-Wisdom was never built in one day- This blog is dedicated to all those who strive the work of da'wah especially in media & communication
Followers
Wednesday, May 18, 2011
Nilai Kejujuran Dalam Mihrab Cinta
Syahdu dan puas apabila selesai menonton Dalam Mihrab Cinta. Satu filem yang amat bagus dan menarik. Boleh buat sampel filem yang baik dalam membincangkan contoh filem yang bergenre keagamaan. Elemen dakwahnya cukup mantap dan seimbang. Sepanjang durasi cerita hampir 2 jam, saya sangat menghargai setiap babak dan adegan filem yang dilihat cukup seimbang. Konsep dakwahnya jelas mengangkat amar makruf nahi mungkar. Dari aspek plot dan ceritanya kemas dan tersusun. Jalan ceritanya lurus. Dalam Mihrab Cinta mempunyai subjek yang asli. Kekuatan dari segi keaslian cerita menguatkan perjalanan plot yang dihasilkan dengan baik. Ceritanya mengisahkan Syamsul Hadi yang ingin menuntut ilmu di pesantren di Kediri. Walaubagaimanapun, beliau difitnah oleh Burhan dengan tuduhan mencuri sehingga diusir dari pesantren tersebut dengan cara yang tidak bermaruah. Malah keluarganya sendiri tidak mempercayainya sehingga Syamsul benar-benar menjadi pencopet (penyeluk saku) akibat desakan hidup.
Pemaparan watak Dalam Mihrab Cinta amat baik terutamanya watak Syamsul Hadi (Dude Harlino). Syamsul Hadi mempunyai 2 karakter watak yang berbeza; satu watak sebagai penyeluk saku dan satu lagi sebagai seorang ustaz. Namun, kedua-dua watak tersebut serasi dan amat berkaitan di mana pada pengakhiran cerita kedua watak tersebut dilihat bersatu. Antara watak-watak lain Dalam Mihrab Cinta dilihat munasabah dan sesuai; watak Silvi (tunang Burhan) seorang gadis yang solehah yang menjadi sebab untuk Syamsul ingin membalas dendam terhadap Burhan. Watak Zizi anak pemilik pesantren yang selama ini meminati Syamsul malah watak adik Syamsul, Nadia turut menyumbang kepada perkembangan cerita dan perubahan watak Syamsul.
Selain itu, Dalam Mihrab Cinta mempunyai content yang cukup dekat membawa audien kepada satu tahap yang lebih bermakna. Karya yang sangat terkesan di hati. Intensiti kesan yang berkesan dan mencuit emosi; jelas membicarakan bagaimana hubungan manusia sesama manusia malah yang paling penting lagi ialah hubungan manusia dengan Tuhan. Rasa tersentuh bila mana jelas apabila Syamsul diuji kali kedua dengan ketiadaan duit sehingga menyebabkannya sanggup mencuri. Namun, Allah masih memberikan Syamsul peluang kedua untuk bertaubat dengan menemukannya dengan orang-orang baik di sekelilingnya sehingga dia dipanggil sebagai ustaz dan dipercayai oleh orang lain. Semuanya ini berupa hidayah daripada Allah. Malah satu babak yang amat menarik ialah bagaimana Syamsul memulangkan kembali kesemua dompet yang telah dicurinya. Begitu juga dengan babak Syamsul yang berterus terang kepada Silvi bahawa dia dahulunya seorang penyeluk saku. Dalam Mihrab Cinta mengajar kita tentang erti jujur; jujur terhadap diri sendiri, jujur sesama manusia malah jujur dengan Allah.
Kalimat dan dialog Dalam Mihrab Cinta sentiasa mendekatkan diri kita sebagai audien dengan Allah yang Maha Pencipta. Terasa Allah berbicara dengan kita. Audio dan visual seimbang dalam menjadi cerminan sebagai muhasabah diri apabila seseorang manusia ditimpa musibah. Sentiasa betulkan hati dan bertawakkal kepada Allah, insyaAllah Allah sentiasa mendengar segala rintihan hambaNya. Apabila manusia tersepit dan keliru dengan ujian dan cabaran maka sesungguhnya hanya Allah tempat kita bergantung harap. Dalam Mihrab Cinta mempersembahkan kepada kita dengan tindakan yang cukup cantik. Bukan hanya kita perlu bertawakkal namun, ia perlu selari dengan usaha kita sebagai manusia. Ini dijelaskan melalui firman Allah dalam surah at-thalaq ayat 2-3;
Terlalu banyak mesej dakwah dan Islam yang dibawa Dalam Mihrab Cinta. Penuh dengan elemen dakwah yang membuka minda dan hati kita untuk mengingati Allah. Dalam Mihrab Cinta turut mengangkat kepentingan istikharah, mencari dan menemukan jawapan di sebalik kesulitan dalam membuat keptusan. Ini yang dilakukan oleh Syamsul ketika beliau sukar untuk memilih sama ada di antara Silvi dan Zizi sebagai calon isterinya. Ini yang diajar oleh Islam, solat istikharah menyerahkan keputusan yang terbaik kepada Allah kerana Allah Maha Mengetahui. Apa yang kita fikirkan baik belum tentu yang terbaik buat kita tanpa campur tangan Allah.
Masih berharap agar Malaysia turut mampu menghasilkan filem dengan content yang sebegini. Content yang boleh mendekatkan audien dengan yang Maha Pencipta. Usah dipertikai dengan bajet dan kecanggihan teknik filem, kerana Malaysia sudah menuju ke arah itu. Sayangnya content filem Melayu di Malaysia masih lemah dan banyak yang perlu dipelajari lagi. Tidak rugi untuk menonton Dalam Mihrab Cinta. Ini bukan sebarangan filem yang membawa kita kepada kelalaian. Malah Dalam Mihrab Cinta mendekatkan diri kepada Allah. Terasa kewujudan Allah di sebalik percaturan hidup kita sebagai manusia yang sedang ditarbiyah oleh Allah SWT.
Terima kasih kepada En. Budi (niagailmubudi) yang memudahkan audien di Malaysia untuk menonton filem hebat ini dari Indonesia. Selamat Menonton!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment