaran dakwah. Justeru, mencari keredhaan Allah dengan jujur dan ikhlas serta memenuhi prinsip dan matlamat komunikasi dakwah secara efektif menjadi elemen penting yang membawa masyarakat serta sasaran dakwah kepada perubahan tingkah laku dan juga pengukuhan manifestasi iman. Firman Allah SWT yang bermaksudnya: “Sesungguhnya dengan rahmat daripada Allah, engkau (Muhammad saw) bersikap lemah-lembut kepada mereka (orang beriman yang telah melakukan kesalahan itu), kerana sekiranya engkau bersikap kasar lagi keras hati tentu sekali mereka menjauhkan diri daripada sekeliling engkau... (al-‘imran: 159)





Thursday, April 26, 2012

Penelitian Pendekatan Metateori Bidang Komunikasi: Dari Perspektif Dakwah...samb. II



Agak lama tidak menulis...agak sibuk kebelakangan ini, berusaha untuk menyiapkan tesis di saat-saat yang terakhir. Nasib baik teringat yang artikel tentang metateori bidang komunikasi belum dihabiskan perkongsiannnya. Ini sambungan bahagian II...

Pendekatan Metateori Bidang Komunikasi

Metateori ialah teori mempelajari ilmu tentang teori (Miller 2005; Littlejohn dan Foss 2008). Saodah et al. (2003) menjelaskan peranan metateori yang membantu para sarjana komunikasi membuat klasifikasi tentang teori komunikasi. Metateori adalah seumpama peta topografi yang diperlukan untuk membuat klasifikasi, perbandingan dan penilaian teori-teori komunikasi. Pelbagai keterangan teoretikal tentang komunikasi dapat disusun dengan adanya metateori. Terdapat tiga asas ilmu metateori yang menjadi tunjang di dalam setiap proses komunikasi yang berlaku; ontologi, epistimologi dan aksiologi. Brugger (2003) membincangkan peranan dan kedudukan metateori (Rajah 3) sebagai faktor yang menyumbang kepada perkembangan kajian penyelidikan secara saintifik khususnya dalam bidang media dan komunikasi. Oleh itu, pemahaman mengenai ilmu metateori dapat menentukan jenis penyelidikan yang ingin dilakukan dengan berpandukan teori metode dan teori pemahaman yang betul. Ini kerana meteteori turut menjelaskan mengenai falsafah di sebalik setiap penyelidikan yang dipilih.


Rajah 3. Kedudukan Metateori dalam Kajian Penyelidikan Saintifik


Kajian ontologi melibatkan pemahaman mengenai kewujudan realiti di sekeliling kita. Ontologi menekankan fenomena realiti dengan persoalan mengenai ‘apa’. (Miller 2005; Amira Sariyati 2005; Guarino et al. 2009; Littlejohn dan Foss 2008). Para sarjana teori melabelkan tiga bentuk pandangan yang berbeza mengenai realiti. Mereka melihat sesuatu fenomena realiti itu sama ada melalui lensa realis, nominalis ataupun konstruktionis sosial. Bagi sarjana sosial realis, mereka melihat dunia secara objektif. Mereka berpandangan bahawa secara realitinya, memang wujud dunia lain di luar pengalaman dan pemikiran kita. Nominalis pula melihat dunia secara subjektif dan mendakwa semua benda di luar daripada pemikiran kita hanyalah wujud pada nama dan label semata-mata, tidak lebih daripada itu. Konstruktionis sosial berpendapat bahawa realiti ialah sesuatu yang dicipta oleh manusia dari interaksi yang mereka bina terdahulu dan juga semasa. Justeru, konstruktionis sosial berdiri antara realiti objektif dan realiti subjektif (Miller 2005; Amira Sariyati 2005).


Dalam konteks displin ilmu komunikasi, perbincangan ontologi dikaitkan tentang persoalan mengenai apakah yang dimaksudkan dengan komunikasi. Terdapat pelbagai pendapat yang dikemukakan oleh para sarjana komunikasi dalam mendefinisikan komunikasi. Secara umumnya komunikasi merupakan proses penyampaian maklumat daripada pengirim kepada penerima. Galvin dan Wilkinson (2006) menjelaskan komunikasi sebagai proses bagi menyampaikan mesej dengan tujuan untuk membina hubungan. Manakala Littlejohn dan Foss (2008) mengaitkan komunikasi sebagai proses yang membentuk interaksi sosial dengan menggunakan simbol dan elemen mesej melalui perkongsian maklumat. Buck dan VanLear (2002) pula berpendapat bahawa proses komunikasi memerlukan sumber bagi menyampaikan mesej kepada penerima untuk mempengaruhi tingkah laku penerima. Justeru, konsep komunikasi mempunyai pelbagai definisi dan makna bergantung kepada tujuan dan perspektif yang berbeza. Walaubagaimanapun, prosesnya yang fleksibel masih menekankan elemen-elemen yang sama dalam mewujudkan sesuatu fenomena.

Manakala, epistimologi berkaitan tentang bagaimana sarjana teori menyelidik sesuatu fenomena. Ia merupakan falsafah mengenai cara menyelidik dan mendapatkan ilmu pengetahuan. Bidang epistimologi ini menekankan cara pemerolehan ilmu secara objektif melalui proses penyelidikan saintifik di dalam menjelaskan tentang hubungan sebab-akibat sesuatu fenomena. Pemerolehan ilmu secara subjektif turut menjadi asas epistimologi tentang sejauhmana wujudnya proses penghasilan ilmu pengetahuan tersebut (Miller 2005; Amira Sariyati 2005; Browaeys 2004; Littlejohn dan Foss 2008). Para sarjana teori yang berorientasikan penyelidikan secara objektif yakin bahawa hanya bukti dan hasil yang dikutip melalui kajian empirikal dengan cara yang objektif dapat menjelaskan fenomena yang dikaji secara tepat dan benar. Walaubagaimanapun, bagi sarjana yang berorientasikan subjektif, mereka berpendapat bahawa kefahaman mengenai dunia sosial adalah bersifat relatif yang tidak akan diperolehi hanya dengan menumpukan kepada objektif semata-mata. Mereka berusaha mengkaji sesuatu fenomena dengan membina hubungan secara langsung dengan subjek kajian seperti yang sering didapati melalui kajian interpretif melalui temu bual atau etnografi (Miller 2005; Amira Sariyati 2005).

Epistimologi dalam displin komunikasi melihat kepada bagaimana untuk menghasilkan proses komunikasi yang efektif melalui elemen-elemen yang wujud dalam sesebuah proses komunikasi. Sebagai contohnya model komunikasi yang diperkenalkan oleh Laswell (1948) (Rajah 4) jelas mengaitkan kesan sebagai salah satu elemen dalam proses komunikasi. Ini bermakna kesan menjadi elemen utama dalam menentukan sejauhmana proses komunikasi yang berlaku memberi kesan yang efektif kepada penerima (receiver) selain daripada elemen-elemen komunikasi yang lain. Model komunikasi yang diperkenalkan oleh Harold Laswell (1948) menekankan aspek kesan dan impak kepada masyarakat daripada penggunaan media massa berbanding dengan model komunikasi yang lain (Littlejohn dan Foss 2008; Griffin 2009; Flensburg 2009).



Rajah 4: Model Komunikasi Laswell (1948): Who (sender) says what (message) in which (medium) channel to whom (receiver) with what (feedback) effect?


Aksiologi pula membincangkan mengenai persoalan nilai yang menjadi panduan para sarjana teori dalam membina dan mengembangkan teori (Miller 2005; Amira Sariyati 2005; Littlejohn dan Foss 2008). Terdapat pandangan sarjana teori yang menolak nilai dalam sesuatu penyelidikan yang dijalankan. Namun, terdapat juga mereka yang berpendapat bahawa seseorang penyelidik itu tidak mungkin dapat menolak nilai dari konteks penyelidikan. Hubungan di antara nilai dan teori menunjukkan bahawa mustahil untuk menolak nilai malah nilai peranan membawa penyelidik pada tahap kesarjanaan mereka. Namun, faktor-faktor seperti bias sentiasa menjadi faktor yang menjejaskan teori yang dibina (Miller 2005). Justeru, kewujudan nilai dalam proses komunikasi dibina melalui hubungan di antara penyampai dan penerima serta perubahan yang berlaku melalui proses komunikasi tersebut. Ini dijelaskan oleh Buck dan VanLear (2002) dan Flensburg (2009) yang mana proses komunikasi memberi kesan dan pengaruh terhadap tingkah laku, sosial dan juga emosi seseorang individu sama ada secara langsung ataupun tidak langsung.


InsyaAllah sambungan artikel ini bahagian III (akhir) akan menyusul.... tentang membangunkan pendekatan metateori bidang komunikasi dakwah

Tuesday, April 10, 2012

Diskusi Segar bersama Dr. Fazilah, UPM tentang filem dan drama tempatan


Alhamdulillah, ada juga ruang dan masa untuk mencoret sesuatu pada bulan April yang cukup sibuk :)

Kesempatan menjengok dan berborak dengan Dr Fazilah semalam amat dihargai. Satu diskusi yang cukup segar tentang filem dan drama Melayu. Sememangnya Dr Fazilah adalah antara ahli akademik yang hebat dalam bidang teater dan drama Melayu. Antara perbincangan semalam yang mungkin boleh dikongsi bersama ialah mengenai hala tuju filem tempatan, kepentingan kritikan tentang filem dan juga tanggungjawab para pembikin filem dalam memaparkan sesuatu yang tinggi nilai agama dan moralnya kepada audien dan masyarakat. Isu dakwah dan filem juga turut disentuh. Begitu juga dengan drama-drama tempatan hari ini yang semakin hilang identiti; penuh dengan babak zina, kurang nilai moral dan sosial serta content yang tak cukup research.

Wah, macam berat je antara isi-isi diskusi tersebut. Tetapi sebenarnya ia berlangsung dengan sangat santai dan menarik. Macam tak puas berborak dengan Dr Fazilah. Terima kasih ya Dr. InsyaAllah ada peluang kita berdiskusi lagi.

Besarnya amanat yang perlu digalas. Tanggungjawab yang perlu ditunaikan. Dan cabaran yang perlu dihadapi dalam usaha untuk terus mengangkat dan memahamkan orang-orang yang melibatkan diri dalam pembikinan filem khususnya untuk mereka berkarya dan pada masa yang sama memahami tanggungjawab sosial mereka. Ini kerana kadang-kadang ketidakfahaman tentang sesuatu isu khususnya soal agama akan menimbulkan kekeliruan kepada public dan audien yang menonton seperti filem 7 petala cinta yang ditayangkan sekarang. InsyaAllah jika ada kesempatan, saya akan mengulas tentang filem ini :)

Para pembikin filem dan mereka yang sekelompok dengannya juga janganlah cepat melatah dan perlu berlapang dada sekiranya terdapat teguran, kritikan dan juga perbincangan tentang filem-filem yang mereka hasilkan. Dengan harapan setiap kritikan filem khususnya dapat mencari titik positif dan membawa mereka kepada penghasilan filem yang lebih baik. Kerana ini yang sering dibincangkan dari kaca mata seorang penonton, bloggers yang mengkritik dan review filem mahupun ahli akademik yang turut berperanan dari perspektif mereka sendiri. Apa yang berlaku mengenai polemik tentang filem Bunohan membuktikan kita masih belum bersikap terbuka dan berlapang dada....

Mari kita sama-sama mendoakan yang terbaik :)

LinkWithin