Followers

Tuesday, October 25, 2011

Berkongsi makna dalam Bengkel Penulisan Skrip

Mengikuti Bengkel Penulisan Skrip bersama En. Zabidi Mohamed memberikan banyak pengalaman dan ilmu yang amat bermanfaat. Lebih-lebih lagi dalam ruang dan peluang untuk meneruskan perjuangan menulis skrip drama berunsurkan Islam dan dakwah bersama Zabidi Mohamed dan Layar Consult. Sudah selesai 4 sesi dan masih ada satu lagi sesi akhir nanti. Namun, sebenarnya amat sukar memerah daya dan idea kreatif untuk menulis dan menghasilkan skrip yang baik. Terasa kosong dan kerdil je diri ini tatkala diberi tugasan untuk menghasilkan skrip drama. Dalam hati bercelaru dan berkonflik, mampukah diri ini di saat kesibukan mendesak diri berupaya menyiapkan skrip yang diminta. Moga-moga Allah memberikan ilham ke atas jiwa hamba yang kerdil ini untuk terus menyahut cabaran demi meningkatkan dan mengangkat martabat perjuangan dakwah melalui penghasilan skrip drama.

Drama-drama Melayu yang kita tonton di Malaysia terasa sangat klisenya. Malah sedap pula asyik condemn dan kritik je kerja kita kan. Fuhh, rupanya payah jugak untuk menghasilkan skrip drama yang baik. Terasa amat kagum sekali dengan kreativiti En. Zabidi yang banyak menghasilkan skrip. Drama-drama beliau amat saya kagumi seperti Makbul, Hani, Ihsan, Aku Bukan Rabiatul, Aku Terima Nikahnya, Basikal itu dan banyak lagi dan saya senang sekali menjadi peminat setia menantikan drama-drama beliau yang ditayangkan di kaca televisyen. Bayangkan daripada seorang majistret beralih karier sebagai penulis skrip sepenuh masa, saya tabik betul dengan kemampuan beliau. Yang paling saya kagum dengan prinsip beliau mengenai watak putih dan watak hitam. Saya suka dengan pilihan beliau untuk tidak memasukkan watak hitam dalam drama-drama beliau. Konflik cabaran hidup (obstacles) sebagai halangan amat menarik seperti mana juga mewujudkan watak-watak yang menghalang watak protagonis. Dengan kata lain kita tak memerlukan watak jahat untuk menghidupkan jalan cerita.

Banyak yang dipelajari dan difahami daripada bengkel skrip yang telah dijalankan. Walaupun sebenarnya ilmu teori tentang penulisan skrip sudah diketahui tetapi perkongsian ilmu En Zabidi mengukuhkan lagi perjalanan saya untuk menjadi seorang penulis skrip. Pentingkah bagi saya untuk menjadi seorang penulis skrip? Cita-cita yang tidak kesampaian kah ataupun hanya sekadar mencuba nasib? Namun, ia lebih daripada itu. Apa yang boleh saya katakan ia lebih kepada tanggungjawab kepada masyarakat dan juga demi mengangkat drama dakwah di Malaysia. Tetapi jangan pula menunggu skrip atau tayangan drama hasil skrip saya hehehehe kerana saya tidak tahu bila impian saya mampu menjadi kenyataan. Saya telah mencuba dan masih mencuba.

Dalam kepala sudah ada cerita tetapi tak sempat diterjemahkan lagi ke atas kanvas Final Draft sebagai buah tangan sesi akhir 12 November nanti. Sudah 3 bengkel skrip yang pernah saya ikuti; En Kamal Ishak, Pn Maizura Ideris dan juga En. Zabidi Mohamed. Ketiga-tiga mereka mampu memberi ilmu dan pengalaman mereka dalam konteks yang berbeza. Entri kali ini hanya sekadar berkongsi makna daripada Bengkel Skrip yang pernah saya hadiri. Doakan saya & Terima kasih semua :-)

Sunday, October 16, 2011

Realisme Vs. Formalisme?


Akhir-akhir ini banyak isu dalam drama dan filem tempatan yang agak panas dan kecoh. Isu filem hantu menjadi perhatian dan perbualan hangat orang-orang filem mahupun masyarakat awam yang turut sama berkongsi pandangan. Prejudis mereka yang gemarkan filem seram dan juga pembikin filem seram melihat dari aspek kebebasan berkarya. Pada pandangan mereka kenapa menyibuk sangat tentang isu filem hantu yang dituduh merosakan akidah penonton. Sedangkan pada pendapat mereka filem itu hanya hiburan yang tidak terkesan pun dek kerana tontonan filem-filem seram. Kata mereka lagi janganlah takut pada bayang-bayang sendiri. Setakat menonton filem hantu bukan boleh meruntuhkan akidah pun. Malah ahli agamawan dan para ustaz terpalit sama kotorannya bila dilihat tidak memberi sokongan terhadap filem-filem sebegini. Ahli agama dan ustaz-ustaz yang faham agama ini dilihat asyik menyalahkan orang filem kenapa menghasilkan filem-filem sebegini. Mereka dikatakan menghukum tanpa menonton sepenuhnya filem-filem tersebut. Sesetengah orang-orang filem ini pula agak melenting bila ditegur. Malah ada juga yang mencabar dan dengan sinis turut berhujah....kalau tak puas hati jangan asyik bantai dan condemn je...buatlah sendiri skrip & filem yang lebih baik dan lebih berkualiti.

Belum habis lagi isu filem hantu timbul pula isu sosial yang lagi merosakkan bangsa dan agama dengan kemunculan filem 3GP. Apa agaknya nawaitu penerbit dan pengarah filem 3GP ini dengan menghasilkan filem sebegini? Filem yang penuh noda dan dosa dengan isu sosial dan lebih-lebih isu hukum agama seperti zina dan minum arak. Adakah filem ini dihasilkan di atas nama kebebasan berkarya & kreativiti? Mana perginya tanggungjawab sosial? Atau nilai komersial mengatasi segalanya. Terlalu banyak onak dan duri dalam memperjuangkan mesej-mesej kebaikan melalui filem. Namun apakan daya nanah dan lumpur juga yang gemar menyaluti filem-filem Melayu kita hari ini. Filem-filem yang dihasilkan di atas nama sebuah mesej di pengakhirannya penuh dengan dunia kotor, gangster, dadah, pelacuran, rogol, rempit, dsb.

Akhirnya audien dan masyarakat belajar daripada filem...kena jadi jahat dulu untuk menyesal bertaubat kemudian insaf untuk jadi baik. Mestikah perlu wujud watak putih dan watak hitam dalam sebuah cerita untuk menunjukkan watak sisi protagonis sebagai hero dan sisi antagonis watak jahat? Kredit pujian untuk En Zabidi yang sering mengangkat watak-watak putih tanpa perlu watak hitam sebagai antagonis. Kata En Zabidi (Bengkel Penulisan Skrip di Galeri Ilmu) tidak semestinya kita perlu paparkan cerita watak yang ada orang jahat. Konflik dalam karakter protagonis boleh juga diangkat melalui mission dan obstacles yang menghalang watak protagonis tersebut.

Ini belum lagi menyentuh tentang kewujudan sentuhan agama dan dakwah melalui drama khususnya. Sejak akhir-akhir ini penerbit drama berebut-rebut la pula menyajikan penonton dengan drama berunsurkan Islam kononnya. Di mana letaknya nilai Islam dalam drama-drama Melayu kita hari ini. Adakah dengan menampilkan pelakon wanita bertudung, pelakon lelaki sebagai ustaz dan berkopiah sudah cukup meletakkan standard drama berunsurkan Islam? Apa jadi dengan drama Tahajud Cinta? - sangat memanipulasi agama dalam berkarya. Penulis skrip dan pengarah perlu lebih bertanggungjawab jika ingin meletakkan dan menzahirkan nilai Islam dalam drama-drama mereka. Rujuklah pada mereka yang pakar agar bila sesebuah drama ditayangkan ia tidak menimbulkan kontroversi dan dinilai salah oleh para audien yang menontonnya.


Bila pula nak masuk perbincangan mengenai tajuk entri formalisme Vs. realisme? Dua pemikiran filem yang sebati dengan orang-orang filem. Rasa-rasanya pemikiran filem yang mana yang banyak diguna pakai oleh orang-orang filem di Malaysia? Formalisme yang mementingkan sinematik, artistik dan juga estetik ataupun realisme yang penuh dengan 'visible reality' dan reproduksi realiti? Saya tinggalkan anda dengan ? TANDA TANYA! Ada masa saya akan sambung! :-)

Wednesday, October 5, 2011

Kertas Kerja MENTION 2011 (International Conference on Media & Communication) -Meneliti Kedudukan Filem Keagamaan (Islam) Melalui Perkembangan Genre Filem Melayu di Malaysia

Abstrak
Bermula dengan perjuangan di Jalan Ampas sehingga kepada penubuhan studio Merdeka dan FINAS, filem Melayu menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan terutamanya dari aspek pertambahan jumlah filem yang dihasilkan khususnya melalui kemunculan pelbagai genre dan sub-genre baharu. Penentuan gaya genre sangat penting dan berperanan dalam mencapai sasaran berdasarkan segmentasi audien. Kertas kerja ini memfokuskan perbincangan awal mengenai sejauhmana kedudukan filem keagamaan (Islam) melalui perkembangan genre filem Melayu di Malaysia dengan meneliti penghasilannya dalam tempoh 5 tahun terkini (2007-September 2011). Dalam tempoh lima tahun penghasilan filem cereka Melayu (2007-September 2011), genre seram, drama dan komedi dilihat mendominasi penghasilan genre utama oleh para karyawan filem tempatan. Namun, ironiknya hampir tidak wujud filem yang mengangkat elemen keagamaan sebagai inti pati utama perjuangan karya-karya pengarah Melayu (Muslim) di Malaysia. Ini dapat dilihat daripada senarai genre yang dibincangkan hanya terdapat beberapa buah filem sahaja yang memasukkan unsur-unsur keagamaan dalam penghasilan karya mereka secara langsung. Berdasarkan statistik FINAS (2011) sepanjang tahun 2007-September 2010, daripada 126 buah filem yang telah dihasilkan hanya terdapat empat buah filem dari pelbagai kategori genre yang menyentuh secara langsung mengenai aspek keagamaan (Islam).

Kata kunci: Filem Melayu, genre, sub-genre, filem keagamaan,

PENGENALAN
Genre filem mempersembahkan kepelbagaian tema dan cerita yang berbeza. Norman (2004) dalam membincangkan genre filem mengaitkannya dengan pilihan audien terhadap jenis filem yang digemari mereka. Ini turut diperjelaskan oleh Ayu Haswida (2005) yang berpendapat bahawa filem pada dasarnya mempunyai klasifikasi genre yang khusus. Zairul Anuar (2007) pula menjelaskan bahawa genre atau jenis filem dapat memberi gambaran awal mengenai faedah fungsi yang boleh diperolehi oleh audien. Melalui pola penceritaan tertentu, audien filem akan dapat memastikan bagaimana jalan cerita dapat memberi faedah secara langsung kepada audien. Oleh itu, penentuan gaya genre sangat penting dan berperanan dalam mencapai sasaran berdasarkan segmentasi audien. Secara umumnya, klasifikasi genre filem yang sering menjadi pilihan pembikin filem ialah genre filem seram, melodrama, komedi, western, muzikal, fiksyen sains, fantasi serta drama. Bertitik tolak daripada klasifikasi genre ini, wujud beberapa cabang subgenre lain contohnya genre komedi cinta dan komedi seram yang kini begitu popular di kalangan karyawan filem tempatan.

Kertas kerja ini menyentuh perbincangan awal mengenai kedudukan filem keagamaan dalam konteks perkembangan genre filem Melayu yang dihasilkan di Malaysia. Sinema Barat seperti Hollywood mengiktiraf genre keagamaan dalam filem-filem mereka dengan menghasilkan filem bergenre keagamaan (religious genre) seperti The Ten Commandments (1956). Walaubagaimanapun, selain daripada Hollywood dan sinema Barat, dunia sinema Islam lebih dekat dengan filem keagamaan dalam melihat persoalan agama dan spiritual melalui filem. Sinema Arab-Mesir, Iran, Turki, Indonesia mahupun Malaysia merupakan sebagai antara sinema perfileman yang mengangkat isu keagamaan yang sering dikaitkan dengan kepelbagaian agama dan budaya hidup. Malah, sinema Timur seperti India melalui industri perfileman Bollywood (Nayar 2010; Javed 2010) amat kuat dengan struktur agama dan budaya mereka yang sering diangkat dalam filem-filem seperti Mother India (1957), Sarfarosh (1999), Mission Kashmir (2000) dan juga Chak De India (2007).

Perkembangan penghasilan filem Melayu hari ini menampakkan keseriusan para pembikin filem untuk terus mempertahankan industri ini dari terus berkubur. Filem-filem Melayu bergerak daripada perjuangan penggiat-penggiat filem untuk memartabatkan filem Melayu di persada dunia. Filem Melayu telah meniti usia hampir 80 tahun bermula dengan penayangan filem pertama iaitu Laila Majnun pada tahun 1933 (Lihat Aimi Jarr dan Mohd Zamberi 2009; Sharifah Zinjuaher 1980; ABI 1987). Bermula dengan perjuangan di Jalan Ampas sehingga kepada penubuhan studio Merdeka dan FINAS, filem Melayu menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan terutamanya dari aspek seperti pertambahan jumlah filem yang dihasilkan khususnya melalui kemunculan pelbagai genre dan sub-genre baharu. Mendekati perspektif genre filem Melayu di Malaysia memperlihatkan perkembangan yang sihat melalui persaingan yang wujud di antara produksi-produksi filem seperti Primeworks Studio Sdn. Bhd., MIG Sdn. Bhd., Tayangan Unggul Sdn. Bhd. serta Excellent Pictures dan banyak lagi. Walaubagaimanapun, filem bercorak keagamaan bukan merupakan pilihan popular dalam kalangan para pembikin filem tempatan. Terdapat hanya beberapa buah filem Melayu yang jelas memasukkan elemen keagamaan jika dilihat dari aspek perkembangan industri perfileman negara seperti Semerah Padi (1956), Isi Neraka (1960) dan juga Syukur 21 (2000).

FILEM KEAGAMAAN
Penghasilan filem Hollywood yang bercorak keagamaan banyak menyentuh persoalan agama Kristian mengenai ketuhanan, ruh, jiwa, moral, malaikat (angel) dan juga syaitan (devil) (Lindvall 2004; Nayar 2010) seperti filem The Passion of Christ (2004), Leap of Faith (1992), Da Vinci Code (2006) dan juga 2012 (2009). Pengaruh kemunculan aliran ahli falsafah agama Kristian terutamanya dalam industri perfileman sinema Barat memberi kesan kepada masyarakat. Sebagai contohnya filem The Passion of Christ (2004) yang menceritakan pengorbanan Jesus Christ mencapai kutipan box-office dan mendapat sambutan daripada khalayak filem. Selain daripada memfokuskan agama Kristian yang diangkat dalam filem-filem keluaran Hollywood, mereka turut membawa kisah agama Islam dalam filem-filem seperti The Message (1976) dan Lion of the Desert (1981) yang menggunakan produksi Hollywood walaupun diarahkan oleh pengarah Muslim, Mustapha Akkad. Hollywood turut melahirkan filem seperti Kingdom of Heavens (2005) yang memaparkan perjuangan agama Kristian dan Islam melalui Perang Salib.

Kebangkitan filem yang bersandarkan agama Islam semakin mendapat tempat dalam kalangan peminat dan audien filem Muslim. Filem-filem hasil karya dari Indonesia dan Iran sejak akhir-akhir ini dilihat mendominasi kebangkitan filem keagamaan (Islam) atau turut juga dikenali sebagai filem dakwah. Filem-filem Indonesia seperti Ayat-ayat Cinta (2008), Ketika Cinta Bertasbih (2009) dan juga Dalam Mihrab Cinta (2010) dilihat berjaya menarik minat dan perhatian audien yang dahagakan filem yang berbentuk dakwah ini. Penglibatan ahli-ahli agama seperti Habiburrahman el shirazy menyemarakkan dan menyumbang penghasilan karya filem keagamaan ini secara lebih benar dan jujur. Javed (2010) membincangkan mengenai penglibatan sinema Islam yang mampu menghasilkan filem yang mematuhi undang-undang Islam, budaya dan nilai-nilai masyarakat.

Malah kebangkitan karya Majid Majidi (Javed 2010), pengarah tersohor Iran melebarkan pengaruhnya dengan menghasilkan filem-filem yang tekal konsep spiritual dan keagamaan seperti Children of Heaven (1998), The Color of Paradise (2000) dan juga The Song of Sparrows (2008). Sinema Iran merupakan contoh penghasilan perfileman melalui perkembangan sentuhan spiritual dan agama yang diterjemahkan melalui filem. Perubahan terhadap dunia perfileman di Iran dirasai masyarakat Islam dunia setelah berlakunya Revolusi Islam (Lihat Javed 2010; Sadr 2006; Bahar 2010) yang banyak menyumbang kepada perubahan dasar dalam pembikinan filem. Ini menyumbang kepada penghasilan filem-filem Iran yang dekat dengan agama sebagai pembinaan dimensi kehidupan masyarakat Iran secara menyeluruh. Justeru, kita dapati banyak filem-filem dari Iran mendapat sentuhan spritual, kejiwaan dan agama yang mendasari genre keagamaan sebagai genre filem yang bertapak kukuh.

Walaubagaimanapun Naim (2010) telah menjelaskan perbezaan mengenai filem Islam dan filem yang berunsurkan Islam secara kritis melalui perbincangan kertas kerja “Filem Islam: Satu perbicaraan”. Menurut Naim (2010), filem berunsur Islam merujuk kepada filem yang antara paparannya mengandungi beberapa unsur yang selaras dengan tuntutan Islam. Namun, tidak keseluruhan filem tersebut ‘Islamik’. Mungkin daripada aspek naratif, dramatik, sinematografi, semiotik, aplikasi, teknikal dan kontektualnya. Manakala, filem Islam menurut Naim (2010) pula membawa mesej penyerahan diri, tunduk, patuh dan bertauhid kepada Allah yang Maha Pencipta. Menurut Naim (2010) juga:
“Hasil garapan inti-inti pembicaraan tentang seni dalam Islam, maka filem Islam diungkapkan sebagai sebuah hasil seni, berbentuk ‘produk halal’, pra dan pasca penerbitan dengan pengisian dan garapan bersandarkan kod etika dan nilai Islam sehinggalah kepada proses edaran, tayangan dan tontonan khalayak. Tujuannya menyebar dakwah, menerap nilai murni dan menegakkan amar makruf nahi mungkar”.

GENRE FILEM MELAYU

Filem Melayu di abad ke-20 dan 21 membawa audien kepada suatu penerokaan genre dan eksperimental idea pengarah-pengarah muda khususnya. Wujud dua dimensi pengarahan yang jelas dilihat dalam perkembangan filem tanah air iaitu penghasilan filem-filem popular melalui pengarahan komersial seperti Yusuf Haslam, Aziz M.Osman, A. Razak Mohaideen dan Ahmad Idham dan juga filem-filem yang agak berat menerusi pengarahan seperti U-Wei Hj Shaari, Dain Said, Hishamuddin Rais dan Amir Muhammad. Berdasarkan statistik yang telah dikeluarkan FINAS sepanjang tahun 2007 sehingga September 2011, Malaysia telah menghasilkan sebanyak 126 buah filem cereka Melayu dalam pelbagai kategori genre dan sub-genre yang melalui syarat wajib tayang di pawagam (Jadual 1). Ini menunjukkan bahawa filem cereka Melayu mengalami perkembangan yang baik melalui peningkatan jumlah filem yang dihasilkan dari tahun ke tahun (Graf 1) bersandarkan penghasilan pelbagai klasifikasi genre dan subgenre. Menurut Wan Asrudi (2010):
Perkembangan dunia seni tanah air nampak semakin baik dari segi wujudnya penghasilan genre baru. Macam-macam bentuk cerita dihasilkan. Bukan seperti suatu masa dulu terikat kepada satu genre semata-mata iaitu cinta atau seram saja. Kalau kita lihat pembikin filem kini berani menghasilkan genre baru seperti komedi penyiasatan, seram komedi, drama dan lawak slapstik.

Jadual 1: Senarai Genre/Subgenre dan Jumlah Penghasilan Filem Cereka Melayu pada tahun 2007-September 2011

Graf 1: Jumlah Filem Cereka Melayu tahun 2007-September 2011

KEDUDUKAN FILEM KEAGAMAAN (ISLAM) DI MALAYSIA

Sepanjang tahun 2007 sehingga September 2011, daripada 126 buah filem yang telah dihasilkan hanya terdapat empat buah filem dari pelbagai kategori genre yang menyentuh secara langsung mengenai aspek keagamaan (agama Islam) (Jadual 6). Walaupun perbahasan dan kritikan perlu diutarakan mengenai naskhah keagamaan yang berlandaskan syariat di dalam filem-filem tersebut, namun secara zahirnya ia merupakan suatu usaha yang baik untuk mengangkat elemen keagamaan secara langsung menerusi filem. Justeru, filem-filem yang dikatakan mempunyai unsur-unsur Islam ini juga masih perlu diperbincangkan sama ada unsur-unsur Islam yang dimasukkan di dalam filem-filem tersebut bertepatan dengan syariat Islam yang sebenar.

Jadual 6: Taburan Filem yang Memasukkan Unsur Keagamaan Tahun 2007-September 2011

Merujuk kepada statistik FINAS (2011) yang telah dibincangkan, hampir tidak wujud filem yang mengangkat elemen keagamaan sebagai inti pati utama perjuangan karya-karya pengarah Melayu (Muslim) di Malaysia. Sebaliknya masing-masing sibuk mengadaptasi karya genre Barat yang bertentangan dengan nilai budaya dan agama. Maka lahirlah filem-filem yang berlatarkan cara hidup Barat seperti Anak Halal, Bohsia...Jangan Pilih Jalan Hitam dan sebagainya. Sedangkan negara-negara Islam lain berupaya mengangkat naskah filem yang hebat dalam memperjuangkan budaya dan agama melalui filem. Filem-filem dari negara Iran dan Indonesia sebagai contohnya berupaya mengekalkan nilai Islam mereka menerusi filem seperti Children of Heaven dan Ketika Cinta Bertasbih. Ini dapat dilihat daripada senarai genre yang dibincangkan hanya terdapat beberapa buah filem sahaja yang memasukkan unsur-unsur keagamaan dalam penghasilan karya mereka secara langsung. Adam (2008) menyatakan:
Cuma dalam sibuk kita hasilkan filem lebih fiksyen, lebih romantis atau lebih ‘drift’, satu hal pengiat filem kita ‘terlepas pandang’ ialah betapa kita gersang dengan filem yang menjunjung kesucian Islam.

(Sebahagian daripada intipati tajuk yang akan dikupas dalam pembentangan kertas kerja MENTION 2011 (11-12 Oktober 2011 di Hotel Equatorial Bangi):-)

LinkWithin