Followers

Tuesday, November 29, 2011

Teori Kognitif Sosial dari pandangan seorang muslim!


Perjalanan tesis ku masih belum sampai ke penghujungya...masih lagi berjuang demi mencapai matlamat yang diimpikan...masih lagi bergelumang dengan metode penyelidikan yang perlu dikuasai bagi seorang penyelidik dan masih juga bernafas dengan inti pati teori-teori kajian yang menjadi tunjang sebuah kajian...Hari ini aku ingin berkongsi sedikit ilmu teori khususnya berkenaan dengan teori kesan media yang sangat popular iaitu teori kognitif sosial yang menjadi teori utama kajian aku selain daripada teori filem sebagai al-risalah yang juga aku gunakan.

Teori kognitif sosial merupakan antara teori tentang perubahan tingkah laku melalui modeling dan persekitaran. Teori ini sebenarnya merupakan hasil perkembangan evolusi daripada teori pembelajaran sosial yang diperkenalkan oleh Albert Bandura dan rakan-rakan beliau seperti Walters, Grusec dan Menlove pada tahun 1960-an.

Persoalannya...relevankah teori kognitif sosial ini aku gunakan dalam kajian aku...mungkin ada yang persoalkan...inikan teori lama...cari lah teori baharu untuk kajian alaf 21 ni...Namun, walauapapun...aku punya justifikasi aku sendiri kenapa aku memilih teori kognitif sosial yang sudah berabad ini menjadi teori yang aku gunakan sebagai kerangka teoretikal aku...jawapannya teori ini sememangnya mengalami perkembangan dan evolusi yang cukup mantap dan kukuh dalam membincangkan tingkah laku manusia. Bandura melalui Teori pembelajaran sosial, mendokong model behaviorisme yang amat popular dengan kajian eksperimen klasik Bobo Doll,kemudiannya pada tahun 1986 menukar arah aliran paradigma kepada konstruktivis sosial apabila beliau secara rasmi menukar nama teori tersebut kepada teori kognitif sosial dengan beberapa penambahbaikan konstruk-konstruk penting.


Menurut Bandura, seseorang individu dapat mempelajari sesuatu tingkah laku melalui modeling dan pemerhatian. Dengan kata lain, selain pembelajaran secara formal melalui pendidikan, manusia turut dapat belajar melalui pemerhatian dan dapat meniru tingkah laku yang dipertontonkan. Melalui prinsip observational learning, individu berupaya menterjemahkan tingkah laku yang dilihat. Namun, ia turut bergantung kepada sejauhmana vicarious learning tersebut mampu memberikan peneguhan dan motivasi kepada mereka yang melihat. Bandura turut memperkenalkan konsep timbal balik (reciprocal determinism) di antara persekitaran (environment), tingkah laku (behavior) dan juga personal. Melalui konsep ini, Bandura menyatakan bahawa ketiga-tiga faktor ini saling berhubung dan saling mempengaruhi di antara satu sama lain. Sebagai contohnya, tingkah laku manusia turut dipengaruhi oleh persekitaran dan juga faktor individu tersebut sama ada dari aspek ilmu dan juga sikap yang akan menterjemahkan tingkah laku yang berbeza. Begitu juga, jika seseorang individu tersebut tinggi nilai efikasi kendirinya (self-efficacy) iaitu sebagai faktor tingkah laku, mungkin kurang dipengaruhi oleh persekitaran yang tidak baik atau mungkin sebaliknya. Dengan kata lain, faktor persekitaran juga menjadi faktor yang boleh kita kawal untuk mendapatkan tingkah laku yang lebih baik.

Teori kognitif sosial banyak digunakan sebagai teori kesan media yang mana media dilihat sebagai alat yang mampu memberikan perubahan tingkah laku kepada mereka yang menontonnya. Media sebagai transmission tool kepada keganasan dan tingkah laku agresif menjadi fokus utama kajian penyelidikan yang banyak dijalankan oleh para penyelidik media. Namun, sejak akhir-akhir ini terdapat juga kajian yang melihat bahawa faktor media boleh diletakkan peranan positif yang menyumbang kepada nilai prososial. Selain itu, teori kognitif sosial turut kukuh dalam kajian mengenai health behavior dan juga pendidikan.

Walaubagaimanapun, teori ini turut mempunyai limitasi dan skop yang tertentu sebagai hasil teori manusia biasa. Hakikatnya teori kognitif sosial mempunyai terlalu banyak konstruk yang dibincangkan. Namun, hanya terdapat beberapa konstruk sahaja yang sering digunakan dan popular seperti observational learning, symbolic modeling, self-efficacy. Mungkin bagi sarjana komunikasi Barat melihat Bandura sebagai sarjana hebat yang mampu menghasilkan teori sedemikian rupa, tetapi aku masih lagi meneroka dan mengkaji teori ini melalui pandangan aku sebagai seorang muslim. Hari ini aku masih lagi menghadam setiap konstruk dan konsep yang diutarakan dalam teori ini dan masih berjuang mencari suatu keajaiban untuk turut mengangkat sisi pandangan muslim dalam membincangkan teori ini.

Yang pasti aku memahami dan menemui kebenaran di sebalik teori ini, iaitu sebagai teori berasaskan Barat, teori kognitif sosial tidak mengiktiraf kuasa Tuhan yang dapat menentukan tingkah laku manusia. Namun, sebagai seorang muslim, kita jangan menafikan campur tangan Allah dalam menterjemahkan tingkah laku seseorang itu. Perkara-perkara sam'iyyat yang tidak dapat dirungkai melalui akal fikir kita wajib kita yakini. Begitu juga kepercayaan rukun iman yang enam perlu kita fahami termasuklah percaya kepada qada' dan qadar Allah. Bila kita menyakini kewujudan Allah barulah kita dapat menerima bahawa segala apa yang berlalu merupakan ketentuan Allah di samping usaha yang telah kita pertingkatkan. Oleh itu, logiklah jika berlakunya masalah sosial dalam kalangan remaja yang mendapat didikan agama dan bersekolah agama khususnya menimbulkan bicara dan perbualan hangat masyarakat. Ini kerana mereka mengangggap mana mungkin pelajar dari kelompok tersebut bertingkah laku dengan tingkah laku yang teruk, seperti mengandungkan anak luar nikah, berzina, membuka aurat dsb kerana mereka faham hukum dan agama. Namun, inilah percaturan Allah...setiap musibah dan ujian itu ada hikmahnya. Namun, akal kognitif sebagai muslim juga menjadi simbol kewarasan setiap keputusan yang diambil. Justeru, kita tidak menidakkan faktor kognitif yang dibincangkan oleh Bandura ini. Malah Islam melalui ayat-ayat al-Quran sering membahaskan mengenai peranan akal melalui ayat-ayat seperti ya'qilun dan juga yatafakkarun serta membandingkan di antara orang yang berilmu dengan yang tidak berilmu.

Doakan aku agar aku dapat menemui kebenaran di sebalik sebuah kajian ini demi memartabatkan ilmu untuk kepentingan Islam sarwajagat. Ameen :)

1 comment:

anak daud said...

aku pernah present teori ni masa presentation subjek teori kom dulu...

LinkWithin