Followers

Thursday, July 28, 2011

Bicara di TV al-Hijrah Mengupas tentang Filem Islam: Realiti atau Fantasi?


Dalam Bicara di TV al-Hijrah Rabu, 9.30 malam tadi (27 Julai 2011) telah berlangsung program bual-bicara bersama tiga tokoh penting dalam industri drama dan filem di tanah air iaitu, Tuan Haji Abu Hassan Morad, Tuan Zabidi Mohamed dan Puan Maizura Mohd Ideris. Mereka membicarakan satu tajuk yang cukup penting sebagai platform ke arah perkembangan filem Islam di Malaysia iaitu "Filem Islam: Realiti atau Fantasi?" Satu tajuk yang cukup baik untuk dikupas dan dicerakinkan pengisiannya. Antara isu yang mungkin kita boleh kongsi bersama sepanjang bicara satu jam ini ialah mengenai persoalan content filem itu sendiri. Sdr. Amin Idris selaku moderator program turut mempersoalkan mengenai patern, bentuk dan corak filem atau genre yang sering menjadi pilihan peminat filem seperti seram, komedi dan cinta yang mendapat tempat dan mencapai kutipan box-office.

Justeru, di mana tempatnya filem-filem Islam ataupun filem yang berlatarkan Islam ini di mata rakyat Malaysia? Isu ini telah dikupas oleh Tuan Haji Abu Hassan dengan mengatakan bahawa senario audien Malaysia yang sukakan filem hantu ini sebagai senario global. Bukan hanya di Malaysia malah negara-negara lain di dunia juga turut mengeksploitasi kewujudan makhluk halus dan ghaib ini sebagai membentuk jalan cerita dalam filem. Pn. Maizura turut melihat bahawa pengkarya terlalu mengikut kehendak audien sehingga mereka 'endorse' tentang apa yang mereka tahu dan dengar yang berlaku seperti sifat dengki guna bomoh dsb. dan mereka menyediakan filem seumpama itu. Sepatutnya pengkarya yang bertanggungjawab dan membentuk pemikiran rakyat!

Manakala Tuan Zabidi mengetengahkan isu dakyah yang telah lama digunakan oleh Barat melalui filem. Filem telah digunakan sebagai dakyah Barat untuk mempromosi agama dan menunjukkan mereka yang menguasai dunia. Zabidi turut membincangkan mengenai isu yang cukup penting iaitu perbezaan di antara filem Islam dan filem yang berlatarkan Islam serta filem dakwah. Memang term dan istilah ini banyak diberikan definisi yang kurang tepat dan kadang-kadang para pengkarya turut tidak memahami perbezaan di antara istilah-istilah tersebut. Terus terang saya katakan bahawa Malaysia masih gagal dan terlalu jauh lagi untuk menghampiri pembikinan filem Islam mahupun filem dakwah. Yang ada sekarang hanya melengkapi kategori filem yang berlatarkan Islam iaitu memasukkan unsur-unsur Islam di dalam filem. Itu pun hanya beberapa kerat sahaja jika nak dibandingkan dengan filem-filem dalam genre lain seperti seram, komedi dan cinta (Pesimis ke saya ni? Entahlah! Drama Islamik mungkin banyak cikit la!)

Itulah ironiknya industri pembikinan filem di Malaysia. Finas pernah menganjurkan Festival Minggu Filem Islam 2009 sebagai contohnya. Filem apa yang kita nak persembahkan dalam minggu filem yang kita anjurkan sendiri? Kerana kita sebagai penganjur Minggu Filem Islam amat ketandusan filem-filem bercorak Islam ini. Bunyinya macam kelakar tapi itulah hakikatnya kita di Malaysia yang diakui sebagai negara Islam dan berlatarkan agama Islam sebagai agama rasmi negara. Filem apa yang kita boleh banggakan sebagai filem yang dihasilkan di Malaysia yang menepati konsep dan prinsip Islam - tidak ada bukan? Nasib baik ada Syukur 21 yang dapat mewakili Malaysia bagi memenuhi slot tayangan secara ekslusif. (Itupun hanya mendapat kutipan yang tak balik modal di samping watak dan perwatakan yang kaku dan plot yang lompang! Tapi itu je yang kita ada) Sampai bila hanya mengharapkan Syukur 21? Belum lagi bercerita tentang filem Nasional yang boleh mengangkat budaya dan corak hidup masyarakat. Boleh ke nak bawa KL Gangster yang mencapai kutipan 11.74 Juta sebagai mewakili Malaysia sebagai filem yang mengangkat budaya dan nasional bangsa Malaysia atau mengangkat masyarakat Islam di Malaysia? Entahlah! (banyak mengeluh betul la saya ni bila bercakap tentang filem Islam di Malaysia!). Mungkin Nur Kasih The Movie boleh dipuji kewujudannya di tengah-tengah lambakan cerita hantu dan komedi.


Tuan Zabidi juga melontarkan idea bahawa Indonesia memang terkehadapan dalam menghasilkan filem dalam genre dakwah ini. Bermula dengan 'Di Bawah Lindungan Kaabah' sejak 30 tahun dulu, sehingga sekarang banyak filem yang boleh diletakkan dalam kategori filem dakwah ditawarkan oleh Indonedia sehingga ke Malaysia fenomenanya. Saya pun suka filem-filem seperti Ketika Cinta Bertasbih, Dalam Mihrab Cinta, Emak Ingin Naik Haji, Laskar Pelangi, Sang Murabbi - filem-filem yang mendekatkan kita dengan Allah.


Sebenarnya banyak isu-isu yang dikupas dalam Bicara semalam. Semuanya penting untuk dikongsi bersama! Tapi yang paling penting saya rasa untuk dikongsi dan difikirkan bersama ialah persoalan yang dilontarkan oleh Amin Idris mengenai peranan dan penglibatan para graduan Islam dalam melibatkan diri memutihkan dan membantu industri filem tanah air! Mungkin dari kepelbagaian dimensi seperti penulisan skrip, pengarahan, lakonan dsb. Betul, cabaran buat para pelajar dan graduan Islam untuk menceburkan diri dalam bidang ini. Tapi jangan sampai tersasar dan terleka dengan fitnah dunia ini! Yang penting prinsip sebagai keutamaan karya jangan sampai dilupakan akibat profit komersial semata-mata untuk mendapatkan market. Itu turut diperbincangkan oleh ahli panel Bicara semalam.

Mungkin sesetengah pihak menganggap isu ini sebagai isu kontroversi tambahan pula dengan contoh gaya hidup artis yang dipaparkan yang banyak memaparkan gaya hidup rosak sehingga Sdr Amin turut mempersoalkan pelakon kita tidak ada akhlak? Isunya - melakonkan gaya dan cara hidup muslimah dalam filem tetapi realiti di luar sebagai seorang yang mendedahkan aurat, kaki clubbing dsb. Yang pasti pelakon pun bukan boneka dalam permainan filem yang mereka lakonkan. Mereka tetap manusia Islam yang akan dihisab Allah di atas segala perbuatan mereka. Itu kena ingat!

Akhir kalam sebagai resolusi, Tuan Haji Abu Hassan turut mempersoalkan dasar sebagai yang perlu dimantapkan. Begitu juga pembikinan karya filem Islam sebagai usaha bersama gabungan team players yang ditunjangi pengarah, penulis skrip termasuklah pelakon, krew dsb perlu berganding bahu menjayakan penghasilan filem yang benar-benar membantu masyarakat ke arah yang lebih baik. Zabidi turut mengalu-alukan perjuangan para graduan Islam, ahli agamawan yang mempunyai fikrah Islam untuk sama mengisi ruang-ruang yang lompang dengan menawarkan alternatif Islam kepada audien dan masyarakat. Maizura pula mengakhiri perbincangan dengan membawa isu kesedaran secara menyeluruh; sebagai contohnya pelakon yang melakonkan watak - turut berubah - bagi memartabatkan filem Islam yang global. Ameeen!

4 comments:

Maizura Mohd Ederis said...

Terima kasih atas komentar saudari.

Unknown said...

welcome :)

Anonymous said...

Perbincangan yang baik. Saya ada mengkaji tentang drama dakwah dan skrip drama dakwah dalam tesis sarjana. Memang, Malaysia masih belum ada filem dan drama dakwah yang baik berbanding naskhah skrip. Sebab kesedaran pada penulis ada tapi bila beredar pada krew dah jadi lain.

Ummu Hani Abu Hassan

Unknown said...

Terima kasih Ummu Hani. Alhamdulillah, terima kasih kerana menyokong. Mungkin boleh berkongsi tentang tesis tersebut dan boleh dikembangkan dalam bentuk kertas kerja dan jurnal :-)

LinkWithin