Followers

Tuesday, December 30, 2014

Fenomena Banjir, Media & Doktor Spin...



Tirai 2014 sudah sampai ke penghujungnya. Namun, perjalanan kehidupan manusia masih lagi meneruskan sisa-sisa perjuangan yang berbaki di dunia ini. Simpati dan empati untuk seluruh rakyat Malaysia yang terlibat dengan musibah banjir ini. Namun, sudah tentu musibah ini bukanlah penyebab kita untuk kita bermusuh dengan alam apatah lagi menuduh zalim Yang Maha Pencipta kita Allah yang Maha Berkuasa. Tuhan yang mengetahui segala-segalanya. Pelbagai situasi rentetan daripada fenomena banjir ini yang mencuri perhatian dan pandangan kita. Ya Allah! Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikulnya...


Antara fokus utama entri kali ini ialah mengenai sejauhmana kita sebagai masyarakat awam memandang paparan berita yang dipaparkan di media-media tempatan mengenai banjir 2014. Yang pasti fenomena banjir ini mendapat pelbagai reaksi daripada pihak-pihak tertentu lebih-lebih pihak media dalam memaparkan berita-berita terkini mengenai banjir. Banjir yang berlaku di beberapa buah negeri seperti Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak dan Johor sering mendapat liputan akhbar dan media massa. Namun, paparan media dilihat tidak seimbang. Hakikatnya Malaysia sedang mengalami krisis yang bukan sedikit. Apabila kemelut politik turut campur tangan, paparan media mengenai isu banjir tidak berjalan seiring dengan hakikat yang berlaku sebenarnya di tempat kejadian. Justeru, masyarakat mula beralih arah kepada media alternatif yang lebih memberikan maklumat yang cepat dan tepat.

Hati-hati apabila berbicara...tak kira bicara itu secara lisan, secara medium media TV, radio mahupun akhbar apatah lagi melalui alam maya. Setiap perbuatan, patah bicara dan tindakan kita sesungguhnya dalam perhatian dan pantauan Allah SWT. Apabila berbicara tentang fungsi media, ramai yang melihat medium media dari aspek yang negatif....media dan spin pasti dibincangkan. Malah saya masih ingat ketika mengajar tentang subjek 'Media & Ethics' semasa di KLIUC dulu (kini IUKL) antara sub topik yang hangat dibincangkan ialah tentang 'Doktor Spin' yang banyak berlaku dalam 'Public Relations'. Doktor Spin sebenarnya antara bentuk propaganda yang banyak diputar belit oleh media. Tambahan lagi bila melibatkan kemelut politik yang tidak berkesudahan. Jadi, peranan media banyak dibayangi isu politik sebagai pemula krisis dalam mainan agenda politik sesetengah pihak. Justeru, ada pihak yang turut menangguk di air keruh dalam menyiar dan memaparkan isu banjir yang berlaku di Malaysia hari ini. Putar belit 'Doktor Spin' dalam mainan media mula meresahkan masyarakat apabila liputan berita tidak disampaikan dengan tepat dan jelas. Masyarakat mula membandingkan maklumat dalam media utama di Malaysia dengan paparan yang mereka terima dalam media alternatif. Yang jelas, maklumat yang diterima melalui media alternatif seperti laman web sosial dan whatsapp lebih cepat dan mudah diakses berbanding media utama. Krisis yang berlaku menyebabkan masyarakat memandang media dengan lebih 'bias' tanpa melalui kebebasan media dan bersuara. Ralatnya, apabila masyarakat berpendirian yang sumber media utama dalam menyampaikan berita tidak boleh dipercayai. Justeru, jangan marah masyarakat kerana mereka membuat penilaian berdasarkan maklumat semasa.


Cuma apa yang merisaukan ialah mengenai keterbukaan media alternatif memberi pro dan kontranya. Komen-komen 'kasar' dan berbaur fitnah turut mencampuri fenomena banjir yang melanda negara. Berita-berita palsu turut disebarkan tanpa mengambil kira hak dan kepentingan masyarakat. Wujud manusia yang berkepentingan sehingga mengabaikan amanah dan tanggungjawab sebagai manusia Islam. Sedangkan budaya akhlak Islam sangat cantik. Bukan hanya untuk difahami malah sepatutnya untuk diaplikasi dan disebarkan. Pelabagi kes rentetan banjir berlaku seolah-olah seperti mainan bagi mereka yang pentingkan diri sendiri. Tuduh menuduh, tuding menuding dan salah menyalahi menjadi ramuan bagi masyarakat yang taksub kepartian dan juga ahli-ahli politikus khususnya sehingga mengaibkan imej Islam yang dipeganginya.


Mungkin kita perlu kembali kepada fitrah kejadian manusia. Pelbagai ujian tahun 2014 adalah untuk menyedarkan kita tentang kebesaran Allah serta Qada' dan qadarNYa. Siapa kita untuk melawan ketentuanNYa. Oleh itu, setiap lapisan masyarakat seharusnya memainkan peranan masing-masing dalam meneruskan kitaran kehidupan. Peranan media utama yang seharusnya lebih telus dalam memaparkan liputan berita tanpa mengambil kira kepartian, tanpa 'spin'kan maklumat, malah jujur dalam mendapatkan kepercayaan masyarakat. Masyarakat juga perlu berperanan, ibrahnya dalam menerima ketentuan fenomena banjir ini sebagai persiapan mendekatkan diri kepada Allah tatkala dilanda musibah dan memperbanyak infaq dan sedekah kepada mereka yang lebih memerlukan. Allahu Musta'an, moga Allah permudahkan urusan kita semua.

No comments:

LinkWithin