Followers

Wednesday, November 23, 2011

Membina Komunikasi Vertikal dalam mencari Hubungan dengan Allah



Dalam bidang komunikasi, jenis komunikasi vertikal sering dilihat dalam konteks ruang komunikasi yang wujud di antara manusia yang tidak sama levelnya seperti hubungan kerja di antara bos dan pekerja bawahan. Namun, Prof. Dr Zulkiple Abd Ghani mencetuskan paradigma baharu yang melihat perspektif komunikasi vertikal lebih kepada komunikasi secara menegak dengan Tuhan.

Walaubagaimanapun, bidang komunikasi Barat tidak menyentuh secara langsung tentang bagaimana pentingnya komunikasi manusia dengan Tuhan. Yang ada hanya komunikasi intrapersonal iaitu tentang seseorang individu yang berkomunikasi dengan intuisi kata hatinya semata-mata.

Sebagai agama fitrah, Islam melihat betapa pentingnya kewujudan manusia yang sangat memerlukan Tuhan yang Maha Pencipta. Justeru, sebagai seorang Islam, kita harus menyakini bahawa selain keperluan membina hubungan sesama manusia, kita turut dipandu dalam mencari hubungan dengan Allah. Sebab itulah bagi membentuk seorang manusia Islam yang benar-benar beriman, kita perlu mencapai dua prinsip penting; hubungan dengan Allah dan hubungan dengan manusia.

Muslim dan mukmin mampu mencari Allah dengan berkomunikasi terus kepadaNya sama ada melalui solat, doa, zikir malah ketika bermuhasabah kita dapat berhubung secara langsung dengan Allah. Komunikasi vertikal ini mampu membentuk diri kita yang memahami untuk apa kita dijadikan di atas muka bumi ini. Setiap ujian, musibah, cabaran malah ganjaran dan berita kegembiraan yang sering kita lalui dan perolehi hanyalah untuk kita kenal diri kita sebagai hambaNya yang perlu sentiasa mencari Allah walau dalam apa jua keadaan kita. Dengan kata lain, di kala susah dan senang jangan lah lupa untuk kita sentiasa mengingatiNya. Jika musibah dan ujian yang kita tempuhi, maka sabar dan usaha yang perlu kita pegang. Jika nikmat dan kegembiraan yang kita dapat jangan lupa pula untuk kita bersyukur kepadaNya.


Sebelum kita meneroka bidang dan jenis komunikasi yang lain, carilah dahulu komunikasi vertikal yang dapat menemukan kita dengan Allah SWT.

No comments:

LinkWithin