Followers

Monday, April 18, 2011

Filem keagamaan - satu genre?

Filem yang mengangkat tema keagamaan bukan merupakan filem yang baharu malah kewujudannya telah lama terutama dalam sinema Barat contohnya Hollywood dengan filem The Ten Commandments (1956). Sinema Barat mengiktiraf filem keagamaan sebagai satu genre filem (religious genre). Manakala kajian agama dan filem juga menjadi kajian antara displin (interdisciplinary) yang semakin popular di Barat. (Sila rujuk jurnal Religion and Film http://www.unomaha.edu/jrf/). Fokus filem-filem dalam genre keagamaan Hollywood adalah kepada isu dan persoalan ketuhanan serta agama Kristian seperti yang digambarkan dalam filem yang mengangkat cerita kehidupan dan pengorbanan Jesus Christ, The Passion of Christ (2004) arahan Mel Gibson.

Walaupun begitu, sinema Timur khususnya sinema Islam tidak terkecuali daripada mengangkat isu dan persoalan keagamaan di dalam filem. Walaubagaimanapun, sudah pasti genre keagamaan yang dicanang oleh sinema Barat amat berbeza dengan sinema Islam. Genre keagamaan bagi filem-filem yang dihasilkan daripada sinema Islam sudah pasti konteks perbincangannya menjurus kepada agama Islam dan dakwah islamiah. Oleh itu, ada yang meletakkan filem keagamaan ini sebagai filem Islami atau filem dakwah.Walaubagaimanapun, Dr Naim Ahmad membezakan filem Islam dan filem yang berunsurkan Islam. Bila difikirkan hujah Dr Naim itu memang ada betul dan logiknya. Sememangnya susah nak menghasilkan filem dakwah yang sebenar. Sebagai contohnya di Malaysia masih tidak ada lagi filem yang benar-benar boleh diletakkan sebagai filem dakwah. Yang ada hanya filem yang berunsurkan keagamaan atau mengandungi unsur-unsur Islam. Itupun dua tiga kerat pun tak sampai nak dibandingkan dengan filem dalam genre lain seperti genre seram dan komedi yang semakin kemaruk dan menggila dihasilkan oleh para karyawan filem tempatan yang majoritinya Melayu Muslim. Sedih bukan? negara yang kita katakan sebagai negara Islam gagal menghasilkan filem Islam atau filem yang berunsurkan Islam dengan baik dan sempurna. Ironiknya kita banyak menganjurkan festival filem Islam mahupun minggu filem Islam tapi kita tidak ada produk filem Islam yang boleh kita banggakan.

Sinema Iran dan sinema Indonesia antara sinema perfileman yang turut menyumbangkan kepada ketekalan filem yang bertemakan Islam. Filem-filem seperti Ketika Cinta Bertasbih 1 & 2 (2009) serta juga filem-filem Iran hasil garapan Majid Majidi seperti The Song of Sparrows (2008) dan Baran (2001) menjadi antara budaya popular pendokong audien filem yang inginkan kejujuran agama melalui filem.

Namun, hakikatnya tanggungjawab melaksana dan mengangkat filem keagamaan (Islam) ini bukan mudah kerana ia turut melibatkan nawaitu pembikin filem itu sendiri sama ada hanya semata-mata berkarya ataupun kerana usaha pendekatan dakwah. Ini dapat kita lihat contoh-contoh para pembikin filem Muslim yang mengetengahkan filem keagamaan (Islam) tetapi gagal meletakkan Islam dan konsep dakwah secara sempurna. Adanya percampuran di antara yang makruf dan yang mungkar dan adakalanya meletakkan pluralisme agama yang mana mengangkat agama-agama lain sebagai apa yang sama dengan Islam. Ini berlaku jika karyawan Muslim tidak memahami konsep pendekatan dakwah yang sebenar. Persoalannya apakah dengan memasukkan elemen keagamaan (Islam) sudah membuktikan filem tersebut bertemakan agama sedangkan ada juga babak maksiat dan dosa yang turut sama dipaparkan. Yang pasti jawapannya di dalam Islam matlamat tidak menghalalkan cara kita bertindak. Saya menyeru para karyawan Muslim, jangan mencampuradukkan di antara perbuatan yang mendapat pahala dan maksiat serta dosa. Ini kerana perbuatan menyeru kepada kebaikan (amar makruf) dan yang mencegah kemungkaran (nahi mungkar)harus bersatu. Jika kita tonton filem Syurga Cinta contohnya, ini yang berlaku - di samping ada perbuatan amar makruf; mengaji, solat dsb. kita juga dapat menonton maksiat dan dosa; minum arak, zina dsb. Ini bukan konsep dakwah yang betul. Walau apapun, yang positifnya Syurga Cinta menjadi filem alternatif yang inginkan nama Allah dan solat sebagainya contohnya disebut dan dipertontonkan kepada khalayak filem berbanding dengan paparan babak kehidupan manusia yang seolah-olah tiada agama yang melakukan dosa besar seperti minum arak dan berzina.

Menghasilkan filem keagamaan (Islam) juga jangan sampai mengelirukan khalayak dengan paparan pluralisme agama. Bagi orang awam (Islam) mereka memandang tinggi dengan karya-karya yang mendapat sentuhan agama dan berharap dapat memberikan sesuatu kepada mereka. Jadi, bila filem yang paparkan gagal meletakkan Islam pada tempatnya yang terbaik mereka keliru. keliru apakah benar hanya Islam yang boleh menjamin kehidupan duniawi dan ukhrawi mereka atau ada agama lain yang lebih baik. Filem Muallaf (2009) memang tidak dinafikan sebagai filem yang baik, kaya dengan nilai seni artistiknya, sinematografinya serta mise-en-scene yang hebat. Tetapi masih boleh dihujahkan dengan kandungannya (content).

Filem (?) Tanda Tanya garapan Hanung Bramantyo juga sedang kecoh dan menimbulkan kontroversi sehingga Majelis Ulama Indonesi (MUI) menilai dan mempertikaikan kemunculan filem ini apabila dikatakan sebagai filem yang mengangkat unsur pluralisme agama. Ini yang seharusnya diteliti dan diselidiki sebagai karyawan filem Muslim. Hati-hati dengan karya garapan anda! jangan sampai naskhah yang anda perjuangkan menjadi bukti dan dinilai di hadapan Allah kelak. Semoga Allah memberkati kita semua. Mudah-mudahan filem Melayu kita dapat juga memberikan imej filem keagamaan yang baik. Siapa kata orang kita tak sokong filem Melayu. Cuma kena bagi la filem yang betul-betul berkualiti dan yang dapat mendekatkan diri kita dengan Islam. InsyaAllah akan ada penyokongnya. Ameen!

No comments:

LinkWithin