Followers

Friday, January 24, 2014

Sesejuk Coconut Shake



Dah lama tak review citer sama ada drama mahupun filem. Ada tengok beberapa karya yang baik untuk diulas tapi kekangan masa menyebabkan ilham tu tinggal bermain-main di dalam akal fikir sahaja. Hari ini nak jugak cuba berkongsi satu review drama yang sempat kami tonton (bersama suami dan anak-anak) sempena tayangan untuk Maulidur Rasul yang lepas. Sambil santai melepak depan TV, alkisahnya tertekan siaran TV 1 tepat pukul 2.00 petang. Terus teringat post status FB En Zabidi Mohamed tentang tajuk drama ini 'Sesejuk Coconut Shake'.

Satu pilihan yang tepat untuk menjadi tontonan seisi keluarga kerana cerita ini sangat dekat dengan anak-anak. Kisah keluarga Prof. Qayyum dan Ustazah Saniyah bersama dua orang anak mereka ini sangat sinikal dan menyentuh aspek realisme nilai kekeluargaan masyarakat Melayu Bandar masa kini termasuklah saya sendiri. Rentetatan daripada kehidupan serba moden dan kerjaya yang mendesak, seorang isteri bukan lagi hanya duduk di rumah namun, menjangkau kemampuannya melebihi sang suami. Ini yang berlaku dalam kisah ini. Sesejuk Coconut Shake memaparkan kisah Ustazah Saniyah yang popular melebihi suaminya sendiri, Prof. Qayyum. Malah sebagai ustazah popular, Ustazah Saniyah juga menjadi perunding motivasi keluarga yang dilihat sangat sempurna bagi kaca mata masyarakat. Namun, hakikatnya tidak lah seindah paparan zahirnya. Apa yang pasti, sebagai seorang isteri dan wanita, ustazah Saniyah juga mempunyai kelemahan. Di antara kelemahannya ialah dia turut mengabaikan jiwa dan perasaan suaminya sehinggakan Prof. Qayyum terasa diabaikan. Kisah ini perlu ditonton oleh setiap wanita yang berkerjaya, yang agak sibuk dengan urusan kerja. Malah ia perlu juga ditonton oleh para ustazah lebih-lebih lagi yang sibuk dan popular dalam kalangan masyarakat. Jangan kita lupa kesibukan kita bukan sebagai tiket kita mengabaikan keluarga dan suami sendiri. Jangan hanya sibuk berteori tentang sesuatu kehidupan. Padahal dari segi praktisnya tidak seindah teori tersebut. Aduh! (Saya juga sangat terasa). Lebih-lebih terhadap diri sendiri yang kadang-kadang bila bagi ceramah penuh dengan teori kehidupan yang indah. Namun, keindahannya itu tidak sesempurna seperti mana dalam realitinya. Inilah didaktik dalam Sesejuk Coconut Shake....


Apa yang paling saya suka tentang drama ini ialah elemen patuh syariahnya. Walaupun digarap santai, tetapi Sesejuk Coconut Shake mempunyai jiwa patuh syariah. Ini dapat kita lihat melalui karakter watak utama ustazah Saniyah yang diangkat sebagai wanita moden yang masih menjaga adab dan akhlak sebagai seorang isteri.Walaupun tengah merajuk tetapi dia masih memahami karakter isteri yang sebenar. Biasala...mana ada wanita yang tak merajuk kan. Merajuk dengan sang suami dengan harapan untuk dipujuk. Saya suka karakter suami yang diangkat dalam drama ini. Sangat macho dan gentleman. Tanpa perlu tengking dan bergaduh dengan nada yang tinggi, kedua-dua karakter ini diangkat sebagai dominasi karakter dengan lapisan putih yang baik melangkaui kejahatan dan keburukan sang suami dan isteri seperti yang sering kita tonton dalam drama-drama Melayu yang lain. Lapisan watak putih dalam diri Qayyum dan Saniyah ini menjadikan elemen patuh syariah drama ini kuat. Begitu juga dengan watak Mastura, bukan seperti wanita penggoda yang biasa kita tonton dalam drama-drama lain. Malah kita pulak berburuk sangka dengan Mastura, ingatkan dia betul-betul meminati Prof. Qayyum tetapi pada akhirnya Mastura digambarkan sebagai seorang wanita yang mempunyai tunang.

Kalau sering kita tonton dan biasa dengan karya yang diangkat oleh Zabidi Mohamed, kita akan sering dapati apa yang kita sangkakan bukanlah apa yang difikirkan oleh penulis skrip nya kan. Ketiadaan karakter hitam sebagai watak jahat tidak menyebabkan drama ini tidak seronok untuk kita tonton. Ia masih mempunyai konflik dan pergerakan plot yang sangat cantik walaupun agak sedikit perlahan.

Tahniah untuk sang lakon TV nya yang dilihat semakin ligat karyanya berputar di kaca TV. Alhamdulillah rezeki yang melimpah ruah untuk En. Zabidi sekeluarga. Sumbangan besar ini dalam bidang industri drama tanah air diharap mampu mengubah persepsi dan mentaliti masyarakat yang inginkan 'poetic justice' semata-mata iaitu pembalasan di atas segala perbuatan jahat sebagai endingnya. :)

No comments:

LinkWithin