Seharusnya manusia menjaga dua hubungan yang amat penting iaitu; hubungan dengan Tuhan dan hubungan sesama manusia. Hubungan sesama manusia perlu dijaga agar sentiasa hidup dalam keadaan yang damai dan menyenangkan manusia lain. Menjaga tatasusila sesama manusia adalah menjadi tuntutan agama Islam iaitu berpekerti baik sama di depan manusia dan di belakang manusia. Islam mengajar agar setiap muslim senantiasa menjaga tatasusila agar menjadi contoh dan dihormati oleh manusia lain. Lebih-lebih lagi kepada mereka yang bukan Islam sebagai satu tanggungjawab dakwah. Kisah Abu Muslim Qatadah pada zaman Khalifah Umar boleh kita ambil sebagai panduan hidup, bagaimana sepatutnya Muslim bertatasusila. Apabila Abu Muslim Qatadah berjaya menawan sebuah kota kristian, sepatutnya beliau mengemukakan tawaran kepada penduduk kota yang telah dijajah itu sama ada; mereka masuk Islam, duduk di bawah taklukan Islam dan perlu membayar cukai ataupun berperang. Paderi-paderi kota tersebut telah membuat pengaduan tentang tentera Islam kepada Khalifah Umar Ibn Khatab. Khalifah Umar telah menghantar seorang hakim untuk mengadili kebenaran masalah tersebut. Hakim tersebut telah berpihak kepada kebenaran. Salah tetap salah. Beliau berpegang pada prinsip. Beliau telah mengarahkan tentera Islam agar berundur daripada kota tersebut sebelum matahari terbit. Akhirnya sebelum matahari terbit keesokan harinya, tentera Islam telah berundur dari kota tersebut. Situasi ini telah menarik paderi-paderi kristian untuk memeluk Islam. Mereka terkejut melihat keperibadian orang-orang Islam yang amat tinggi. Pada sangkaan mereka sudah tentu hakim yang dihantar akan berpihak kepada tentera Islam dan kalau tidak pun pastinya tentera Islam tersebut tidak mahu berundur dari tempat itu kerana mereka telah berjaya menaklukinya. Tetapi sangkaan mereka meleset. Akhirnya penduduk kota itu telah minta untuk diislamkan. Inilah harga Islam. Islam membawa budi dan akhlak. Bertatasusila walaupun semasa peperangan bukan dengan perang.
No comments:
Post a Comment