Followers

Tuesday, April 20, 2010

BENTUK DAN GENRE DRAMA TV

Bentuk dan genre dalam penghasilan drama TV merupakan antara keutamaan penerbit drama. Setiap stesen TV kebanyakannya telah menetapkan slot-slot tertentu yang berbeza bentuk dan genre drama untuk ditayangkan dalam kalangan penonton. Drama bersiri rantaian dan telefilem merupakan antara contoh bentuk drama yang banyak dihasilkan di Malaysia dengan penggunaan genre yang berbeza seperti genre komedi dan seram. Justeru, penerbit dan pengarah drama perlu mengikut syarat dan garis panduan yang telah ditetapkan dalam usaha untuk menyiarkan drama-drama mereka di layar kaca televisyen.

Bentuk drama TV lebih menjurus kepada beberapa jenis yang utama seperti (Neves 1998; Lavery 2003; Pearson 2005):
1. The Serial
Drama bersiri yang mempunyai naratif dan penceritaan yang bersambung. Selalunya dihasilkan sebanyak 13 episod.
2. The Series
Setiap episod memaparkan cerita yang berbeza. Namun, masih mengekalkan karakter yang sama yang melakonkan watak pada setiap episod.
3. Soap Opera/ Telenovela/Sinetron
Drama bersiri yang bersambung dengan plot dan cerita yang sarat dengan konflik kemasyarakatan. Drama dalam jenis ini sering diwajahkan dengan melankolik dan mempunyai episod yang agak panjang.
4. Telefilem (The One-off Drama)
Bentuk telefilem merupakan tayangan drama yang mempunyai satu episod sahaja. Selalunya ditayangkan dalam durasi masa dua jam menyamai bentuk filem tetapi menggunakan medium televisyen.

Genre pula berasal dari perkatan Perancis yang bermaksud jenis dan gaya (style). Penggunaan genre banyak berkaitan dengan pemilihan teks yang sesuai dengan kategori dan tema tertentu (Harris 1995; Mittel 2001). Dalam bidang kesusasteraan sebagai contohnya para sarjana sering merujuk fiksyen, puisi (poetry) dan drama sebagai genre utama yang mewujudkan sub-genre seperti epik dan adiwira (heroic) drama genre (Harris 1995). Justeru, penentuan gaya genre sangat penting dan berperanan dalam mencapai sasaran berdasarkan segmentasi audien. Sebagai contohnya penghasilan drama bergenre cinta remaja seharusnya berbeza persembahannya berbanding drama dalam genre yang lain seperti teks dan bahasa yang digunakan, imej yang ditonjolkan serta gerak dan karakter pelakon sudah pasti menjurus kepada peminat drama-drama cinta remaja.

Terdapat beberapa jenis genre dan subgenre drama TV yang popular dalam kalangan pembikin siri TV seperti siri aksi, siri kepolisan, drama hospital, sains fiksyen, doku-drama serta siri drama remaja (Lavery 2003). Genre drama seperti juga genre filem mempersembahkan kepelbagaian tema dan cerita yang berbeza. Secara amnya penghasilan drama TV banyak dipengaruhi oleh kepelbagaian genre seperti juga filem. Malah, drama dari perspektif filem merupakan satu bentuk genre yang dikaitkan dengan pemaparan cerita berat, serius dan yang mengambarkan kisah realiti sesebuah masyarakat setempat.

Mendekati perspektif bentuk dan genre drama Melayu di Malaysia memperlihatkan perkembangan yang sihat melalui persaingan yang wujud di antara produksi-produksi drama Melayu seperti Suhan Movies, JS Productions serta Excellent Pictures dan banyak lagi. Produksi-produksi drama di Malaysia sememang aktif dalam menghasilkan drama terbitan mereka untuk mengisi slot-slot TV tempatan seperti slot Samarinda, Lagenda, Cerekarama dan sebagainya. Bentuk drama yang sering dihasilkan bergantung kepada permintaan stesen TV tempatan seperti drama bersiri sama ada bersambung atau episod serta telefilem.

Khalayak penonton drama Melayu sebenarnya telah didedahkan dengan kepelbagaian pengaruh bentuk drama yang dimport. Drama-drama import ini banyak mempengaruhi produksi drama tempatan dalam menghasilkan drama-drama Melayu yang lebih kurang sama dengan drama yang dimport seperti soap opera. Pada tahun 1970-an dan 1980-an, minat penonton terhadap siri soap opera seperti Dallas mencetuskan suatu fenomena baru dalam industri drama tanah air. Pengaruh drama Dallas cukup kuat sehingga lahir drama seperti PJ Holdings yang cukup popular suatu ketika dahulu yang dikatakan meniru konsep soap opera tersebut. Kemunculan pengaruh drama Kantonis, Jepun, Korea, Filipina serta telenovela Latin dan Sinetron Indonesia juga banyak mempengaruhi perkembangan dalam penghasilan drama Melayu tempatan.

Pada awal tahun 2000-an, drama TV tempatan digegarkan dengan kemunculan drama telenovela yang dimport dari Amerika Latin seperti Columbia dan Venezuela. Khalayak penonton mula beralih arah daripada soap opera dari Hollywood dan drama bersiri Kantonis, drama Korea serta Jepun kepada drama popular telenovela seperti Mis Tres Hermanas, Yo Soy Betty La Fea dan Rosalinda. Fenomena ini banyak memberi ilham kepada produksi drama tempatan dalam melahirkan drama berbentuk telenovela yang lazimnya menyediakan episod yang panjang. Sebagai contohnya drama Manjalara, 75 episod menjadi hit dalam slot Akasia TV3 sebenarnya dilhamkan dari adaptasi siri Venezuela Mi Gordo Bella. Begitu juga drama Spa Q (60 episod) merupakan antara drama Melayu yang dihasilkan dengan sentuhan adaptasi pengaruh telenovela.

Setelah digamatkan dengan pengaruh telenovela, sejak akhir-akhir ini pula khalayak penonton tempatan dihidangkan dengan versi sinetron Indonesia. Beberapa sinetron yang import dari Indonesia meletup dan mendapat sambutan yang menggalakkan daripada penonton TV tempatan seperti Bawang Putih Bawang Merah dan Jelita yang telah ditayangkan di TV3. Sinetron-sinetron ini banyak mendominasi layar kaca TV tempatan. Fenomena seperti ini amat membimbangkan kerana kebanyakan sinetron yang disiarkan mengandungi unsur-unsur khurafat dan tahyul yang menghanyutkan para penonton dengan kehebatan pari-pari dan kekuasaan dunia mistik. Zabidi (2009b) menyatakan bahawa 'The Indonesian Wave' sedang melanda dan menjajah pemikiran khalayak penonton kita sekarang. Mengimport dan menonton terlalu banyak drama/telenovela Indonesia tidak akan menjadikan masyarakat Melayu kita lebih cerdik dari sebelumnya.

Walaubagaimanapun, memang tidak dapat dinafikan bahawa drama-drama dari Indonesia turut menyumbang kepada perkembangan positif terhadap drama bergenre keagamaan. Khalayak penonton di Malaysia banyak disajikan dengan drama yang berunsur keagamaan ini. Malah penghasilan drama-drama keagamaan ini amat konsisten berbanding dengan penghasilan drama-drama di Malaysia. Kajian Muzayin (2008) menyatakan bahawa pada tahun 2005 sehingga 2007, terdapat 44 buah drama keagamaan telah dihasilkan oleh stesen-stesen TV Indonesia seperti TPI, SCTV, TransTV, ANTV dan Indosiar.

Begitu juga dengan telefilem yang menjadi salah satu bentuk pengarah memperjuangkan karya-karya drama mereka. A. Wahab (2001) menyatakan bahawa kemajuan teknologi televisyen telah menipiskan lagi perbezaan nahu filem dan telefilem. Oleh itu kemajuan dan perkembangan kedua-dua bidang ini penting dalam memajukan industri filem tempatan. Pada masa yang sama pembikinan drama akan menjadi permulaan yang baik kepada pembikin filem muda. Bagaimanapun peralihan masa dan sosial serta tuntutan stesyen televisyen yang mahukan rating juga menyebabkan pembikin telefilem mula meneroka tema-tema baru dan moden. Telefilem yang disiarkan oleh televisyen hari ini banyak berkisar dengan kehidupan dunia korporat yang kompleks, dunia remaja dan juga kecenderungan meninjau penggambaran ke luar negara dalam usaha mengalih landskap lokasi yang berbeza. Barangkali perbezaan landskap geografi ini dapat menjadi faktor penarik sesebuah drama.

Dari perspektif genre pula, drama Melayu tempatan banyak mengangkat genre drama dengan tema-tema seperti percintaan, kekeluargaan dan juga sosial masyarakat. Selain itu juga, genre aksi kepolisan, komedi serta seram menjadi pilihan pengarah drama Melayu tempatan. Khalayak penonton hari ini banyak disajikan dengan pilihan drama bergenre seram. Malah wujud persaingan di antara stesen-stesen televisyen ini dalam menyiarkan slot seram untuk tarikan para penonton. Kisah-kisah seram seperti Waris, Jangan Pandang Belakang, Puaka Niyang Rapik serta Saka ternyata mendapat rating yang tinggi dalam kalangan peminat cerita seram tanah air. Ini menyebabkan banyak produksi drama kini dilihat berlumba-lumba menghasilkan cerita-cerita sebegini semata-mata sebagai tarikan kepada penonton.

Begitu juga dengan genre komedi yang melanda penerbitan drama tanah air. Kebanyakan produksi drama gemar menggunakan genre komedi untuk menarik kumpulan khalayak penonton yang menggemari genre ini. Namun, terdapat juga drama-drama komedi yang tidak membantu penonton dengan menyajikan komedi ‘lawak bodoh’ dan tidak mempunyai mesej yang jelas. Drama-drama ini dilihat memperbodohkan khalayak dengan komedi kelas rendah. Sebagai contohnya, TV3 menerusi slot Aksi banyak menyajikan penonton dengan genre aksi komedi fizikal dan slapstik seperti Kaber Hero Kaber Zero, Pepaya dan yang terbaharu drama Jidin.

Selain itu juga TV9 turut menghidangkan drama-drama komedi seperti Mat Jenin, Otai dan Anak Mami. Persoalannya ke mana hala tuju drama yang mereka hidangkan kepada para penonton jika drama-drama seperti ini tidak mengangkat nilai murni sebagai mesej utama mereka. Namun, terdapat juga drama dalam genre ini yang diangkat antara yang terbaik seperti Mr. Mama dan Datin Wan Abe yang memenangi drama komedi terbaik di Anugerah Skrin tahun 2008 dan 2009 (Utusan Online 2008; Shazryn 2009).

Selain daripada genre seram dan komedi yang telah menjadi pilihan khalayak penonton drama Melayu, perkembangan drama tempatan turut menyaksikan kebangkitan fenomena drama bergenre keagamaan. Genre keagamaan ini semakin mendapat tempat di hati para penonton Melayu khususnya. Bermula dengan drama yang memasukkan unsur-unsur keagamaan seperti drama nukilan Abu Hassan Morad dan Zabidi Mohamed, khalayak penonton dilihat menyokong pembaharuan genre ini. Ia menjadi sebagai alternatif hiburan bagi mereka yang cenderung ke arah agama. Cinta Madinah, Ihsan, Mencari Nur Khadijah dan Nur Kasih merupakan di antara contoh drama dalam genre keagamaan yang mendapat sambutan yang membanggakan dalam kalangan para peminat drama Melayu tempatan. Malah drama Nur Kasih yang telah disiarkan di TV3 menjadi fenomena dan impak yang besar dalam penerbitan drama Melayu di Malaysia.

Drama arahan Khabir Bhatia ini mendapat sambutan luar biasa kerana penghasilan skrip, jalan cerita selain teknik sinematografi yang cukup kreatif. Melalui kajian dan sumber yang dikeluarkan oleh AGB Nielsen Media Research, drama bersiri 26 episod ini telah menerima kadar penontonan (berpandukan kepada penonton berumur 4 tahun ke atas) sebanyak lebih 4.1 juta (19 TVR) atau 59% dari peratusan penonton yang menonton pada 27 November 2009, Jumaat dari jam 9.00 hingga 10.00 malam. Malah, melalui khidmat Catch-up TV di laman web rasmi www.tv3.com.my, drama ini turut mendapat sambutan hangat apabila rekod menunjukkan hampir 28 juta (sebulan) pelayar web (tempatan dan antarabangsa) menyaksikan episod drama ini (mstar online 2009).


No comments:

LinkWithin