Followers

Thursday, January 5, 2012

Di Antara Cinta dalam 'Ombak Rindu' & 'Di Bawah Lindungan Kaabah'



Akhirnya ada juga ruang masa dan kesempatan untuk mencoret entri pertama di bulan Januari tahun 2012. Kisah kali ini berkenaan dengan filem yang sempat saya tonton di you tube 2 minggu lepas; Ombak Rindu & Di Bawah Lindungan Kaabah. Ada sesuatu rasanya yang perlu saya luahkan mengenai kedua-dua filem ini dan saya gabungkan dalam 1 entri untuk melihat kedua-duanya melalui interpretasi yang sama tapi tak serupa. Dalam maknanya tu!


Filem Ombak Rindu menjadi fenomena di Malaysia dengan kutipan 10 juta lebih. Ia memberi standard yang cukup tinggi dalam penghasilan filem Melayu di Malaysia. Malah ia membuktikan kejayaan adaptasi novel ke filem dalam senario pembikinan filem tempatan setelah kegagalan beberapa buah filem yang diadaptasi daripada novel yang sebelum ini kurang berjaya seperti filem Karipap-karipap Cinta arahan Hafsham hasil tulisan Nazri Vorin. Ombak Rindu ditulis oleh Fauziah Ashari dan diarahkan oleh Osman Ali. Senario mengadaptasi novel ke filem bukan idea baharu di Malaysia. Telah ada beberapa filem yang mencuba idea adaptasi ini seperti Ranjau Sepanjang Jalan (1983)yang digarap sebagai filem oleh Jamil Sulong melalui karya Shahnon Ahmad, Jogho (1997) oleh Uwei hasil karya S. Othman Kelantan, Mira Edora, Lagenda Budak Setan dan juga Bicara Hati.



Manakala Di Bawah Lindungan Kaabah juga hasil adaptasi novel karya Prof. Dr. Hamka. Melalui arahan Hanny R. Saputra, Di Bawah Lindungan Kaabah merupakan antara filem termahal di Indonesia dengan kos pembikinannya mencecah RM10 juta. Selain itu, filem adaptasi Indonesia tidak kurang hebatnya malah dilihat berjaya melariskan jualan novel-novel tersebut seperti Ayat-ayat Cinta, Ketika Cinta Bertasbih 1 & 2 dan Dalam Mihrab Cinta sebenarnya ilham hasil penulisan novel Habiburrahman el-Shirazy yang dipindahkan ke dalam bentuk filem. Malah filem Laskar Pelangi juga merupakan karya adaptasi oleh Riri Riza, hasil tulisan Andrea Hirata.

Ombak Rindu dan Di Bawah Lindungan Kaabah mempunyai persamaan dari segi pengolahan naratif adaptasi novel dan juga tema drama yang diangkat melalui cinta di antara dua darjat. Saya mengakui kedua-dua penghasilan filem tersebut agak lari dari naskah novel asal oleh Fauziah Ashari dan Hamka. Dan memang kita tidak boleh expect jalan cerita yang sama di antara novel dan filem. Isu ini menjadi 'bising' oleh mereka yang tidak boleh menerima keaslian cerita novel yang telah di'abuse' oleh naskah naratif filem. Kadang-kadang ia menjadi positif tetapi ia menjadi satu yang negatif untuk diterima lebih-lebih lagi kepada penulis novel itu sendiri. Malah jika karya agung HAMKA yang diangkat seperti Di Bawah Lindungan Kaabah, sudah tentu menimbulkan rasa gelisah peminat novel tersebut bila mana menonton filem yang agak tidak sama dengan karya asal.

Namun, di sebalik persamaan tersebut saya melihat kedua-dua naskhah ini jauh berbeza walaupun mengangkat tema cinta yang terhalang akibat darjat. Ombak Rindu berakhir dengan kegembiraan manakala Di Bawah Lindungan Kaabah merelakan cinta Hamid dan Zainab yang tidak mampu bersatu di akhirnya. Cinta yang diangkat dalam Ombak Rindu penuh dengan nafsu serakah Hariz lakonan mantap Aaron Aziz yang hidup dalam gumpalan dosa sebelum dia berjumpa dengan Izzah. Lelaki seperti Hariz menjadikan wanita sebagai hiburan hidup. Kesian Hariz kerana dia tidak memahami makna cinta. Watak Hariz dilihat sebagai lelaki yang keliru dengan hidupnya sendiri sehingga dia memerlukan penyelamat untuk membawanya ke jalan yang benar. Manakala Izzah menjadi wanita yang berjaya memandu nafsu Hariz ke arah yang lebih baik dan yang penting halal.

Ombak Rindu hanya bergelumang dengan cinta manusiawi. Agama dalam Ombak Rindu hanya tempelan sekadar diadakan daripada ditiadakan. Izzah sebagai ustazah juga tidak berjaya mengangkat jati diri sebagai wanita yang faham agama. Ombak Rindu bergerak dalam emansipasi feminisme watak Izzah untuk cuba melawan patriaki kuasa lelaki Hariz yang menindas dan mendominasinya. Namun, Izzah juga tidak kuat kerana dia telah jatuh cinta dengan lelaki yang melayannya sebagai 'hamba seks'. Cinta mereka banyak diungkapkan dengan kata-kata cinta, malah adegan peluk memeluk yang perlu difahami bahawa di luar filem mereka bukan suami isteri yang sah. Kecewa juga dengan kenyataan pengarahnya, Osman Ali yang menyatakan bahawa babak ranjang dalam Ombak Rindu itu sangat perlu. Justeru, Ombak Rindu bagi pendapat saya tidak lebih daripada filem melodrama yang membuai emosi dan perasaan khalayak penonton tetapi pada akhirnya emosi itu hilang di celah hempasan ombak yang kuat tanpa meninggalkan sedikit kesan pun. Ia seolah-olah mengajak penonton untuk bermimpi bersama. Tetapi akhirnya mimpi itu hilang apabila kita terjaga daripada tidur. Drama cinta Ombak Rindu ini berakhir seperti cerita Cinderella yang 'happy ending' yang mana Hariz & Izzah hidup bahagia forever!

Filem Di Bawah Lindungan Kaabah berlatarkan 'mise-en-scene' masyarakat Islam pada tahun 1920-an di Padang Sumatera Barat, Indonesia. Filem ini mengangkat isu agama yang berat. Tapi sayangnya campur aduk 'drama' cinta Hamid & Zainab agak lari daripada naskah karya novel asal. Walauapapun, saya masih mampu memahami mesej yang dibawa. Di Bawah Lindungan Kaabah bukan membawa cerita 'happy ending' yang menyelamatkan cinta dua darjat di antara Hamid & Zainab. Cinta yang diangkat dalam Di Bawah Lindungan Kaabah melangkau kecintaan terhadap manusiawi kerana cinta yang lebih agung ialah cinta kepada ALLAH. Kerinduan dan kecintaan Hamid kepada Zainab membawanya ke Mekah demi mencari cinta ALLAH. Cinta Hamid & Zainab juga tidak diungkapkan dengan kata-kata penuh cinta yang berbunga, babak-babak peluk, bersentuhan apatah lagi babak ranjang di katil. Tapi saya memahami cinta mereka yang lebih ikhlas berbanding cinta Hariz & Izzah. Hamid mati, Zainab pun mati. Kedua mereka pasrah dan redha walaupun cinta mereka tidak kesampaian.

Kemunculan Ombak Rindu mendapat pelbagai reaksi daripada peminat filem Melayu. Kebanyakan hasil review filem daripada blogger-blogger, mereka menggemari buah tangan Osman Ali ini. Tidak kurang juga yang menganggapnya sebagai tragedi murahan. Apapun Ombak Rindu dan Di Bawah Lindungan Kaabah memiliki sinematografi yang sangat indah. Teknik yang mantap malah dari aspek teknikal dan asas pembikinan filem memang tidak dapat dinafikan sangat berjaya. Namun, saya selalu membahaskan tentang isu tanggung jawab sosial sebagai pembikin filem. Adakah kedua-dua filem ini sudah melaksanakan tanggungjawab sosial masing-masing yang mampu membawa khalayak penonton kepada kebaikan? Tepuk dada tanya iman!


No comments:

LinkWithin