Followers

Tuesday, June 12, 2012

Perspektif tentang Teori Kognitif Sosial...apa pandangan perspektif Islam



Saya pernah membincangkan tentang teori kognitif sosial dalam entri yang lepas. Teori ini digunakan sebagai salah satu teori kajian dalam tesis saya dan menjadi kerangka teoretikal dalam membincangkan mengenai pemboleh ubah pengantara (intervening variables). Mungkin sedikit perkongsian mengenai hasil kajian tesis yang telah dijalankan (masih belum diterbitkan) berkenaan dengan teori ini - iaitu sememangnya konstruk teori kognitif sosial yang digunakan; observational learning, symbolic modeling dan efikasi kendiri menyumbang kepada pembentukan personaliti prososial. Ini menunjukkan bahawa wujud peranan pemodelan melalui tingkah laku khususnya melalui filem terhadap audien remaja. Dapatan ini mengukuhkan peranan teori kognitif sosial yang diketengahkan oleh Bandura, yang mana kesan tingkah laku boleh didapati bukan sahaja melalui negative reinforcement tetapi turut melalui positive reinforcement.

Justeru, peranan media khususnya filem dalam mengetengahkan nilai-nilai prososial yang positif seperti baik hati, saling tolong menolong dan juga berkasih sayang sememangnya perlu bagi meneutralkan tingkah laku negatif seperti buli, merempit, keganasan dan juga hubungan seksual.

Sememangnya teori kognitif sosial Bandura ini gah dalam membincangkan tentang keganasan dan sikap agresif mahupun para penyelidik yang menggunakannya untuk kajian tingkah laku prososial. Walaubagaimanapun, di sebalik kajian yang telah dijalankan, saya menemui satu perspektif baharu mengenai teori yang diasaskan oleh sarjana Barat ini iaitu lompangnya kewujudan hubungan dengan Tuhan.

Seperti yang kita tahu, teori kognitif sosial bersandarkan kognitif semata-mata yang dijelaskan dalam reciprocal determinism (penentuan resiprokal) tanpa mengaitkannya dengan kuasa Tuhan. Justeru, Bandura berhujah bahawa pembentukan seseorang individu dipengaruhi faktor-faktor personal, persekitaran dan tingkah laku yang saling berkait.


Copyright 2012@rosmawati

Namun, bagi setiap muslim kita tidak boleh menafikan kekuasaan dan hubungan manusia dengan Tuhan. Hubungan manusia dengan Tuhan didasari dengan iman, yakin dan percaya dengan kewujudan yang Maha Esa.

Firman Allah dalam surah Al-Fatir ayat 15-16 yang bermaksud:

"Wahai manusia, sesungguhnya kamulah yang memerlukan Allah, dan Allah yang maha Kaya, tidak memerlukan apa-apa. Jika Dia mahu nescaya, Dia memusnahkan kamu dan mendatangkan makhluk lain (sebagai ganti)."

Berdasarkan hasil kajian, saya mengembangkan perspektif baru yang mengupas persoalan keimanan dan ketauhidan kepada Allah sebagai agen perubah yang berfungsi sebagai penapis (filter). Agen perubah ini dapat digunakan oleh audien sebagai penapis untuk menapis setiap faktor pengaruh daripada pendedahan filem dan penontonan filem keagamaan (Islam) sama ada mereka menerima tingkah laku yang mereka tonton atau sebaliknya. Ini bermakna audien filem muslim berkemampuan untuk menilai dan membuat keputusan mengenai tingkah laku yang mereka pelajari hasil daripada penontonan mereka sama ada mereka akan menerima tingkah laku tersebut ataupun menolaknya bersandarkan kekuatan iman mereka demi mendapat keredhaan Allah. Copyright 2012@rosmawati


1 comment:

Anonymous said...

saya berminat dengan tajuk ini. ini merupakan tajuk kajian saya berkenaan hubungan dengan efikasi kendiri dengan keagamaan. ada tak rujukan lain

LinkWithin