Followers

Thursday, July 28, 2011

Bicara di TV al-Hijrah Mengupas tentang Filem Islam: Realiti atau Fantasi?


Dalam Bicara di TV al-Hijrah Rabu, 9.30 malam tadi (27 Julai 2011) telah berlangsung program bual-bicara bersama tiga tokoh penting dalam industri drama dan filem di tanah air iaitu, Tuan Haji Abu Hassan Morad, Tuan Zabidi Mohamed dan Puan Maizura Mohd Ideris. Mereka membicarakan satu tajuk yang cukup penting sebagai platform ke arah perkembangan filem Islam di Malaysia iaitu "Filem Islam: Realiti atau Fantasi?" Satu tajuk yang cukup baik untuk dikupas dan dicerakinkan pengisiannya. Antara isu yang mungkin kita boleh kongsi bersama sepanjang bicara satu jam ini ialah mengenai persoalan content filem itu sendiri. Sdr. Amin Idris selaku moderator program turut mempersoalkan mengenai patern, bentuk dan corak filem atau genre yang sering menjadi pilihan peminat filem seperti seram, komedi dan cinta yang mendapat tempat dan mencapai kutipan box-office.

Justeru, di mana tempatnya filem-filem Islam ataupun filem yang berlatarkan Islam ini di mata rakyat Malaysia? Isu ini telah dikupas oleh Tuan Haji Abu Hassan dengan mengatakan bahawa senario audien Malaysia yang sukakan filem hantu ini sebagai senario global. Bukan hanya di Malaysia malah negara-negara lain di dunia juga turut mengeksploitasi kewujudan makhluk halus dan ghaib ini sebagai membentuk jalan cerita dalam filem. Pn. Maizura turut melihat bahawa pengkarya terlalu mengikut kehendak audien sehingga mereka 'endorse' tentang apa yang mereka tahu dan dengar yang berlaku seperti sifat dengki guna bomoh dsb. dan mereka menyediakan filem seumpama itu. Sepatutnya pengkarya yang bertanggungjawab dan membentuk pemikiran rakyat!

Manakala Tuan Zabidi mengetengahkan isu dakyah yang telah lama digunakan oleh Barat melalui filem. Filem telah digunakan sebagai dakyah Barat untuk mempromosi agama dan menunjukkan mereka yang menguasai dunia. Zabidi turut membincangkan mengenai isu yang cukup penting iaitu perbezaan di antara filem Islam dan filem yang berlatarkan Islam serta filem dakwah. Memang term dan istilah ini banyak diberikan definisi yang kurang tepat dan kadang-kadang para pengkarya turut tidak memahami perbezaan di antara istilah-istilah tersebut. Terus terang saya katakan bahawa Malaysia masih gagal dan terlalu jauh lagi untuk menghampiri pembikinan filem Islam mahupun filem dakwah. Yang ada sekarang hanya melengkapi kategori filem yang berlatarkan Islam iaitu memasukkan unsur-unsur Islam di dalam filem. Itu pun hanya beberapa kerat sahaja jika nak dibandingkan dengan filem-filem dalam genre lain seperti seram, komedi dan cinta (Pesimis ke saya ni? Entahlah! Drama Islamik mungkin banyak cikit la!)

Itulah ironiknya industri pembikinan filem di Malaysia. Finas pernah menganjurkan Festival Minggu Filem Islam 2009 sebagai contohnya. Filem apa yang kita nak persembahkan dalam minggu filem yang kita anjurkan sendiri? Kerana kita sebagai penganjur Minggu Filem Islam amat ketandusan filem-filem bercorak Islam ini. Bunyinya macam kelakar tapi itulah hakikatnya kita di Malaysia yang diakui sebagai negara Islam dan berlatarkan agama Islam sebagai agama rasmi negara. Filem apa yang kita boleh banggakan sebagai filem yang dihasilkan di Malaysia yang menepati konsep dan prinsip Islam - tidak ada bukan? Nasib baik ada Syukur 21 yang dapat mewakili Malaysia bagi memenuhi slot tayangan secara ekslusif. (Itupun hanya mendapat kutipan yang tak balik modal di samping watak dan perwatakan yang kaku dan plot yang lompang! Tapi itu je yang kita ada) Sampai bila hanya mengharapkan Syukur 21? Belum lagi bercerita tentang filem Nasional yang boleh mengangkat budaya dan corak hidup masyarakat. Boleh ke nak bawa KL Gangster yang mencapai kutipan 11.74 Juta sebagai mewakili Malaysia sebagai filem yang mengangkat budaya dan nasional bangsa Malaysia atau mengangkat masyarakat Islam di Malaysia? Entahlah! (banyak mengeluh betul la saya ni bila bercakap tentang filem Islam di Malaysia!). Mungkin Nur Kasih The Movie boleh dipuji kewujudannya di tengah-tengah lambakan cerita hantu dan komedi.


Tuan Zabidi juga melontarkan idea bahawa Indonesia memang terkehadapan dalam menghasilkan filem dalam genre dakwah ini. Bermula dengan 'Di Bawah Lindungan Kaabah' sejak 30 tahun dulu, sehingga sekarang banyak filem yang boleh diletakkan dalam kategori filem dakwah ditawarkan oleh Indonedia sehingga ke Malaysia fenomenanya. Saya pun suka filem-filem seperti Ketika Cinta Bertasbih, Dalam Mihrab Cinta, Emak Ingin Naik Haji, Laskar Pelangi, Sang Murabbi - filem-filem yang mendekatkan kita dengan Allah.


Sebenarnya banyak isu-isu yang dikupas dalam Bicara semalam. Semuanya penting untuk dikongsi bersama! Tapi yang paling penting saya rasa untuk dikongsi dan difikirkan bersama ialah persoalan yang dilontarkan oleh Amin Idris mengenai peranan dan penglibatan para graduan Islam dalam melibatkan diri memutihkan dan membantu industri filem tanah air! Mungkin dari kepelbagaian dimensi seperti penulisan skrip, pengarahan, lakonan dsb. Betul, cabaran buat para pelajar dan graduan Islam untuk menceburkan diri dalam bidang ini. Tapi jangan sampai tersasar dan terleka dengan fitnah dunia ini! Yang penting prinsip sebagai keutamaan karya jangan sampai dilupakan akibat profit komersial semata-mata untuk mendapatkan market. Itu turut diperbincangkan oleh ahli panel Bicara semalam.

Mungkin sesetengah pihak menganggap isu ini sebagai isu kontroversi tambahan pula dengan contoh gaya hidup artis yang dipaparkan yang banyak memaparkan gaya hidup rosak sehingga Sdr Amin turut mempersoalkan pelakon kita tidak ada akhlak? Isunya - melakonkan gaya dan cara hidup muslimah dalam filem tetapi realiti di luar sebagai seorang yang mendedahkan aurat, kaki clubbing dsb. Yang pasti pelakon pun bukan boneka dalam permainan filem yang mereka lakonkan. Mereka tetap manusia Islam yang akan dihisab Allah di atas segala perbuatan mereka. Itu kena ingat!

Akhir kalam sebagai resolusi, Tuan Haji Abu Hassan turut mempersoalkan dasar sebagai yang perlu dimantapkan. Begitu juga pembikinan karya filem Islam sebagai usaha bersama gabungan team players yang ditunjangi pengarah, penulis skrip termasuklah pelakon, krew dsb perlu berganding bahu menjayakan penghasilan filem yang benar-benar membantu masyarakat ke arah yang lebih baik. Zabidi turut mengalu-alukan perjuangan para graduan Islam, ahli agamawan yang mempunyai fikrah Islam untuk sama mengisi ruang-ruang yang lompang dengan menawarkan alternatif Islam kepada audien dan masyarakat. Maizura pula mengakhiri perbincangan dengan membawa isu kesedaran secara menyeluruh; sebagai contohnya pelakon yang melakonkan watak - turut berubah - bagi memartabatkan filem Islam yang global. Ameeen!

Tuesday, July 26, 2011

Filem dan kesan prososial

Bila kita berbicara mengenai filem, sering kita berbahas mengenai kesan negatif daripada penontonan filem. Kita sering melihat filem sebagai alat yang merosakkan. Filem sering dipersalahkan, memberi pengaruh yang negatif kepada penonton dan masyarakat. Daripada mana anak-anak kita belajar sesuatu benda yang baharu; merokok, bergaduh, merempit, bercinta, berzina dsb. Sedikit sebanyak mereka turut menontonnya dari filem. Kenapa? Sebab itulah yang sering mereka lihat dalam filem-filem kita hari ini. Tidak adakah aspek yang baik daripada filem. ADA! Filem sebenarnya tidak salah. Yang salah ialah orang yang menghasilkan filem; yang memasukkan unsur-unsur negatif dan 'ganas' atas nilaian komersial semata-mata. Dengan alasan hanya naratif dan sinematik serta rekaan semata-mata, pengarah hari ini berkarya dan berkhayal. Kenapa tidak menggunakan medium filem untuk menghebahkan kesan prososial (kesan positif). Hebah dan sebarkan kebaikan menerusi filem; hidup saling tolong menolong, berkasih sayang, hormat menghormati dan saling bekerjasama....Aman dan selamat hidup dan masyarakat Islam jika ini yang menjadi keutamaan para karyawan Muslim di Malaysia...Ameen. Islam dah lama membincangkan tingkah laku prososial ini!

Auteur Theory (Teori Kepengarangan)

Secara jelasnya terdapat beberapa sebab mengapa khalayak menyukai sesebuah filem. Antaranya sudah pasti kerana pelakon yang melakonkan watak dalam filem tersebut. Di dalam filem, manusia atau watak menjadi bahan penceritaan utama di samping aspek plot dan naratifnya. Muhammad Hatta (2003) menjelaskan bahawa watak di dalam filem merupakan suatu representasi seseorang individu mempamerkan suatu perlakuan bagi mewujudkan babak dramatik. Namun, peranan pengarah filem juga tidak kurang pentingnya. Pengarah filem sebenarnya yang menjelmakan mutu lakonan watak yang baik. Ku Seman (2003) menjelaskan bahawa pembikinan filem adalah seni menterjemah elemen teks daripada lakon layar dengan elemen visual yang dihasilkan menerusi lensa kamera. Tugas pengarah adalah menterjemahkan lakon layar dalam bentuk sinematik.

Berdasarkan konsep teori auteur yang diasaskan oleh Andrew Sarris, pengarah merupakan pengarang kepada filem arahannya (Mahyuddin, 2005; Ellis, 2001; Wollen, 2003; Ku Seman, 2000). Lensa kamera pembikin filem perlu menterjemahkan teks lakon layar dengan adunan seni dan kreativitinya menerusi audio dan visual agar mesejnya dapat difahami. Pengarah filem mempunyai kuasa autoriti yang sangat tinggi dalam menyampaikan mesej yang tersurat dan tersirat dalam sesebuah filem. Kejayaan sesebuah filem tersebut banyak didominasi oleh pengarahnya. Asiah & Nur Kareelawati (2009) menyatakan bahawa filem yang dihasilkan merupakan pantulan kesedaran dalaman dan visi yang wujud di dalam jiwa seseorang pengarah filem. Justeru, tidak hairanlah seseorang pengarah turut menempa nama sebagai bintang pujaan jika filemnya berjaya mendapat tempat di hati khalayak filem. Namun, untuk menginterpretasi dan menterjemahkan idea lakon layar melalui elemen visual bukanlah suatu tugas yang mudah. Gaya arahan setiap pengarah seharusnya mempunyai identiti yang tersendiri.

Friday, July 15, 2011

Sisi Dakwah "Makbul" Mantap!


Semalam berakhir lah sudah siri drama Makbul yang telah bersiaran di TV 2 jam 9.00 malam. Drama 15 episod ini ternyata memberikan kesegaran yang berbeza berbanding drama-drama yang pernah disiarkan di RTM. Kerana Makbul jugalah ramai rakyat Malaysia yang tidak gemar menonton rancangan RTM (TV2) mula beralih siaran setiap Khamis malam semata-mata untuk menonton Makbul. Walaupun bukan menjadi fenomena seperti drama-drama cinta yang lain, namun kewujudan Makbul turut disedari oleh penonton drama TV yang inginkan kelainan. Makbul merupakan garapan idea penulis skrip Zabidi Mohamed dan diangkat oleh Asri Alias selaku pengarahnya. Tahniah!

Makbul diolah dengan cukup mudah dan jelas iaitu kisah mengenai doa. Plot dan naratif Makbul cemerlang di tangan Asri Alias ini. Makbul mempunyai subjek yang asli dan terasa wujudnya intensiti kesan dalam memainkan emosi penonton. Tetapi Makbul bukan kisah melodrama. Malah ceritanya tidak meleret-leret. Manakala watak-watak Makbul juga mengukuhkan kehebatan cerita ini. Nah! Terbukti drama yang diangkat hebat naratifnya tidak perlu terlalu bergantung kepada pelakon-pelakon yang muda dan cantik semata-mata. Malah Makbul membuktikan bahawa walaupun pelakon-pelakonnya bukan dalam kalangan mereka yang popular tetapi tetap diminati. Ditunjangi karakter En. Anuar, Pn.Jamiah dan Bol tetap cemerlang dalam membawa perwatakan masing-masing. Karakter Bol sudah tentu mengundang simpati dan empati penonton.


Sisi dakwah Makbul memang mantap. Banyak elemen dan mesej dakwah disentuh dalam Makbul. Secara rumusannya daripada kesemua 15 episod Makbul; antara babak yang paling saya suka dalam Makbul ialah mengenai paparan watak isteri terutama dalam berbicara dengan sang suami seperti Jamiah (lakonan Kartina Aziz), isteri En. Anuar dan juga isteri pak imam (Khatijah Tan)cukup berjaya. Selalunya klise yang sering kita jumpa dalam drama-drama tempatan ialah bila isteri marah atau berdebat tentang sesuatu perkara, pasti dengan nada suara yang tinggi dan menengking-nengking. Tetapi Makbul menampilkan sisi isteri yang berbeza; bagaimana berbicara dengan suami; baik dan masih menghormati sang suami walaupun suami tersebut khilaf dan berbuat salah. Begitu juga dengan penekanan kepada kepentingan doa. Makbul cukup mantap. Doa sebagai senjata orang-orang mukmin dikupas dengan cukup baik oleh Asri Alias yang sudah pastinya ditunjangi oleh lakon TV yang cukup mantap oleh Zabidi Mohamed.

Antara yang saya boleh senaraikan elemen dan mesej dakwah yang diangkat dalam Makbul; sabar, rasa takut kepada Allah dengan dosa-dosa yang telah dilakukan, bertawakkal dengan setiap ujian daripada Allah, sifat berkasih sayang sesama manusia, saling menghormati, perbuatan jahat dan menganiayai orang lain tidak mendapat keberkatan dalam hidup, batas pergaulan di antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram, bersedekah kepada yang memerlukan, berpaksi kepercayaan akidah yang benar tanpa syirik kepada Allah, bersangka baik sesama manusia, bersangka baik dengan Allah, bersyukur dengan rezeki kurniaan Allah, solat merupakan kewajipan setiap muslim, berlemah lembut ketika berbicara dan yang menjadi tunjang cerita Makbul iaitu sentiasa berdoa demi keberkatan hidup. MasyaAllah! Jika drama seperti Makbul sering dipersembahkan kepada penonton kita sudah pasti konsep berdakwah melalui drama akan berjaya!


Dengan dialog yang santai dan bersahaja, sisi dakwah dalam Makbul dilihat mendekati metode al-hikmah dan mau'izah al-hasanah. Bukan hanya bersandarkan dialog didaktik yang hanya mengajar dan bersyarah, malah dialog Makbul lebih kepada nasihat tanpa lafaz yang berjela-jela serta memaparkan reliti perbualan harian biasa. Syabas kepada Zabidi Mohamed kerana sumbangan beliau dalam terus memartabatkan drama berbentuk keagamaan ini. Masih menanti bila masanya untuk En. Zabidi terjun ke dalam penulisan skrip filem pula. Yang pasti lakon layar filem sememangnya lebih mencabar lagi dengan audien yang mungkin berbeza. Mohon doanya semua!

Thursday, July 14, 2011

Cuba Lihat Displin Komunikasi dari Perspektif Dakwah

Bidang komunikasi, berpaksikan Barat kerana Barat yang mempelopori perkembangan displin ilmu komunikasi. Oleh itu, tidak hairanlah jika segala konsep, model, teori, serta prinsip komunikasi berdasarkan perspektif dan cara fikir mereka. Elemen-elemen dalam proses komunikasi juga dibangunkan bertunjangkan nilai dan pemikiran mereka. Sebab itulah tujuan dan matlamat komunikasi tidak disandarkan kepada Tuhan. Kerana dalam komunikasi Barat, nilai ketuhanan itu dipisahkan dari segala aspek ilmu yang mendasarinya. Sebagai contohnya asas dalam komunikasi seperti SMCR - sender, message, channel dan receiver - berlaku di antara manusia sahaja. Begitu juga dengan model Laswell yang memasukkan kesan (effects) juga tidak menghiraukan nilai ketuhanan. Ini yang membezakan di antara komunikasi Barat dan tunjang komunikasi dakwah. Kerana pada akhirnya matlamat komunikasi dakwah hanya untuk mendapatkan keredhaan Allah SWT.

Pada hakikatnya Islam juga turut membincangkan mengenai komunikasi yang lebih dikenali sebagai i'lam dan ittisal dalam bahasa Arabnya. Islam juga turut menyentuh mengenai aspek hubungan hablul min an-Naas dan hablul min Allah yang mendasari komunikasi Islam atau komunikasi dakwah. Asas ini yang membezakan komunikasi dakwah dengan komunikasi konvensional yang berkiblatkan Barat.

Kita juga dapat lihat senario yang berlaku di Malaysia. Boleh dikatakan semua universiti yang menawarkan kursus bidang komunikasi turut menerima pendekatan metateori komunikasi Barat ini. Bidang pengajian komunikasi di Malaysia diajar dari perspektif Barat tanpa cuba menilainya kembali melalui pendekatan Islam dan Dakwah. Sedih bukan! Justeru, perkembangan displin komunikasi hanya menguntungkan mereka yang bias dengan Barat semata-mata. Sehinggakan pada hari ini pun susah dan sukar untuk kita menetapkan definisi mengenai komunikasi dakwah apatah lagi mencari teori mengenainya. Malah, kajian penyelidikan komunikasi yang dijalankan secara saintifik dan empirikal walaupun dilakukan oleh sarjana muslim banyak dipengaruhi oleh pemikiran dan perspektif Barat.

Walaubagaimanapun, terdapat juga hujah dan debat yang menegaskan bahawa kita perlu melihat bidang komunikasi daripada perspektif yang berbeza seperti perspektif Islam dan Asia. Ini kerana budaya, cara hidup dan agama masyarakat Islam dan Asia memang jauh berbeza dengan Barat. Mana mungkin kita masih lagi menerima komunikasi intrapersonal, interpersonal, small group mahupun mass communication - media effects Barat tanpa sifat kepedulian kita terhadap nature hidup kita sendiri dan agama kita sendiri iaitu ISLAM.

LinkWithin