Followers

Friday, April 1, 2011

Perlukah teori komunikasi dari perspektif selain dari Barat

Secara logiknya perbincangan teori komunikasi dari perspektif selain dari Barat amat perlu dalam lingkungan persekitaran sosial, dimensi budaya dan konteks agama yang berbeza. Asia dan Islam khususnya tidak seharusnya terlalu bergantung kepada Barat dalam membincangkan teori-teori komunikasi seperti contohnya teori kesan media dan juga teori komunikasi interpersonal kerana kita juga mempunyai asas dan dasar yang kukuh berpandukan sosial, budaya dan agama kita sendiri. Namun persoalannya, sejauhmanakah para sarjana komunikasi Asia dan Muslim khususnya telah bersedia untuk mendokong dan membangunkan idea perkembangan teori ini dari perspektif kita sendiri? Hakikatnya kita tidak pernah menafikan kepentingan teori komunikasi yang telah diasaskan oleh Barat tetapi dengan mengembangkan dan mengasimilasikan berdasarkan sosial, budaya dan konteks agama kita sendiri sudah pasti turut memberikan sumbangan kepada pemantapan dan pengukuhan ilmu yang lebih baik.

Akhir-akhir ini sememangnya wujud paradigma baharu untuk menerapkan elemen dan ilmu Islam di dalam bidang komunikasi. Usaha dan perjuangan ini banyak disumbangkan oleh sarjana komunikasi Muslim di arena antarabangsa mahupun di Malaysia seperti Hamid Mowlana (2007), Olayiwola (1993), Ayish (2003), Majid Tehranian (1988) dan Imtiaz Hasnain (1988) (dlm. Zulkiple, 2003), Mohd Yusof (1985) serta Zulkiple (2003 & 2001). Walaubagaimanapun, penyatuan ilmu Islam dalam bidang media dan komunikasi ini masih tidak secara menyeluruh. Aspek perspektif Islam dalam komunikasi seharusnya perlu mengambil kira dan memberi penekanan kepada nilai sosial, budaya dan agama. Ini kerana ilmu pengetahuan secara umumnya jelas harus disandarkan kepada ilmu Islam yang sebenar namun, akibat daripada sekularisasi ilmu ia dipisahkan.

Pada pandangan penulis, meneroka ilmu komunikasi Islam tidak bermakna menolak keseluruhan teori dan model komunikasi Barat. Malah ia masih boleh dijadikan landasan dalam mengembangkan teori-teori tersebut mengikut acuan dan perspektif Islam. Sebagai contohnya elemen model komunikasi sendiri yang berkongsi proses yang sama dengan bidang dakwah Islamiah. Bidang dakwah dan komunikasi berkongsi proses yang sama iaitu memerlukan penerima (receiver) sebagai sasaran. Apa yang membezakannya ialah dakwah bermatlamatkan amar makruf dan nahi mungkar. Konsep inilah yang membezakan pendekatan dakwah berbanding dengan proses komunikasi.

No comments:

LinkWithin