Followers

Friday, December 14, 2012

Mengangkat Identiti Budaya dan Nilai Agama dalam Pembikinan Filem Tempatan




Mengangkat Identiti Budaya dan Nilai Agama dalam Pembikinan Filem Tempatan

Rosmawati Mohamad Rasit
Jabatan Pengajian Dakwah & Kepimpinan
FPI, UKM

Pengenalan


Budaya dan agama menjadi sandaran masyarakat Melayu khususnya dari zaman berzaman sehingga kini. Identiti budaya Melayu yang tinggi dan nilai agama yang suci seharusnya menzahirkan Melayu-Islam yang berpekerti tinggi budi dan Islamnya. Justeru, filem Melayu tidak dapat tidak perlu disandarkan kepada budaya dan agama untuk menatijahkan kesan yang baik kepada khalayak penonton. Filem tanpa budaya dan agama akan mengakibatkan penonton keliru dan kecewa seolah-olah menyokong propaganda materialisme dan hedonisme Barat semata-mata.

Filem merupakan salah satu cara mengambarkan budaya sosial masyarakat. Filem diangkat sebagai satu alat penyampaian mesej secara audio dan visual. Sesetengah negara menggunakan filem untuk menyatakan propaganda idelogi politik, sebagai penyambung warisan kebudayaan, sejarah dan untuk memartabatkan sistem sosial sesuatu bangsa mahupun untuk kepentingan agama. Hubungan antara filem dan masyarakat menjadi isu yang sering diperkatakan oleh karyawan-karyawan filem tempatan mahupun antarabangsa. Usaha untuk memahami hubungan antara filem dengan masyarakat telah dibincangkan seawal 1920-an lagi. Kajian mengenai filem dilihat sebagai medium penting dalam menterjemahkan ideologi budaya dan sosial masyarakat yang mempengaruhi idea, nilai, kognitif mahupun tingkah laku khalayak penonton.

Filem mengangkat representasi realiti dalam sesebuah masyarakat. Dalam filem aliran realisme menterjemahkan pengalaman hidup masyarakat sebagai suatu yang benar-benar berlaku. Walaubagaimanapun, filem masih lagi naratif sifatnya walaupun cuba menterjemahkan tentang sesuatu realiti. Penghasilan filem memerlukan unsur-unsur dramatik dan fiksyen yang dibina dan menyerap ke dalam masyarakat. Justeru, masyarakat melihat filem sebagai alat untuk mereka mencari hiburan dan kebebasan (escapism).



Peranan Positif Filem

Filem sebenarnya berupaya memainkan peranan yang lebih baik jika pembikin filem meletakkan nilai dan pengisian di dalam filem tersebut. Dimensi kehendak penonton yang berbeza perlu diambil kira dalam mevariasikan kepelbagaian genre untuk dipertontonkan kepada khalayak. Setidak-tidaknya peranan filem boleh dilebarluaskan sebagai medium untuk menyampaikan mesej yang mengajak manusia kepada kebaikan dan menegah daripada kemungkaran selaras dengan konsep dakwah Islamiah. Mewajahkan nilai-nilai yang baik menerusi filem menjadikan filem amat murni sifatnya. Walaupun cabaran dalam menzahirkan realiti masyarakat agak sukar diterjemahkan melalui audio dan visual filem namun usaha dan kefahaman Islam secara menyeluruh mewajarkan kesan yang lebih baik berbanding apa yang kita lihat hari ini. Justeru pendekatan filem sebagai risalah patut diberi ruang dan peluang oleh karyawan filem sebagai satu hala tuju pembikinan filem ke arah konsep amar ma’ruf nahi mungkar ini. Filem sebagai risalah mampu menjadi dasar dan sokongan kepada masyarakat Islam dalam mempertahankan jati diri bangsa dan ketulenan agama melalui filem.

Kajian kesan filem sering dikaitkan dengan tingkah laku negatif seperti keganasan dan agresif. Namun, selain daripada tingkah laku negatif sebagai tingkah laku anti-sosial, filem turut berperanan dalam menyumbang kepada tingkah laku positif. Selain kajian tentang pengaruh filem sebagai pencetus dan faktor pemangkin kepada pembentukan tingkah laku negatif, kajian filem turut membuktikan peranannya dalam membina tingkah laku positif. Pembentukan tingkah laku negatif yang turut dikenali sebagai tingkah laku anti-sosial seperti keganasan, merokok dan juga aktiviti seksual sering kali dikaitkan dengan pengaruh negatif filem. Walaubagaimanapun, peranan positif filem juga terbukti melalui pembinaan tingkah laku positif sebagai tingkah laku prososial seperti kecenderungan nilai berkasih sayang, saling tolong menolong dan hormat menghormati. Justeru, jika para pembikin filem memaksimumkan peranan filem dalam menyebarkan mesej kebaikan, tidak mustahil

Filem Melayu hari ini berjaya membuktikan bahawa industri perfileman negara masih kuat dan survived dari zaman kemalapan dan kegelapan yang melanda pada akhir 60-an dan awal tahun 70-an. Malahan, penghasilan filem-filem Melayu di persada industri perfileman negara dilihat semakin bertambah jika dibandingkan pada tahun-tahun 1980-an dan 1990-an. Apatah lagi sejak dua tiga tahun kebelakangan ini pertambahan jumlah filem semakin memberangsangkan dengan purata di antara 25 hingga 35 buah filem setahun. Malahan filem tempatan turut dimeriahkan dengan penghasilan pelbagai kategori genre dan subgenre seperti komedi aksi, komedi seram dan juga drama aksi berbanding filem-filem pada tahun 1990-an yang hanya terikat dengan genre-genre utama sahaja seperti drama, seram dan juga komedi.

Walaubagaimanapun, filem-filem yang bertemakan keagamaan dan Islam pada hakikatnya merupakan filem yang tepat dalam menyebarkan fungsi dan peranan filem sebagai medium mesej kebaikan. Ini bertepatan dengan apa yang telah dibincangkan Dr. Abu Hassan Hasbullah (2006) yang memperkenalkan teori filem sebagai ar-Risalah. Berlandaskan teori filem sebagai al-Risalah dapat menjelaskan tentang peranan filem yang hanya bukan semata-mata sekadar hiburan. Malah filem turut berperanan dan bertanggungjawab dengan apa yang dipertontonkan kepada audien. Filem Melayu sebagai contohnya menjadi medium yang mampu menyebarkan mesej kebaikan dan sekaligus mengukuhkan dramaturgi dalam wayang gambar Melayu. Justeru, tidak mustahil untuk karya filem Melayu khususnya filem-filem bertemakan Islam mampu diangkat sebagai naskah filem yang mengukuhkan peranan manusia Islam sebagai hamba & khalifah Allah yang dapat membawa kembali manusia menemui jalan kepada Tuhannya.

Oleh itu, filem seharusnya diberikan peranan yang sewajarnya dalam membina tamadun bangsa yang beragama. Masyarakat Melayu Islam di Malaysia contohnya masih mengharapkan keajaiban sentuhan para karyawan filem yang menggunakan medium filem dalam menyebarkan nilai agama dan moral yang baik dengan diseimbangkan melalui penghasilan filem-filem yang bergenre keagamaan. Filem sebenarnya menjadi perantara yang perlu sentiasa memperjuangkan mesej kebaikan kepada masyarakat. Justeru, jika diteliti konsep filem sebagai ar-Risalah menemukan kita dengan satu paradigma yang membawa khalayak penonton kepada penerokaan jiwa dan penemuan spiritual. Kerana filem sebagai ar-Risalah menjadi medium yang membawa penonton kepada keadilan, ketakwaan, keluhuran, keimanan dan juga kekudusan. Alangkah baiknya teori filem sebegini dapat diterokai dan dirungkai serta dihadam oleh para pembikin filem sebelum menghasilkan sesebuah filem.

Lahirkanlah filem-filem yang memberikan kita pahala yang mana dapat kita persembahkan kepada Allah tatkala Allah menyoal kita tentang setiap apa yang kita lakukan di dunia ini. Lahirkanlah filem-filem yang berbekalkan konsep rukun Iman, rukun Islam dan akhlak Islam. Agar kita ada sesuatu yang kita boleh dibawa bila mengadap Allah nanti. Yakinlah, kebaikan yang dipertontonkan berulang kali dapat membawa khalayak penonton kepada perubahan identiti dan akhlak Islam yang lebih baik. "Small things make difference".

Rosmawati@Hak Cipta Terpelihara


No comments:

LinkWithin