Followers

Wednesday, February 4, 2015

Budaya Popular & Fenomena Hallyu (Korean wave)



Perubahan budaya seiring dengan perkembangan zaman. Hakikatnya perubahan budaya yang berlaku dalam masyarakat adalah akibat daripada proses globalisasi yang menyeluruh. Kesan daripada proses globalisasi lahir lah pula budaya popular dalam kalangan masyarakat. Malaysia turut tidak terkecuali menerima kesan daripada arus globalisasi. Apatah lagi jika hendak dibandingkan dengan budaya dan cara hidup Islam yang sangat berbeza dengan apa yang disogokkan dengan budaya Barat.

Budaya merupakan cara hidup yang berkembang dan dimiliki bersama dalam masyarakat setempat. Manakala budaya popular boleh dikatakan sebagai suatu idea dan fenomena yang wujud dalam budaya mainstream masyarakat. Ia juga disebut sebagai budaya massa. Penyebaran budaya banyak berkait rapat dengan sumber media dalam menyebarkan pengaruh kepada masyarakat. Media berperanan memperkenalkan budaya popular ke dalam masyarakat. Marshall McLuhan memperkenalkan suatu teori media klasik yang sangat popular “the medium is the message”. Ini menunjukkan peranan media dan TV sangat mempunyai pengaruh yang besar kepada audien sama ada dari sudut pengetahuan, motivasi, sikap mahupun tingkah laku. Justeru, pernyataan McLuhan ini mengetengahkan peranan media dan TV dalam mempromosi budaya popular kerana ia berkembang disebabkan arus globalisasi di antara pertembungan nilai Barat dan Timur.

Rentetan daripada proses amerikanisasi, budaya popular daripada Barat telah berkembang sebagai pusat penyebaran budaya. Faktor budaya yang kerap masuk melalui dunia hiburan berjaya menempatkan unsur popular sebagai unsur utama. Hasilnya budaya popular menjadi antara budaya yang diterjemahkan sebagai budaya komersial. Namun, penyebaran budaya popular sangat dinamik. Ia sentiasa berubah-ubah mengikut permintaan orang ramai. Jika dahulu Amerika Syarikat menjadi pusat budaya popular seperti muzik hiburan hedonis, hippies yang gemarkan kebebasan malah dengan lambakan cerita Hollywood dan kartun animasi seperti Walt Disney, kini masyarakat Malaysia turut menerima perkembangan budaya popular daripada Jepun, Hongkong dan sekarang Korea.


Industri budaya popular yang merebak dalam masyarakat sebenarnya hasil daripada kapitalisme Barat yang dieksploitasi untuk meraih keuntungan. Budaya konsumerisme berubah kepada gaya hidup yang fashionable dan berprestij yang akhirnya mencetuskan budaya popular. Ini dapat dilihat daripada gaya hidup masyarakat yang mula pentingkan status dan imej seperti penggunaan kad kredit sebagai lambang orang ‘ada-ada’ walaupun dikelilingi oleh hutang piutang yang tinggi. Gaya hidup sebegini dilihat sebagai lambang sosial yang tinggi yang disebarkan daripada Barat walaupun tidak sesuai dengan nilai sosial tempatan. Begitu juga dengan sandaran ikon selebriti, artis, fesyen, filem dan drama serta muzik dan hiburan yang mana merupakan antara industri budaya popular yang sedang merebak masa kini.

Tambahan lagi dengan kemunculan fenomena Hallyu (Korean wave) dalam industri hiburan moden kini. Masyarakat Malaysia kini lebih terarah dengan kehebatan budaya popular dari Korea. Remaja hari ini banyak menjadikan artis dan selebriti Korea sebagai pujaan mereka. Antara bahan komoditi daripada Korea ialah drama, muzik k-pop, fesyen, makanan, bahasa dan juga budaya masyarakat Korea itu sendiri. Hakikatnya kini Korea merupakan antara 10 pengeksport budaya teratas di dunia.


Keterujaan dan taksubnya peminat Korean wave ini dapat kita lihat apabila pakej budaya Korea Selatan yang dibawa seperti bahasa, drama dan muzik k-pop mendapat sambutan ramai. K-pop yang digilai peminat antaranya kerana boyband dan gilrband mereka yang comel dan menarik. Begitu juga dengan fesyen yang mereka bawa daripada segi pemakaian, gaya rambut, penggunaan alat solek, penjagaan kulit apatah lagi dengan pembedahan plastik yang sangat popular di sana.

Justeru, perkembangan budaya popular ini perlu diteliti dan diberi perhatian terutama jika membabitkan anak-anak muda yang masih rapuh jiwanya. Ini dibimbangi penerimaan mereka terhadap budaya dan nilai yang dibawa masuk ini tidak selari dengan tuntutan syariat Islam. Jika kita lihat baru-baru ini negara dikejutkan dengan tiga remaja perempuan yang rela dipeluk dan dicium oleh boyband yang dibawa masuk daripada Korea. Kegilaan mereka kepada muzik k-pop menyebabkan mereka tersasar daripada prinsip hidup mereka sebagai seorang yang beragama Islam. Bertudung dan menutup aurat rupanya bukan halangan kepada mereka untuk berkata tidak apabila ingin dipeluk dan dicium oleh boyband Korea yang sememangnya bukan beragama Islam.

Isu ini turut dipanjangkan dengan maklum balas daripada seorang remaja lain yang telah menjadi viral di laman sosial dan youtube yang mempertahankan tindakan tiga remaja terbabit. Mungkin nawaitu asalnya baik agar masyarakat jangan menghentam tiga remaja terbabit secara membabi buta dan terus menghukum tanpa memberi peluang kepada mereka. Namun, apa yang menyedihkan adalah akibat ketidakfahaman remaja perempuan tersebut tentang konsep akidah dan ketuhanan menyebabkan beliau tidak faham mengenai konsep ‘Dengan izin Allah’ secara jelas. Antara pernyataan beliau ialah “Bukan mereka yang diuji tetapi kita juga, mereka berada di atas pentas kerana izin Allah”.

Hakikat qada’ dan qadar dengan keizinan Allah tidak boleh dimanipulasi fakta dan pernyataannya secara sewenang-wenangnya. Sebagai contohnya, jika kita berdoa kepada Allah dan apa yang kita doakan itu tidak kita dapati. Adakah kita sangka Allah tidak mengabulkan doa kita? Sedangkan sebagai muslim yang bertaqwa dan yakin kepada Allah seharusnya berfikir yang sudah tentu ada hikmahnya di sebalik semua itu dan insyaAllah, Allah mengantikan yang lebih baik daripada apa yang kita kehendaki. Dan sekiranya tindakan dan amalan yang salah dan buruk yang telah dilakukan oleh manusia, jika diizinkan oleh Allah berlaku sebenarnya bukan bermakna ia sesuatu yang baik. Malah jika izinkan berlaku adalah untuk menyesatkan si pelakunya kerana kepercayaan yang dipegang selama ini.

Sebab itulah kepercayaan kepada enam rukun iman sangat penting sebagai interpretasi kehambaan kita kepada Yang Maha Agung. Orang beriman itu hidup. Sebab itu lah perintah untuk bertakwa perlu dihadam sebagai ketaatan kepada Allah dan rasul dalam semua perkara yang diperintah dan juga dilarang. Ketakwaan itu mampu menyucikan jiwa dengan melaksanakan perintah dan meninggalkan segala larangan. Apabila jiwa seseorang hamba itu suci maka ia jelas jujur dan berada dalam kebenaran serta Allah akan melindunginya daripada perkara-perkara yang dibenci oleh Allah. Ini telah difirmankan oleh Allah dalam surah at-Taubah ayat 119 yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah, dan hendaklah kamu berada bersama-sama orang yang benar.

Justeru, tidak timbul ‘dengan izin Allah’ pergi ke tempat maksiat seperti ke pentas konsert k-pop dengan izin Allah kerana tindakan dan perbuatan itu sebenarnya perkara larangan dan maksiat yang menghilangkan kesucian dan ketakwaan kepada Allah. Maka sesesungguhnya kita sebagai hamba Allah perlu menyakini bahawa azab, kemurkaan dan siksaan Allah tidak boleh disekat kecuali dengan ketaatan kepadaNya seperti mana yang telah tercatat dalam ibrah para rasul sebelum ini.

Ini turut dinyatakan dalam al-Quran surah al-Insan ayat 3 yang bermaksud: “Kerana keadaan itu tidak mencukupi, maka) sesungguhnya Kami telah menunjukkan kepadanya (melalui akal dan Rasul) akan jalan-jalan (yang benar dan yang salah; maka terserahlah kepadanya) sama ada ia bersyukur (dengan beriman dan taat), ataupun ia berlaku kufur (dengan mengingkari kebenaran atau menderhaka)”. Justeru, manusia sebenarnya mempunyai pilihan dalam membuat setiap keputusan dalam kehidupan. Namun, kadang-kadang kita terlepas pandangan dan membuat keputusan yang tidak tepat kerana disebabkan pengaruh akal fikir dan nafsu. Al-Ghazali membahaskan bahawa hati sebagai raja manakala akal sebagai menteri. Oleh itu dalam membuat sebarang tindakan keputusan, akal perlu rasional dalam mengemudi hati seiring dengan ketakwaan kepada Allah.

Kesimpulannya, peranan agama sangat perlu dalam mendepani budaya popular demi mengekang dan membendung fahaman isme yang semakin merebak dalam masyarakat seperti liberaslime, sekularisme dsb. Nilai budaya yang dipegang dan diamalkan seharusnya tidak bertentangan dengan nilai agama masyarakat Islam. Akidah kepercayaan kita sebagai muslim dengan rukun Iman sebenarnya menjadi asas keyakinan kita dengan segala ketentuan Allah. Namun, setiap tindakan dan perbuatan kita sudah tentu dinilai secara praktikal oleh Allah; apa sahaja perbuatan yang baik insyaAllah diberi ganjaran pahala begitu juga sebaliknya jika kita melakukan maksiat dan dosa akan diberi hukuman yang setimpal. Jadi tidak timbul isunya di sini tentang pilihan yang kita buat dalam hidup kita dengan alasannya ‘dengan izin Allah’. Ini kerana kita sebagai manusia ada pilihan untuk kita buat atau tidak mengenai sesuatu keputusan kita itu. Jika kita balik semula kepada pilihan tiga remaja perempuan yang terbabit dengan isu k-pop itu tidak timbul mereka pergi ke pentas konsert tersebut dengan izin Allah. Justeru, sebab itu lah syurga dan neraka dijadikan oleh Allah untuk manusia memilih jalan manakah yang harus diikuti.





No comments:

LinkWithin