Followers

Friday, April 2, 2010

Keamanan Global dalam Melaksanakan Dakwah Multi Etnik: Cabaran Media Hari Ini

ROSMAWATI MOHAMAD RASIT (UKM)
PROF. HJ. MUSA ABU HASSAN (Ph.D, KMN) (UPM)


ABSTRAK

Perubahan paparan media hari ini memberi impak kepada perlaksanaan dakwah multi etnik dalam memaparkan berita mengenai Islam secara jujur. Gambaran negatif dan prejudis media khususnya media Barat menyumbang kepada fahaman yang skeptikal terhadap Islam sehingga keamanan global menjadi kucar kacir. Rentetan peristiwa 11 September turut menyumbang pandangan serong Barat kepada masyarakat Islam dengan paparan penganut Islam sebagai ‘terrorist’ dan ekstremis. Kajian ini melihat bagaimana media memaparkan imej Islam kepada masyarakat bukan Islam (non-Muslim) sehingga menjejaskan proses perkembangan dakwah kepada multi etnik. Cabaran media hari ini ialah untuk mengekalkan kredibilitinya sebagai medium yang dipercayai masyarakat dunia. Negara-negara Islam turut tercabar dengan kelemahan media mereka dalam mempertahankan maruah agama dan martabat bangsa. Hasil kajian mendapati penglibatan umat Islam dengan penyatuan (convergence) media melalui laman web Islam dan kewujudan media Islam dilihat sebagai strategi terbaik untuk mengekalkan imej Islam sebagai satu cara hidup.


PENDAHULUAN

Pandangan negatif Barat terhadap Islam banyak mempengaruhi imej Islam secara amnya lebih-lebih lagi di mata masyarakat bukan Islam. Masyarakat Islam terus berhadapan dengan prejudis masyarakat dunia yang semakin menebal jika Islam tidak dijelaskan secara jujur. Senario antarabangsa yang melatari hubungan Islam-Barat perlu dirungkaikan dengan penjelasan dan persepakatan agar skeptikal negatif terhadap Islam dapat dijernihkan kembali.

Media banyak membantu mewujudkan pandangan-pandangan negatif ini yang memihak kepada Barat. Pandangan berat sebelah ini mengakibatkan proses perlaksanaan dakwah khususnya dakwah kepada multi etnik tidak berjalan seperti yang diharapkan. Kesannya dunia menjadi semakin lantang mengecam dan mengisytiharkan perang ke atas negara-negara Islam yang dikatakan terlibat secara langsung dengan isu ‘terrorisme’ ini. Masyarakat dunia semakin menjauhi Islam sehingga merumitkan kerja-kerja penyampaian dakwah. Kesejagatan dan keamanan dunia secara global terancam dan berlaku ketidakseimbangan dalam proses penyampaian dan penerimaan maklumat yang sebenar.


DAKWAH KEPADA MULTI ETNIK

Menyampaikan risalah Islam kepada manusia sejagat merupakan tuntutan setiap Muslim baik kepada saudara baru ataupun sebaliknya. Ini selaras dengan apa yang telah dinyatakan di dalam al-Quran bahawa Rasulullah S.A.W telah diutuskan untuk menyampaikan mesej Islam kepada umat sejagat. Sebagaimana yang terkandung di dalam al-Quran yang bermaksud:
“Dan tidaklah Kami utuskan engkau kecuali sebagai rahmat untuk sekalian alam” (Al-Quran, Surah Al-Anbiya (21) : 107).

Menurut Mohamad Kamil dan Muhammad (2007), dakwah mencakupi semua usaha yang baik yang dilakukan secara terancang (bukan semata-mata laungan) sama ada secara individu atau berkumpulan dengan menggunapakai pendekatan (uslub) tertentu untuk membawa manusia supaya mengetahui tujuan hidup bagi mencapai kebahagiaan di dunia dan di akhirat sama ada menerusi ilmu-ilmu yang diturunkan melalui wahyu ataupun ilmu-ilmu lain yang boleh memberikan faedah kepada kehidupan manusia. Ab. Aziz (1997) pula menjelaskan dakwah sebagai usaha yang dilakukan oleh seseorang atau kumpulan dengan pendekatan tertentu untuk membawa manusia kepada keredhaan Allah. Justeru, proses perlaksanaan dakwah memerlukan pendekatan yang berbeza bergantung kepada setiap sasaran dakwah. Walaubagaimanapun, dakwah sama ada kepada golongan Muslim mahupun bukan Muslim tetap memerlukan matlamat yang sama iaitu untuk mendapatkan keredhaan Allah SWT.

Pendekatan dakwah hari ini memerlukan pendakwah yang kental jiwa dan mampu bersaing dengan cabaran alaf baru terutamanya cabaran globalisasi. Fariza (2000) berpendapat dalam arus globalisasi, mungkin fenomena dakwah (metode, isi dakwah, perancangan, strategi dan pendakwah) banyak yang perlu dibaiki, dikemaskini dan mewujudkan penemuan baru bagi diselarikan dengan proses globalisasi yang wujud. Justeru, mereka seharusnya dapat menguasai pelbagai kemahiran untuk memastikan tugas dakwah sentiasa berterusan.

Dakwah kepada masyarakat bukan Islam seperti yang wujud di Malaysia memerlukan kemahiran pendakwah dalam konteks pendekatan dan strategi yang berkesan. Masyarakat Malaysia terdiri daripada multi etnik dengan variasi budaya dan agama, memerlukan pendekatan yang berbeza untuk mencapai perpaduan ummah. Sebagai contohnya cara berdakwah kepada masyarakat Orang Asli mungkin berbeza dengan dakwah kepada masyarakat India mahupun Cina. Ini kerana setiap kumpulan etnik mempunyai latar belakang persekitaran, kepercayaan dan budaya yang berbeza yang memerlukan pendakwah memahami mereka dengan cara yang berbeza.

Isi dakwah kepada orang bukan Islam dilihat kepada jenis agama dan kepercayaan yang mereka anuti (Ab. Aziz 1997). Oleh sebab itu, pendakwah yang bijak ialah mereka yang memahami agama yang ingin didakwahi seperti contohnya bagi mereka yang beragama Budha atau Hindu, penekanan isi yang paling utama ialah dari aspek kepercayaan dan amalan nenek moyang mereka. Memahami sasaran dakwah dapat memberi ruang kepada pendakwah untuk membina hubungan melalui metode dakwah yang digunakan. Justeru, pemilihan metode dakwah ketika berhadapan dengan sasaran dakwah non-muslim sama ada secara berhikmah, menonjolkan qudwah hasanah dengan kata-kata yang baik atau bersikap tegas dan berdialog ketika berhadapan dengan mereka yang cuba menjatuhkan Islam dianggap penting bagi memudahkan proses perkembangan dakwah. Tiga metode penting ini merupakan metode yang telah diperkenalkan oleh Islam sebagaimana firman Allah dalam surah al-Nahl (125) yang bermaksud:
“Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalannya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk” (Al-Quran, Surah al-Nahl (14): 125 )

Tanggungjawab dan tugas berdakwah kepada non-Muslim atau etnik dari agama yang lain bukanlah satu usaha yang baharu malah ia mempunyai sejarah yang lama semenjak awal penyebaran Islam di Tanah Arab. Penyebaran Islam di Madinah menyaksikan perlaksanaan dakwah multi etnik bergerak seiring dengan perkembangan Islam di serata dunia. Islam tersebar luas di luar dunia Tanah Arab dan diterima oleh masyarakat bukan Islam sehingga mereka mengamalkan Islam sebagai satu cara hidup. Malah Islam diterima di Eropah dengan penaklukan Andalusia dan berkembang sehingga ke benua China.

Bagi umat Islam, model perpaduan ummah sejak awal-awal lagi telah pun dirintis oleh Rasulullah S.A.W. Baginda telah berjaya mewujudkan model perpaduan ummah dalam sebuah negara yang dipimpinnya secara langsung yang dikenali sebagai Madinat al-Rasul atau Negara Madinah (Syamsul Bahri 1998). Rasulullah S.A.W membangunkan Madinah dengan kekuatan penduduk Madinah yang ketika itu terdiri daripada kaum Aus dan Khazraj. Madinah juga dihuni oleh tiga golongan kaum Yahudi iaitu Bani Quraizah, Qainuqa’ dan Bani Nadhir. Baginda membentuk Madinah sebagai sebuah negara Islam melalui Piagam Madinah dengan meletakkan Muhajirin, Ansar, kaum Arab yang bukan Islam serta kaum Yahudi di bawah satu pemerintahan negara Islam.

Namun, dakwah hari ini menghadapi cabaran yang besar terutama dakwah kepada mereka yang bukan Islam. Antara cabaran yang utama yang mengakibatkan proses dakwah gagal adalah disebabkan oleh prejudis media. Ini kerana paparan buruk media mengenai umat Islam menjadi penghalang dan penyebab negatif masyarakat bukan Islam sehingga mereka menilai Islam dengan gambaran yang skeptikal. Justeru, dakwah multi etnik menerima akibat daripada ketidakseimbangan maklumat yang disampaikan oleh pihak media terutamanya media Barat. Langkah-langkah penting perlu diambil untuk mengatasi masalah dakwah ini daripada terus memihak kepada pihak Barat yang sentiasa ingin menjatuhkan Islam.


CABARAN MEDIA HARI INI

Media berperanan penting dalam melaporkan berita secara jujur tanpa wujud pengaruh-pengaruh luar yang mempengaruhi persepsi berat sebelah sesuatu laporan. Berita yang dilapor perlu memberikan maklumat yang tepat dan dapat dinilai oleh masyarakat secara rasional dan benar. Noshina (2007) turut menjelaskan peranan media dalam membentuk imej sesebuah bangsa dan masyarakat. Justeru, negara-negara besar dunia seperti Amerika Syarikat dan Eropah sering memanipulasi peranan media dalam meletakkan imej negara-negara membangun dari negara dunia ketiga dan negara Islam khususnya sebagai mundur, tidak bertamadun dan juga sering terlibat dengan isu keganasan yang melampau (Turan et. al 2009; Noshina 2007; Michira 2002).

Media bukan Barat khususnya dari negara Amerika Latin, Afrika dan juga Asia pula menganggap media Barat terlalu bias dan berat sebelah dalam memaparkan sesuatu berita (Ojebode 2009; Turan 2009; Michira 2002; Balkaran 1999). Oleh itu, kredibiliti media dipertikaikan sebagai kuasa yang bertanggungjawab menyebarkan maklumat dan berita kepada masyarakat. Edward Said (1997) dalam bukunya Covering Islam menjelaskan mengenai peranan media Barat dalam membina imej Islam yang streotaip. Pengukuhan imej Islam yang negatif dinyatakan dari masa ke semasa mengakibatkan umat Islam sendiri turut membenci Islam.

Penyebaran maklumat dan informasi berita dunia didominasi oleh media Barat khususnya Amerika Syarikat dan sekutunya dari Eropah. Media Barat mendominasi dalam menentukan agenda berita secara global. Berita dan stesen televisyen antarabangsa milik konglomerat media seperti CNN, BBC dan Reuters ternyata masih dan terus mengungguli pasaran berita global. Hui dan Mun (2007) turut membincangkan mengenai penguasaan agensi berita global dalam liputan penyebaran informasi secara luas yang merupakan antara strategi propaganda politik sesebuah negara.

Walaubagaimanapun, kemunculan al-Jazeera sebagai stesen televisyen satelit dari dunia Arab yang berpusat di Doha, Qatar sedikit sebanyak menggugat kuasa media Barat seperti CNN dan BBC. Al-Jazeera dianggap sebagai pesaing kepada CNN, saluran berita televisyen antarabangsa yang terbesar di dunia (Hui dan Mun 2007; Bahry 2001). Gara-gara propaganda yang disebarkan oleh media Barat ini, banyak masyarakat Barat yang mempercayai bahawa Islam adalah sebuah agama ekstrim yang menggalakkan keganasan, mendiskriminasi wanita, menolak kemajuan dan seribu satu macam lagi tuduhan yang tidak berasas. Propaganda anti-Islam ini sengaja dirancang oleh negara-negara Blok Barat demi merealisasikan agenda mereka, iaitu menghapuskan ancaman yang dianggap datang dari umat Islam. Malah dengan meledaknya pekembangan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), propaganda anti-Islam ini semakin mudah disebarkan (Anzaruddin 2009).

Media Barat nampaknya lebih ghairah dan berani untuk menyiarkan paparan-paparan mengenai Islam yang agresif dan ganas berbanding penonjolan imej Islam yang hikmah dan penuh toleransi. Terminologi-terminologi seperti 'Moslem bandits', 'Islamic militants', 'Moslem fundamentalist' dan 'Moslem extremists' sering digunakan media Barat sebagai propaganda mereka dalam mengambarkan bahayanya agama Islam dan umatnya. Sebagai contohnya di dalam majalah Time memaparkan artikel yang menuding jari kepada orang Islam sebagai ‘terrorist’;
“Why does a moderate Islamic nation harbor terrorists and serve as a hotbed for religious extremists?” (Time, Oktober 12, 2002).
Begitu juga dengan akhbar-akhbar Barat yang turut mengecam Muslim sebagai pengganas yang patut dihapuskan seperti petikan daripada akhbar The Washington Post;
“SHORTLY AFTER Sept. 11, 2001, President Bush famously declared that other countries must choose between supporting the United States and supporting terrorism, and that those that harbored al Qaeda would be treated as the enemy. In the years since, he has refrained from applying that tough principle in practice -- which is lucky for Pakistan's president, Gen. Pervez Musharraf. Ever since the war on terrorism began, this meretricious military ruler has tried to be counted as a U.S. ally while avoiding an all-out campaign against the Islamic extremists in his country, who almost surely include Osama bin Laden and his top deputies. Despite mounting costs in American lives and resources, he has gotten away with it” (The Washington Post, Rabu, 25 Januari 2006).

Peristiwa 11 September dilihat sebagai satu titik peralihan daripada pertembungan nilai kepercayaan Barat terhadap hubungan masyarakat dunia, sama ada dalam diri seseorang individu, masyarakat, agama, bangsa dan negara (Rosidayu 2006). Tragedi 11 September 2001 ini menyaksikan perubahan media dengan tekanan kuasa besar dunia dalam memaparkan berita mengenai negara Islam dan umatnya. Tepe dan Karatay (2005) menyatakan bahawa peristiwa pengeboman Pusat Dagangan Dunia di New York telah dijadikan alasan Barat untuk memulakan serangan besar-besaran dan menghalalkan segala penindasan terhadap negara-negara Islam. Negara-negara Islam seperti Afghanistan dan Pakistan dikatakan mempunyai hubungan secara langsung dengan Osama bin Laden yang dianggap pengganas oleh pihak Barat.

Barat sering berteori ketika mengarahkan negara-negara dunia ketiga supaya sentiasa bertindak secara demokratik dan mengikut lunas-lunas undang-undang. Antaranya ialah hak seseorang individu untuk tidak dipanggil sebagai penjenayah selagi dia tidak dapat dibuktikan bersalah. Namun semua teori yang mereka kemukakan itu semacam menjadi tidak relevan apabila masyarakat Barat berhadapan dengan umat Islam yang dituduh sebagai pengganas. Penyiksaan demi penyiksaan yang dikenakan ke atas umat Islam yang dituduh sebagai pengganas (walaupun belum dapat dibuktikan) jelas menunjukkan bahawa perlakuan Barat tidak konsisten dengan teori yang mereka canangkan dan prinsip keadilan yang mereka pegang (Anzaruddin 2009).

Peperangan terus menghantui masyarakat Islam hari ini. Buktinya negara-negara Islam seperti Afghanistan, Iraq dan Palestine diancam di atas dasar untuk menghapuskan keganasan dan kezaliman. Keamanan yang mereka cari hanya dapat dilihat dengan puluhan ribu masyarakat yang tidak berdosa menjadi mangsa (Hameed 2008). Walaubagaimanapun, terrorisme atau keganasan global bukan setakat mencetuskan kebimbangan antarabangsa tetapi juga mencetuskan perang dingin antara blok dunia Barat dengan dunia Islam dari segi pengaruh media, penulisan ilmiah mahupun sebagai isu politik dan ekonomi antarabangsa (Hui dan Mun 2007). Rentetan daripada senario yang berlaku, dunia menjadi semakin tegang dengan keadaan politik dunia yang tidak seimbang. Keamanan global yang dingini masih jauh untuk dicapai jika setiap negara masih mempunyai kepentingan sendiri.

Media seharusnya menjadi agen perubah dalam mempromosikan dunia yang lebih aman dan tenteram dari segala ancaman perang dan penindasan. Media hari ini perlu bersikap lebih terbuka dalam memaparkan sesuatu berita kepada masyarakat terutamanya berita-berita dari negara Islam. Rao dan Vasanti (2007) menjelaskan bahawa keamanan global dapat dicapai dengan membina hubungan di antara negara dengan bersandarkan hubungan yang aman. Hubungan ini didasari sikap saling mempercayai yang akhirnya akan mewujudkan dunia yang aman tanpa sengketa. Islam bukan sahaja dilihat daripada perspektif agama malah turut dinilai daripada tasawwur ketamadunan, kebudayaan, ekonomi, sosial dan politik yang turut membentuk persepsi dan pandang-alam (worldview) masyarakat antarabangsa dan setempat terhadap agama samawi ini. (Shahril Adzrin 2009). Islam semakin mendapat liputan yang meluas dalam media-media antarabangsa dan tempatan. Namun, maklumat yang diperoleh adalah berbeza-beza dan tertakluk kepada siapa yang menyebarkannya.

Justeru, merobohkan benteng halangan yang menyekat penyebaran kefahaman Islam yang sebenar merupakan strategi dakwah yang penting terutamanya dalam menyampaikan dakwah kepada multi etnik. Masyarakat perlu menilai kejujuran dan ketepatan media dalam melaporkan berita-berita mengenai umat Islam. Era globalisasi menerusi penyatuan (convergence) media dilihat sebagai ruang dan peluang terbaik dalam menyelesaikan masalah ini. Kemudahan fasiliti di era ICT ini perlu dimaksimumkan oleh para pendakwah bagi mengatasi prejudis media Barat. Laman-laman web Islam perlu diperbanyakkan dengan penghasilan artikel-artikel yang menjelaskan Islam yang sebenar. Blogger-blogger Muslim sebenarnya mampu memainkan peranan mereka melalui ketajaman pena tulisan demi mempertahankan maruah Islam dari terus dihina dan dikecam media Barat. Paparan imej Islam seharusnya dipapar secara bertanggungjawab oleh umat Islam bagi membetulkan salah faham masyarakat bukan Islam kepada agama Islam.

Negara-negara Islam khususnya yang bernaung di bawah naungan OIC perlu memandang serius permasalahan yang berlaku kepada umat Islam hari ini. Kekuatan Islam sebagai agama yang kedua terbesar di dunia perlu dimaksimakan sebagai kelebihan untuk umat Islam bersatu dan berjuang mendapatkan hak di atas pencerobohan negara dan maruah mereka selama ini. OIC yang mempunyai lebih kurang 57 buah negara perlu mencapai kesepakatan bersama dalam usaha menyatupadukan umat Islam tidak mengira bangsa dan keturunan. Kelemahan media negara-negara Islam dianggap satu cabaran yang perlu dipikul bersama. Antara strategi yang seharusnya dijalankan ialah dengan mewujudkan rangkaian media Islam sendiri di bawah persepakatan OIC. Kewujudan media Islam ini dianggap penting untuk membetulkan salah faham masyarakat dunia terhadap Islam dan umatnya.

Menurut Ahmad kamil et.al. (2009) media Islam berperanan untuk menangkis tohmahan-tohmahan yang dilemparkan terhadap Islam dan masyarakatnya, serta mempunyai tanggungjawab besar untuk meningkatkan imej Islam dalam segenap aspek kehidupan. Ianya bukan bermatlamatkan keuntungan semata-mata, akan tetapi pengisiannya dirancang demi menjaga kestabilan agama dan masyarakat, dan menjana pengetahuan dengan membekalkan input-input yang bermanfaat.

Menurut Mohd Nasran (2009) pula media massa mempunyai tanggungjawab yang khusus terhadap masyarakat Islam. Antara tanggungjawab yang patut dilakukan ialah menampilkan kepada mereka hakikat yang sebenar, berusaha untuk menyempurnakan keperibadian Islam dengan mengembangkan aspek pemikiran, ilmu, sosial dan kematangan politik, menunaikan kewajipan mereka terhadap orang lain dan melindungi hak asasi serta kebebasan mereka dan meneguhkan keimanan mereka dengan penerapan nilai Islam dan prinsip akhlak yang mulia. Zulkiple (2003) turut berhujah bahawa umat Islam akan sentiasa terdedah kepada proses de-islamization yang menghakis keimanan mereka jika mereka tidak disediakan media alternatif yang memenuhi tuntutan ajaran Islam.


KESIMPULAN

Islam seharusnya ditonjolkan sebagai ‘agama mesra’ yang boleh menerima budaya dan agama lain dengan baik. Malah, Islam menerima kebebasan beragama di dalam masyarakat seperti yang diamalkan oleh masyarakat di Madinah ketika pentadbiran Nabi Muhammad S.A.W. melalui Piagam Madinah. Usaha meletakkan hubungan Islam dengan bukan Islam melalui persamaan agama seharusnya menjadi asas pembinaan keamanan dan kesejagatan ummah. Perbezaan budaya dan cara hidup pelbagai etnik dapat disatukan dengan penerapan nilai-nilai murni setiap masyarakat yang berbeza. Sesungguhnya Islam tidak pernah menggunakan kekerasan dan paksaan dalam melaksanakan dakwah Islamiah. Penerimaan Islam sebagai satu cara hidup sebenarnya bukanlah suatu perubahan yang baharu tetapi merupakan perubahan yang kembali kepada fitrah asal manusia yang mencari kebenaran.

Walaubagaimanapun, untuk mengekalkan keamanan global, media perlu mengekalkan kredibiliti mereka dengan melaporkan berita dengan benar dan jujur. Justeru, paparan berita dari media Barat yang tidak seimbang dikatakan mengugat keamanan global. Media antarabangsa perlu berperanan dalam mempromosikan keamanan global ini. Peranan media penting untuk membawa hubungan Barat-Islam kepada hubungan yang saling bergantung di antara satu sama lain. Barat seharusnya sedar bahawa mereka turut bergantung kepada negara-negara Islam terutamanya dalam sumber minyak. Ini penting untuk mewujudkan dunia yang lebih aman.

Negara-negara Islam juga seharusnya tercabar dengan kelemahan media mereka sehingga agama Islam sewenang-wenangnya diperlekehkan. Hal ini berlaku kerana tidak wujud persepakatan di kalangan umat Islam itu sendiri. Oleh itu, idea untuk mewujudkan rangkaian media Islam di bawah naungan OIC diharap membantu mengubah persepsi dunia terhadap Islam. Melalui manhaj media, matlamat perlaksanaan dakwah multi etnik juga turut mendapat manfaat dengan wujudnya wartawan-wartawan Islam yang sekaligus bertindak sebagai pendakwah dengan membawa konsep amar makruf dan nahi mungkar.



No comments:

LinkWithin