Alhamdulillah, Bengkel Penulisan Skrip Patuh Syariah bersama Finas, yang dianjurkan oleh JPDK, JAKMA dan FINAS sendiri telah berlangsung dengan jayanya. Hari Sabtu hari terakhir bengkel, kami dipertontonkan dengan sebuah karya contoh yang mengangkat patuh syariah. Rezeki saya untuk turut sama mengambil pengalaman daripada kisah ini. Cerita yang sangat patuh syariah dan pada masa yang sama menghiburkan.
Meneroka 'Akhirnya Engkau Mengerti' sangat bermakna. Bukan hanya mainan emosi sang penulis skrip yang dibawa oleh Bonda Nor, malahan Heikal Hanapiah sebagai pengarahnya turut sama menterjemahkan emosi Bonda Nor ke lakon TV yang sangat indah. Bermula dengan isu yang klise iaitu poligami, 'Akhirnya Engkau Mengerti' bergerak dalam ethos, pathos dan logos dunianya yang tersendiri. Menterjemahkan akal diri, akal rasa dan akal fikir melalui naskhah sulong Bonda Nor ini mengarap suatu naratif yang bergerak di atas kepercayaan. Kepercayaan si isteri, Ariana yang akhirnya tergugat dek kerana khilafnya Zakwan sebagai suami. Zakwan terlalu selesa sebagai seorang lelaki dan suami yang mempunyai isteri yang dikira sempurna dari kaca mata lelaki lain tetapi tidak bagi Zakwan. Zakwan akhirnya tertipu dengan diri, rasa dan fikirnya sendiri akibat kecintaannya kepada Nora yang hakikat sebenarnya indah khabar dari rupa. Nora tidak seindah yang disangka. Melepaskan Ariana suatu kerugian bagi Zakwan yang akhirnya penyesalannya sudah terlambat. Namun, peluang kedua bagi Zakwan mengintepretasikan kasih Allah kepada hambaNya bila mana jiwa hamba kembali kepada Khaliqnya. Zakwan bertaubat. Ariana juga membatalkan sumpahnya bahawa dia tidak akan menerima Zakwan kembali. Perwatakan protagonis Zakwan kuat. Kuat mendasari akal diri, akal rasa dan akal fikir seorang lelaki. Akhirnya Zakwan lah yang sebenarnya mengerti mengapa Ariana tidak bersetuju untuk membenarkan Zakwan mengahwini Nora, bukan bermakna Ariana menolak poligami.
Pembawaan imej Ariana lakonan Faezah Elai sangat kuat sebagai anak bekas Mufti. Gambaran perwatakan yang baik. 'Akhirnya Engkau Mengerti' mengangkat mesej keagamaan melalui babak cinta yang tidak ekstrem. Tahniah Bonda Nor melalui kekuatan dialog dan mesej, 'Akhirnya Engkau Mengerti' antara naskhah yang saya boleh puji. Penampilan sulong ini memberikan suatu penanda aras yang baik dalam industri drama tempatan kita. Tahniah juga kepada Zabidi Mohamed kerana melahirkan bakat yang hebat melalui bengkel penulisan skrip beliau. Naratif dan gerak kerja kamera 'Akhirnya Engkau Mengerti' dilihat sangat cemerlang di tangan Heikal Hanapiah dan teamnya. Betullah kata Zabidi Mohamaed; 'Naskhah yang baik is a team work'. Artistik drama yang menampakkan mahalnya karya ini. Soal konflik yang tercetus membawa kepada pengakhiran yang baik. Permulaan scene yang cantik di antara Zakwan dan Ariana kerana scene mereka berdua juga turut mengakhiri drama ini. Nilai patuh syariahnya jelas. Ia menjadi mahal bila mana keseluruhan team produksi drama ini dilihat turut memahami kepatuhan syariahnya di luar filem. Saya yakin, jika sebeginilah karya yang dihasilkan oleh ramai penulis skrip tanah air, InsyaAllah saya yakin industri drama tempatan boleh berubah ke arah yang lebih baik. Tahniah kepada TV al-Hijrah dan Layar Consult juga kerana merealisasikan impian kami semua, penyokong drama genre Islami yang patuh syariah.
Sayangnya Tengku Iskandar, polimek kewujudan wataknya hanya untuk mempertemukan jodoh di antara Zakwan dan Ariana. Dan ternyata jodoh mereka kuat. 'Akhirnya Engkau Mengerti' merupakan naskhah yang baik hasil kolaborasi yang serasi di antara Bonda Nor dan Heikal Hanapiah. Ternyata garapan Heikal sangat kuat dan diangkat dengan lebih baik oleh pengarahnya berbanding dengan penulis skripnya, kata Zabidi Mohamed sendiri.
Dengan lelehan air mata menahan sebak saya terkesima. Saya berfikir alangkah baiknya saya menonton 'Akhirnya Engkau Mengerti' ini bersendirian agar sebakan dan lelehan air mata itu dapat dihamburkan menjadi juraian air mata. Sedangkan hakikatnya saya terpaksa. Terpaksa menahan segala-galanya demi Zabidi Mohamed dan para peserta bengkel. Huhuhuhu....Akhirnya saya juga seakan mengerti tentang petanda akal diri, akal rasa dan akal fikir diri sendiri yang diangkat hebat oleh Bonda Nor ini. Ethos, pathos dan logos yang sangat kuat dalam 'Akhirnya Engkau Mengerti' :)
No comments:
Post a Comment