Followers

Tuesday, July 26, 2011

Auteur Theory (Teori Kepengarangan)

Secara jelasnya terdapat beberapa sebab mengapa khalayak menyukai sesebuah filem. Antaranya sudah pasti kerana pelakon yang melakonkan watak dalam filem tersebut. Di dalam filem, manusia atau watak menjadi bahan penceritaan utama di samping aspek plot dan naratifnya. Muhammad Hatta (2003) menjelaskan bahawa watak di dalam filem merupakan suatu representasi seseorang individu mempamerkan suatu perlakuan bagi mewujudkan babak dramatik. Namun, peranan pengarah filem juga tidak kurang pentingnya. Pengarah filem sebenarnya yang menjelmakan mutu lakonan watak yang baik. Ku Seman (2003) menjelaskan bahawa pembikinan filem adalah seni menterjemah elemen teks daripada lakon layar dengan elemen visual yang dihasilkan menerusi lensa kamera. Tugas pengarah adalah menterjemahkan lakon layar dalam bentuk sinematik.

Berdasarkan konsep teori auteur yang diasaskan oleh Andrew Sarris, pengarah merupakan pengarang kepada filem arahannya (Mahyuddin, 2005; Ellis, 2001; Wollen, 2003; Ku Seman, 2000). Lensa kamera pembikin filem perlu menterjemahkan teks lakon layar dengan adunan seni dan kreativitinya menerusi audio dan visual agar mesejnya dapat difahami. Pengarah filem mempunyai kuasa autoriti yang sangat tinggi dalam menyampaikan mesej yang tersurat dan tersirat dalam sesebuah filem. Kejayaan sesebuah filem tersebut banyak didominasi oleh pengarahnya. Asiah & Nur Kareelawati (2009) menyatakan bahawa filem yang dihasilkan merupakan pantulan kesedaran dalaman dan visi yang wujud di dalam jiwa seseorang pengarah filem. Justeru, tidak hairanlah seseorang pengarah turut menempa nama sebagai bintang pujaan jika filemnya berjaya mendapat tempat di hati khalayak filem. Namun, untuk menginterpretasi dan menterjemahkan idea lakon layar melalui elemen visual bukanlah suatu tugas yang mudah. Gaya arahan setiap pengarah seharusnya mempunyai identiti yang tersendiri.

No comments:

LinkWithin