Followers

Monday, May 23, 2011

Cukupkah nilai etika media kita?


Dengan penuh rasa keinsafan, saya mengucapkan salam takziah di atas musibah yang berlaku ke atas anak-anak yatim di Madrasah al-Taqwa Batu 14 Hulu Langat. Tragedi tanah runtuh yang meragut 16 nyawa ini mendapat perhatian segenap penjuru media dan orang ramai turut menzahirkan simpati dan empati terhadap ujian yang telah menimpa masyarakat Islam ini. Musibah dan ujian ini merupakan peringatan kepada umat Islam khususnya di Malaysia. Yang pasti Allah bersama orang-orang yang sabar.


“Dan Kami akan berikan cubaan kepada kamu sekalian dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikan khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.” (Al Baqarah:155)

Namun, sedikit isu yang ingin disentuh dalam artikel kali ini sepanjang dua tiga hari lepas rentetan daripada apa yang berlaku; iaitu mengenai nilai etika yang berkaitan dengan media kita di Malaysia pada hari ini. Secara jujurnya, sedang ketika rakyat Malaysia sedang berduka dan pilu di atas musibah yang melanda, para media pula sedang bertungkus lumus untuk mendapatkan berita terkini yang perlu dilaporkan untuk tatapan masyarakat. Dalam sibuk dan bersaing untuk mendapatkan dan menghasilkan berita serta melaporkan perkembangan terbaharu, ada beberapa aspek yang kurang diamalkan oleh segelintir para pengamal media kita. Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa masyarakat amat mengucapkan terima kasih kerana keprihatinan media yang sentiasa melaporkan perkembangan terkini tentang apa yang berlaku di saat masyarakat gundah dan risau tentang nasib yang menimpa anak-anak yatim dan tenaga pengajar tersebut. Walaubagaimanapun, ketika waris, ahli keluarga dan juga rakan serta teman sekeliling sukar menghadapi duka dan pilu, seolah-olah pihak media masih tidak memahami kedukaan dan kesengsaraan mereka yang kehilangan orang yang mereka sayang ini. Segelintir pihak media (bukan semua) seolah-olah tidak berperasaan, sibuk menghalakan mikrofon, menujahkan persoalan-persoalan yang sukar untuk mereka jawab di saat ketika suara tidak mampu lagi berbicara dan kedengaran. Yang hanya mampu mereka lakukan ialah mengalirkan air mata tanda kesedihan yang teramat.

Seperti apa yang dibicarakan oleh Yang dipertua rumah anak-anak yatim ini "saya tidak mahu cakap apa-apa - anak-anak saya baru sahaja pergi (meninggal dunia). Ada juga yang respons "tolonglah...berikan saya masa..saya masih tidak boleh nak cakap apa-apa lagi." Kemana hilangnya budi bicara pengamal media ini ketika melontarkan soalan-soalan pada saat mereka masih dirundung duka sehingga dilihat memaksa pihak responden ini untuk memberikan jawapan tanpa mengambil kira emosi yang sedang mereka alami. Alangkah kecewanya sikap segelintir yang ditunjukkan oleh para pengamal media ini dalam melaksanakan tugas mereka. Hargailah emosi, jiwa, perasaan dan hati mereka yang terkena musibah ini. Berhikmah lah ketika mengajukan soalan-soalan untuk tidak mengguriskan lagi perasaan mereka. Belajarlah etika komunikasi Islam sebagai garis panduan etika mengenai cara kita sebagai pengamal media dalam menyampaikan keinginan dan hasrat kita untuk dipenuhi. Walaupun Islam membenarkan kebebasan media namun, ia perlu berdasarkan hukum dan etika dengan prinsip etika Islam; qaulan sadida, qaulan ma'rufa, qaulan baligha, qaulan maisura dan juga qaulan karima.

Jika masih tidak yakin dengan prinsip dan etika komunikasi Islam, cuba semak dan rujuk juga pada Kod etika Jurnalis (The American Society of Newspaper Editors) - Canons of Journalism; tanggungjawab, kebebasan wartawan, independet, ketulusan, kesetiaan kepada kebenaran dan accuracy, kejujuran, berlaku adil serta kesopanan. Hakikatnya pengamal media Muslim seharusnya memahami konsep tauhid dan mengamalkan nilai kebertanggungjawaban sebagai seorang Islam. Mudah-mudahan akan lahir pengamal media Muslim yang benar-benar mengamalkan falsafah takwa sebagai jati diri dalam profesion mereka. Ameen....

No comments:

LinkWithin