Followers

Friday, July 15, 2011

Sisi Dakwah "Makbul" Mantap!


Semalam berakhir lah sudah siri drama Makbul yang telah bersiaran di TV 2 jam 9.00 malam. Drama 15 episod ini ternyata memberikan kesegaran yang berbeza berbanding drama-drama yang pernah disiarkan di RTM. Kerana Makbul jugalah ramai rakyat Malaysia yang tidak gemar menonton rancangan RTM (TV2) mula beralih siaran setiap Khamis malam semata-mata untuk menonton Makbul. Walaupun bukan menjadi fenomena seperti drama-drama cinta yang lain, namun kewujudan Makbul turut disedari oleh penonton drama TV yang inginkan kelainan. Makbul merupakan garapan idea penulis skrip Zabidi Mohamed dan diangkat oleh Asri Alias selaku pengarahnya. Tahniah!

Makbul diolah dengan cukup mudah dan jelas iaitu kisah mengenai doa. Plot dan naratif Makbul cemerlang di tangan Asri Alias ini. Makbul mempunyai subjek yang asli dan terasa wujudnya intensiti kesan dalam memainkan emosi penonton. Tetapi Makbul bukan kisah melodrama. Malah ceritanya tidak meleret-leret. Manakala watak-watak Makbul juga mengukuhkan kehebatan cerita ini. Nah! Terbukti drama yang diangkat hebat naratifnya tidak perlu terlalu bergantung kepada pelakon-pelakon yang muda dan cantik semata-mata. Malah Makbul membuktikan bahawa walaupun pelakon-pelakonnya bukan dalam kalangan mereka yang popular tetapi tetap diminati. Ditunjangi karakter En. Anuar, Pn.Jamiah dan Bol tetap cemerlang dalam membawa perwatakan masing-masing. Karakter Bol sudah tentu mengundang simpati dan empati penonton.


Sisi dakwah Makbul memang mantap. Banyak elemen dan mesej dakwah disentuh dalam Makbul. Secara rumusannya daripada kesemua 15 episod Makbul; antara babak yang paling saya suka dalam Makbul ialah mengenai paparan watak isteri terutama dalam berbicara dengan sang suami seperti Jamiah (lakonan Kartina Aziz), isteri En. Anuar dan juga isteri pak imam (Khatijah Tan)cukup berjaya. Selalunya klise yang sering kita jumpa dalam drama-drama tempatan ialah bila isteri marah atau berdebat tentang sesuatu perkara, pasti dengan nada suara yang tinggi dan menengking-nengking. Tetapi Makbul menampilkan sisi isteri yang berbeza; bagaimana berbicara dengan suami; baik dan masih menghormati sang suami walaupun suami tersebut khilaf dan berbuat salah. Begitu juga dengan penekanan kepada kepentingan doa. Makbul cukup mantap. Doa sebagai senjata orang-orang mukmin dikupas dengan cukup baik oleh Asri Alias yang sudah pastinya ditunjangi oleh lakon TV yang cukup mantap oleh Zabidi Mohamed.

Antara yang saya boleh senaraikan elemen dan mesej dakwah yang diangkat dalam Makbul; sabar, rasa takut kepada Allah dengan dosa-dosa yang telah dilakukan, bertawakkal dengan setiap ujian daripada Allah, sifat berkasih sayang sesama manusia, saling menghormati, perbuatan jahat dan menganiayai orang lain tidak mendapat keberkatan dalam hidup, batas pergaulan di antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram, bersedekah kepada yang memerlukan, berpaksi kepercayaan akidah yang benar tanpa syirik kepada Allah, bersangka baik sesama manusia, bersangka baik dengan Allah, bersyukur dengan rezeki kurniaan Allah, solat merupakan kewajipan setiap muslim, berlemah lembut ketika berbicara dan yang menjadi tunjang cerita Makbul iaitu sentiasa berdoa demi keberkatan hidup. MasyaAllah! Jika drama seperti Makbul sering dipersembahkan kepada penonton kita sudah pasti konsep berdakwah melalui drama akan berjaya!


Dengan dialog yang santai dan bersahaja, sisi dakwah dalam Makbul dilihat mendekati metode al-hikmah dan mau'izah al-hasanah. Bukan hanya bersandarkan dialog didaktik yang hanya mengajar dan bersyarah, malah dialog Makbul lebih kepada nasihat tanpa lafaz yang berjela-jela serta memaparkan reliti perbualan harian biasa. Syabas kepada Zabidi Mohamed kerana sumbangan beliau dalam terus memartabatkan drama berbentuk keagamaan ini. Masih menanti bila masanya untuk En. Zabidi terjun ke dalam penulisan skrip filem pula. Yang pasti lakon layar filem sememangnya lebih mencabar lagi dengan audien yang mungkin berbeza. Mohon doanya semua!

No comments:

LinkWithin