Filem Melayu hari ini berjaya membuktikan bahawa industri perfileman negara masih kuat dan survived dari zaman kemalapan dan kegelapan yang melanda pada akhir 60-an dan awal tahun 70-an. Daripada penghasilan filem yang hanya 10-12 filem setahun, hari ini filem Melayu berjaya lari dari badi buruk dengan menghasilkan secara puratanya lebih daripada 20 hingga 25 buah filem setahun. Namun, kita sebagai penonton dan pemerhati filem masih keliru adakah jumlah penghasilan filem tersebut sudah cukup membuktikan kejayaan industri filem kita? Atau kita juga perlu melihat content filem yang diangkat dalam setiap pembikinannya. Justeru, ini turut menimbulkan kerisauan mengenai sejauhmana terkesannya masyarakat dengan filem-filem Melayu hari ini. Yang pasti filem Melayu hari ini terlebih jujur dalam mengangkat sinema realisme sehingga memaparkan apa yang dikatakan sebagai cara hidup sebenar masyarakat. Apakah perlu masyarakat didedahkan dengan babak-babak seperti seks luar nikah, minum arak, budaya Barat (disko, pub, berpeleseran dll.) hanya atas nama sebuah kejujuran iaitu filem perlu jujur dalam memaparkan kehidupan masyarakat. Masyarakat Islam kah yang dipaparkan dengan cara hidup sedemikian? Atau semua itu dibuat atas dasar kebebasan berkarya para pembikin filem yang kebanyakannya para pembikin filem Muslim. Persoalannya, kenapa mereka tidak berusaha dalam memaparkan imej Islam secara jujur sebagai agama rahmatan lil'alamin. Mungkin sedikit pesanan dan harapan untuk para pembikin filem Muslim untuk mengambil iktibar melalui ayat Allah dalam surah Al-Imran (3:104)
Maksudnya: "Dan hendaklah ada antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam) dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang yang berjaya".
Ayat ini sebagai asas tuntutan melakukan amar makruf nahi mungkar. Saya hanya berharap para pembikin filem Muslim tempatan lebih peka dan sensitif dengan setiap garapan karya mereka agar tidak bercampurnya hukum halal dan haram atas nama hiburan semata-mata. Yang pasti saya masih menunggu dan bersangka baik serta postif mengenai masa depan filem tempatan dalam membawa filem kita sebagai filem Islamik yang mempromosi cara hidup Islam yang sebenar.Allahuakbar!
No comments:
Post a Comment