Followers

Thursday, December 2, 2010

Emak Ingin Naik Haji

Menonton Emak Ingin Naik Haji ternyata memberikan kepuasan berbanding mana-mana  tontonan filem Melayu hari ini. Ini kerana plot dan naratif yang diangkat menerusi filem ini terasa kewujudan Allah dan Islamnya yang tinggi dalam mengungkap percaturan hidup manusia. Ceritanya ringkas-mengenai emak yang teringin sangat untuk menunaikan haji dan pergi ke Mekah. Sebagai anak, Zein amat memahami betapa ibunya berusaha keras mengumpul duit untuk beliau naik haji. Namun, dek kerana kemiskinan mereka wang yang seharusnya dikumpul masih belum mencukupi malah sukar sekali mencukupi 30 juta rupiah. Yang ada hanya tabungan 5 juta yang telah dikumpul dalam masa 5 tahun. Itupun telah dikeluarkan untuk membiayai sakit anak Zein. Manakala jiran mereka, Haji Saun seorang yang kaya dan sering dapat menunaikan haji dan umrah bersama-sama keluarga. 

Filem arahan sutradara Aditya Gumay ini hasil adaptasi dari sebuah cerpen karya Asma Nadia. Dengan tagline 'Ketika Rumah Allah Sudah di Hati' memberi kesan yang amat sangat. Ketika menontonnya....ungkapan Labbaik Allahumma Labbaik...Labbaik Lasyarilaka Labbaik...amat menusuk jiwa sentimentalku...air mata bercucuran sederas air di kali...mengingati kuasa yang Maha Agung.

Filem Emak Naik Haji ini membuktikan tidak perlu watak antagonis untuk mewujudkan konflik dalam menjayakan sesebuah penceritaan. Kehidupan mereka menjadi antagonis yang mencabar untuk plot bergerak dan yang menariknya watak-watak yang dipaparkan dalam cerita ini mempunyai kekuatan masing-masing yang saling melengkapi. Watak Emak amat menjadi dan menghibakan. Impian Emak untuk ke Tanah suci tetap kuat. Cerita yang mengaitkan kemampuan manusia yang merancang namun Allah jua yang menentukan jelas menunjukkan kehebatan Allah sebagai Yang Maha Berkuasa. Sujud Syukur di atas segalanya.

Sentiasa berdoa agar filem Melayu kita juga mampu menghasilkan karya sehebat ini...Agar bila mana menonton filem, hati dan jiwa sering diingatkan untuk menjadi manusia yang lebih baik selepas menontonnya...Inilah fungsi filem yang sebenar untuk turut menyampaikan dakwah Islamiah....Percayalah setiap jiwa manusia ada soft spotnya yang boleh disentuh untuk mengubah diri  dan memberi peluang berfikir dan bermuhasabah agar menjadi manusia yang lebih baik demi Islam. Cabaran buat para karyawan Muslim di Malaysia!

Thursday, August 12, 2010

Benteng Iman - SOLAT

Solat merupakan benteng seseorang Muslim dalam menjaga keimanan yang hakiki. Solat 5 waktu wajib dan perlu dibuat dalam waktu yang telah ditetapkan. Jika kita diberi peluang, kita seharusnya mengambil peluang yang terbaik untuk hidup kita. Ini dapat diifahami jika kita menjaga solat kita. Jika kita menjaga solat kita dengan sempurna, Allah akan bantu kita untuk menyusun kehidupan di luar solat. Kebanyakan apa yang berlaku tentang kebinasaan sesuatu kaum ialah apabila tidak wujudnya kesempurnaan dalam menjaga solat sehingga Allah tidak menyusun dan mengatur kehidupan mereka dengan baik di luar solat. Apa yang paling ditakuti ialah apabila kemurkaan Allah itu menyebabkan kehidupan umat Islam semakin hari semakin goyah keimanan dan kepercayaan mereka terhadap Yang Maha Berkuasa. Akhirnya berlaku bencana dan bala yang memudarkan iman kita. Semua ini berlaku apabila kita tidak mampu menjaga solat kita dengan sempurna. Benarlah bahawa "Solat itu Tiang Agama" kerana hanya dengan kekuatan solat, umat Islam mampu menyelesaikan pelbagai masalah dan cabaran dunia dengan keimanan yang teguh dan kukuh. Yakinlah....

Saturday, August 7, 2010

Harga Iman

Kita seharusnya bersyukur kerana telah dianugerahkan seorang rasul yang tidak pernah mengenal penat lelah berusaha mengembangkan Islam. Kita lahir sudah dalam keadaan Islam, beribu bapakan Islam, hidup dalam masyarakat Islam dan mendapat nikmat Allah yang terlalu banyak untuk kita hitung dan nilai. Namun, nikmat yang paling penting ialah nikmat Iman dan Islam yang kita perlu bawa untuk pulang mengadap Allah nanti dengan peribadi dan akhlak orang Islam.

Tuesday, July 13, 2010

Berkhidmat untuk manusia kerana Allah

Manusia menilai tidak sama sebagaimana Allah menilai. Allah menilai bukan mengira position/jawatan seseorang tetapi selama mana manusia itu membuat kebaikan.

Manusia sebagai hamba-itulah peranan dan tanggungjawab khalifah yang dibebankan. Allah melihat siapa yang paling baik beramal dan bekerja. Allah sediakan panduan untuk manusia apabila teruji ataupun terlajak daripada landasan syariat. Namun, jika nafsu mengikat kita, ia tidak beri ruang pada hati kita untuk menerima kesalahan sendiri tetapi lebih nampak orang lain yang salah.

Niat menentukan natijah kita. Manusia perlu bukan setakat hebat dalam pergaulan tetapi hebat dalam pergaulan tetapi hebat dengan Allah. Itu prinsip hidup.

Wednesday, June 2, 2010

Pengarah Filem Malaysia (2005-2009)

Peranan pengarah filem tidak boleh dikesampingkan dalam membincangkan isu penghasilan genre filem cereka Melayu tempatan. Ku Seman (2003) menjelaskan bahawa pembikinan filem adalah seni menterjemah elemen teks daripada lakon layar dengan elemen visual yang dihasilkan menerusi lensa kamera. Tugas pengarah adalah menterjemahkan lakon layar dalam bentuk sinematik. Justeru, pengarah mempunyai tugas yang berat bagi memastikan pilihan genre arahan mereka berjaya meraih sokongan khalayak filem.

Analisis ini membincangkan mengenai corak pengarahan pengarah melalui genre pilihan para penerbit filem yang seharusnya diterjemahkan dengan baik oleh mereka. Sembilan orang pengarah telah dikenal pasti sebagai pengarah paling produktif dalam menyumbang kepada penghasilan filem dari tahun 2005-2009. iaitu A. Razak Mohaideen, Ahmad Idham, Yasmin Ahmad, Mamat Khalid, Bade Hj. Azmi, Afdlin Shauki, Pierre Andre dan Shuhaimi Baba.

A. Razak Mohaideen menguasai pentas pengarahan layar perak dengan mengarahkan sebanyak 13 buah filem sepanjang tempoh ini. Ahmad Idham pula berada di tempat kedua sebagai pengarah terbanyak yang menghasilkan filem secara konsisten iaitu sebanyak 11 buah filem.

Berdasarkan pengarahan mereka membentuk satu pola pengarahan yang dinamik dan konsisten. Daripada filem-filem arahan mereka dapat dibahagikan kepada dua kategori pengarahan yang utama iaitu pengarahan filem komersial serta pengarahan filem yang lebih meneliti aspek estetika dan seni filem. A. Razak Mohaideen, Mamat Khalid dan Afdlin Shauki berada dalam kategori pengarahan filem komersial yang mengangkat satira komedi sebagai landasan utama karya mereka. Walaubagaimanapun, setiap daripada mereka mempunyai identiti pengarahan yang tersendiri dan membentuk genre filem komedi mengikut acuan masing-masing.

Begitu juga dengan Ahmad Idham, Pierre Andre dan Bade Hj. Azmi walaupun bereksperimen dengan variasi genre yang berbeza masih mengangkat nilai komersial dalam karya-karya mereka. Buah tangan Kabir Bhatia dan Yasmin Ahmad pula dilihat lebih menyuntik nilai estetika menerusi karya mereka. Namun, karya-karya sebegini bukan semuanya dapat diterima oleh khalayak filem. Oleh itu, tidak hairan lah filem-filem mereka tidak mendapat sambutan yang menggalakkan daripada khalayak berbanding dengan filem-filem komersial. Sebagai contohnya filem Muallaf (2009) dan Sepi (2008) hanya berjaya mengutip RM0.19 Juta dan RM0.844 Juta sahaja. Kutipan ini tidak berjaya mengaut keuntungan daripada kos produksi sebanyak RM1.30 juta dan RM1.50 juta (FINAS 2008; FINAS 2009).

Manakala Shuhaimi Baba dilihat tersepit dari terus memartabatkan aspek estetika filem dan pada masa yang sama memenangi hati khalayak dengan kutipan ‘pecah panggung’. Namun, audien filem Melayu sememangnya sukar diramal. Itu yang berlaku kepada Shuhaimi Baba. 1957: Hati Malaya pada tahun 2007 hanya mengutip RM0.316 juta sahaja sekaligus mengalami kerugian daripada kos produksi sejumlah RM3.00 juta berbanding dengan filem beliau, Pontianak Harum Sundal Malam 2 dan Waris Jari Hantu (FINAS 2005; FINAS 2007).










Sunday, May 30, 2010

Elemen dalam Proses Komunikasi

Terdapat empat elemen asas di dalam proses komunikasi iaitu;
1. sumber-penyampai (komunikator)
sumber ialah tempat bermulanya proses komunikasi sama ada individu, kumpulan atau sesiapa sahaja yang memulakan komunikasi dengan menghasilkan mesej.

2. mesej
mesej merupakan idea dan maklumat mahupun perasaan (emosi) yang ingin dikongsi bersama di antara sumber dan penerima. Mesej boleh disampaikan sama ada secara verbal atau bukan verbal. Mesej verbal adalah seperti perkataan (bahasa) manakala mesej secara bukan verbal termasuk air muka, pergerakan badan, nada suara, penampilan diri yang dapat menyokong komunikasi verbal.

3. saluran
saluran merupakan medium yang boleh digunakan oleh sumber untuk menyampaikan mesej kepada penerima. Saluran berbeza bergantung kepada bentuk komunikasi yang digunakan. Sebagai contohnya, komunikasi interpersonal menggunakan gelombang udara ketika berkongsi maklumat yang ingin disampaikan manakala komunikasi massa pula lebih bergantung kepada alat teknologi komunikasi dan media seperti internet, radio, televisyen dan akhbar.

4. penerima
penerima ialah individu, kumpulan ataupun orang ramai yang menjadi sasaran mesej. Sumber boleh menjadi penerima dan sebaliknya.

Selain daripada empat elemen asas di atas, masih terdapat beberapa elemen tambahan di dalam proses komunikasi termasuk maklum balas, gangguan, kesan dan persekitaran.

1. maklum balas
maklum balas ialah respons yang diberikan oleh penerima terhadap mesej daripada sumber.

2. gangguan
gangguan merupakan halangan yang menyebabkan proses komunikasi gagal atau tidak berkesan. Terdapat tiga jenis gangguan yang menghalang penerima menerima dan memahami mesej dengan baik iaitu sama ada gangguan dalaman, luaran atau semantik. Gangguan dalam berlaku disebabkan oleh keadaan psikologi penerima yang tidak stabil dan terganggu. Gangguan luaran pula ialah gangguan yang didapati secara fizikal seperti bunyi yang terlalu bising akan menghalang penerima daripada mendengar dengan jelas. Manakala gangguan semantik merupakan halangan yang wujud akibat faktor bahasa dan penggunaan perkataan. Sebagai contohnya loghat sesebuah negeri di Malaysia memerlukan seseorang itu memahami penggunaan perkataan berdasarkan perbezaan bahasa dan adat budaya setempat. Oleh itu, situasi ini akan mewujudkan reaksi emosi yang berbeza bergantung kepada pemahaman penerima sama ada emosi marah, gembira atau malu.

3. kesan
kesan ialah apa yang didapati hasil daripada proses komunikasi yang berlaku. Kesan boleh dilihat sama ada secara kognitif, perasaan atau tingkah laku.

4. persekitaran
persekitaran merangkumi situasi atau tempat yang mana berlaku proses komunikasi.

Friday, May 21, 2010

Komunikasi Islam

Komunikasi amat penting kepada setiap manusia dalam meneruskan kehidupan. Tanpa komunikasi, kita tidak mampu berkongsi dan menyampaikan maklumat serta ilmu dengan cara yang efektif. Justeru, bidang komunikasi turut mendapat tempat sebagai bidang yang perlu diterokai. Displin komunikasi hari ini menjadi antara displin ilmu yang ditawarkan di institusi pengajian tinggi tempatan mahupun antarabangsa secara profesional. Ia menjadi bidang keperluan dalam melahirkan intelektual akademik yang memiliki kemahiran dalam memahami pengajaran, prinsip dan kaedah berkomunikasi dengan baik.

Terdapat pelbagai pendapat yang dikemukakan oleh para sarjana komunikasi dalam mendefinisikan komunikasi. Secara umumnya komunikasi merupakan proses penyampaian maklumat daripada pengirim kepada penerima. Hovland, Janis dan Kelly (1953) menjelaskan komunikasi sebagai proses bagi seseorang individu sebagai komunikator menyampaikan mesej dengan tujuan untuk mempengaruhi tingkah laku seseorang. Manakala Gerbner (1966) menyifatkan komunikasi sebagai bentuk interaksi sosial yang menggunakan simbol dan sistem mesej ketika berkongsi maklumat. Miller (1966) pula melihat komunikasi sebagai situasi yang memerlukan sumber menyampaikan mesej kepada penerima dengan secara sedar untuk mempengaruhi tingkah laku penerima. Justeru, konsep komunikasi mempunyai pelbagai definisi dan makna bergantung kepada tujuan dan perspektif yang berbeza. Walaubagaimanapun, prosesnya yang fleksibel masih menekankan elemen-elemen yang sama dalam mewujudkan sesuatu fenomena.

Terdapat empat elemen asas di dalam proses komunikasi iaitu;
1. sumber-penyampai (komunikator)
sumber ialah tempat bermulanya proses komunikasi sama ada individu, kumpulan atau sesiapa sahaja yang memulakan komunikasi dengan menghasilkan mesej.

2. mesej
mesej merupakan idea dan maklumat mahupun perasaan (emosi) yang ingin dikongsi bersama di antara sumber dan penerima. Mesej boleh disampaikan sama ada secara verbal atau bukan verbal. Mesej verbal adalah seperti perkataan (bahasa) manakala mesej secara bukan verbal termasuk air muka, pergerakan badan, nada suara, penampilan diri yang dapat menyokong komunikasi verbal.

3. saluran
saluran merupakan medium yang boleh digunakan oleh sumber untuk menyampaikan mesej kepada penerima. Saluran berbeza bergantung kepada bentuk komunikasi yang digunakan. Sebagai contohnya, komunikasi interpersonal menggunakan gelombang udara ketika berkongsi maklumat yang ingin disampaikan manakala komunikasi massa pula lebih bergantung kepada alat teknologi komunikasi dan media seperti internet, radio, televisyen dan akhbar.

4. penerima
penerima ialah individu, kumpulan ataupun orang ramai yang menjadi sasaran mesej. Sumber boleh menjadi penerima dan sebaliknya.

Selain daripada empat elemen asas di atas, masih terdapat beberapa elemen tambahan di dalam proses komunikasi termasuk maklum balas, gangguan, kesan dan persekitaran.

1. maklum balas
maklum balas ialah respons yang diberikan oleh penerima terhadap mesej daripada sumber.

2. gangguan
gangguan merupakan halangan yang menyebabkan proses komunikasi gagal atau tidak berkesan. Terdapat tiga jenis gangguan yang menghalang penerima menerima dan memahami mesej dengan baik iaitu sama ada gangguan dalaman, luaran atau semantik. Gangguan dalam berlaku disebabkan oleh keadaan psikologi penerima yang tidak stabil dan terganggu. Gangguan luaran pula ialah gangguan yang didapati secara fizikal seperti bunyi yang terlalu bising akan menghalang penerima daripada mendengar dengan jelas. Manakala gangguan semantik merupakan halangan yang wujud akibat faktor bahasa dan penggunaan perkataan. Sebagai contohnya loghat sesebuah negeri di Malaysia memerlukan seseorang itu memahami penggunaan perkataan berdasarkan perbezaan bahasa dan adat budaya setempat. Oleh itu, situasi ini akan mewujudkan reaksi emosi yang berbeza bergantung kepada pemahaman penerima sama ada emosi marah, gembira atau malu.

3. kesan
kesan ialah apa yang didapati hasil daripada proses komunikasi yang berlaku. Kesan boleh dilihat sama ada secara kognitif, perasaan atau tingkah laku.

4. persekitaran
persekitaran merangkumi situasi atau tempat yang mana berlaku proses komunikasi.


Walaubagaimanapun, definisi dan pendekatan komunikasi yang dikemukakan di atas lebih memfokuskan perbincangan komunikasi dalam pendidikan sekular Barat. Justeru, pengajaran komunikasi hari ini terlepas pandang dalam memahami prinsip dan kaedah komunikasi Islam. Bidang komunikasi Islam atau juga dikenali sebagai komunikasi dakwah merupakan satu bidang baharu yang muncul di dalam penelitian akademik. Menurut Zulkiple (2001) kesedaran membentuk bidang komunikasi menurut perspektif Islam dan dakwah ini menyumbang kepada perkembangan falsafah, pendekatan dan perlaksanaan ilmu komunikasi yang dipindahkan dari Barat. Dari perspektif agama, Islam dilihat sebagai agama yang bersifat mission yang menggesa penganutnya supaya berterusan menyebarkan mesej sama ada kepada rakan-rakan Muslim ataupun kepada bukan Muslim. Setiap individu Muslim dianggap komunikator agama atau da’i (pendakwah) di mana diwajibkan menyampaikan mesej mengikut kadar keupayaan masing-masing.

Mohd Yusof Hussain et al. (1990) mendefinisikan komunikasi Islam sebagai proses menyampai atau bertukar perutusan dan maklumat dengan menggunakan prinsip dan kaedah komunikasi yang terdapat di dalam al-Quran dan Hadith. Mahyuddin Abd. Halim (1985) pula menegaskan bahawa komunikasi Islam ialah proses membekalkan khalayak dengan hakikat kebenaran agama Islam yang berterusan bersandarkan kepada al-Quran dan al-Sunnah secara langsung atau tidak, melalui perantaraan media umum atau khusus, bertujuan membentuk pandangan umum yang betul berasaskan hakikat kebenaran agama yang memberi kesan kepada kehidupan seseorang dalam aspek akidah, ibadah dan muamalah. Zulkiple (2001) menghuraikan prinsip dan kaedah komunikasi Islam yang meliputi aspek berkomunikasi secara menegak atau vertikal iaitu dengan Allah, dan berkomunikasi secara horizontal iaitu sesama manusia. Jelasnya, terdapat dua bentuk hubungan komunikasi dalam ajaran Islam iaitu habl min Allah (hubungan dengan Allah) dan habl min al-nas (hubungan sesama manusia).

Hakikat yang perlu diakui bahawa komunikasi dan media adalah antara bidang penting yang boleh mencorakkan kehidupan manusia. Sebagai manusia yang syumul, Islam menyediakan panduan supaya setiap aktiviti komunikasi dan media sentiasa membawa manusia kepada kebaikan. Sarjana Muslim perlu meneroka dan menggali khazanah falsafah dan pemikiran Islam berkaitan komunikasi dan media khususnya melalui sumber al-Quran dan al-Sunnah supaya bidang tersebut berkembang dalam acuan kita sendiri. Unsur-unsur komunikasi dan media yang merosakkan masa depan masyarakat perlu dikenal pasti dan dinyahkan manakala unsur-unsur kebaikan hendaklah terus diperkasakan. Komunikasi dan amalan media Islam perlu tunduk kepada kekuasaan Allah sebagai kuasa mutlak yang menentukan hala tuju kehidupan manusia.

Friday, April 23, 2010

Bengkel Penulisan Skrip Drama TV bersama Maizura Ideris

Tak sabar rasanya untuk menghadiri bengkel penulisan skrip drama TV bersama Maizura Ideris, hari Ahad ni 25 April 2010 di Pusat Belia Antarabangsa. Harapan agar banyak ilmu baru dapat dimanfaatkan daripada bengkel seperti ini.Pn. Maizura merupakan penulis skrip kegemaran saya. Banyak skrip-skrip beliau yang terkesan di hati. Tapi yang paling best...mestilah Nur Kasih. Walaupun beliau hanya merupakan co-writer namun beliau sememangnya berbakat besar. Sekalung tahniah untuk Pn. Maizura kerana berjaya bertahan dalam industri yang mencabar ini.

Tuesday, April 20, 2010

BENTUK DAN GENRE DRAMA TV

Bentuk dan genre dalam penghasilan drama TV merupakan antara keutamaan penerbit drama. Setiap stesen TV kebanyakannya telah menetapkan slot-slot tertentu yang berbeza bentuk dan genre drama untuk ditayangkan dalam kalangan penonton. Drama bersiri rantaian dan telefilem merupakan antara contoh bentuk drama yang banyak dihasilkan di Malaysia dengan penggunaan genre yang berbeza seperti genre komedi dan seram. Justeru, penerbit dan pengarah drama perlu mengikut syarat dan garis panduan yang telah ditetapkan dalam usaha untuk menyiarkan drama-drama mereka di layar kaca televisyen.

Bentuk drama TV lebih menjurus kepada beberapa jenis yang utama seperti (Neves 1998; Lavery 2003; Pearson 2005):
1. The Serial
Drama bersiri yang mempunyai naratif dan penceritaan yang bersambung. Selalunya dihasilkan sebanyak 13 episod.
2. The Series
Setiap episod memaparkan cerita yang berbeza. Namun, masih mengekalkan karakter yang sama yang melakonkan watak pada setiap episod.
3. Soap Opera/ Telenovela/Sinetron
Drama bersiri yang bersambung dengan plot dan cerita yang sarat dengan konflik kemasyarakatan. Drama dalam jenis ini sering diwajahkan dengan melankolik dan mempunyai episod yang agak panjang.
4. Telefilem (The One-off Drama)
Bentuk telefilem merupakan tayangan drama yang mempunyai satu episod sahaja. Selalunya ditayangkan dalam durasi masa dua jam menyamai bentuk filem tetapi menggunakan medium televisyen.

Genre pula berasal dari perkatan Perancis yang bermaksud jenis dan gaya (style). Penggunaan genre banyak berkaitan dengan pemilihan teks yang sesuai dengan kategori dan tema tertentu (Harris 1995; Mittel 2001). Dalam bidang kesusasteraan sebagai contohnya para sarjana sering merujuk fiksyen, puisi (poetry) dan drama sebagai genre utama yang mewujudkan sub-genre seperti epik dan adiwira (heroic) drama genre (Harris 1995). Justeru, penentuan gaya genre sangat penting dan berperanan dalam mencapai sasaran berdasarkan segmentasi audien. Sebagai contohnya penghasilan drama bergenre cinta remaja seharusnya berbeza persembahannya berbanding drama dalam genre yang lain seperti teks dan bahasa yang digunakan, imej yang ditonjolkan serta gerak dan karakter pelakon sudah pasti menjurus kepada peminat drama-drama cinta remaja.

Terdapat beberapa jenis genre dan subgenre drama TV yang popular dalam kalangan pembikin siri TV seperti siri aksi, siri kepolisan, drama hospital, sains fiksyen, doku-drama serta siri drama remaja (Lavery 2003). Genre drama seperti juga genre filem mempersembahkan kepelbagaian tema dan cerita yang berbeza. Secara amnya penghasilan drama TV banyak dipengaruhi oleh kepelbagaian genre seperti juga filem. Malah, drama dari perspektif filem merupakan satu bentuk genre yang dikaitkan dengan pemaparan cerita berat, serius dan yang mengambarkan kisah realiti sesebuah masyarakat setempat.

Mendekati perspektif bentuk dan genre drama Melayu di Malaysia memperlihatkan perkembangan yang sihat melalui persaingan yang wujud di antara produksi-produksi drama Melayu seperti Suhan Movies, JS Productions serta Excellent Pictures dan banyak lagi. Produksi-produksi drama di Malaysia sememang aktif dalam menghasilkan drama terbitan mereka untuk mengisi slot-slot TV tempatan seperti slot Samarinda, Lagenda, Cerekarama dan sebagainya. Bentuk drama yang sering dihasilkan bergantung kepada permintaan stesen TV tempatan seperti drama bersiri sama ada bersambung atau episod serta telefilem.

Khalayak penonton drama Melayu sebenarnya telah didedahkan dengan kepelbagaian pengaruh bentuk drama yang dimport. Drama-drama import ini banyak mempengaruhi produksi drama tempatan dalam menghasilkan drama-drama Melayu yang lebih kurang sama dengan drama yang dimport seperti soap opera. Pada tahun 1970-an dan 1980-an, minat penonton terhadap siri soap opera seperti Dallas mencetuskan suatu fenomena baru dalam industri drama tanah air. Pengaruh drama Dallas cukup kuat sehingga lahir drama seperti PJ Holdings yang cukup popular suatu ketika dahulu yang dikatakan meniru konsep soap opera tersebut. Kemunculan pengaruh drama Kantonis, Jepun, Korea, Filipina serta telenovela Latin dan Sinetron Indonesia juga banyak mempengaruhi perkembangan dalam penghasilan drama Melayu tempatan.

Pada awal tahun 2000-an, drama TV tempatan digegarkan dengan kemunculan drama telenovela yang dimport dari Amerika Latin seperti Columbia dan Venezuela. Khalayak penonton mula beralih arah daripada soap opera dari Hollywood dan drama bersiri Kantonis, drama Korea serta Jepun kepada drama popular telenovela seperti Mis Tres Hermanas, Yo Soy Betty La Fea dan Rosalinda. Fenomena ini banyak memberi ilham kepada produksi drama tempatan dalam melahirkan drama berbentuk telenovela yang lazimnya menyediakan episod yang panjang. Sebagai contohnya drama Manjalara, 75 episod menjadi hit dalam slot Akasia TV3 sebenarnya dilhamkan dari adaptasi siri Venezuela Mi Gordo Bella. Begitu juga drama Spa Q (60 episod) merupakan antara drama Melayu yang dihasilkan dengan sentuhan adaptasi pengaruh telenovela.

Setelah digamatkan dengan pengaruh telenovela, sejak akhir-akhir ini pula khalayak penonton tempatan dihidangkan dengan versi sinetron Indonesia. Beberapa sinetron yang import dari Indonesia meletup dan mendapat sambutan yang menggalakkan daripada penonton TV tempatan seperti Bawang Putih Bawang Merah dan Jelita yang telah ditayangkan di TV3. Sinetron-sinetron ini banyak mendominasi layar kaca TV tempatan. Fenomena seperti ini amat membimbangkan kerana kebanyakan sinetron yang disiarkan mengandungi unsur-unsur khurafat dan tahyul yang menghanyutkan para penonton dengan kehebatan pari-pari dan kekuasaan dunia mistik. Zabidi (2009b) menyatakan bahawa 'The Indonesian Wave' sedang melanda dan menjajah pemikiran khalayak penonton kita sekarang. Mengimport dan menonton terlalu banyak drama/telenovela Indonesia tidak akan menjadikan masyarakat Melayu kita lebih cerdik dari sebelumnya.

Walaubagaimanapun, memang tidak dapat dinafikan bahawa drama-drama dari Indonesia turut menyumbang kepada perkembangan positif terhadap drama bergenre keagamaan. Khalayak penonton di Malaysia banyak disajikan dengan drama yang berunsur keagamaan ini. Malah penghasilan drama-drama keagamaan ini amat konsisten berbanding dengan penghasilan drama-drama di Malaysia. Kajian Muzayin (2008) menyatakan bahawa pada tahun 2005 sehingga 2007, terdapat 44 buah drama keagamaan telah dihasilkan oleh stesen-stesen TV Indonesia seperti TPI, SCTV, TransTV, ANTV dan Indosiar.

Begitu juga dengan telefilem yang menjadi salah satu bentuk pengarah memperjuangkan karya-karya drama mereka. A. Wahab (2001) menyatakan bahawa kemajuan teknologi televisyen telah menipiskan lagi perbezaan nahu filem dan telefilem. Oleh itu kemajuan dan perkembangan kedua-dua bidang ini penting dalam memajukan industri filem tempatan. Pada masa yang sama pembikinan drama akan menjadi permulaan yang baik kepada pembikin filem muda. Bagaimanapun peralihan masa dan sosial serta tuntutan stesyen televisyen yang mahukan rating juga menyebabkan pembikin telefilem mula meneroka tema-tema baru dan moden. Telefilem yang disiarkan oleh televisyen hari ini banyak berkisar dengan kehidupan dunia korporat yang kompleks, dunia remaja dan juga kecenderungan meninjau penggambaran ke luar negara dalam usaha mengalih landskap lokasi yang berbeza. Barangkali perbezaan landskap geografi ini dapat menjadi faktor penarik sesebuah drama.

Dari perspektif genre pula, drama Melayu tempatan banyak mengangkat genre drama dengan tema-tema seperti percintaan, kekeluargaan dan juga sosial masyarakat. Selain itu juga, genre aksi kepolisan, komedi serta seram menjadi pilihan pengarah drama Melayu tempatan. Khalayak penonton hari ini banyak disajikan dengan pilihan drama bergenre seram. Malah wujud persaingan di antara stesen-stesen televisyen ini dalam menyiarkan slot seram untuk tarikan para penonton. Kisah-kisah seram seperti Waris, Jangan Pandang Belakang, Puaka Niyang Rapik serta Saka ternyata mendapat rating yang tinggi dalam kalangan peminat cerita seram tanah air. Ini menyebabkan banyak produksi drama kini dilihat berlumba-lumba menghasilkan cerita-cerita sebegini semata-mata sebagai tarikan kepada penonton.

Begitu juga dengan genre komedi yang melanda penerbitan drama tanah air. Kebanyakan produksi drama gemar menggunakan genre komedi untuk menarik kumpulan khalayak penonton yang menggemari genre ini. Namun, terdapat juga drama-drama komedi yang tidak membantu penonton dengan menyajikan komedi ‘lawak bodoh’ dan tidak mempunyai mesej yang jelas. Drama-drama ini dilihat memperbodohkan khalayak dengan komedi kelas rendah. Sebagai contohnya, TV3 menerusi slot Aksi banyak menyajikan penonton dengan genre aksi komedi fizikal dan slapstik seperti Kaber Hero Kaber Zero, Pepaya dan yang terbaharu drama Jidin.

Selain itu juga TV9 turut menghidangkan drama-drama komedi seperti Mat Jenin, Otai dan Anak Mami. Persoalannya ke mana hala tuju drama yang mereka hidangkan kepada para penonton jika drama-drama seperti ini tidak mengangkat nilai murni sebagai mesej utama mereka. Namun, terdapat juga drama dalam genre ini yang diangkat antara yang terbaik seperti Mr. Mama dan Datin Wan Abe yang memenangi drama komedi terbaik di Anugerah Skrin tahun 2008 dan 2009 (Utusan Online 2008; Shazryn 2009).

Selain daripada genre seram dan komedi yang telah menjadi pilihan khalayak penonton drama Melayu, perkembangan drama tempatan turut menyaksikan kebangkitan fenomena drama bergenre keagamaan. Genre keagamaan ini semakin mendapat tempat di hati para penonton Melayu khususnya. Bermula dengan drama yang memasukkan unsur-unsur keagamaan seperti drama nukilan Abu Hassan Morad dan Zabidi Mohamed, khalayak penonton dilihat menyokong pembaharuan genre ini. Ia menjadi sebagai alternatif hiburan bagi mereka yang cenderung ke arah agama. Cinta Madinah, Ihsan, Mencari Nur Khadijah dan Nur Kasih merupakan di antara contoh drama dalam genre keagamaan yang mendapat sambutan yang membanggakan dalam kalangan para peminat drama Melayu tempatan. Malah drama Nur Kasih yang telah disiarkan di TV3 menjadi fenomena dan impak yang besar dalam penerbitan drama Melayu di Malaysia.

Drama arahan Khabir Bhatia ini mendapat sambutan luar biasa kerana penghasilan skrip, jalan cerita selain teknik sinematografi yang cukup kreatif. Melalui kajian dan sumber yang dikeluarkan oleh AGB Nielsen Media Research, drama bersiri 26 episod ini telah menerima kadar penontonan (berpandukan kepada penonton berumur 4 tahun ke atas) sebanyak lebih 4.1 juta (19 TVR) atau 59% dari peratusan penonton yang menonton pada 27 November 2009, Jumaat dari jam 9.00 hingga 10.00 malam. Malah, melalui khidmat Catch-up TV di laman web rasmi www.tv3.com.my, drama ini turut mendapat sambutan hangat apabila rekod menunjukkan hampir 28 juta (sebulan) pelayar web (tempatan dan antarabangsa) menyaksikan episod drama ini (mstar online 2009).


Wednesday, April 7, 2010

Cabaran Penerapan Dakwah di dalam Filem Melayu di Malaysia: Analisis Kandungan Filem Semerah Padi

Oleh:
Rosmawati Mohamad Rasit
Jabatan Pengajian Dakwah dan Kepimpinan
FPI, UKM

Md Rozalafri Johori
Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi
Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS)

Abstrak
Dakwah melalui perfileman masih mencari ruang dan tempatnya di Malaysia. Usaha dan kecenderungan sesetengah karyawan filem tempatan memasukkan elemen-elemen keagamaan di dalam filem seharusnya dibanggakan. Namun, nilai-nilai Islam di dalam filem perlu difahami secara menyeluruh agar konsep dakwah tidak tersasar daripada jalan yang sebenarnya. Kajian ini mengupas cabaran dalam menerapkan elemen-elemen dakwah di dalam filem-filem Melayu di Malaysia. Filem Semerah Padi (1956) dipilih sebagai filem kajian yang menepati genre keagamaan. Ia merungkai permasalahan agama Islam secara langsung. Kaedah analisis kandungan filem digunakan bagi mengupas dua aspek penting iaitu cerita dan plot serta watak dan perwatakan.



Pengenalan

Dakwah merupakan tanggungjawab bagi setiap Muslim dengan menggunakan pelbagai cara dan pendekatan dalam usaha menyebarkan Islam. Pendakwah perlu memiliki pelbagai kemahiran dan penguasaan ilmu dalam memastikan setiap perjalanan dakwah mereka berjaya. Dalam usaha mempelbagaikan medium untuk berdakwah, filem dilihat sebagai satu medium baru yang sangat berpengaruh untuk diterokai.

Filem diangkat sebagai satu alat penyampaian mesej secara visual dan audio. Sesetengah Negara menggunakan filem untuk menyatakan propaganda idelogi politik, sebagai penyambung warisan kebudayaan, sejarah dan untuk memartabatkan sistem sosial sesuatu bangsa mahupun untuk kepentingan agama. Sehingga kini industri lakonan melalui perfileman bukan lagi menjadi cabang sastera dan kesenian semata-mata, malah menjadi satu industri yang menguntungkan. Selain dari kemampuannya untuk menjana ekonomi bagi para Kapitalis, ia juga menjadi alat propaganda yang paling berkesan bagi sesetengah pihak di serata dunia (Maszlee Malik 2007). Masyarakat menerima filem sebagai medium yang merakam semula sesuatu realiti bangsa (Asiah Sarji 2009). Sigfried Kracauer (1960) melihat filem sebagai paparan mentaliti sesuatu bangsa yang diterjemahkan melalui imej audio dan visual secara langsung kepada masyarakat. Justeru, filem dilihat banyak memberi kesan kepada perubahan dan pembentukan tingkah laku selaras dengan peranannya sebagai agen perubahan kepada masyarakat.

Filem bergerak yang dipelopori oleh Auguste dan Loius Lumiere pada tahun 1896 dan Thomas Edison menjadi titik tolak untuk masyarakat menerima filem dalam perkembangan industri hiburan (Turner 1999; Rodman 2006). Kajian mengenai perfileman telah disentuh dari pelbagai perspektif yang berbeza seperti sudut naratif filem, kepengarahan, aspek teknikal filem, filem sebagai budaya popular dan juga aspek teori filem dan nilai estetikanya. Turner (1999) mengetengahkan kajian filem yang turut mendapat sokongan daripada ahli-ahli akademik. Dalam tahun 1960-an dan 1970-an, minat ahli-ahli akademik terhadap kajian perfileman ini telah berkembang dengan pesat sehingga wujudnya kolej-kolej dan universiti-universiti yang menawarkan kursus-kursus dalam bidang perfileman secara formal.

Pendekatan dakwah yang mencakupi pelbagai bidang perlu difahami oleh pendakwah-pendakwah masa kini. Ini kerana disebabkan dunia semakin berubah, maka perlaksanaan dakwah perlu dilakukan secara menyeluruh dalam usaha mendekati serta mempengaruhi sasaran. Dakwah menerusi perfileman dilihat berupaya memberi ruang kepada pendakwah turut melebarkan usaha mereka dengan strategi dan pendekatan baru untuk mendekati khalayak filem. Walau bagaimanapun, usaha untuk meletakkan dakwah menerusi perfileman bukan perkara yang mudah. Malah cabarannya cukup menguji para pendakwah untuk terus yakin dan komited dengan usaha dakwah mereka. Ini kerana cabaran dakwah di dalam industri perfileman memerlukan kemahiran pendakwah untuk memahami dan menguasai bidang filem ini dengan lebih mendalam.


Cabaran Dakwah di Dalam Filem
Al-Bahi al-Khuly (1984) mentakrifkan dakwah sebagai:
“Satu proses menghidupkan peraturan-peraturan Islam dengan memindahkan umat daripada satu situasi kepada situasi lain (daripada tahap kejadian kepada keilmuan)”

Proses perlaksanaan dakwah merupakan usaha untuk mengajak manusia kepada keredhaan Allah (al-Qaradawi t.th.; Ibn Abdullah 1999). Ab. Aziz Mohd Zin (1997) menjelaskan bahawa dakwah bukan semata-mata mengajak manusia kepada agama Allah, tetapi ia mestilah disertakan dengan uslub dan tatacara yang baik bagi mempengaruhi orang yang diajak itu. Dakwah bukanlah bererti agama itu sendiri, tetapi usaha untuk membawa manusia kepada agama itu.

Justeru, dakwah bukan hanya terikat dengan seruan tradisional seperti ceramah dan kuliah agama, malah turut melangkau pelbagai usaha yang menyeluruh termasuk memaksimumkan media sebagai wasilah penyampaian dakwah. Syamsul Bahri (2003) turut menjelaskan bahawa dakwah sering diertikan sekadar ceramah dalam pengertian sempit, sehingga orientasi dakwah hanya terhad pada perkara-perkara yang bersifat ritual atau ibadah sahaja. Padahal dakwah diharap dapat berperanan sebagai saranan utama bagi masyarakat untuk mempertingkatkan kehidupan menuju ‘hasanah’ di dunia dan ‘hasanah’ di akhirat.

Antara cabaran yang perlu dipikul oleh setiap pendakwah ialah bagaimana untuk menggarapkan dakwah menerusi filem. Industri perfileman yang bermula di Barat khususnya Amerika, banyak mendedahkan dan menerapkan nilai budaya hidup Barat kepada masyarakat dunia. Filem era baru yang menjadikan filem sebagai hiburan kepada masyarakat bermula dengan penubuhan pawagam Nickelodeons di Pittsburgh, Amerika pada tahun 1905 (Turner 1999; Rodman 2006). Justeru, dengan kejayaan awal filem yang diterima baik oleh masyarakat sebagai satu bentuk hiburan baru, filem juga turut mempengaruhi cara hidup mereka. Senario perkampungan global tanpa sempadan yang diutarakan oleh Marshall McLuhan (1964) dan juga ahli-ahli teori filem Barat seperti Andre Bazin (2004) dan Rudolph Arheinm (2004) turut mempengaruhi perubahan corak sosial dan agama masyarakat dalam menilai kehidupan realiti mereka melalui filem. Di Malaysia, banyak filem-filem Melayu yang dihasilkan oleh pengarah-pengarah muda tempatan terarah kepada budaya hidup yang berpaksikan Barat. Ini dibuktikan dengan penerbitan filem-filem seperti Remp-It (2006), Anak Halal (2007), 9 September (2007), Evolusi KL Drift (2008) dan Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam (2009).

Globalisasi turut memberi kesan dan pengaruh luar kepada filem-filem Melayu di Malaysia. Pertembungan di antara nilai dan tamadun menjejaskan kesungguhan umat Islam dalam memahami dan mengamalkan Islam yang sebenar. Kesan inilah yang banyak dipaparkan di dalam filem sebagai Islam liberal melalui pluralisme agama. Ugi Suharto (2007) menjelaskan bahawa pluralisme agama adalah fahaman yang menyamakan semua agama. Fahaman ini lahir akibat sekularisme dan proses sekularisasi masyarakat Barat. Hui dan Mun (2007) dalam membincangkan kesan globalisasi ke atas agama dapat dilihat melalui perwujudan masyarakat global yang berkongsi amalan dan budaya yang sama. Pembaratan dianggap sebagai imej globalisasi yang mengubah masyarakat seperti pengaruh agama. Ia berjaya membentuk masyarakat global yang berfikiran sama seperti mana masyarakat Barat.

Namun begitu, nilai liberal di dalam filem akan merosakkan kemurniaan agama Islam. Islam liberal menyebarkan satu fahaman baru yang berpendapat dan menerima bahawa semua agama adalah sama. Sedangkan kita tidak boleh menyamakan Islam dengan agama-agama lain di dunia. Walaupun begitu, ia bukanlah menjadi dasar Islam, untuk memandang rendah kepada agama-agama lain. Nilai liberal di dalam filem-filem Yasmin Ahmad seperti Sepet (2005), Gubra (2006) dan Muallaf (2009) dibimbangi akan mengelirukan penonton yang tidak memiliki kefahaman agama secara menyeluruh. Dengan mudah mereka akan terpengaruh dan terpesong dengan aliran pemikiran baru ini. Penonton disajikan dengan kehidupan masyarakat Malaysia yang aman dan harmoni tanpa mengira ras keturunan dan agama. Namun, dengan menyogokkan kepada penonton bahawa Islam sebagai satu agama yang sama tarafnya dengan agama lain seperti Kristian dan Budha adalah sangat tidak tepat. Terlalu bertoleransi dalam mencapai kesepakatan di dalam konflik antara agama menyebabkan masyarakat Melayu-Islam sanggup menggadaikan agamanya sendiri atas nama keharmonian kaum.

Ini menunjukkan genre yang memaparkan secara langsung pendekatan agama Islam di dalam filem-filem Melayu masih kurang di Malaysia. Hanya terdapat beberapa buah filem sahaja yang boleh diletakkan di dalam genre keagamaan ini yang dihasilkan di Malaysia seperti filem Semerah Padi (1956), Isi Neraka (1960) dan Syukur 21 (2000). Filem-filem ini kurang diminati oleh penonton filem Melayu yang rata-rata majoritinya terdiri daripada kalangan belia dan remaja yang masih muda. Golongan ini menerima filem sebagai alat untuk berhibur dan untuk lari dari segala masalah serta cengkaman keserabutan emosi. Justeru, pengarah-pengarah tempatan lebih selesa memilih genre komersial yang diterima dan mendapat sambutan daripada penonton seperti komedi romantik, cinta, seram dan melodrama. Filem turut dipersalahkan akibat kesan perubahan trend sosial masyarakat dan individu yang dipaparkan termasuk isu kemerosotan nilai dan moral, babak-babak keganasan, sesuatu yang sterotaip seperti isu wanita dan minoriti dan juga ketidakfahaman mengenai realiti di dalam filem itu sendiri (Vivian 2005; Rodman 2006). Kekeliruan pembikin filem di antara memenuhi kehendak masyarakat dan tanggungjawab sosial mereka menyebabkan filem dan masyarakat menjadi mangsa.

Sesuatu yang menarik mengenai industri hiburan tempatan sejak akhir-akhir ini ialah kecenderungan produser drama dan filem menerbitkan karya berunsur kerohanian (Rozdan Mazalan 2009). Kredit pujian juga harus diberi kepada pengarah-pengarah tempatan yang cuba menyelitkan unsur-unsur Islam di dalam olahan cerita mereka secara langsung mahupun tidak langsung seperti filem Syurga Cinta (2009), Muallaf (2009), Maut (2009), Budak Kelantan (2008) dan Gubra (2006). Apa yang perlu ditekankan ialah mengenai isu kebenaran dan fakta hukum yang jelas supaya tidak timbul kekeliruan di kalangan masyarakat Islam itu sendiri. Justeru, pemahaman agama secara menyeluruh amat diperlukan di kalangan pembikin-pembikin filem tanahair agar tidak mewujudkan ajaran agama Islam yang liberal dan menyesatkan. Setiap hukum dan syariat di dalam Islam adalah suatu yang mutlak yang tidak boleh dipermudahkan walaupun atas dasar perlaksanaan dakwah.

Kebanjiran filem-filem bertema remaja amat membimbangkan apabila watak remaja yang dipaparkan tidak seimbang dari aspek fizikal dan mental. Remaja dipaparkan sebagai manusia yang bertenaga (energetik) dan berdaya saing. Namun, aspek mental atau rohani pula, remaja yang dipaparkan melalui filem merupakan seorang yang lemah dan mudah terpengaruh dengan budaya negatif. Malah, sering juga dipaparkan perwatakan remaja yang tersalah haluan, tidak bijak memilih atau membuat keputusan. Mereka sering bertindak melulu seolah tidak memikirkan langsung tentang masa hadapan (Zalila Isa 2007). ‘Sinema Malaysia’ sebagai satu portal rasmi perfileman Malaysia di bawah FINAS dalam memaparkan filem-filem yang telah dihasilkan oleh pengarah-pengarah filem tanahair turut mencatatkan bahawa genre drama dan komedi mendapat tempat yang tertinggi sebagai pilihan genre di kalangan pembikin filem tempatan. Ia diikuti dengan filem yang bertemakan cinta. Selain itu, genre yang turut mendapat tempat di hati penonton ialah filem-filem seram tempatan (www.sinemamalaysia.com.my).

Akhir-akhir ini juga, masyarakat turut dipertontonkan dengan musim filem-filem seram yang banyak digarap oleh pengarah-pengarah tempatan. Genre seram ini mendapat pelbagai reaksi daripada penonton. Dengan kejayaan filem Jangan Pandang Belakang (2007) yang mencapai rekod kutipan tertinggi lebih RM7 juta, turut merangsang pengarah-pengarah filem tempatan untuk berlumba-lumba menghasilkan filem dalam genre jenis ini. Bermula dengan Mistik (2003), Pontianak Harum Sundal Malam dan sekuelnya (2004 & 2005), Tujuh Perhentian (2004), Congkak (2008) dan Rasukan Ablasa (2009) membawa penonton kepada genre seram yang berlegar dalam dunia hantu dan ancaman alam lain yang menggangu dunia manusia. Apa yang perlu dititik beratkan ialah mengenai pegangan akidah yang seharusnya menjadi akar umbi kepada setiap muslim agar tidak digoyahkan dengan kepercayaan lain selain daripada kekuasaan Allah SWT.

Syukur 21 (2000) sebagai satu filem yang berlatarkan agama dilihat gagal meraih sokongan penonton walaupun dengan kos pembikinannya yang mencecah 3.8 juta. Filem ini menjadi antara filem pertama di Malaysia yang menggunakan teknologi terkini termasuk aspek penataan bunyi dan muzik latar serta paparan kesan grafik animasi tiga dimensi (3D). Kegagalan filem ini dilihat banyak terletak kepada pemilihan watak yang kurang bersedia membawa watak sebagai pelakon. Hanya bersandarkan kepada kumpulan Raihan yang popular ketika itu, Syukur 21 tidak menjanjikan perubahan watak kerana mereka gagal menghayati watak masing-masing dengan mutu lakonannya yang lemah. Aspek naratif dan penceritaannya yang longgar menyebabkan Syukur 21 terasa mudah konfliknya dengan lontaran dialog-dialog nasihat yang klise. Walaubagaimanapun imej Islam masih tinggi letaknya di bawah sutradara baru Eddie Pak atau Aliff Najmi ini.

Farzad Wafapoor (2008), seorang pengarah filem bebas Muslim yang terkemuka menjelaskan bahawa banyak cabaran dalam mengamalkan nilai seorang Muslim yang sebenar dalam industri filem di Amerika yang jelas secara langsung menyentuh paparan babak seksual dan ‘nudity’ yang merupakan babak murahan dalam menarik penonton. Menurut beliau, wujud dua perspektif pembikin filem Muslim dalam industri ini iaitu pengarah Muslim yang masih berpegang dengan ajaran Islam yang sebenar yang jelas mahu menggunakan industri filem sebagai jalan untuk berdakwah. Terdapat juga sekelompok pengarah Muslim yang menggunakan filem untuk mengubah kefahaman Islam melalui pembaharuan. Apa yang tidak difahami mereka ialah bukan Islam yang perlu kepada pembaharuan tetapi umat Islam itu sendiri. Walaubagaimanapun, beliau berpendapat masih ada ruang yang cukup positif bagi para pengarah Muslim di dalam bidang ini (Zaynab Herrera 2008).
Memahami Islam dan menerapkan elemen-elemen dakwah bukan hanya dengan memaparkan babak solat, azab siksa, pembalasan secara poetic justice mahupun lambakan dialog nasihat kepada penonton serta nilai kemanusiaan semata-mata. Banyak filem yang dihasilkan menyatakan pendirian pengarah dengan mengetengahkan mesej-mesej yang baik, menginsafkan dan berdakwah. Namun turut mengelirukan penonton dengan adegan-adegan yang mencemarkan agama seperti berzina, pergaulan tanpa batasan dan juga pendedahan aurat yang melampau.


Analisis Filem Semerah Padi
Semerah Padi (1956) merupakan filem kedua arahan P.Ramlee yang menterjemahkan kelangsungan hidup masyarakat Semerah Padi berlandaskan agama Islam yang sebenar. Filem ini menyumbang kepada perkembangan dan keutuhan Islam dan sehingga ke hari ini Semerah Padi dianggap naskah terhebat P.Ramlee dalam memperjuangkan nilai agama dalam masyarakat dan banyak diperbincangkan dalam kajian dan kritikan filem tempatan. Anuar Nor Arai menyatakan bahawa Semerah Padi sebagai filem masyarakat Melayu yang dilihat dalam konflik sosial dan agama. Mereka meletakkan agama sebagai tunggak penentu seluruh sistem sosial yang dianuti oleh masyarakat Semerah Padi. Manakala Ku Seman Ku Hussain berkata;
“P.Ramlee menjelmakan "Semerah Padi" sebagai filem yang kental dengan Melayunya”.

Tunggak pengarahan yang didirikan oleh P.Ramlee terlalu tinggi untuk dicapai oleh pengarah-pengarah filem sezamanya. Lingkungan naivete pada lakonan, pengarahan seni, rekaan produksi, hubungan prop, penguasaan ruang dan fotografi sudah beralih kepada lingkungan yang bijak dan artistik. Semerah Padi sudah terlalu jauh teranjak daripada gaya pengarahan sezamannya dan material sosial yang terdapat dalam Penarek Becha dan seluruh filem sebelumnya yang melihat cita-cita dan harapan Melayu itu “terapung-apung di langit biru yang bergejolak akan nasib dan air mata” (Anuar Nor Arai 2007).


1. Cerita dan Plot
Plot adalah keseluruhan filem dan cerita adalah pecahan kepada peringkat-peringkat plot yang tertentu. Plot filem merangkumi sebarang perkara yang wujud secara visual atau bunyi dalam filem tersebut. Ia juga merangkumi segala kejadian cerita yang sama ada dipersembahkan secara langsung dalam cerita tersebut atau sebagai bahan di luar cerita. Empat faktor menentukan kualiti sesebuah cerita iaitu kaitan, intensiti kesan, kompleksiti cerita dan keaslian cerita (Muhammad Hatta Muhammad Tabut 2003).

Kekuatan filem Semerah Padi terletak kepada cerita dan plotnya yang kuat. Berbeza dengan filem-filem Melayu yang pernah diterbitkan, Semerah Padi mempunyai subjek yang asli. Aspek keaslian Semerah Padi sangat kuat. Semerah Padi (1956) menceritakan tentang sebuah kampung yang bernama Semerah Padi. Semerah Padi dipimpin oleh seorang ketua kampung yang kuat agama dan mengamalkan peraturan dan undang-undang Islam yang sebenar. Watak utama filem ini ialah P.Ramlee sebagai Aduka, Nordin Ahmad sebagai Taruna dan Sa’adiah sebagai Dara.

Konflik wujud apabila Dara ditunangkan dengan Taruna sedangkan Dara dan Aduka saling mencintai. Tewas dengan ujian nafsu menyebabkan Dara dan Aduka terlanjur sehingga memaksa bapa Dara sebagai ketua kampung menjatuhkan hukuman sebat 100 kali kepada mereka. Intipati dan dasar cerita yang berpegang kuat kepada perundangan Islam yang sebenar menjadikan filem ini berbeza dengan filem-filem cereka Melayu yang lain. Walaubagaimanapun filem P.Ramlee ini masih bertunjangkan cinta manusia dan yang membezakannya dengan filem-filem Melayu yang lain adalah dengan sandaran Tuhan sebagai paparannya.

Semerah Padi berjaya menarik penonton dengan garapan perlaksanaan hukum yang berkesan. Cerita Semerah Padi mempunyai intensiti kesan yang berkesan. Filem ini mempunyai babak-babak yang mencuit emosi penonton terutamanya ketika undang-undang Islam dilaksanakan. Sebagai ketua kampung Semerah Padi, hukum Islam tetap hukum walau terhadap anak kandungnya sendiri. Perbuatan zina yang dilakukan oleh pasangan Aduka dan Dara diselubungi oleh perasaan bersalah, malu dan menyesal. Menerima apa sahaja hukuman yang dijatuhkan menunjukkan sifat manusia yang lemah dan patuh kepada undang-undang Islam. Hukuman sebat 100 kali ini menimbulkan simpati penonton. Perlaksanaan hukum sula terhadap Jejaka dan Galak juga turut terkesan seolah-olah turut merasa ngeri dan sakit yang amat sangat.

Dalam Semerah Padi terdapat beberapa sub-plot yang mempunyai kaitan secara langsung kepada penceritaan utama watak. Kewujudan cerita seperti perlakuan sumbang Jejaka dan Galak yang akhirnya disula menyebabkan abang Jejaka iatu Borek berdendam dengan penghulu Semerah Padi sehingga membuat kacau dan menculik Dara. Rentetan daripada itu, berlakunya perlakuan zina di antara Dara dan Aduka ketika Aduka berjaya menyelamatkan Dara daripada Borek. Semerah Padi mempunyai jalan cerita yang mudah difahami. Penonton boleh meneka kesudahan cerita ini yang berakhir dengan happy ending setelah watak utama cerita diuji dengan ujian cinta yang berat.


2. Watak dan Perwatakan
Watak Aduka, Dara dan Taruna bergerak dalam ruang atmosfera mereka sendiri dalam mencari titik pertemuan dan perbezaan yang mengangkat sisi depan dan sisi gelap mereka. Dalam filem ini, P.Ramlee tidak menjadi P.Ramlee di luar filem tetapi melakonkan watak Aduka yang berjiwa tulus, jujur dan naif. Watak Aduka tewas dengan rayuan Dara di kala berduaan dalam malam hari ketika hujan yang melantunkan gelodak jiwa mereka dengan godaan nafsu dan syaitan sehinggakan mereka terlanjur berzina.

Dara sebagai seorang perempuan yang remaja jiwanya ingin memiliki cinta sejati. Watak Dara masih dibaluti tebal dengan kemelayuan seorang perempuan Melayu dengan menampilkan ciri-ciri sopan santun, lemah lembut dan menghormati orang tua. Namun, godaan syaitan dan wanita sebagai fitnah tidak mampu menyelamatkan Dara dari terus mempertahankan maruahnya di tangan Aduka. Dara tewas memelihara cintanya terhadap Aduka.

Watak Taruna digambarkan sebagai seorang lelaki yang gagah perkasa, memiliki jiwa keperwiraan, berhati waja dan tegas. Namun, di sebalik itu dia masih mempunyai jiwa yang halus dan lembut sehingga mampu memaafkan kesalahan Aduka. Kekuatan watak Taruna ialah menerusi ekspresi wajahnya yang tenang dan tidak cepat menghukum.

Pemakaian watak Aduka, Taruna dan Dara masih tebal dalam acuan budaya Melayu. Walaubagaimanapun, acuan Melayu mereka masih berbeza dengan konsep syariat Islam yang sebenar. Watak mereka masih bergerak bebas tanpa pemahaman konsep aurat dan batasan di antara lelaki dan wanita yang bukan mahram. Watak Dara yang berselendang yang menampakkan aurat seorang wanita mewakili gadis-gadis di perkampungan Semerah Padi yang mengamalkan undang-undang Islam. Mungkin alasan tahun 1956 ada logiknya dengan pengamalan masyarakat Islam yang baru berkembang jika hendak dibandingkan pada tahun 1990-an dan abad ke 21 ini.

Sikap watak dengan penuh kesopanan dan kemelayuannya menjadi tunjang utama watak dalam Semerah Padi seiring dengan akhlak seorang Muslim. Bahasa yang penuh santun dan alur pekerti seorang Muslim banyak didapati dalam paparan babak-babak Semerah Padi. Babak Dara dan Taruna yang memohon lalu dengan membongkokkan badan di belakang orang yang lebih tua menonjolkan pekerti dan akhlak terpuji Muslim. Contoh: “Pak, pak! Dara tumpang lalu ya. (Sambil membongkokkan badan)” Begitu juga dengan watak Taruna yang meminta izin daripada ibu Aduka terlebih dahulu sebelum bertemu dengan Aduka menunjukkan sahsiah yang tinggi dalam menghormati orang yang lebih tua. Watak Tok Penghulu sebagai ketua kampung Semerah Padi banyak ditonjolkan sebagai seorang yang taat beragama dengan paparan babak seperti babak mengaji dan cara beliau memberi hukum. Sikap watak yang dikaitkan dengan hubungan ritual dan ibadah ini menghubungankan kejiwaan manusia dengan kekuasaan Allah SWT.

Semerah Padi juga mengangkat budaya bangsa dan agama Islam dengan bahasa yang amat tinggi santunnya. Kesan ketinggian bahasa ini amat dirasai dan menggambarkan keluhuran bangsa Melayu itu sendiri dalam memartabatkan Islam sebagai agama rasmi penduduk Semerah Padi. Di antara dialog-dialog di dalam Semerah Padi yang terkesan di hati penonton ialah;
1. “Pertunangan adalah soal perseorangan tetapi agama, bangsa dan tanahair ialah soal bersama”.
2. “Mengapakah yang dilarang agama kamu lakukan”.
3. “Kerana nafsumu dikuasai syaitan. Perbuatan mu derhaka kepada Tuhan, derhaka kepada tanahair, bangsa dan agama. Kita semua beragama Islam yang taat kepada undang-undang agama”.
4. “Kamu taat kepada ketua mu tapi kamu lupa penduduk Semerah Padi lagi taat kepada agama Islam”.
5. “Alang-alang hidup bergelumang dosa, biar mati dijilat neraka”.
6. “Biar busuk daging ku mamah agar kau terhindar cemar”.


Rumusan dan Kesimpulan
Semerah Padi menjadi antara filem Melayu bergenre keagamaan yang boleh dibanggakan. Kekuatan dan penghayatan Islam di dalam Semerah Padi amat kuat sehinggakan Islam menjadi tunjang dalam kehidupan sosial penduduk Semerah Padi. Namun, masih terdapat ruang-ruang yang boleh dibuat penambahbaikan seperti kejelasan hukum mengenai aurat, persentuhan di antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram dan akhlak Muslim yang sebenar. Cabaran dan dilema inilah yang sering dihadapi oleh pengarah-pengarah Muslim di Malaysia dalam menterjemahkan nilai Islam tanpa mengabaikan unsur-unsur komersial filem. Kesukaran membuat pilihan di antara memartabatkan syariat dan hukum dengan kehendak komersial menyebabkan cabaran ini terus berlarutan dalam mana-mana filem walaupun di atas sandaran agama dan dakwah. Tanggungjawab meletakkan hukum pada tempatnya perlu digalas oleh pengarah Melayu-Islam hari ini untuk menyebarkan kefahaman Islam yang sebenar.

Masyarakat memerlukan filem yang dapat memaparkan corak dan budaya hidup berlandaskan agama. Ini kerana filem bukan hanya lakaran kanvas yang kosong tanpa pengisian nilai dan agama. Setiap paparan babak dan dialog mampu mengekspresikan kekuatan sesuatu bangsa dan agama yang diangkat menerusi filem. Walaubagaimanapun, filem yang diangkat dari konteks agama seharusnya memerlukan suatu kefahaman yang cukup jelas mengenai jawapan kepada setiap permasalahan hukum dan syariat Islam.

Umat Islam perlu keluar dari memandang filem sebagai hiburan semata-mata malah seharusnya lebih sensitif mengenai isu-isu agama yang dipaparkan secara negatif. Babak-babak klise yang sering dipaparkan di dalam filem seperti gambaran negatif ahli agama terhadap masyarakat seni dan sikap prejudis yang mereka amalkan di dalam menilai dan menghukum manusia lain. Kemerosotan nilai yang berlaku di dalam masyarakat Melayu hari ini menghilangkan rasa sensitiviti mereka mengenai isu-isu agama dan moral seperti seks luar nikah, manusia Islam tanpa solat Subuh, cerita di kamar tidur yang dipertontonkan tanpa segan silu malah memeluk seseorang yang bukan mahram. Paparan babak-babak zina sudah menjadi biasa dan lazim di dalam filem-filem Melayu tanpa timbul rasa bersalah dan malu terhadap agama Islam itu sendiri.

Justeru, penghasilan filem-filem bergenre keagamaan perlu diperbanyakkan bagi membantu penonton agar tidak terkeliru dengan dakyah-dakyah Barat yang dizahirkan melalui filem. Ideologi dan fahaman baru tentang Islam yang menular dalam masyarakat Melayu-Islam di Malaysia perlu diselamatkan agar tidak tergadai nilai agama dan akidah yang menjadi tunjang kebenaran umatnya. Harapan yang tidak pernah hilang adalah untuk meletakkan filem sebagai platform dan medan dakwah sebagai usaha yang berterusan.



Tuesday, April 6, 2010

STRUKTUR LAKON LAYAR

Muhammad Hatta (2003) menjelaskan bahawa struktur lakon layar merangkumi aksi, watak, titik plot, sekuen dan kejadian. Lakon layar yang baik selalunya mempunyai garisan dramatik yang kukuh. Ia membawa cerita maju ke hadapan hingga kepada bahagian penyelesaian. Syd Field (1993) menyarankan strukur paradigma lakon layar moden untuk menjelaskan plot dan naratif penceritaan sesebuah filem. Manakala Mehring (1989) membincangkan mengenai struktur paradigma klasik yang meletakkan konflik dan klimaks di bahagian akhir cerita. Walaubagaimanapun, seorang pengarah filem bebas memilih aliran struktur paradigma lakon layar sama ada moden mahupun klasik dalam menghasilkan naskah pengarahannya.

Asas ilmu teori – metateori

Metateori ialah teori mempelajari ilmu tentang teori. Saodah et al. (2003) menjelaskan peranan metateori yang membantu para sarjana komunikasi membuat klasifikasi tentang teori komunikasi. Metateori adalah seumpama peta topografi yang diperlukan untuk membuat klasifikasi, perbandingan dan penilaian teori-teori komunikasi. Pelbagai keterangan teoretikal tentang komunikasi dapat disusun dengan adanya metateori.

Terdapat tiga asas ilmu metateori yang menjadi tunjang di dalam setiap proses komunikasi yang berlaku;

1. Ontologi

Kajian ontologi ialah yang melibatkan pemahaman mengenai kewujudan realiti di sekeliling kita. Ontologi menekankan fenomena realiti dengan persoalan mengenai ‘apa’. Para sarjana teori melabelkan tiga bentuk pandangan yang berbeza mengenai realiti. Mereka melihat sesuatu fenomena realiti itu sama ada melalui lensa realis, nominalis ataupun konstruktionis sosial. Bagi sarjana sosial realis, mereka melihat dunia secara objektif. Mereka berpandangan bahawa secara realitinya, memang wujud dunia lain di luar pengalaman dan pemikiran kita. Nominalis pula melihat dunia secara subjektif dan mendakwa semua benda di luar daripada pemikiran kita hanyalah wujud pada nama dan label semata-mata, tidak lebih daripada itu. Konstruktionis sosial berpendapat bahawa realiti ialah sesuatu yang dicipta oleh manusia dari interaksi yang mereka bina terdahulu dan juga semasa. Justeru, konstruktionis sosial berdiri antara realiti objektif dan realiti subjektif.

2. Epistimologi

Epistimologi berkaitan bagaimana sarjana teori menyelidik sesuatu fenomena. Ia merupakan falsafah mengenai cara menyelidik dan mendapatkan ilmu pengetahuan. Bidang epistimologi ini menekankan cara pemerolehan ilmu secara objektif melalui proses penyelidikan saintifik di dalam menjelaskan tentang hubungan sebab-akibat sesuatu fenomena. Para sarjana teori yang berorientasikan penyelidikan secara objektif yakin bahawa hanya bukti dan hasil yang dikutip melalui kajian empirikal dengan cara yang objektif dapat menjelaskan fenomena yang dikaji secara tepat dan benar. Walaubagaimanapun, bagi sarjana yang berorientasikan subjektif, mereka berpendapat bahawa kefahaman mengenai dunia sosial adalah bersifat relatif yang tidak akan diperolehi hanya dengan menumpukan kepada objektif semata-mata. Mereka berusaha mengkaji sesuatu fenomena dengan membina hubungan secara langsung dengan subjek kajian seperti yang sering didapati melalui kajian interpretif melalui temu bual atau etnografi.

3. Aksiologi

Aksiologi membincangkan mengenai persoalan nilai yang menjadi panduan para sarjana teori dalam membina dan mengembangkan teori. Terdapat pandangan sarjana teori yang menolak nilai dalam sesuatu penyelidikan yang dijalankan. Namun, terdapat juga mereka yang berpendapat bahawa seseorang penyelidik itu tidak mungkin dapat menolak nilai dari konteks penyelidikan. Hubungan di antara nilai dan teori menunjukkan bahawa mustahil untuk menolak nilai malah nilai peranan membawa penyelidik pada tahap kesarjanaan mereka. Namun, faktor-faktor seperti bias sentiasa menjadi faktor yang menjejaskan teori yang dibina.

Kesimpulannya, teori-teori komunikasi dibina dari lingkungan konteks dan dipengaruhi oleh pelbagai tanggapan penyelidik. Ilmu asas metateori membantu sebagai penunjuk dalam proses perkembangan teori dengan perbincangan aspek-aspek ontologi (kewujudan realiti), epistimologi (kewujudan ilmu pengetahuan) dan aksiologi (peranan nilai). Walaubagaimanapun, para sarjana dan intelektual Muslim khususnya perlu menilai kembali pendekatan pengajaran komunikasi dari aspek metateori seperti yang dikemukakan oleh Fuziah Kartini (1989). Zulkiple (2001) turut menyokong hujah tersebut dengan menjelaskan apa yang berlaku di seluruh negara Islam termasuk Malaysia yang berorientasikan pengajaran komunikasi di institusi pengajian tinggi yang terikat dengan pendekatan sekular Barat. Justeru, pengajaran komunikasi yang wujud dekad ini hanya mementingkan penemuan yang bersifat rasional dan empirikal yang menafikan ketauhidan Allah sebagai yang Maha Pencipta. Isu-isu di luar keupayaan mental manusia seperti kehidupan selepas mati dan perkara berkenaan sam’iyyat tidak mendapat tempat, apatah lagi dihargai. Malah, soal ilmu pengetahuan perlu dibincangkan sejujurnya dalam konteks Islam yang diturunkan oleh Allah SWT yang Maha Mengetahui.

Friday, April 2, 2010

Keamanan Global dalam Melaksanakan Dakwah Multi Etnik: Cabaran Media Hari Ini

ROSMAWATI MOHAMAD RASIT (UKM)
PROF. HJ. MUSA ABU HASSAN (Ph.D, KMN) (UPM)


ABSTRAK

Perubahan paparan media hari ini memberi impak kepada perlaksanaan dakwah multi etnik dalam memaparkan berita mengenai Islam secara jujur. Gambaran negatif dan prejudis media khususnya media Barat menyumbang kepada fahaman yang skeptikal terhadap Islam sehingga keamanan global menjadi kucar kacir. Rentetan peristiwa 11 September turut menyumbang pandangan serong Barat kepada masyarakat Islam dengan paparan penganut Islam sebagai ‘terrorist’ dan ekstremis. Kajian ini melihat bagaimana media memaparkan imej Islam kepada masyarakat bukan Islam (non-Muslim) sehingga menjejaskan proses perkembangan dakwah kepada multi etnik. Cabaran media hari ini ialah untuk mengekalkan kredibilitinya sebagai medium yang dipercayai masyarakat dunia. Negara-negara Islam turut tercabar dengan kelemahan media mereka dalam mempertahankan maruah agama dan martabat bangsa. Hasil kajian mendapati penglibatan umat Islam dengan penyatuan (convergence) media melalui laman web Islam dan kewujudan media Islam dilihat sebagai strategi terbaik untuk mengekalkan imej Islam sebagai satu cara hidup.


PENDAHULUAN

Pandangan negatif Barat terhadap Islam banyak mempengaruhi imej Islam secara amnya lebih-lebih lagi di mata masyarakat bukan Islam. Masyarakat Islam terus berhadapan dengan prejudis masyarakat dunia yang semakin menebal jika Islam tidak dijelaskan secara jujur. Senario antarabangsa yang melatari hubungan Islam-Barat perlu dirungkaikan dengan penjelasan dan persepakatan agar skeptikal negatif terhadap Islam dapat dijernihkan kembali.

Media banyak membantu mewujudkan pandangan-pandangan negatif ini yang memihak kepada Barat. Pandangan berat sebelah ini mengakibatkan proses perlaksanaan dakwah khususnya dakwah kepada multi etnik tidak berjalan seperti yang diharapkan. Kesannya dunia menjadi semakin lantang mengecam dan mengisytiharkan perang ke atas negara-negara Islam yang dikatakan terlibat secara langsung dengan isu ‘terrorisme’ ini. Masyarakat dunia semakin menjauhi Islam sehingga merumitkan kerja-kerja penyampaian dakwah. Kesejagatan dan keamanan dunia secara global terancam dan berlaku ketidakseimbangan dalam proses penyampaian dan penerimaan maklumat yang sebenar.


DAKWAH KEPADA MULTI ETNIK

Menyampaikan risalah Islam kepada manusia sejagat merupakan tuntutan setiap Muslim baik kepada saudara baru ataupun sebaliknya. Ini selaras dengan apa yang telah dinyatakan di dalam al-Quran bahawa Rasulullah S.A.W telah diutuskan untuk menyampaikan mesej Islam kepada umat sejagat. Sebagaimana yang terkandung di dalam al-Quran yang bermaksud:
“Dan tidaklah Kami utuskan engkau kecuali sebagai rahmat untuk sekalian alam” (Al-Quran, Surah Al-Anbiya (21) : 107).

Menurut Mohamad Kamil dan Muhammad (2007), dakwah mencakupi semua usaha yang baik yang dilakukan secara terancang (bukan semata-mata laungan) sama ada secara individu atau berkumpulan dengan menggunapakai pendekatan (uslub) tertentu untuk membawa manusia supaya mengetahui tujuan hidup bagi mencapai kebahagiaan di dunia dan di akhirat sama ada menerusi ilmu-ilmu yang diturunkan melalui wahyu ataupun ilmu-ilmu lain yang boleh memberikan faedah kepada kehidupan manusia. Ab. Aziz (1997) pula menjelaskan dakwah sebagai usaha yang dilakukan oleh seseorang atau kumpulan dengan pendekatan tertentu untuk membawa manusia kepada keredhaan Allah. Justeru, proses perlaksanaan dakwah memerlukan pendekatan yang berbeza bergantung kepada setiap sasaran dakwah. Walaubagaimanapun, dakwah sama ada kepada golongan Muslim mahupun bukan Muslim tetap memerlukan matlamat yang sama iaitu untuk mendapatkan keredhaan Allah SWT.

Pendekatan dakwah hari ini memerlukan pendakwah yang kental jiwa dan mampu bersaing dengan cabaran alaf baru terutamanya cabaran globalisasi. Fariza (2000) berpendapat dalam arus globalisasi, mungkin fenomena dakwah (metode, isi dakwah, perancangan, strategi dan pendakwah) banyak yang perlu dibaiki, dikemaskini dan mewujudkan penemuan baru bagi diselarikan dengan proses globalisasi yang wujud. Justeru, mereka seharusnya dapat menguasai pelbagai kemahiran untuk memastikan tugas dakwah sentiasa berterusan.

Dakwah kepada masyarakat bukan Islam seperti yang wujud di Malaysia memerlukan kemahiran pendakwah dalam konteks pendekatan dan strategi yang berkesan. Masyarakat Malaysia terdiri daripada multi etnik dengan variasi budaya dan agama, memerlukan pendekatan yang berbeza untuk mencapai perpaduan ummah. Sebagai contohnya cara berdakwah kepada masyarakat Orang Asli mungkin berbeza dengan dakwah kepada masyarakat India mahupun Cina. Ini kerana setiap kumpulan etnik mempunyai latar belakang persekitaran, kepercayaan dan budaya yang berbeza yang memerlukan pendakwah memahami mereka dengan cara yang berbeza.

Isi dakwah kepada orang bukan Islam dilihat kepada jenis agama dan kepercayaan yang mereka anuti (Ab. Aziz 1997). Oleh sebab itu, pendakwah yang bijak ialah mereka yang memahami agama yang ingin didakwahi seperti contohnya bagi mereka yang beragama Budha atau Hindu, penekanan isi yang paling utama ialah dari aspek kepercayaan dan amalan nenek moyang mereka. Memahami sasaran dakwah dapat memberi ruang kepada pendakwah untuk membina hubungan melalui metode dakwah yang digunakan. Justeru, pemilihan metode dakwah ketika berhadapan dengan sasaran dakwah non-muslim sama ada secara berhikmah, menonjolkan qudwah hasanah dengan kata-kata yang baik atau bersikap tegas dan berdialog ketika berhadapan dengan mereka yang cuba menjatuhkan Islam dianggap penting bagi memudahkan proses perkembangan dakwah. Tiga metode penting ini merupakan metode yang telah diperkenalkan oleh Islam sebagaimana firman Allah dalam surah al-Nahl (125) yang bermaksud:
“Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalannya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk” (Al-Quran, Surah al-Nahl (14): 125 )

Tanggungjawab dan tugas berdakwah kepada non-Muslim atau etnik dari agama yang lain bukanlah satu usaha yang baharu malah ia mempunyai sejarah yang lama semenjak awal penyebaran Islam di Tanah Arab. Penyebaran Islam di Madinah menyaksikan perlaksanaan dakwah multi etnik bergerak seiring dengan perkembangan Islam di serata dunia. Islam tersebar luas di luar dunia Tanah Arab dan diterima oleh masyarakat bukan Islam sehingga mereka mengamalkan Islam sebagai satu cara hidup. Malah Islam diterima di Eropah dengan penaklukan Andalusia dan berkembang sehingga ke benua China.

Bagi umat Islam, model perpaduan ummah sejak awal-awal lagi telah pun dirintis oleh Rasulullah S.A.W. Baginda telah berjaya mewujudkan model perpaduan ummah dalam sebuah negara yang dipimpinnya secara langsung yang dikenali sebagai Madinat al-Rasul atau Negara Madinah (Syamsul Bahri 1998). Rasulullah S.A.W membangunkan Madinah dengan kekuatan penduduk Madinah yang ketika itu terdiri daripada kaum Aus dan Khazraj. Madinah juga dihuni oleh tiga golongan kaum Yahudi iaitu Bani Quraizah, Qainuqa’ dan Bani Nadhir. Baginda membentuk Madinah sebagai sebuah negara Islam melalui Piagam Madinah dengan meletakkan Muhajirin, Ansar, kaum Arab yang bukan Islam serta kaum Yahudi di bawah satu pemerintahan negara Islam.

Namun, dakwah hari ini menghadapi cabaran yang besar terutama dakwah kepada mereka yang bukan Islam. Antara cabaran yang utama yang mengakibatkan proses dakwah gagal adalah disebabkan oleh prejudis media. Ini kerana paparan buruk media mengenai umat Islam menjadi penghalang dan penyebab negatif masyarakat bukan Islam sehingga mereka menilai Islam dengan gambaran yang skeptikal. Justeru, dakwah multi etnik menerima akibat daripada ketidakseimbangan maklumat yang disampaikan oleh pihak media terutamanya media Barat. Langkah-langkah penting perlu diambil untuk mengatasi masalah dakwah ini daripada terus memihak kepada pihak Barat yang sentiasa ingin menjatuhkan Islam.


CABARAN MEDIA HARI INI

Media berperanan penting dalam melaporkan berita secara jujur tanpa wujud pengaruh-pengaruh luar yang mempengaruhi persepsi berat sebelah sesuatu laporan. Berita yang dilapor perlu memberikan maklumat yang tepat dan dapat dinilai oleh masyarakat secara rasional dan benar. Noshina (2007) turut menjelaskan peranan media dalam membentuk imej sesebuah bangsa dan masyarakat. Justeru, negara-negara besar dunia seperti Amerika Syarikat dan Eropah sering memanipulasi peranan media dalam meletakkan imej negara-negara membangun dari negara dunia ketiga dan negara Islam khususnya sebagai mundur, tidak bertamadun dan juga sering terlibat dengan isu keganasan yang melampau (Turan et. al 2009; Noshina 2007; Michira 2002).

Media bukan Barat khususnya dari negara Amerika Latin, Afrika dan juga Asia pula menganggap media Barat terlalu bias dan berat sebelah dalam memaparkan sesuatu berita (Ojebode 2009; Turan 2009; Michira 2002; Balkaran 1999). Oleh itu, kredibiliti media dipertikaikan sebagai kuasa yang bertanggungjawab menyebarkan maklumat dan berita kepada masyarakat. Edward Said (1997) dalam bukunya Covering Islam menjelaskan mengenai peranan media Barat dalam membina imej Islam yang streotaip. Pengukuhan imej Islam yang negatif dinyatakan dari masa ke semasa mengakibatkan umat Islam sendiri turut membenci Islam.

Penyebaran maklumat dan informasi berita dunia didominasi oleh media Barat khususnya Amerika Syarikat dan sekutunya dari Eropah. Media Barat mendominasi dalam menentukan agenda berita secara global. Berita dan stesen televisyen antarabangsa milik konglomerat media seperti CNN, BBC dan Reuters ternyata masih dan terus mengungguli pasaran berita global. Hui dan Mun (2007) turut membincangkan mengenai penguasaan agensi berita global dalam liputan penyebaran informasi secara luas yang merupakan antara strategi propaganda politik sesebuah negara.

Walaubagaimanapun, kemunculan al-Jazeera sebagai stesen televisyen satelit dari dunia Arab yang berpusat di Doha, Qatar sedikit sebanyak menggugat kuasa media Barat seperti CNN dan BBC. Al-Jazeera dianggap sebagai pesaing kepada CNN, saluran berita televisyen antarabangsa yang terbesar di dunia (Hui dan Mun 2007; Bahry 2001). Gara-gara propaganda yang disebarkan oleh media Barat ini, banyak masyarakat Barat yang mempercayai bahawa Islam adalah sebuah agama ekstrim yang menggalakkan keganasan, mendiskriminasi wanita, menolak kemajuan dan seribu satu macam lagi tuduhan yang tidak berasas. Propaganda anti-Islam ini sengaja dirancang oleh negara-negara Blok Barat demi merealisasikan agenda mereka, iaitu menghapuskan ancaman yang dianggap datang dari umat Islam. Malah dengan meledaknya pekembangan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), propaganda anti-Islam ini semakin mudah disebarkan (Anzaruddin 2009).

Media Barat nampaknya lebih ghairah dan berani untuk menyiarkan paparan-paparan mengenai Islam yang agresif dan ganas berbanding penonjolan imej Islam yang hikmah dan penuh toleransi. Terminologi-terminologi seperti 'Moslem bandits', 'Islamic militants', 'Moslem fundamentalist' dan 'Moslem extremists' sering digunakan media Barat sebagai propaganda mereka dalam mengambarkan bahayanya agama Islam dan umatnya. Sebagai contohnya di dalam majalah Time memaparkan artikel yang menuding jari kepada orang Islam sebagai ‘terrorist’;
“Why does a moderate Islamic nation harbor terrorists and serve as a hotbed for religious extremists?” (Time, Oktober 12, 2002).
Begitu juga dengan akhbar-akhbar Barat yang turut mengecam Muslim sebagai pengganas yang patut dihapuskan seperti petikan daripada akhbar The Washington Post;
“SHORTLY AFTER Sept. 11, 2001, President Bush famously declared that other countries must choose between supporting the United States and supporting terrorism, and that those that harbored al Qaeda would be treated as the enemy. In the years since, he has refrained from applying that tough principle in practice -- which is lucky for Pakistan's president, Gen. Pervez Musharraf. Ever since the war on terrorism began, this meretricious military ruler has tried to be counted as a U.S. ally while avoiding an all-out campaign against the Islamic extremists in his country, who almost surely include Osama bin Laden and his top deputies. Despite mounting costs in American lives and resources, he has gotten away with it” (The Washington Post, Rabu, 25 Januari 2006).

Peristiwa 11 September dilihat sebagai satu titik peralihan daripada pertembungan nilai kepercayaan Barat terhadap hubungan masyarakat dunia, sama ada dalam diri seseorang individu, masyarakat, agama, bangsa dan negara (Rosidayu 2006). Tragedi 11 September 2001 ini menyaksikan perubahan media dengan tekanan kuasa besar dunia dalam memaparkan berita mengenai negara Islam dan umatnya. Tepe dan Karatay (2005) menyatakan bahawa peristiwa pengeboman Pusat Dagangan Dunia di New York telah dijadikan alasan Barat untuk memulakan serangan besar-besaran dan menghalalkan segala penindasan terhadap negara-negara Islam. Negara-negara Islam seperti Afghanistan dan Pakistan dikatakan mempunyai hubungan secara langsung dengan Osama bin Laden yang dianggap pengganas oleh pihak Barat.

Barat sering berteori ketika mengarahkan negara-negara dunia ketiga supaya sentiasa bertindak secara demokratik dan mengikut lunas-lunas undang-undang. Antaranya ialah hak seseorang individu untuk tidak dipanggil sebagai penjenayah selagi dia tidak dapat dibuktikan bersalah. Namun semua teori yang mereka kemukakan itu semacam menjadi tidak relevan apabila masyarakat Barat berhadapan dengan umat Islam yang dituduh sebagai pengganas. Penyiksaan demi penyiksaan yang dikenakan ke atas umat Islam yang dituduh sebagai pengganas (walaupun belum dapat dibuktikan) jelas menunjukkan bahawa perlakuan Barat tidak konsisten dengan teori yang mereka canangkan dan prinsip keadilan yang mereka pegang (Anzaruddin 2009).

Peperangan terus menghantui masyarakat Islam hari ini. Buktinya negara-negara Islam seperti Afghanistan, Iraq dan Palestine diancam di atas dasar untuk menghapuskan keganasan dan kezaliman. Keamanan yang mereka cari hanya dapat dilihat dengan puluhan ribu masyarakat yang tidak berdosa menjadi mangsa (Hameed 2008). Walaubagaimanapun, terrorisme atau keganasan global bukan setakat mencetuskan kebimbangan antarabangsa tetapi juga mencetuskan perang dingin antara blok dunia Barat dengan dunia Islam dari segi pengaruh media, penulisan ilmiah mahupun sebagai isu politik dan ekonomi antarabangsa (Hui dan Mun 2007). Rentetan daripada senario yang berlaku, dunia menjadi semakin tegang dengan keadaan politik dunia yang tidak seimbang. Keamanan global yang dingini masih jauh untuk dicapai jika setiap negara masih mempunyai kepentingan sendiri.

Media seharusnya menjadi agen perubah dalam mempromosikan dunia yang lebih aman dan tenteram dari segala ancaman perang dan penindasan. Media hari ini perlu bersikap lebih terbuka dalam memaparkan sesuatu berita kepada masyarakat terutamanya berita-berita dari negara Islam. Rao dan Vasanti (2007) menjelaskan bahawa keamanan global dapat dicapai dengan membina hubungan di antara negara dengan bersandarkan hubungan yang aman. Hubungan ini didasari sikap saling mempercayai yang akhirnya akan mewujudkan dunia yang aman tanpa sengketa. Islam bukan sahaja dilihat daripada perspektif agama malah turut dinilai daripada tasawwur ketamadunan, kebudayaan, ekonomi, sosial dan politik yang turut membentuk persepsi dan pandang-alam (worldview) masyarakat antarabangsa dan setempat terhadap agama samawi ini. (Shahril Adzrin 2009). Islam semakin mendapat liputan yang meluas dalam media-media antarabangsa dan tempatan. Namun, maklumat yang diperoleh adalah berbeza-beza dan tertakluk kepada siapa yang menyebarkannya.

Justeru, merobohkan benteng halangan yang menyekat penyebaran kefahaman Islam yang sebenar merupakan strategi dakwah yang penting terutamanya dalam menyampaikan dakwah kepada multi etnik. Masyarakat perlu menilai kejujuran dan ketepatan media dalam melaporkan berita-berita mengenai umat Islam. Era globalisasi menerusi penyatuan (convergence) media dilihat sebagai ruang dan peluang terbaik dalam menyelesaikan masalah ini. Kemudahan fasiliti di era ICT ini perlu dimaksimumkan oleh para pendakwah bagi mengatasi prejudis media Barat. Laman-laman web Islam perlu diperbanyakkan dengan penghasilan artikel-artikel yang menjelaskan Islam yang sebenar. Blogger-blogger Muslim sebenarnya mampu memainkan peranan mereka melalui ketajaman pena tulisan demi mempertahankan maruah Islam dari terus dihina dan dikecam media Barat. Paparan imej Islam seharusnya dipapar secara bertanggungjawab oleh umat Islam bagi membetulkan salah faham masyarakat bukan Islam kepada agama Islam.

Negara-negara Islam khususnya yang bernaung di bawah naungan OIC perlu memandang serius permasalahan yang berlaku kepada umat Islam hari ini. Kekuatan Islam sebagai agama yang kedua terbesar di dunia perlu dimaksimakan sebagai kelebihan untuk umat Islam bersatu dan berjuang mendapatkan hak di atas pencerobohan negara dan maruah mereka selama ini. OIC yang mempunyai lebih kurang 57 buah negara perlu mencapai kesepakatan bersama dalam usaha menyatupadukan umat Islam tidak mengira bangsa dan keturunan. Kelemahan media negara-negara Islam dianggap satu cabaran yang perlu dipikul bersama. Antara strategi yang seharusnya dijalankan ialah dengan mewujudkan rangkaian media Islam sendiri di bawah persepakatan OIC. Kewujudan media Islam ini dianggap penting untuk membetulkan salah faham masyarakat dunia terhadap Islam dan umatnya.

Menurut Ahmad kamil et.al. (2009) media Islam berperanan untuk menangkis tohmahan-tohmahan yang dilemparkan terhadap Islam dan masyarakatnya, serta mempunyai tanggungjawab besar untuk meningkatkan imej Islam dalam segenap aspek kehidupan. Ianya bukan bermatlamatkan keuntungan semata-mata, akan tetapi pengisiannya dirancang demi menjaga kestabilan agama dan masyarakat, dan menjana pengetahuan dengan membekalkan input-input yang bermanfaat.

Menurut Mohd Nasran (2009) pula media massa mempunyai tanggungjawab yang khusus terhadap masyarakat Islam. Antara tanggungjawab yang patut dilakukan ialah menampilkan kepada mereka hakikat yang sebenar, berusaha untuk menyempurnakan keperibadian Islam dengan mengembangkan aspek pemikiran, ilmu, sosial dan kematangan politik, menunaikan kewajipan mereka terhadap orang lain dan melindungi hak asasi serta kebebasan mereka dan meneguhkan keimanan mereka dengan penerapan nilai Islam dan prinsip akhlak yang mulia. Zulkiple (2003) turut berhujah bahawa umat Islam akan sentiasa terdedah kepada proses de-islamization yang menghakis keimanan mereka jika mereka tidak disediakan media alternatif yang memenuhi tuntutan ajaran Islam.


KESIMPULAN

Islam seharusnya ditonjolkan sebagai ‘agama mesra’ yang boleh menerima budaya dan agama lain dengan baik. Malah, Islam menerima kebebasan beragama di dalam masyarakat seperti yang diamalkan oleh masyarakat di Madinah ketika pentadbiran Nabi Muhammad S.A.W. melalui Piagam Madinah. Usaha meletakkan hubungan Islam dengan bukan Islam melalui persamaan agama seharusnya menjadi asas pembinaan keamanan dan kesejagatan ummah. Perbezaan budaya dan cara hidup pelbagai etnik dapat disatukan dengan penerapan nilai-nilai murni setiap masyarakat yang berbeza. Sesungguhnya Islam tidak pernah menggunakan kekerasan dan paksaan dalam melaksanakan dakwah Islamiah. Penerimaan Islam sebagai satu cara hidup sebenarnya bukanlah suatu perubahan yang baharu tetapi merupakan perubahan yang kembali kepada fitrah asal manusia yang mencari kebenaran.

Walaubagaimanapun, untuk mengekalkan keamanan global, media perlu mengekalkan kredibiliti mereka dengan melaporkan berita dengan benar dan jujur. Justeru, paparan berita dari media Barat yang tidak seimbang dikatakan mengugat keamanan global. Media antarabangsa perlu berperanan dalam mempromosikan keamanan global ini. Peranan media penting untuk membawa hubungan Barat-Islam kepada hubungan yang saling bergantung di antara satu sama lain. Barat seharusnya sedar bahawa mereka turut bergantung kepada negara-negara Islam terutamanya dalam sumber minyak. Ini penting untuk mewujudkan dunia yang lebih aman.

Negara-negara Islam juga seharusnya tercabar dengan kelemahan media mereka sehingga agama Islam sewenang-wenangnya diperlekehkan. Hal ini berlaku kerana tidak wujud persepakatan di kalangan umat Islam itu sendiri. Oleh itu, idea untuk mewujudkan rangkaian media Islam di bawah naungan OIC diharap membantu mengubah persepsi dunia terhadap Islam. Melalui manhaj media, matlamat perlaksanaan dakwah multi etnik juga turut mendapat manfaat dengan wujudnya wartawan-wartawan Islam yang sekaligus bertindak sebagai pendakwah dengan membawa konsep amar makruf dan nahi mungkar.



LinkWithin