Followers

Wednesday, April 7, 2010

Cabaran Penerapan Dakwah di dalam Filem Melayu di Malaysia: Analisis Kandungan Filem Semerah Padi

Oleh:
Rosmawati Mohamad Rasit
Jabatan Pengajian Dakwah dan Kepimpinan
FPI, UKM

Md Rozalafri Johori
Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi
Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS)

Abstrak
Dakwah melalui perfileman masih mencari ruang dan tempatnya di Malaysia. Usaha dan kecenderungan sesetengah karyawan filem tempatan memasukkan elemen-elemen keagamaan di dalam filem seharusnya dibanggakan. Namun, nilai-nilai Islam di dalam filem perlu difahami secara menyeluruh agar konsep dakwah tidak tersasar daripada jalan yang sebenarnya. Kajian ini mengupas cabaran dalam menerapkan elemen-elemen dakwah di dalam filem-filem Melayu di Malaysia. Filem Semerah Padi (1956) dipilih sebagai filem kajian yang menepati genre keagamaan. Ia merungkai permasalahan agama Islam secara langsung. Kaedah analisis kandungan filem digunakan bagi mengupas dua aspek penting iaitu cerita dan plot serta watak dan perwatakan.



Pengenalan

Dakwah merupakan tanggungjawab bagi setiap Muslim dengan menggunakan pelbagai cara dan pendekatan dalam usaha menyebarkan Islam. Pendakwah perlu memiliki pelbagai kemahiran dan penguasaan ilmu dalam memastikan setiap perjalanan dakwah mereka berjaya. Dalam usaha mempelbagaikan medium untuk berdakwah, filem dilihat sebagai satu medium baru yang sangat berpengaruh untuk diterokai.

Filem diangkat sebagai satu alat penyampaian mesej secara visual dan audio. Sesetengah Negara menggunakan filem untuk menyatakan propaganda idelogi politik, sebagai penyambung warisan kebudayaan, sejarah dan untuk memartabatkan sistem sosial sesuatu bangsa mahupun untuk kepentingan agama. Sehingga kini industri lakonan melalui perfileman bukan lagi menjadi cabang sastera dan kesenian semata-mata, malah menjadi satu industri yang menguntungkan. Selain dari kemampuannya untuk menjana ekonomi bagi para Kapitalis, ia juga menjadi alat propaganda yang paling berkesan bagi sesetengah pihak di serata dunia (Maszlee Malik 2007). Masyarakat menerima filem sebagai medium yang merakam semula sesuatu realiti bangsa (Asiah Sarji 2009). Sigfried Kracauer (1960) melihat filem sebagai paparan mentaliti sesuatu bangsa yang diterjemahkan melalui imej audio dan visual secara langsung kepada masyarakat. Justeru, filem dilihat banyak memberi kesan kepada perubahan dan pembentukan tingkah laku selaras dengan peranannya sebagai agen perubahan kepada masyarakat.

Filem bergerak yang dipelopori oleh Auguste dan Loius Lumiere pada tahun 1896 dan Thomas Edison menjadi titik tolak untuk masyarakat menerima filem dalam perkembangan industri hiburan (Turner 1999; Rodman 2006). Kajian mengenai perfileman telah disentuh dari pelbagai perspektif yang berbeza seperti sudut naratif filem, kepengarahan, aspek teknikal filem, filem sebagai budaya popular dan juga aspek teori filem dan nilai estetikanya. Turner (1999) mengetengahkan kajian filem yang turut mendapat sokongan daripada ahli-ahli akademik. Dalam tahun 1960-an dan 1970-an, minat ahli-ahli akademik terhadap kajian perfileman ini telah berkembang dengan pesat sehingga wujudnya kolej-kolej dan universiti-universiti yang menawarkan kursus-kursus dalam bidang perfileman secara formal.

Pendekatan dakwah yang mencakupi pelbagai bidang perlu difahami oleh pendakwah-pendakwah masa kini. Ini kerana disebabkan dunia semakin berubah, maka perlaksanaan dakwah perlu dilakukan secara menyeluruh dalam usaha mendekati serta mempengaruhi sasaran. Dakwah menerusi perfileman dilihat berupaya memberi ruang kepada pendakwah turut melebarkan usaha mereka dengan strategi dan pendekatan baru untuk mendekati khalayak filem. Walau bagaimanapun, usaha untuk meletakkan dakwah menerusi perfileman bukan perkara yang mudah. Malah cabarannya cukup menguji para pendakwah untuk terus yakin dan komited dengan usaha dakwah mereka. Ini kerana cabaran dakwah di dalam industri perfileman memerlukan kemahiran pendakwah untuk memahami dan menguasai bidang filem ini dengan lebih mendalam.


Cabaran Dakwah di Dalam Filem
Al-Bahi al-Khuly (1984) mentakrifkan dakwah sebagai:
“Satu proses menghidupkan peraturan-peraturan Islam dengan memindahkan umat daripada satu situasi kepada situasi lain (daripada tahap kejadian kepada keilmuan)”

Proses perlaksanaan dakwah merupakan usaha untuk mengajak manusia kepada keredhaan Allah (al-Qaradawi t.th.; Ibn Abdullah 1999). Ab. Aziz Mohd Zin (1997) menjelaskan bahawa dakwah bukan semata-mata mengajak manusia kepada agama Allah, tetapi ia mestilah disertakan dengan uslub dan tatacara yang baik bagi mempengaruhi orang yang diajak itu. Dakwah bukanlah bererti agama itu sendiri, tetapi usaha untuk membawa manusia kepada agama itu.

Justeru, dakwah bukan hanya terikat dengan seruan tradisional seperti ceramah dan kuliah agama, malah turut melangkau pelbagai usaha yang menyeluruh termasuk memaksimumkan media sebagai wasilah penyampaian dakwah. Syamsul Bahri (2003) turut menjelaskan bahawa dakwah sering diertikan sekadar ceramah dalam pengertian sempit, sehingga orientasi dakwah hanya terhad pada perkara-perkara yang bersifat ritual atau ibadah sahaja. Padahal dakwah diharap dapat berperanan sebagai saranan utama bagi masyarakat untuk mempertingkatkan kehidupan menuju ‘hasanah’ di dunia dan ‘hasanah’ di akhirat.

Antara cabaran yang perlu dipikul oleh setiap pendakwah ialah bagaimana untuk menggarapkan dakwah menerusi filem. Industri perfileman yang bermula di Barat khususnya Amerika, banyak mendedahkan dan menerapkan nilai budaya hidup Barat kepada masyarakat dunia. Filem era baru yang menjadikan filem sebagai hiburan kepada masyarakat bermula dengan penubuhan pawagam Nickelodeons di Pittsburgh, Amerika pada tahun 1905 (Turner 1999; Rodman 2006). Justeru, dengan kejayaan awal filem yang diterima baik oleh masyarakat sebagai satu bentuk hiburan baru, filem juga turut mempengaruhi cara hidup mereka. Senario perkampungan global tanpa sempadan yang diutarakan oleh Marshall McLuhan (1964) dan juga ahli-ahli teori filem Barat seperti Andre Bazin (2004) dan Rudolph Arheinm (2004) turut mempengaruhi perubahan corak sosial dan agama masyarakat dalam menilai kehidupan realiti mereka melalui filem. Di Malaysia, banyak filem-filem Melayu yang dihasilkan oleh pengarah-pengarah muda tempatan terarah kepada budaya hidup yang berpaksikan Barat. Ini dibuktikan dengan penerbitan filem-filem seperti Remp-It (2006), Anak Halal (2007), 9 September (2007), Evolusi KL Drift (2008) dan Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam (2009).

Globalisasi turut memberi kesan dan pengaruh luar kepada filem-filem Melayu di Malaysia. Pertembungan di antara nilai dan tamadun menjejaskan kesungguhan umat Islam dalam memahami dan mengamalkan Islam yang sebenar. Kesan inilah yang banyak dipaparkan di dalam filem sebagai Islam liberal melalui pluralisme agama. Ugi Suharto (2007) menjelaskan bahawa pluralisme agama adalah fahaman yang menyamakan semua agama. Fahaman ini lahir akibat sekularisme dan proses sekularisasi masyarakat Barat. Hui dan Mun (2007) dalam membincangkan kesan globalisasi ke atas agama dapat dilihat melalui perwujudan masyarakat global yang berkongsi amalan dan budaya yang sama. Pembaratan dianggap sebagai imej globalisasi yang mengubah masyarakat seperti pengaruh agama. Ia berjaya membentuk masyarakat global yang berfikiran sama seperti mana masyarakat Barat.

Namun begitu, nilai liberal di dalam filem akan merosakkan kemurniaan agama Islam. Islam liberal menyebarkan satu fahaman baru yang berpendapat dan menerima bahawa semua agama adalah sama. Sedangkan kita tidak boleh menyamakan Islam dengan agama-agama lain di dunia. Walaupun begitu, ia bukanlah menjadi dasar Islam, untuk memandang rendah kepada agama-agama lain. Nilai liberal di dalam filem-filem Yasmin Ahmad seperti Sepet (2005), Gubra (2006) dan Muallaf (2009) dibimbangi akan mengelirukan penonton yang tidak memiliki kefahaman agama secara menyeluruh. Dengan mudah mereka akan terpengaruh dan terpesong dengan aliran pemikiran baru ini. Penonton disajikan dengan kehidupan masyarakat Malaysia yang aman dan harmoni tanpa mengira ras keturunan dan agama. Namun, dengan menyogokkan kepada penonton bahawa Islam sebagai satu agama yang sama tarafnya dengan agama lain seperti Kristian dan Budha adalah sangat tidak tepat. Terlalu bertoleransi dalam mencapai kesepakatan di dalam konflik antara agama menyebabkan masyarakat Melayu-Islam sanggup menggadaikan agamanya sendiri atas nama keharmonian kaum.

Ini menunjukkan genre yang memaparkan secara langsung pendekatan agama Islam di dalam filem-filem Melayu masih kurang di Malaysia. Hanya terdapat beberapa buah filem sahaja yang boleh diletakkan di dalam genre keagamaan ini yang dihasilkan di Malaysia seperti filem Semerah Padi (1956), Isi Neraka (1960) dan Syukur 21 (2000). Filem-filem ini kurang diminati oleh penonton filem Melayu yang rata-rata majoritinya terdiri daripada kalangan belia dan remaja yang masih muda. Golongan ini menerima filem sebagai alat untuk berhibur dan untuk lari dari segala masalah serta cengkaman keserabutan emosi. Justeru, pengarah-pengarah tempatan lebih selesa memilih genre komersial yang diterima dan mendapat sambutan daripada penonton seperti komedi romantik, cinta, seram dan melodrama. Filem turut dipersalahkan akibat kesan perubahan trend sosial masyarakat dan individu yang dipaparkan termasuk isu kemerosotan nilai dan moral, babak-babak keganasan, sesuatu yang sterotaip seperti isu wanita dan minoriti dan juga ketidakfahaman mengenai realiti di dalam filem itu sendiri (Vivian 2005; Rodman 2006). Kekeliruan pembikin filem di antara memenuhi kehendak masyarakat dan tanggungjawab sosial mereka menyebabkan filem dan masyarakat menjadi mangsa.

Sesuatu yang menarik mengenai industri hiburan tempatan sejak akhir-akhir ini ialah kecenderungan produser drama dan filem menerbitkan karya berunsur kerohanian (Rozdan Mazalan 2009). Kredit pujian juga harus diberi kepada pengarah-pengarah tempatan yang cuba menyelitkan unsur-unsur Islam di dalam olahan cerita mereka secara langsung mahupun tidak langsung seperti filem Syurga Cinta (2009), Muallaf (2009), Maut (2009), Budak Kelantan (2008) dan Gubra (2006). Apa yang perlu ditekankan ialah mengenai isu kebenaran dan fakta hukum yang jelas supaya tidak timbul kekeliruan di kalangan masyarakat Islam itu sendiri. Justeru, pemahaman agama secara menyeluruh amat diperlukan di kalangan pembikin-pembikin filem tanahair agar tidak mewujudkan ajaran agama Islam yang liberal dan menyesatkan. Setiap hukum dan syariat di dalam Islam adalah suatu yang mutlak yang tidak boleh dipermudahkan walaupun atas dasar perlaksanaan dakwah.

Kebanjiran filem-filem bertema remaja amat membimbangkan apabila watak remaja yang dipaparkan tidak seimbang dari aspek fizikal dan mental. Remaja dipaparkan sebagai manusia yang bertenaga (energetik) dan berdaya saing. Namun, aspek mental atau rohani pula, remaja yang dipaparkan melalui filem merupakan seorang yang lemah dan mudah terpengaruh dengan budaya negatif. Malah, sering juga dipaparkan perwatakan remaja yang tersalah haluan, tidak bijak memilih atau membuat keputusan. Mereka sering bertindak melulu seolah tidak memikirkan langsung tentang masa hadapan (Zalila Isa 2007). ‘Sinema Malaysia’ sebagai satu portal rasmi perfileman Malaysia di bawah FINAS dalam memaparkan filem-filem yang telah dihasilkan oleh pengarah-pengarah filem tanahair turut mencatatkan bahawa genre drama dan komedi mendapat tempat yang tertinggi sebagai pilihan genre di kalangan pembikin filem tempatan. Ia diikuti dengan filem yang bertemakan cinta. Selain itu, genre yang turut mendapat tempat di hati penonton ialah filem-filem seram tempatan (www.sinemamalaysia.com.my).

Akhir-akhir ini juga, masyarakat turut dipertontonkan dengan musim filem-filem seram yang banyak digarap oleh pengarah-pengarah tempatan. Genre seram ini mendapat pelbagai reaksi daripada penonton. Dengan kejayaan filem Jangan Pandang Belakang (2007) yang mencapai rekod kutipan tertinggi lebih RM7 juta, turut merangsang pengarah-pengarah filem tempatan untuk berlumba-lumba menghasilkan filem dalam genre jenis ini. Bermula dengan Mistik (2003), Pontianak Harum Sundal Malam dan sekuelnya (2004 & 2005), Tujuh Perhentian (2004), Congkak (2008) dan Rasukan Ablasa (2009) membawa penonton kepada genre seram yang berlegar dalam dunia hantu dan ancaman alam lain yang menggangu dunia manusia. Apa yang perlu dititik beratkan ialah mengenai pegangan akidah yang seharusnya menjadi akar umbi kepada setiap muslim agar tidak digoyahkan dengan kepercayaan lain selain daripada kekuasaan Allah SWT.

Syukur 21 (2000) sebagai satu filem yang berlatarkan agama dilihat gagal meraih sokongan penonton walaupun dengan kos pembikinannya yang mencecah 3.8 juta. Filem ini menjadi antara filem pertama di Malaysia yang menggunakan teknologi terkini termasuk aspek penataan bunyi dan muzik latar serta paparan kesan grafik animasi tiga dimensi (3D). Kegagalan filem ini dilihat banyak terletak kepada pemilihan watak yang kurang bersedia membawa watak sebagai pelakon. Hanya bersandarkan kepada kumpulan Raihan yang popular ketika itu, Syukur 21 tidak menjanjikan perubahan watak kerana mereka gagal menghayati watak masing-masing dengan mutu lakonannya yang lemah. Aspek naratif dan penceritaannya yang longgar menyebabkan Syukur 21 terasa mudah konfliknya dengan lontaran dialog-dialog nasihat yang klise. Walaubagaimanapun imej Islam masih tinggi letaknya di bawah sutradara baru Eddie Pak atau Aliff Najmi ini.

Farzad Wafapoor (2008), seorang pengarah filem bebas Muslim yang terkemuka menjelaskan bahawa banyak cabaran dalam mengamalkan nilai seorang Muslim yang sebenar dalam industri filem di Amerika yang jelas secara langsung menyentuh paparan babak seksual dan ‘nudity’ yang merupakan babak murahan dalam menarik penonton. Menurut beliau, wujud dua perspektif pembikin filem Muslim dalam industri ini iaitu pengarah Muslim yang masih berpegang dengan ajaran Islam yang sebenar yang jelas mahu menggunakan industri filem sebagai jalan untuk berdakwah. Terdapat juga sekelompok pengarah Muslim yang menggunakan filem untuk mengubah kefahaman Islam melalui pembaharuan. Apa yang tidak difahami mereka ialah bukan Islam yang perlu kepada pembaharuan tetapi umat Islam itu sendiri. Walaubagaimanapun, beliau berpendapat masih ada ruang yang cukup positif bagi para pengarah Muslim di dalam bidang ini (Zaynab Herrera 2008).
Memahami Islam dan menerapkan elemen-elemen dakwah bukan hanya dengan memaparkan babak solat, azab siksa, pembalasan secara poetic justice mahupun lambakan dialog nasihat kepada penonton serta nilai kemanusiaan semata-mata. Banyak filem yang dihasilkan menyatakan pendirian pengarah dengan mengetengahkan mesej-mesej yang baik, menginsafkan dan berdakwah. Namun turut mengelirukan penonton dengan adegan-adegan yang mencemarkan agama seperti berzina, pergaulan tanpa batasan dan juga pendedahan aurat yang melampau.


Analisis Filem Semerah Padi
Semerah Padi (1956) merupakan filem kedua arahan P.Ramlee yang menterjemahkan kelangsungan hidup masyarakat Semerah Padi berlandaskan agama Islam yang sebenar. Filem ini menyumbang kepada perkembangan dan keutuhan Islam dan sehingga ke hari ini Semerah Padi dianggap naskah terhebat P.Ramlee dalam memperjuangkan nilai agama dalam masyarakat dan banyak diperbincangkan dalam kajian dan kritikan filem tempatan. Anuar Nor Arai menyatakan bahawa Semerah Padi sebagai filem masyarakat Melayu yang dilihat dalam konflik sosial dan agama. Mereka meletakkan agama sebagai tunggak penentu seluruh sistem sosial yang dianuti oleh masyarakat Semerah Padi. Manakala Ku Seman Ku Hussain berkata;
“P.Ramlee menjelmakan "Semerah Padi" sebagai filem yang kental dengan Melayunya”.

Tunggak pengarahan yang didirikan oleh P.Ramlee terlalu tinggi untuk dicapai oleh pengarah-pengarah filem sezamanya. Lingkungan naivete pada lakonan, pengarahan seni, rekaan produksi, hubungan prop, penguasaan ruang dan fotografi sudah beralih kepada lingkungan yang bijak dan artistik. Semerah Padi sudah terlalu jauh teranjak daripada gaya pengarahan sezamannya dan material sosial yang terdapat dalam Penarek Becha dan seluruh filem sebelumnya yang melihat cita-cita dan harapan Melayu itu “terapung-apung di langit biru yang bergejolak akan nasib dan air mata” (Anuar Nor Arai 2007).


1. Cerita dan Plot
Plot adalah keseluruhan filem dan cerita adalah pecahan kepada peringkat-peringkat plot yang tertentu. Plot filem merangkumi sebarang perkara yang wujud secara visual atau bunyi dalam filem tersebut. Ia juga merangkumi segala kejadian cerita yang sama ada dipersembahkan secara langsung dalam cerita tersebut atau sebagai bahan di luar cerita. Empat faktor menentukan kualiti sesebuah cerita iaitu kaitan, intensiti kesan, kompleksiti cerita dan keaslian cerita (Muhammad Hatta Muhammad Tabut 2003).

Kekuatan filem Semerah Padi terletak kepada cerita dan plotnya yang kuat. Berbeza dengan filem-filem Melayu yang pernah diterbitkan, Semerah Padi mempunyai subjek yang asli. Aspek keaslian Semerah Padi sangat kuat. Semerah Padi (1956) menceritakan tentang sebuah kampung yang bernama Semerah Padi. Semerah Padi dipimpin oleh seorang ketua kampung yang kuat agama dan mengamalkan peraturan dan undang-undang Islam yang sebenar. Watak utama filem ini ialah P.Ramlee sebagai Aduka, Nordin Ahmad sebagai Taruna dan Sa’adiah sebagai Dara.

Konflik wujud apabila Dara ditunangkan dengan Taruna sedangkan Dara dan Aduka saling mencintai. Tewas dengan ujian nafsu menyebabkan Dara dan Aduka terlanjur sehingga memaksa bapa Dara sebagai ketua kampung menjatuhkan hukuman sebat 100 kali kepada mereka. Intipati dan dasar cerita yang berpegang kuat kepada perundangan Islam yang sebenar menjadikan filem ini berbeza dengan filem-filem cereka Melayu yang lain. Walaubagaimanapun filem P.Ramlee ini masih bertunjangkan cinta manusia dan yang membezakannya dengan filem-filem Melayu yang lain adalah dengan sandaran Tuhan sebagai paparannya.

Semerah Padi berjaya menarik penonton dengan garapan perlaksanaan hukum yang berkesan. Cerita Semerah Padi mempunyai intensiti kesan yang berkesan. Filem ini mempunyai babak-babak yang mencuit emosi penonton terutamanya ketika undang-undang Islam dilaksanakan. Sebagai ketua kampung Semerah Padi, hukum Islam tetap hukum walau terhadap anak kandungnya sendiri. Perbuatan zina yang dilakukan oleh pasangan Aduka dan Dara diselubungi oleh perasaan bersalah, malu dan menyesal. Menerima apa sahaja hukuman yang dijatuhkan menunjukkan sifat manusia yang lemah dan patuh kepada undang-undang Islam. Hukuman sebat 100 kali ini menimbulkan simpati penonton. Perlaksanaan hukum sula terhadap Jejaka dan Galak juga turut terkesan seolah-olah turut merasa ngeri dan sakit yang amat sangat.

Dalam Semerah Padi terdapat beberapa sub-plot yang mempunyai kaitan secara langsung kepada penceritaan utama watak. Kewujudan cerita seperti perlakuan sumbang Jejaka dan Galak yang akhirnya disula menyebabkan abang Jejaka iatu Borek berdendam dengan penghulu Semerah Padi sehingga membuat kacau dan menculik Dara. Rentetan daripada itu, berlakunya perlakuan zina di antara Dara dan Aduka ketika Aduka berjaya menyelamatkan Dara daripada Borek. Semerah Padi mempunyai jalan cerita yang mudah difahami. Penonton boleh meneka kesudahan cerita ini yang berakhir dengan happy ending setelah watak utama cerita diuji dengan ujian cinta yang berat.


2. Watak dan Perwatakan
Watak Aduka, Dara dan Taruna bergerak dalam ruang atmosfera mereka sendiri dalam mencari titik pertemuan dan perbezaan yang mengangkat sisi depan dan sisi gelap mereka. Dalam filem ini, P.Ramlee tidak menjadi P.Ramlee di luar filem tetapi melakonkan watak Aduka yang berjiwa tulus, jujur dan naif. Watak Aduka tewas dengan rayuan Dara di kala berduaan dalam malam hari ketika hujan yang melantunkan gelodak jiwa mereka dengan godaan nafsu dan syaitan sehinggakan mereka terlanjur berzina.

Dara sebagai seorang perempuan yang remaja jiwanya ingin memiliki cinta sejati. Watak Dara masih dibaluti tebal dengan kemelayuan seorang perempuan Melayu dengan menampilkan ciri-ciri sopan santun, lemah lembut dan menghormati orang tua. Namun, godaan syaitan dan wanita sebagai fitnah tidak mampu menyelamatkan Dara dari terus mempertahankan maruahnya di tangan Aduka. Dara tewas memelihara cintanya terhadap Aduka.

Watak Taruna digambarkan sebagai seorang lelaki yang gagah perkasa, memiliki jiwa keperwiraan, berhati waja dan tegas. Namun, di sebalik itu dia masih mempunyai jiwa yang halus dan lembut sehingga mampu memaafkan kesalahan Aduka. Kekuatan watak Taruna ialah menerusi ekspresi wajahnya yang tenang dan tidak cepat menghukum.

Pemakaian watak Aduka, Taruna dan Dara masih tebal dalam acuan budaya Melayu. Walaubagaimanapun, acuan Melayu mereka masih berbeza dengan konsep syariat Islam yang sebenar. Watak mereka masih bergerak bebas tanpa pemahaman konsep aurat dan batasan di antara lelaki dan wanita yang bukan mahram. Watak Dara yang berselendang yang menampakkan aurat seorang wanita mewakili gadis-gadis di perkampungan Semerah Padi yang mengamalkan undang-undang Islam. Mungkin alasan tahun 1956 ada logiknya dengan pengamalan masyarakat Islam yang baru berkembang jika hendak dibandingkan pada tahun 1990-an dan abad ke 21 ini.

Sikap watak dengan penuh kesopanan dan kemelayuannya menjadi tunjang utama watak dalam Semerah Padi seiring dengan akhlak seorang Muslim. Bahasa yang penuh santun dan alur pekerti seorang Muslim banyak didapati dalam paparan babak-babak Semerah Padi. Babak Dara dan Taruna yang memohon lalu dengan membongkokkan badan di belakang orang yang lebih tua menonjolkan pekerti dan akhlak terpuji Muslim. Contoh: “Pak, pak! Dara tumpang lalu ya. (Sambil membongkokkan badan)” Begitu juga dengan watak Taruna yang meminta izin daripada ibu Aduka terlebih dahulu sebelum bertemu dengan Aduka menunjukkan sahsiah yang tinggi dalam menghormati orang yang lebih tua. Watak Tok Penghulu sebagai ketua kampung Semerah Padi banyak ditonjolkan sebagai seorang yang taat beragama dengan paparan babak seperti babak mengaji dan cara beliau memberi hukum. Sikap watak yang dikaitkan dengan hubungan ritual dan ibadah ini menghubungankan kejiwaan manusia dengan kekuasaan Allah SWT.

Semerah Padi juga mengangkat budaya bangsa dan agama Islam dengan bahasa yang amat tinggi santunnya. Kesan ketinggian bahasa ini amat dirasai dan menggambarkan keluhuran bangsa Melayu itu sendiri dalam memartabatkan Islam sebagai agama rasmi penduduk Semerah Padi. Di antara dialog-dialog di dalam Semerah Padi yang terkesan di hati penonton ialah;
1. “Pertunangan adalah soal perseorangan tetapi agama, bangsa dan tanahair ialah soal bersama”.
2. “Mengapakah yang dilarang agama kamu lakukan”.
3. “Kerana nafsumu dikuasai syaitan. Perbuatan mu derhaka kepada Tuhan, derhaka kepada tanahair, bangsa dan agama. Kita semua beragama Islam yang taat kepada undang-undang agama”.
4. “Kamu taat kepada ketua mu tapi kamu lupa penduduk Semerah Padi lagi taat kepada agama Islam”.
5. “Alang-alang hidup bergelumang dosa, biar mati dijilat neraka”.
6. “Biar busuk daging ku mamah agar kau terhindar cemar”.


Rumusan dan Kesimpulan
Semerah Padi menjadi antara filem Melayu bergenre keagamaan yang boleh dibanggakan. Kekuatan dan penghayatan Islam di dalam Semerah Padi amat kuat sehinggakan Islam menjadi tunjang dalam kehidupan sosial penduduk Semerah Padi. Namun, masih terdapat ruang-ruang yang boleh dibuat penambahbaikan seperti kejelasan hukum mengenai aurat, persentuhan di antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram dan akhlak Muslim yang sebenar. Cabaran dan dilema inilah yang sering dihadapi oleh pengarah-pengarah Muslim di Malaysia dalam menterjemahkan nilai Islam tanpa mengabaikan unsur-unsur komersial filem. Kesukaran membuat pilihan di antara memartabatkan syariat dan hukum dengan kehendak komersial menyebabkan cabaran ini terus berlarutan dalam mana-mana filem walaupun di atas sandaran agama dan dakwah. Tanggungjawab meletakkan hukum pada tempatnya perlu digalas oleh pengarah Melayu-Islam hari ini untuk menyebarkan kefahaman Islam yang sebenar.

Masyarakat memerlukan filem yang dapat memaparkan corak dan budaya hidup berlandaskan agama. Ini kerana filem bukan hanya lakaran kanvas yang kosong tanpa pengisian nilai dan agama. Setiap paparan babak dan dialog mampu mengekspresikan kekuatan sesuatu bangsa dan agama yang diangkat menerusi filem. Walaubagaimanapun, filem yang diangkat dari konteks agama seharusnya memerlukan suatu kefahaman yang cukup jelas mengenai jawapan kepada setiap permasalahan hukum dan syariat Islam.

Umat Islam perlu keluar dari memandang filem sebagai hiburan semata-mata malah seharusnya lebih sensitif mengenai isu-isu agama yang dipaparkan secara negatif. Babak-babak klise yang sering dipaparkan di dalam filem seperti gambaran negatif ahli agama terhadap masyarakat seni dan sikap prejudis yang mereka amalkan di dalam menilai dan menghukum manusia lain. Kemerosotan nilai yang berlaku di dalam masyarakat Melayu hari ini menghilangkan rasa sensitiviti mereka mengenai isu-isu agama dan moral seperti seks luar nikah, manusia Islam tanpa solat Subuh, cerita di kamar tidur yang dipertontonkan tanpa segan silu malah memeluk seseorang yang bukan mahram. Paparan babak-babak zina sudah menjadi biasa dan lazim di dalam filem-filem Melayu tanpa timbul rasa bersalah dan malu terhadap agama Islam itu sendiri.

Justeru, penghasilan filem-filem bergenre keagamaan perlu diperbanyakkan bagi membantu penonton agar tidak terkeliru dengan dakyah-dakyah Barat yang dizahirkan melalui filem. Ideologi dan fahaman baru tentang Islam yang menular dalam masyarakat Melayu-Islam di Malaysia perlu diselamatkan agar tidak tergadai nilai agama dan akidah yang menjadi tunjang kebenaran umatnya. Harapan yang tidak pernah hilang adalah untuk meletakkan filem sebagai platform dan medan dakwah sebagai usaha yang berterusan.



No comments:

LinkWithin