Followers

Wednesday, July 10, 2013

Karya Zabidi Mohamed - Kucing dari Langit

Sempena 1 Ramadhan ini, rakyat Malaysia berkesempatan menonton Kucing dari Langit, karya Zabidi Mohamed. Sangat menarik dan memberi makna di sebalik video yang berdurasi 3 minit 36 saat ini. Tahniah kepada Zabidi Mohamed di atas karya sulungnya sebagai pengarah dan sekaligus penulis skrip. Ternyata kami amat berbangga di atas usaha beliau menyokong usaha mengetengahkan nilai Islam di dalam setiap karya beliau. 3 minit Islamic short film ini memberi pengertian yang mendalam. Ternyata bagi mereka yang lembut hati amat tersentuh dengan apa yang diangkat dalam Kucing dari Langit ini. Mesej dakwahnya sangat kuat. Semoga Malaysia dapat memanfaatkan kepakaran dan usaha dakwah Zabidi Mohamed melalui karya skrip patuh syariah dan skrip dakwahnya sebagaimana Indonesia mengiktiraf Habiburahman el-shirazy di atas karya filem dakwah seperti Ketika Cinta Bertasbih dan Dalam Mihrab Cinta. Saya pun akan terus menunggu bila pula Zabidi Mohamed nak cuba mengarah drama dan filem :)


Wednesday, June 19, 2013

Kertas Kerja SAFI 2013-MEMBANGUNKAN FALSAFAH MEDIA DAN KOMUNIKASI ISLAM DI MALAYSIA

Sekadar berkongsi.....

MEMBANGUNKAN FALSAFAH  MEDIA DAN KOMUNIKASI ISLAM DI MALAYSIA

Rosmawati Mohamad Rasit
Jabatan Pengajian Dakwah & Kepimpinan, FPI UKM


Abstrak
Bidang media dan komunikasi sering merujuk kepada falsafah dan konsep Barat khususnya mengenai teori-meta, teori dan model serta hala tuju perbincangan isi kandungan kursus. Walaubagaimanapun, terdapat sarjana media dan komunikasi Islam yang berpendapat bahawa bidang ini perlu dilihat dari perspektif agama Islam dalam membincangkan falsafah media dan komunikasi agar tidak mengabaikan nilai sosial, dimensi budaya dan konteks agama itu sendiri. Justeru, kertas kerja ini merupakan kajian awal penerokaan sorotoan literatur dalam mengenal pasti sejauhmana peluang dan ruang dalam membangunkan falsafah media dan komunikasi Islam sebagai alternatif pembangunan perspektif media komunikasi selain daripada Barat di Malaysia. Hasil daripada penerokaan awal berupa sorotan literatur, kajian ini mendapati wujudnya peluang dan ruang bidang media dan komunikasi ini untuk dilihat dari aspek falsafah paradigma ilmu Islam.

Kata kunci: Media, Komunikasi Islam, teori media, teori komunikasi, paradigma ilmu Islam


Monday, May 20, 2013

Simposium Antarabangsa Falsafah Islam





PAda 21-22 Mei 2013, akan berlangsung Simposium Antarabangsa Falsafah Islam. InsyaAllah saya turut membentangkan satu kertas kerja yang bertajuk 'Membangunkan falsafah komunikasi dan media Islam'. Harap-harap kertas kerja ini turut memberi manfaat dan sumbangan kepada usaha menyebarkan ilmu komunikasi dan media Islam. InsyaAllah kalau ada kelapangan masa saya akan berkongsi intipati kertas kerja tersebut nanti....

Thursday, May 2, 2013

Isu Kebebasan Bersuara dan Fitnah dalam Islam....





Hari ni dalam kelas Etika Komunikasi Islam, antara tajuk yang dibincangkan ialah mengenai kebebasan bersuara dan bagaimana Islam melihat unsur fitnah yang sering dibawa apabila manusia tidak menghormati hak-hak asasi manusia. Satu tajuk yang sangat menarik diperbincangkan. Perbincangan ini merujuk kepada artikel tentang Kebebasan Bersuara dan Fitnah dari Perspektif Islam, tulisan Abdul Basir Mohamad dari buku Komunikasi Di Malaysia. Tambah-tambah lagi dengan isu hangat pilihanraya yang kita berdepan setiap 5 tahun sekali. Apa yang saya lihat dan perhatikan, setiap 5 tahun rakyat Malaysia seolah-olah hilang diri dan maruah khususnya dalam berkempen politik. Setiap parti sibuk berkempen dan menegakkan kebenaran masing-masing. Sebenarnya tidak kisah dan tidak menjadi masalah pun...tapi jangan sampai menabur fitnah dan mengeksploitasi isu demi kepentingan dan hawa nafsu sendiri.



Di antara intipati perbincangan dalam kelas ini ialah berkenaan dengan hak kebebasan bersuara. Kita sememangnya diberikan hak untuk menyampaikan kebenaran dan menegah kemungkaran. Namun, hak ini perlu digunakan demi mencari sebuah kebenaran bukan untuk mewujudkan kacau bilau. Setiap muslim ada pandangan masing-masing dan perlu berlapang dada menerima teguran dan hujah walaupun daripada pihak lawan.

Begitu juga tentang hak terhadap nama baik. Islam pada hakikatnya sangat menjaga hak kehormatan seseorang. Islam sangat melarang umatnya melakukan sesuatu perkara yang boleh menjatuhkan maruah dan air muka orang lain.

Oleh itu, Islam membenarkan kebebasan bersuara tetapi bukan bersifat mutlak. Kebebasan yang dianjurkan perlulah seiring dengan niat yang baik, dan tidak bertujuan menunjuk-nunjuk dan mengeji serta menjaga prinsip, adab dan akhlak serta akidah Islam. Jangan sampai mencaci nama baik, memaki, menuduh orang lain serta menyinggung perasaan di atas alasan kebebasan bersuara.

Islam mencegah setiap tindakan yang boleh menjejaskan harga diri dan maruah seseorang. Seseorang yang membuat fitnah sebenarnya hukumnya haram. Fitnah ni perlu kita jauhi kerana akan timbul perpecahan dalam kalangan masyarakat nanti. Apa yang penting sekarang ni sebelum menunggu 5 Mei 2013 untuk mengundi, jauhi la perkara-perkara fitnah, mengada-adakan pembohongan dan paling penting berfikir dan buat keputusan secara rasional demi kepentingan perjuangan Islam. Mohonlah hidayah dan petunjuk dari Allah, moga-moga Allah bantu kita untuk membuat pilihan terbaik untuk Islam. Ameen....

LinkWithin