Followers

Wednesday, May 4, 2011

Malaysia dirasuk filem seram?

Sejak akhir-akhir ini para pembikin filem Melayu sibuk bereksperimen dengan genre dan sub-genre seram/komedi seram/misteri/ngeri. Jika kita lihat sepanjang tahun ini sahaja sehingga bulan Mei 2011, sebanyak 5 buah filem dalam genre/sub-genre seram termasuk lah komedi seram/misteri, drama seram dan juga seram/ngeri telah dihasilkan daripada 11 buah filem yang telah ditayangkan (Khurafat, Sini Ada Hantu, Di Larang Masuk, Senjakala, Penunggu Istana). Itu belum lagi filem-filem yang menunggu melalui syarat wajib tayang FINAS. Sebanyak 10 buah filem dalam kategori seram sedang menunggu tayangan sehingga bulan Oktober 2011; Seru, Momok Jangan Panggil Aku, Karak, Rasuk, Tolong Awek Aku Pontianak, Flat 3A, Hantu Bonceng, al-Hijab, Klip 3GP dan Sumpahan Puaka.

Sepanjang tahun 2005 sehingga 2010 sebanyak 140 buah filem yang telah memenuhi syarat wajib tayang dan ditayangkan di pawagam-pawagam tanahair. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 31 buah filem dalam genre dan sub-genre seram telah dihasilkan. Nampaknya para penerbit filem kita tahu apa yang diinginkan oleh para penonton filem Melayu. Jadi betullah khalayak filem memainkan peranan berjaya atau tidak sesebuah filem yang ditayangkan. Sebab itu lah para produksi filem berebut-rebut menghasilkan filem seram sekarang ini. Bukannya apa, mungkin dengan menghasilkan filem-filem seram boleh mendapatkan keuntungan berlipat ganda dan juga balik modal. Lihat sahaja filem Jangan Pandang Belakang (2007) (5.778 Juta), Mantra (2010)(2.74 Juta), Ngangkung (2010) (8.18 Juta), Hantu Kak LImah Balik Rumah (2010) (7.9 Juta)dan Khurafat (2011) (8.08 Juta) lumayan tu jika dapat mencapai kutipan ke angka 5 hingga 7 juta yang dulunya semacam mustahil untuk dicapai. Memang lumayan jika kita hanya melihat pulangan modal kewangan semata-mata.

Persoalannya apa nak jadi dengan penonton kita jika mereka dihidangkan dan disogokkan dengan filem-filem seram yang terlalu banyak. Adakah ini membuktikan tontonan sesebuah filem hanya sekadar hiburan atau boleh diperdebatkan mengenai fungsi dan peranan filem yang sebenarnya. Ini belum lagi menyentuh mengenai drama-drama TV yang juga turut dirasuk dengan jenama SERAM. Bukan hanya boleh ditonton dalam slot SERAM tapi slot drama lain pun seperti slot Lagenda gemar menyentuh soal-soal seram/misteri/ngeri ini yang banyak memanipulasi akidah umat Islam. Dengan hanya meletakkan PG13 tidak bermakna umat Islam sudah selamat daripada pengaruh negatif kisah seram yang dihidangkan.

Soal akidah jangan dibuat mainan. Bimbang dan takut jika ia akan membawa kepada khurafat dan syirik yang mana mempercayai wujudnya kuasa lain selain daripada Allah yang boleh membantu manusia. Bila mana kisah-kisah seram ini dipertontonkan kepada khalayak, saya tahu nawaitu para pembikin filem meletakkan standard cerita mereka sebagai pengajaran dan membawa mesej bertaubat dan sebagainya. Namun, apa yang sering dipertikaikan ialah mana mungkin matlamat menghalalkan cara. Begitu juga mengenai kebebasan berkarya dan kreativiti pengarah dan karyawan filem. Soal tersebut bukan soal yang boleh dipertikai selagi mana karya yang diangkat dan kreativiti yang ditonjolkan tidak bertentangan dengan garis panduan agama Islam yang kita anuti dan amalkan. KOnsepnya senang sahaja iaitu jangan pisahkan amar makruf dan nahi mungkar kerana mengajak kebenaran akan menjadi sia-sia jika pada masa yang sama terlalu banyak perkara mungkar yang tidak ditegah.

Nampaknya pihak-pihak seperti FINAS dan mereka yang mengetuai Dasar Penapisan Filem Malaysia harus berbuat sesuatu agar dapat mengimbangi penghasilan genre filem Melayu dalam pasaran filem di Malaysia. Landasan Lembaga Penapis Filem dalam melaksanakan tugasnya meletakkan piawaian standard bagi pembikinan filem tempatan. Piawaian ini berdasarkan dua prinsip (Garis Panduan Penapisan Filem 2010) iaitu:
1.filem seharusnya dibenarkan penyebarannya kepada penonton seluas yang mungkin sesuai dengan tema dan mesej pengolahannya.
2.orang dewasa seharusnya bebas memilih apa-apa bahan yang ingin ditonton selagi bahan tontonan itu sah dari segi undang-undang dan tidak berpotensi memudaratkan.

Dalam panduan isi kandungan filem (2002) dari aspek keagamaan antara lain membincangkan;
bagi filem yang menyentuh agama Islam, perkara-perkara di bawah ini perlu diberi perhatian dan diteliti secara mendalam, supaya tidak menimbulkan kontroversi dan keraguan di kalangan masyarakat:
(a) mempersoal, mempersenda dan memperkecilkan kesucian Islam;
(b) bercanggah dengan akidah, hukum dan ajaran Islam;
(c) bercanggah dengan pegangan mazhab-mazhab yang muktabar;
(d) bertentangan dengan pendapat jumhur ulama;
(e) unsur khurafat;
(f) menimbulkan keraguan dan kegelisahan

Dasar dan prinsip mengenai penapisan filem dilihat cukup jelas dalam membantu para karyawan filem untuk terus menggunakan medium filem sebagai tempat mereka berkarya. Walaubagaimanapun perlaksanaannya tidak mencerminkan gambaran awal apa yang telah tertulis dalam garis panduan tersebut. Ini jelas dapat dilihat daripada kelonggaran penguatkuasaan dalam meluluskan tayangan filem-filem Melayu hari ini. Justeru, kemungkinan besar para penerbit serta pengarah-pengarah Malaysia masih tidak menjadikan garis panduan penapisan filem ini sebagai rujukan dasar sebelum mereka menghasilkan sesebuah filem.

Maka lahirlah filem-filem yang agak kontroversi yang lari daripada dasar umum penapisan filem Malaysia (2010) seperti filem dari aspek sosiobudaya yang memaparkan cara hidup liar, tidak berpedoman, songsang dan bertentangan dengan agama dan budaya yang boleh merosakkan nilai-nilai murni masyarakat, yang mengandungi adegan dan dialog berunsur seks, pendedahan tubuh badan dan keganasan yang keterlaluan serta filem bertemakan cerita hantu yang terlampau menyeramkan, yang memaparkan acara pemujaan dan kelakuan pelik yang ganas terhadap manusia, haiwan dan alam dalam keadaan ngeri dan menakutkan.

Apa nak jadi dengan umat Islam hari ini jika soal akidah dan qada' qadar Allah turut dipersoalkan dan diperlekehkan oleh mereka yang tidak memahami Islam secara menyeluruh. Islam melalui kisah-kisah seram ini khususnya hanya digambarkan sebagai agama yang merelatifkan cerita dan menuju pengakhiran kisah apabila akhirnya jin dan syaitan yang jahat dilemahkan oleh ustaz dengan bacaan al-Quran. Nampaknya kerja ustaz di Malaysia hanyalah ditugaskan untuk menghalau syaitan dan jin sajalah. Itupun beberapa babak dan adegan yang terakhir sebelum cerita ditamatkan. Sedangkan unsur-unsur syirik dan khurafat diawal permulaan cerita begitu gah dilakonkan (sehingga boleh dicalonkan sebagai pelakon terbaik - kenapa? sebab berani memegang watak yang mencabar dan lain daripada yang lain) sehingga para pelakon yang melakonkan adegan dan watak-watak tersebut mungkin terlupa yang mereka sebenarnya Islam. Nasihat saya eloklah rujuk kepada yang 'alim dan faqih dengan apa yang kita lakukan walaupun hanya sekadar lakonan. Kerana takut dan bimbang apa yang kita ungkapkan, lafazkan dan ucapkan tersebut boleh menyebabkan kita terkeluar daripada Islam. Na'uzubillah!

Justeru, apa solutionnya? Apa yang kita boleh buat sebagai seorang Islam dan sebagai penonton filem Melayu khususnya? Bagaimana untuk menghentikan rasukan dan amukan filem seram yang semakin menjadi-jadi sekarang ini? Yang pasti kita masih boleh berusaha untuk bertanggungjawab di atas setiap apa yang kita lakukan. Caranya! JANGAN MENONTON DAN MENYOKONG FILEM-FILEM SERAM TERSEBUT SAMA ADA YANG SEDANG DITAYANGKAN ATAUPUN YANG AKAN DITAYANGKAN. Kepada para karyawan filem saya menyeru agar lebih bertanggungjawab dengan apa yang dilakukan. Kerana semua apa yang kita lakukan di atas muka bumi ini akan dipersoalkan di akhirat kelak. Selamat Beramal! Kerana kita pasti akan mati suatu hari nanti. Semoga Allah permudahkan segalanya. Ameen!

No comments:

LinkWithin