Followers

Friday, August 19, 2011

Membangunkan Ilmu Metateori Bidang Komunikasi Dakwah


Dalam entri sebelum ini, saya ada membincangkan mengenai ilmu metateori bidang komunikasi yang melibatkan aspek ontologi (kewujudan realiti), epistimologi (kewujudan ilmu pengetahuan) dan aksiologi (peranan nilai). Secara dasarnya pemahaman mengenai ilmu metateori penting bagi seseorang penyelidik untuk menentukan jenis penyelidikan yang ingin dilakukan. Ini kerana metateori turut menjelaskan mengenai falsafah di sebalik setiap penyelidikan yang dipilih. Walaubagaimanapun, dalam konteks displin ilmu komunikasi, perbincangan ontologi dikaitkan dengan persoalan mengenai apakah yang dimaksudkan dengan komunikasi. Konsep komunikasi mempunyai pelbagai definisi dan makna bergantung kepada tujuan dan perspektif yang berbeza. Ini dapat kita lihat melalui model-model komunikasi seperti yang telah diperkenalkan oleh Berlo, Osgood dan Schram, Laswell mahupun Shannon-Weaver yang menjelaskan elemen komunikasi yang sedikit berbeza.


Manakala epistimologi dalam displin komunikasi melihat kepada sumber ilmu komunikasi itu sendiri - bagaimana untuk menghasilkan proses komunikasi yang efektif melalui elemen-elemen yang wujud dalam sesebuah proses komunikasi. Sebagai contohnya, model komunikasi Laswell mengaitkan kesan (effects) sebagai elemen utama dalam menentukan sejauhmana proses komunikasi yang berlaku memberi kesan yang efektif kepada receiver.


Aksiologi yang membincangkan persoalan nilai, melihat hubungan di antara sender dan receiver serta perubahan yang berlaku dalam proses komunikasi. Ini menunjukkan proses komunikasi memberi kesan dan pengaruh terhadap tingkah laku, sosial dan juga emosi seseorang individu sama ada secara langsung atapun tidak langsung.

Namun, aspek pendekatan metateori ini perlu juga dilihat dari perspektif Islam bila mana kita membincangkan bidang komunikasi dakwah. Justeru, bersandarkan aspek metateori tersebut, saya melihat potensi dan peluang untuk membangunkannya dari perspektif komunikasi dakwah. Ini kerana bidang komunikasi dakwah sudah tentu berbeza dan memerlukan perbincangan yang lebih terarah kepada Islam. Dari aspek ontologi, komunikasi dakwah tidak hanya semata-mata proses komunikasi yang biasa yang melibatkan sender dan receiver serta bergantung kepada pengalaman lepas sahaja. Malah dari perspektif Islam, niat, sikap dan juga tingkah laku turut bergantung kepada kepercayaan (belief) dan nilai (value)seseorang. Tindakan seseorang muslim itu haruslah selari dengan apa yang diperintahkan Allah SWT dalam mempertimbangkan baik dan buruknya. Justeru, setiap manusia Islam perlu bertanggungjawab di atas segala apa yang mereka lakukan. Ia juga berkait rapat dengan iman dan niat sebagai seorang Islam yang mukmin.

Oleh itu, dari aspek ontologi perspektif dakwah seharusnya menjelaskan dimensi dakwah seperti konsep, tujuan, matlamat, metode serta perkaitannya dengan sasaran dakwah dalam menyampaikan dakwah. Para pendakwah seharusnya memahami dan menguasai aspek ontologi komunikasi dakwah bagi mengukuhkan fungsi dan peranannya.

Aspek epistimologi pula melihat kepentingan sumber ilmu pengetahuan yang mana Islam tidak hanya bergantung dengan apa yang diterima logik akal semata-mata. Malah Islam turut mendekatkan diri manusia dengan ilmu-ilmu di luar kemampuan akal fikiran logik manusia yang diwahyukan kepada Rasulullah SAW melalui dalil-dalil daripada kitab al-Quran. Justeru, epistimologi komunikasi dakwah harus didasarkan sumber wahyu al-Quran dan al-Hadith. Dengan kata lain, ilmu dalam bidang komunikasi dakwah melangkaui jauh sehingga turut mengetengahkan isu-isu sam'iyyat dan alam ghaib yang bersumberkan al-Quran dan al-Hadith. Perkembangan epistimologi bidang komunikasi dakwah juga meneroka contoh teladan yang terbaik melalui model yang dibawa oleh Rasulullah SAW melalui cara baginda berkomunikasi sama ada melalui pendekatan berhikmah, nasihat yang baik ataupun bermujadalah.

Manakala aksiologi melibatkan mesej yang perlu dibawa oleh media dan komunikasi khususnya iaitu nilai yang baik yang mengandungi unsur-unsur kebaikan dan al-taqwa. Nilai yang dibawa menerusi komunikasi dakwah perlu diselarikan dengan nilai yang baik berasaskan keimanan kepada Allah SWT. Para pendakwah sebagai religious communicator juga bertanggung jawab menjalankan amanah menyebarkan dakwah dengan prinsip-prinsip komunikasi dakwah yang baik untuk menjinakkan dan melembutkan hati sasaran dakwah. Justeru, aksiologi komunikasi dakwah seharusnya membawa konsep amar makruf nahi mungkar sebagaimana Firman Allah dalam surah al 'imran (104):


Maksudnya: "Dan hendaklah ada satu golongan di kalangan kamu yang menyeru kepada kebaikan, menyuruh berbuat makruf (kebaikan) dan melarang perbuatan mungkar (kejahatan). Mereka itulah orang yang mendapat kejayaan (kemenangan)".

Oleh itu, para sarjana komunikasi Muslim perlu menilai kembali pendekatan pengajaran komunikasi dari aspek metateori agar penyampaian bidang komunikasi dakwah lebih menyeluruh bersumberkan al-Quran dan al-Hadith. Usaha membangunkan pegangan asas metateori yang dilihat dari perspektif Islam ini penting agar bidang komunikasi dakwah yang diterokai tidak berkembang dengan hanya bersandarkan logik dan rasional akal semata-mata malah harus tunduk dan mengakui asas pendekatan hubungan hablul minal Allah dan hablul minal Nas secara integrated.



Wednesday, August 10, 2011

Komunikasi Dakwah


Dakwah dan komunikasi sebenarnya berkongsi elemen dan proses yang sama iaitu sender (pengirim), receiver (penerima), mesej, kesan mahupun noise (cabaran dan gangguan). Apa yang membezakan di antara dakwah dan komunikasi ialah matlamat akhir dakwah adalah disandarkan kepada Allah, yang Maha Pencipta demi mendapatkan keredhaanNya. Sedangkan komunikasi hanya sebagai proses menyampaikan mesej dan maklumat. Walaupun wujud kesan dalam proses komunikasi seperti model komunikasi Laswell, namun kesan tersebut hanyalah kesan daripada aspek fizikal, tingkah laku dan sikap semata-mata tanpa mengaitkannya dengan sebarang campur tangan Tuhan. Ini kerana komunikasi konvensional yang berpaksikan Barat itu sendiri tidak meletakkan sebarang jenis komunikasi secara vertikal iaitu hubungan dengan Allah. Apa yang penting ialah komunikasi secara horizontal semata-mata iaitu hubungan sesama manusia.


Perbezaan di antara komunikasi sekular (konvensional) dan dakwah ialah yang mana tujuan komunikasi hanya mementingkan proses dan elemen yang memberikan perubahan sosial, tingkah laku dan juga emosi seseorang. Namun, konsep dakwah Islamiah lebih menyeluruh yang mana proses pentarbiahannya bertujuan mengajak dan mengubah sasaran dakwah dengan berpaksikan akidah, tauhid dan beriman kepada Allah SWT. Justeru, perlukah kita menolak komunikasi Barat? Rasanya bukan itu persoalannya. Kerana kita masih boleh menerima pakai ilmu daripada Barat kerana bukan semua daripada Barat itu salah. Dan juga seharusnya ilmu tersebut diasimilasikan dengan corak hidup, budaya dan agama Islam. Ini penting agar konsep dan konteks ilmu komunikasi itu sendiri dapat difahami dengan lebih baik lagi. Bukan hanya mencedok bulat-bulat apa yang disampaikan oleh Barat.

Al-Quran dan al-Hadith sebagai panduan umat Islam telahpun menyentuh bab komunikasi ini secara jelas. Cuma kita perlu menggali dan mengenal pastinya. Hakikatnya, komunikasi merupakan sebahagian daripada proses di dalam penyampaian dakwah. Para pendakwah memerlukan kemahiran berkomunikasi sebagai salah satu cara menguasai penyampaian dakwah yang berkesan. Malah, para pendakwah (da'i) sebagai orang yang dipertanggungjawabkan untuk menyampaikan Islam secara langsung turut dilihat sebagai religious communicator. Ini bermakna, penyampaian dakwah Islamiah lebih luas dan lebih menyeluruh berbanding dengan proses komunikasi sebagaimana firman Allah SWT dalam surah Al-anbiya’:


“Kami tidak mengutus engkau, Wahai Muhammad, melainkan sebagai rahmat bagi seluruh manusia" (Al-anbiya’: 107)

Justeru, komunikasi dakwah boleh kita definisikan sebagai proses penyebaran mesej Islam berdasarkan prinsip komunikasi yang bersumberkan al-Quran dan al-Hadith dengan berasaskan perspektif Islam (akidah, ibadah dan akhlak Islam). Sebagai contohnya model komunikasi yang dibangunkan oleh Laswell membincangkan aspek kesan yang boleh diasimilasikan kepada konteks dakwah Islamiah dengan beberapa perubahan dan penambahbaikan.


Oleh itu, dapat dirumuskan bahawa bidang komunikasi dakwah memerlukan pentafsiran dan perbincangan prinsip komunikasi dengan lebih jelas. Dan ia sebenarnya merupakan cabaran terutama kepada mereka yang melibatkan diri secara langsung dalam bidang komunikasi untuk meneroka perspektif komunikasi dakwah dengan lebih luas dan mendalam. Kerana Islam amat memerlukan sarjana komunikasi Muslim yang bukan sahaja menerima pakai dan menyokong ilmu komunikasi sekular tetapi pada masa yang sama melebarkan perkembangan ilmu komunikasi dakwah. Ini merupakan sumbangan terhadap ilmu pengetahuan daalam bidang komunikasi dan dakwah. Apa yang penting kita seharusnya dapat mengubah persepsi dan pemikiran yang hanya menerima pembelajaran dan pengajaran komunikasi konvensional semata-mata seperti apa yang telah ditawarkan di institusi-institusi pengajian tinggi di Malaysia.

LinkWithin