Followers

Tuesday, July 10, 2012

Wajarkah filem yang mengangkat status ustazah sebagai pelacur?




Merujuk kepada paparan akhbar Berita Harian yang bertarikh 8 Julai 2012 (Ahad), agak terkesima juga apabila membaca mengenai sebuah filem yang akan diterbitkan tentang kisah ustazah jadi pelacur. Filem yang diberi judul Qada ini mengangkat sisi gelap watak Salmi daripada status ustazah kepada pelacur. Persoalannya, wajarkah kerjaya seorang ustazah diperjudikan nasibnya sehingga memilih taraf yang paling hina di sisi masyarakat dan agama iaitu sebagai seorang pelacur. Apakah terlalu berat realiti hidup yang mendesak sehingga sanggup menghukum watak Salmi yang pada mulanya diletakkan taraf dan martabat yang tinggi iaitu seorang ustazah kepada pelacur yang jelas dimurkai Allah.

Pada pandangan penulis, isu ini menjejaskan mentaliti dan pandangan masyarakat tentang nilai dan kredibiliti seorang ustazah. Bukan meletakkan taraf ustazah yang maksum dengan dosa dan kesilapan tetapi memperletakkan status sebegini dibimbangi memberi kesan pada nilai pemikiran masyarakat bahawa jika taraf seorang ustazah sudah berani diletakkan dalam situasi keadaan di mana boleh menjadi pelacur, justeru apatah lagi dalam kalangan mereka yang sememangnya hidup dalam gelumangan dosa dan hiburan. Juga turut menjadi persoalan dalam konteks kehidupan realiti masyarakat Islam di Malaysia, wujudkah senario desakan hidup yang sedemikian sehingga sanggup membuka aib seorang wanita.

Apa yang penulis fahami, filem Qada yang berlatarkan kehidupan era 1980-an ini sebenarnya lebih memaparkan watak utama Hawa, seorang perempuan muallaf lakonan Marsha Londoh dan juga watak Bakri lakonan pendatang baru, Amar Asyraf yang mana mereka terpaksa berkahwin walaupun pada hakikatnya Bakri mencintai Salmi (Sharifah Sakinah). Kemudian Salmi terpaksa berkahwin dengan Fuad seorang lelaki kaya di kampung mereka. Walaubagaimana daripada sinopsis filem ini, penulis tidak berniat untuk menghukum kisah dan plot cerita yang akan ditayangkan nanti kerana penulis sendiri tidak pasti sejauhmana sebab dan alasan untuk watak dan perwatakan Salmi bertukar daripada seorang ustazah kepada seorang pelacur. Adakah kerana paksaan suaminya ataupun terdesak dengan kekangan hidup selepas berkahwin. Itu hanya boleh dikenalpasti apabila filem ini siap untuk ditayangkan pada penghujung Disember 2012 nanti.

Walauapapun, penulis berpendapat bahawa niat dan usaha untuk mengangkat filem yang memenuhi tema dan elemen Islamik perlu difahami secara lebih mendalam oleh setiap pengarah apatah lagi jika pengarah tersebut bukan merupakan pengarah Muslim yang ingin menghasilkan filem dalam genre sedemikian. Ini kerana kita tidak mahu isu-isu kontroversi yang akan timbul sehingga menzahirkan kecaman terhadap filem-filem bergenre sebegini terutama apabila melibatkan transformasi yang begitu ekstrim seperti imejan watak Salmi daripada seorang ustazah kepada seorang pelacur. Sudah tentu ia menimbulkan kontroversi walaupun masyarakat masih tidak dapat menilai sebelum menontonnya terlebih dahulu. Sepatutnya hal-hal sebegini perlu diambil kira sebelum sesebuah filem itu dihasilkan bukan bersedia menerima respons setelah tayangan filem dan apabila jika ada pihak yang cuba mengecam.


Sebagai karyawan filem yang seharusnya memartabatkan industri filem tempatan, isu sebegini tidak perlu timbul. Khusus untuk para karyawan dan pembikin filem Muslim, fungsi dan peranan filem perlu difahami secara baik. Ini dijelaskan oleh Abu Hassan (2006) yang menyatakan bahawa filem itu sendiri dari satu aspek merupakan proses yang menterjemahkan kebenaran dalam Islam yang dibangunkan berpandukan struktur sinematik; dari naratif ke sinematografi, dari dialog ke gestur, dari pelakon ke perwatakan, dari idea kepada naskah. Segala struktur sinematik ini perlu diposisikan ke dalam tauhid melalui akidah, akhlak, ibadat, susila dan syariat Islam.

Memahami agama Islam secara keseluruhan dan mendalam sebenarnya penting supaya filem yang dihasilkan bukan hanya mencedok garapan naratif plot melalui sentuhan Islam semata-mata tetapi pada hakikatnya cerita yang diangkat hanyalah naskah cinta tipikal Melayu yang agak klise. Menyempitkan skop naratif Islam memperlihatkan ketidakmatangan penulis lakon layar dalam mengarap isu-isu yang boleh diangkat dalam paten ruang keislaman yang sebenar.

Sebagai contohnya isu mengenai pelacuran merupakan antara perbuatan penzinaan yang jelas haram di dalam Islam. Zina merupakan perkara qat’i yang tidak boleh dipandang remeh hukumnya. Malah zina merupakan dosa besar yang dilaknat oleh Allah. Firman Allah dalam surah al-Israa’ (ayat 32) menjelaskan perbuatan zina sebagai perbuatan yang keji dan buruk:


“Dan janganlah kamu mendekati zina. Sesungguhnya zina adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk.” (al-Isra’: 32)


Artikel ini ditulis bukan untuk menghukum apatah lagi memberikan fatwa. Bukan juga melatah dengan kontroversi isu pelacuran. Ini bukan pandangan ekstrim yang skeptikal yang boleh memperjudikan nasib filem yang berusaha menyampaikan tema dan elemen Islamik. Tulisan ini hanya sekadar berkongsi pandangan dari sisi pemerhati dan penyokong filem-filem beraurakan keagamaan yang perlu mewarnai industri perfileman tanah air. Cuma penghasilan filem yang didakwa mengangkat tema dan imej Islam perlu lebih waspada daripada mendapat kritikan dan kecaman buruk dalam kalangan penonton filem Melayu itu sendiri apatah jika ia mencemar sensitiviti masyarakat Islam khususnya.

Mungkin pandangan dari Naim (2011) boleh dijadikan panduan oleh para pembikin filem Muslim khususnya yang berhasrat menghasilkan filem yang bergenre Islam dan keagamaan;
“Dalam aspek naratif ini bukan sahaja keseluruhan ceritanya perlu didasarkan kepada hukum dan etika yang digariskan dalam Islam. Malah penggunaan unsur-unsur yang memberikan makna atau mesej kepada cerita ini perlulah difikirkan seteliti mungkin agar tidak terkeluar daripada garis hukum dan etika Islam, dialog-dialog atau visual yang mempersendakan perkara-perkara yang berkaitan dengan agama atau individu tertentu baik orang Islam atau bukan Islam umpamanya haruslah dielakkan”.



No comments:

LinkWithin