Followers

Monday, May 20, 2013

Simposium Antarabangsa Falsafah Islam





PAda 21-22 Mei 2013, akan berlangsung Simposium Antarabangsa Falsafah Islam. InsyaAllah saya turut membentangkan satu kertas kerja yang bertajuk 'Membangunkan falsafah komunikasi dan media Islam'. Harap-harap kertas kerja ini turut memberi manfaat dan sumbangan kepada usaha menyebarkan ilmu komunikasi dan media Islam. InsyaAllah kalau ada kelapangan masa saya akan berkongsi intipati kertas kerja tersebut nanti....

Thursday, May 2, 2013

Isu Kebebasan Bersuara dan Fitnah dalam Islam....





Hari ni dalam kelas Etika Komunikasi Islam, antara tajuk yang dibincangkan ialah mengenai kebebasan bersuara dan bagaimana Islam melihat unsur fitnah yang sering dibawa apabila manusia tidak menghormati hak-hak asasi manusia. Satu tajuk yang sangat menarik diperbincangkan. Perbincangan ini merujuk kepada artikel tentang Kebebasan Bersuara dan Fitnah dari Perspektif Islam, tulisan Abdul Basir Mohamad dari buku Komunikasi Di Malaysia. Tambah-tambah lagi dengan isu hangat pilihanraya yang kita berdepan setiap 5 tahun sekali. Apa yang saya lihat dan perhatikan, setiap 5 tahun rakyat Malaysia seolah-olah hilang diri dan maruah khususnya dalam berkempen politik. Setiap parti sibuk berkempen dan menegakkan kebenaran masing-masing. Sebenarnya tidak kisah dan tidak menjadi masalah pun...tapi jangan sampai menabur fitnah dan mengeksploitasi isu demi kepentingan dan hawa nafsu sendiri.



Di antara intipati perbincangan dalam kelas ini ialah berkenaan dengan hak kebebasan bersuara. Kita sememangnya diberikan hak untuk menyampaikan kebenaran dan menegah kemungkaran. Namun, hak ini perlu digunakan demi mencari sebuah kebenaran bukan untuk mewujudkan kacau bilau. Setiap muslim ada pandangan masing-masing dan perlu berlapang dada menerima teguran dan hujah walaupun daripada pihak lawan.

Begitu juga tentang hak terhadap nama baik. Islam pada hakikatnya sangat menjaga hak kehormatan seseorang. Islam sangat melarang umatnya melakukan sesuatu perkara yang boleh menjatuhkan maruah dan air muka orang lain.

Oleh itu, Islam membenarkan kebebasan bersuara tetapi bukan bersifat mutlak. Kebebasan yang dianjurkan perlulah seiring dengan niat yang baik, dan tidak bertujuan menunjuk-nunjuk dan mengeji serta menjaga prinsip, adab dan akhlak serta akidah Islam. Jangan sampai mencaci nama baik, memaki, menuduh orang lain serta menyinggung perasaan di atas alasan kebebasan bersuara.

Islam mencegah setiap tindakan yang boleh menjejaskan harga diri dan maruah seseorang. Seseorang yang membuat fitnah sebenarnya hukumnya haram. Fitnah ni perlu kita jauhi kerana akan timbul perpecahan dalam kalangan masyarakat nanti. Apa yang penting sekarang ni sebelum menunggu 5 Mei 2013 untuk mengundi, jauhi la perkara-perkara fitnah, mengada-adakan pembohongan dan paling penting berfikir dan buat keputusan secara rasional demi kepentingan perjuangan Islam. Mohonlah hidayah dan petunjuk dari Allah, moga-moga Allah bantu kita untuk membuat pilihan terbaik untuk Islam. Ameen....

Wednesday, January 30, 2013

Drama Sahara Di Astro Prima...Tidak mencapai Syariah Compliant




Satu fenomena yang amat baik apabila banyak drama-drama berunsurkan Islam ditayangkan di stesen-stesen TV tempatan akhir-akhir ini. Tetapi kuantiti drama yang banyak tidak semestinya menterjemahkan kualiti penghasilannya. Drama terbaru yang ditayangkan di Astro Prima iaitu SAHARA memaparkan cerita tentang pelajar madrasah dan wanita berniqab. Aduh....malang betul bagi mereka yang mengintepretasi kisah Islam hanya secetek ini....hanya cinta yang klise sebenarnya.


Kisah drama yang sebegini sebenarnya mengundang intepretasi Islam yang salah. Mana mungkin wanita yang berniqab tidak menjaga batasan dan bersentuhan dengan lelaki yang bukan mahram. Kegagalan memahami content dan patuh syariah (syariah compliant) mengakibatkan pengarah dan lakon TV yang dihasilkan tidak mencapai standard piawaian Islam yang sebenar. Apatah lagi dakwaan pihak tertentu yang menyatakan bahawa drama SAHARA sebagai drama dakwah komedi langsung tidak boleh diterima. Jangan mengata bila orang agama asyik complain bila drama yang berkaitan dengan Islam ditayangkan....sebenarnya bukan complain tetapi menegur...jika produk drama yang dihasilkan memang kena dan betul pada tempatnya kami pun suka dan sokong. Nampaknya industri drama kita memerlukan ramai lagi ZABIDI MOHAMED yang faham tentang drama patuh syariah. Penerbit, pengarah dan penulis skrip kita kena berguru dengan En. Zabidi ni bagaimana untuk letakkan content dan naratif drama yang patuh syariah ini supaya drama Islami yang dihasilkan kena pada tempatnya. Kena pada tempatnya tu bermakna adil dalam memikul amanah dan tanggungjawab sebagai seorang Islam.Iaitu memberi keadilan dengan memaparkan syariat Islam yang sebenar bukan hanya mencedok dan meletakkan tudung Islam kepada drama tersebut.

Oleh itu saya menyokong usaha yang dilakukan oleh ZABIDI MOHAMED untuk kursus penulisan skrip drama patuh syariah supaya tidak akan berlaku lagi kisah macam drama SAHARA ini apabila pengarah dan penulis skripnya tidak faham drama patuh syariah :)

Drama Sahara....kenapa jadi begini?



Monday, January 14, 2013

Filem Keagamaan –satu genre? (1)





Rosmawati Mohamad Rasit
Jabatan Pengajian Dakwah & Kepimpinan, FPI UKM


Pengenalan

Filem yang mengangkat tema keagamaan bukan baharu malah kewujudannya telah lama terutama dalam sinema Barat contohnya Hollywood dengan filem The Ten Commandments (1956). Hollywood, sebagai industri perfileman yang dominan di samping terkenal dalam menghasilkan filem-filem bergenre aksi, cinta dan komedi turut bereksperimen dengan filem keagamaan. Sinema Barat mengiktiraf filem keagamaan sebagai satu genre filem (religious genre). Manakala kajian agama dan filem juga menjadi kajian antara displin (interdisciplinary). Agama dan filem menjadi pendekatan antara displin (interdisciplinary approaches) dan merupakan antara bidang kajian keagamaan yang semakin popular di Amerika, Eropah dan juga di dunia. Melalui jurnal Religion and Film, isu-isu yang menyentuh pelbagai aspek penting dalam hubungan kedua-dua bidang dikupas dan diperbincangkan.


Latar Filem Keagamaan

Penghasilan filem Hollywood yang bercorak keagamaan banyak menyentuh persoalan agama Kristian mengenai ketuhanan, ruh, jiwa, moral, malaikat (angel) dan juga syaitan (devil) seperti filem The Passion of Christ (2004), Leap of Faith (1992), Da Vinci Code (2006) dan juga 2012 (2009). Pengaruh kemunculan aliran ahli falsafah agama Kristian terutamanya dalam industri perfileman sinema Barat memberi kesan kepada masyarakat. Sebagai contohnya filem The Passion of Christ (2004) arahan Mel Gibson yang mengangkat cerita kehidupan dan pengorbanan Jesus Christ mengutip kutipan box-office dan mendapat sambutan daripada khalayak penonton. Namun, terdapat juga filem Hollywood ini yang menyimpang daripada nilai keagamaan yang sebenar sehingga dikatakan sebagai religious parody iaitu mempersendakan agama (Kristian) seperti Bruce Almighty (2003) yang memperlekehkan kekuasaan tuhan. Filem jenis ini juga dikenali sebagai filem anti-agama.

Selain daripada agama Kristian yang sering diangkat dalam filem-filem keluaran Hollywood, Hollywood turut membawa kisah agama Islam dalam filem terbitan mereka. Filem seperti The Message (1976) dan Lion of the Desert (1981) yang menggunakan produksi Hollywood menceritakan tentang Islam yang diarahkan oleh pengarah Muslim, Moustapha Akkad. Hollywood turut melahirkan filem seperti Kingdom of Heavens (2005) yang memaparkan perjuangan agama Kristian dan Islam melalui Perang Salib.

Selain daripada Hollywood dan sinema Barat, dunia sinema Timur juga dekat dengan filem keagamaan dalam melihat persoalan agama dan spiritual melalui filem. Sinema India, Jepun, Iran, Indonesia mahupun Malaysia dikenal pasti sebagai antara sinema perfileman yang turut mengangkat isu dan genre keagamaan (religious genre) yang dikaitkan dengan kepelbagaian agama dan budaya hidup. Sebagai contohnya, perfileman Bollywood amat kuat dengan struktur agama dan budaya mereka yang sering diangkat dalam filem-filem seperti Mother India (1957), Sarfarosh (1999) dan juga Mission Kashmir (2000). Bersambung.....

Rosmawati@Hakcipta Terpelihara

LinkWithin