-Wisdom was never built in one day- This blog is dedicated to all those who strive the work of da'wah especially in media & communication
Followers
Saturday, June 18, 2011
Mencari Nur dalam Nur Kasih the Movie
Harap-harap belum terlambat untuk turut sama berkongsi rasa dan review demi Nur Kasih the Movie (NKTM). Terlebih dahulu syabas dan tahniah kepada Kabir Bhatia, Mira Mustapha dan team produksi mereka kerana berjaya menghasilkan Nur Kasih the Movie dalam genre drama di tengah-tengah kemelut filem Melayu yang dimuakkan dengan cerita cinta, genre aksi, komedi dan seram. Sekurang-kurangnya terubat juga hati para penggemar filem bergenre drama dan cerita serius untuk sama melayan keseriusan cerita setelah lelah melihat kebanjiran filem Melayu yang semakin menggila sekarang ini.
Dalam banyak-banyak bloggers yang menghasilkan review untuk Nur Kasih the Movie, saya paling menggemari review dan ulasan yang ditulis oleh fadz, tontonfilem.blogspot.com - terasa jujur dan pandangan idea yang hebat
Arahan Kabir Bhatia ini memang tidak dapat disangkal lagi dengan kehebatan sinematografinya yang cantik dan luar biasa. Mungkin boleh dipertikaikan dengan kelemahan CGInya. Namun, siapa kisah kan! :) Yang pasti review ini bukan ingin menyentuh bab analisis filem yang telahpun banyak diulas oleh bloggers filem yang sememangnya pakar dalam idea dan hujah kritikan filem. Review NKTM ini hanya ingin berkongsi mengenai pandangan peribadi saya sebagai khalayak filem dari aspek content khususnya.
Perwatakan watak boleh dipuji. Setiap karakter terutamanya karakter utama memahami peranan masing-masing dan terasa soul pada setiap watak. Lebih-lebih lagi chemistry yang dilihat pada watak Nur Amina dan Adam. Begitu juga dengan watak Aidil. Lakonan Liza Othman dan Afida Es memang superb. Babak Nur Amina semasa tua yang dilakonkan oleh Afida ES memang boleh dipuji. Jukstaposisi babak Adam di hospital dan Aidil yang dibelasah teruk juga sangat baik. Khalayak pun terasa suspen - pelbagai andaian boleh dibuat di sini sama ada Adam ke yang mati. Apa yang belaku pada Aidil?
Secara jujurnya terdapat nilai kekeluargaan dan rasa cinta dan kasih sayang dalam Nur Kasih the Movie. Yang membezakan Nur Kasih the Movie dengan cerita cinta yang lain adalah garapan Nur Kasih bersandarkan elemen keagamaan. Nilai religiousnya menebal dan kuat. Inilah yang menyumbang kepada kekuatan naskhah Nur Kasih the Movie. Cerita dan plotnya dapat berdiri sendiri dan tidak terikat dengan drama Nur Kasih. Walaupun jalan cerita turut menggunakan flashback dan non-linear, ada penonton yang tidak tersesat. Namun, ramai juga yang tersesat di permulaan cerita.
Walaupun begitu, NKTM terlalu melodrama. Khalayak disogokkan dengan terlalu banyak sandiwara air mata dengan mainan emosi. Memang bila menonton boleh menyebabkan kita tersentuh dan menangis. Kredit pujian juga untuk Mira Mustapha. Tapi karakter watak terutamanya pasangan Adam dan Nur Amina terlalu dibebankan dengan masalah dan musibah yang berlarutan, lepas satu - satu. Dengan ujian keguguran anak, kehilangan Adam di Jordan, penyakit yang dihidapi Adam. Jangan menghukum karakter Nur Amina dan Adam dengan banyak sangat musibah seolah-olah tiada bahagia di hati mereka. Walaubagaimanapun, sememangnya orang Islam perlu bersedia untuk diuji dan mereka yang menerimanya dengan sabar dan tabah, maka mereka adalah tergolong dalam kalangan hamba Allah yang beriman sebagaimana Firman Allah:
Maksudnya: "apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan mengatakan'Kami telah beriman' sedangkan mereka belum lagi diuji? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka,maka sesungguhnya Allah S.W.T. mengetahui orang yang benar dan orang yang dusta." (Al-Ankabut:ayat 2-3)
NKTM banyak menyentuh mengenai qada' dan qadar Allah dan bagaimana pentingnya kita sebagai manusia yang lemah seharusnya bergantung harap dan redha dengan ketentuan hidup yang dituliskan untuk kita. Namun, pada masa yang sama sebagai seorang Islam, putus asa dan berpandangan negatif tidak boleh menjadi sebahagian dalam diri kerana usaha dan bersangka baik dengan Allah perlu. Dan ingatlah setiap yang berlaku ada hikmahnya. Ini dapat kita lihat melalui karakter watak Aidil yang kehilangan isterinya Alya dan terpaksa memikul tanggungjawab mendidik dan memelihara dua anaknya, Ilyas dan Maryam. Ya, kesedihan ditinggalkan isteri sememangnya ujian yang cukup besar namun, Aidil tetap bangkit menjalani hidup seperti yang diamanatkan. Begitu juga dengan Nur Amina yang menerima keadaan dan ujian hidup bersama Adam tetap berfikiran positif serta sentiasa menyokong dan mencintai Adam buat selamanya. "Kerana cinta Nur hanya untuk Adam".
NKTM turut mengetengahkan isu mengenai pendermaan organ yang sering ditakuti terutamanya oleh orang Islam. Satu lakonan cemerlang saya kira oleh Mamat sebagai orang baru dalam industri filem. Antara babak yang menyentuh hati jugak bila difikirkan bahawa tanda kita sebagai seorang muslim yang beriman - memberikan apa yang kita sayang kepada orang lain. Mamat membuktikan ilmu dan didikan ajaran Adam dengan menawarkan dirinya sebagai penderma kepada Adam. Antara isu lain yang cukup hebat dan berkesan dalam NKTM ialah mengenai sumber rezeki halal yang akan menjadi darah daging kita. Isu ini perlu dilihat dengan wajar yang menjadi permulaan penting kehidupan orang Islam; sumber yang bagaimana yang kita cari dan hasilkan untuk menyara keluarga kita. Nur Amina dengan tegas menolak job yang ditawarkan oleh Jehan Miskin - untuk involve dalam pembinaan kelab - yang pastinya akan berlaku kemungkaran di situ, walaupun pada ketika itu, Nur Amina benar-benar mengharapkan kerja sebagai penyambung rezeki dia dan Adam. Keyakinan Nur Amina bahawa rezeki itu terletak di tanggan Allah benar-benar memberikan interpretasi bahawa Allah itu Maha Pemurah.
Namun, terdapat satu nilai prejudis yang diangkat dalam naskah NKMT ini iaitu mengenai ahli agama yang terlalu keras dan cepat untuk menghukum. Lakonan watak sebagai ustaz oleh Beto Khusyairi benar-benar membangkitkan rasa tidak puas hati saya. Pada pendapat saya, bukan semua para ustaz yang berada dalam karakter sedemikian. Kerana para pendakwah diajar untuk berkhidmat kepada masyarakat bukan sebagai penghukum. Mungkin hanya segelintir yang menunjukkan jalan keras seperti karakter watak ustaz tersebut. Yang pasti masih banyak lagi para ustaz dan ahli agama di luar sana yang menggunakan pendekatan berhikmah dalam usaha menangani isu tersebut; menegur dengan lebih berhikmah dan lemah lembut. Pemahaman ini perlu disebarkan ke dalam masyarakat agar masyarakat tidak keliru dengan apa yang telah dipertontonkan kepada mereka. Hakikatnya ahli agama berhak dan wajib menegur segala kemungkaran; mungkin caranya tidak kena dan tidak tepat. Tetapi jangan sampai kita tidak melaksanakan tanggungjawab sehingga membiarkan ideologi dan idea Islam liberal berleluasa dalam masyarakat seperti percampuran dan pergaulan tanpa batasan di antara lelaki dan perempuan walaupun di atas niat menuntut ilmu. Solusi dan resolusinya - berlemah lembut dan bersahabatlah dengan sasaran dakwah kita.
Namun, terasa ada yang kurang dalam NKTM. Seolah-olah nur (cahaya) yang dicari gagal untuk dilihat. Terasa kabur. Nur yang dicari dalam NKTM tidak saya jumpa sepenuhnya. Bahkan Nur Amina tonggak cinta Adam pun gagal memberikan saya nur (cahaya) tersebut. Yang hanya ada sekadar samar-samar dengan deraian air mata saya menangisi keperitan jiwa Nur Amina di saat terasa kehilangan suaminya Adam. Rupanya Adam tidak mati. Mamat yang menjadi penyelamat Adam dengan izin Allah. Namun, Adam tetap meninggalkan Nur Amina terlebih dahulu sehingga Nur Amina gagal mengingati imbas dan ruh jiwa Adam kerana amnesia. Rupanya Aidil yang setia bersama Nur Amina, walau tanpa ikatan perkahwinan - cinta dan sayangnya kepada Nur Amina masih jujur dan tulus!
Rupanya NKTM sekadar cerita biasa sahaja yang sarat dengan cabaran hidup manusia - nilai agama lah yang membezakan NKTM sedikit dengan cerita dan filem Melayu yang lain. Mungkin bila ditonton berulang kali nanti (salah satu sampel filem dalam tesis kajian saya - saya akan temui nur (cahaya) yang lengkap dalam NKTM (InsyaAllah - harapnya begitu la kerana saya tidak mahu membandingkan NKTM dengan filem Indonesia seperti Dalam Mihrab Cinta dan Ketika Cinta Bertasbih!)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment