Followers

Tuesday, April 6, 2010

Asas ilmu teori – metateori

Metateori ialah teori mempelajari ilmu tentang teori. Saodah et al. (2003) menjelaskan peranan metateori yang membantu para sarjana komunikasi membuat klasifikasi tentang teori komunikasi. Metateori adalah seumpama peta topografi yang diperlukan untuk membuat klasifikasi, perbandingan dan penilaian teori-teori komunikasi. Pelbagai keterangan teoretikal tentang komunikasi dapat disusun dengan adanya metateori.

Terdapat tiga asas ilmu metateori yang menjadi tunjang di dalam setiap proses komunikasi yang berlaku;

1. Ontologi

Kajian ontologi ialah yang melibatkan pemahaman mengenai kewujudan realiti di sekeliling kita. Ontologi menekankan fenomena realiti dengan persoalan mengenai ‘apa’. Para sarjana teori melabelkan tiga bentuk pandangan yang berbeza mengenai realiti. Mereka melihat sesuatu fenomena realiti itu sama ada melalui lensa realis, nominalis ataupun konstruktionis sosial. Bagi sarjana sosial realis, mereka melihat dunia secara objektif. Mereka berpandangan bahawa secara realitinya, memang wujud dunia lain di luar pengalaman dan pemikiran kita. Nominalis pula melihat dunia secara subjektif dan mendakwa semua benda di luar daripada pemikiran kita hanyalah wujud pada nama dan label semata-mata, tidak lebih daripada itu. Konstruktionis sosial berpendapat bahawa realiti ialah sesuatu yang dicipta oleh manusia dari interaksi yang mereka bina terdahulu dan juga semasa. Justeru, konstruktionis sosial berdiri antara realiti objektif dan realiti subjektif.

2. Epistimologi

Epistimologi berkaitan bagaimana sarjana teori menyelidik sesuatu fenomena. Ia merupakan falsafah mengenai cara menyelidik dan mendapatkan ilmu pengetahuan. Bidang epistimologi ini menekankan cara pemerolehan ilmu secara objektif melalui proses penyelidikan saintifik di dalam menjelaskan tentang hubungan sebab-akibat sesuatu fenomena. Para sarjana teori yang berorientasikan penyelidikan secara objektif yakin bahawa hanya bukti dan hasil yang dikutip melalui kajian empirikal dengan cara yang objektif dapat menjelaskan fenomena yang dikaji secara tepat dan benar. Walaubagaimanapun, bagi sarjana yang berorientasikan subjektif, mereka berpendapat bahawa kefahaman mengenai dunia sosial adalah bersifat relatif yang tidak akan diperolehi hanya dengan menumpukan kepada objektif semata-mata. Mereka berusaha mengkaji sesuatu fenomena dengan membina hubungan secara langsung dengan subjek kajian seperti yang sering didapati melalui kajian interpretif melalui temu bual atau etnografi.

3. Aksiologi

Aksiologi membincangkan mengenai persoalan nilai yang menjadi panduan para sarjana teori dalam membina dan mengembangkan teori. Terdapat pandangan sarjana teori yang menolak nilai dalam sesuatu penyelidikan yang dijalankan. Namun, terdapat juga mereka yang berpendapat bahawa seseorang penyelidik itu tidak mungkin dapat menolak nilai dari konteks penyelidikan. Hubungan di antara nilai dan teori menunjukkan bahawa mustahil untuk menolak nilai malah nilai peranan membawa penyelidik pada tahap kesarjanaan mereka. Namun, faktor-faktor seperti bias sentiasa menjadi faktor yang menjejaskan teori yang dibina.

Kesimpulannya, teori-teori komunikasi dibina dari lingkungan konteks dan dipengaruhi oleh pelbagai tanggapan penyelidik. Ilmu asas metateori membantu sebagai penunjuk dalam proses perkembangan teori dengan perbincangan aspek-aspek ontologi (kewujudan realiti), epistimologi (kewujudan ilmu pengetahuan) dan aksiologi (peranan nilai). Walaubagaimanapun, para sarjana dan intelektual Muslim khususnya perlu menilai kembali pendekatan pengajaran komunikasi dari aspek metateori seperti yang dikemukakan oleh Fuziah Kartini (1989). Zulkiple (2001) turut menyokong hujah tersebut dengan menjelaskan apa yang berlaku di seluruh negara Islam termasuk Malaysia yang berorientasikan pengajaran komunikasi di institusi pengajian tinggi yang terikat dengan pendekatan sekular Barat. Justeru, pengajaran komunikasi yang wujud dekad ini hanya mementingkan penemuan yang bersifat rasional dan empirikal yang menafikan ketauhidan Allah sebagai yang Maha Pencipta. Isu-isu di luar keupayaan mental manusia seperti kehidupan selepas mati dan perkara berkenaan sam’iyyat tidak mendapat tempat, apatah lagi dihargai. Malah, soal ilmu pengetahuan perlu dibincangkan sejujurnya dalam konteks Islam yang diturunkan oleh Allah SWT yang Maha Mengetahui.

No comments:

LinkWithin