Followers

Wednesday, August 10, 2011

Komunikasi Dakwah


Dakwah dan komunikasi sebenarnya berkongsi elemen dan proses yang sama iaitu sender (pengirim), receiver (penerima), mesej, kesan mahupun noise (cabaran dan gangguan). Apa yang membezakan di antara dakwah dan komunikasi ialah matlamat akhir dakwah adalah disandarkan kepada Allah, yang Maha Pencipta demi mendapatkan keredhaanNya. Sedangkan komunikasi hanya sebagai proses menyampaikan mesej dan maklumat. Walaupun wujud kesan dalam proses komunikasi seperti model komunikasi Laswell, namun kesan tersebut hanyalah kesan daripada aspek fizikal, tingkah laku dan sikap semata-mata tanpa mengaitkannya dengan sebarang campur tangan Tuhan. Ini kerana komunikasi konvensional yang berpaksikan Barat itu sendiri tidak meletakkan sebarang jenis komunikasi secara vertikal iaitu hubungan dengan Allah. Apa yang penting ialah komunikasi secara horizontal semata-mata iaitu hubungan sesama manusia.


Perbezaan di antara komunikasi sekular (konvensional) dan dakwah ialah yang mana tujuan komunikasi hanya mementingkan proses dan elemen yang memberikan perubahan sosial, tingkah laku dan juga emosi seseorang. Namun, konsep dakwah Islamiah lebih menyeluruh yang mana proses pentarbiahannya bertujuan mengajak dan mengubah sasaran dakwah dengan berpaksikan akidah, tauhid dan beriman kepada Allah SWT. Justeru, perlukah kita menolak komunikasi Barat? Rasanya bukan itu persoalannya. Kerana kita masih boleh menerima pakai ilmu daripada Barat kerana bukan semua daripada Barat itu salah. Dan juga seharusnya ilmu tersebut diasimilasikan dengan corak hidup, budaya dan agama Islam. Ini penting agar konsep dan konteks ilmu komunikasi itu sendiri dapat difahami dengan lebih baik lagi. Bukan hanya mencedok bulat-bulat apa yang disampaikan oleh Barat.

Al-Quran dan al-Hadith sebagai panduan umat Islam telahpun menyentuh bab komunikasi ini secara jelas. Cuma kita perlu menggali dan mengenal pastinya. Hakikatnya, komunikasi merupakan sebahagian daripada proses di dalam penyampaian dakwah. Para pendakwah memerlukan kemahiran berkomunikasi sebagai salah satu cara menguasai penyampaian dakwah yang berkesan. Malah, para pendakwah (da'i) sebagai orang yang dipertanggungjawabkan untuk menyampaikan Islam secara langsung turut dilihat sebagai religious communicator. Ini bermakna, penyampaian dakwah Islamiah lebih luas dan lebih menyeluruh berbanding dengan proses komunikasi sebagaimana firman Allah SWT dalam surah Al-anbiya’:


“Kami tidak mengutus engkau, Wahai Muhammad, melainkan sebagai rahmat bagi seluruh manusia" (Al-anbiya’: 107)

Justeru, komunikasi dakwah boleh kita definisikan sebagai proses penyebaran mesej Islam berdasarkan prinsip komunikasi yang bersumberkan al-Quran dan al-Hadith dengan berasaskan perspektif Islam (akidah, ibadah dan akhlak Islam). Sebagai contohnya model komunikasi yang dibangunkan oleh Laswell membincangkan aspek kesan yang boleh diasimilasikan kepada konteks dakwah Islamiah dengan beberapa perubahan dan penambahbaikan.


Oleh itu, dapat dirumuskan bahawa bidang komunikasi dakwah memerlukan pentafsiran dan perbincangan prinsip komunikasi dengan lebih jelas. Dan ia sebenarnya merupakan cabaran terutama kepada mereka yang melibatkan diri secara langsung dalam bidang komunikasi untuk meneroka perspektif komunikasi dakwah dengan lebih luas dan mendalam. Kerana Islam amat memerlukan sarjana komunikasi Muslim yang bukan sahaja menerima pakai dan menyokong ilmu komunikasi sekular tetapi pada masa yang sama melebarkan perkembangan ilmu komunikasi dakwah. Ini merupakan sumbangan terhadap ilmu pengetahuan daalam bidang komunikasi dan dakwah. Apa yang penting kita seharusnya dapat mengubah persepsi dan pemikiran yang hanya menerima pembelajaran dan pengajaran komunikasi konvensional semata-mata seperti apa yang telah ditawarkan di institusi-institusi pengajian tinggi di Malaysia.

No comments:

LinkWithin