Followers

Wednesday, April 6, 2011

Komunikasi Islam-Komunikasi Dakwah

Komunikasi dan media sebagai penghubung di antara sesama manusia dilihat antara wahana yang berpengaruh dalam membentuk tingkah laku dan karakter kemanusiaan sejagat. Justeru, menjadi tanggungjawab sarjana Muslim untuk membangunkan ilmu komunikasi berdasarkan perspektif mereka sendiri. Demikian juga dengan teori-teori komunikasi dan media yang dibina dari lingkungan konteks dan dipengaruhi oleh pelbagai tanggapan penyelidik. Ilmu asas metateori membantu sebagai penunjuk dalam proses perkembangan teori dengan perbincangan aspek-aspek ontologi (kewujudan realiti), epistimologi (kewujudan ilmu pengetahuan) dan aksiologi (peranan nilai).

Bidang komunikasi Islam atau juga dikenali sebagai komunikasi dakwah merupakan satu bidang baharu yang muncul di dalam penelitian akademik. Menurut Zulkiple (2003) kesedaran membentuk bidang komunikasi menurut perspektif Islam dan dakwah ini menyumbang kepada perkembangan falsafah, pendekatan dan perlaksanaan ilmu komunikasi yang dipindahkan dari Barat. Dari perspektif agama, Islam dilihat sebagai agama yang bersifat mission yang menggesa penganutnya supaya berterusan menyebarkan mesej sama ada kepada rakan-rakan Muslim ataupun kepada bukan Muslim. Setiap individu Muslim dianggap komunikator agama atau da’i (pendakwah) di mana diwajibkan menyampaikan mesej mengikut kadar keupayaan masing-masing.

Mohd Yusof (1985) turut membincangkan mengenai peranan komunikasi di dalam Islam. Menurut beliau, Islam sebagai agama missionary, meletakkan komunikasi sebagai salah satu aspek yang paling penting iaitu dengan mengiktiraf pendakwah sebagai religious communicator. Ini telah dijelaskan oleh Al-Qaradhawi (1978) dan Al-Aluri (1989) yang mendefinisikan dakwah sebagai usaha mengajak manusia kepada Islam. Justeru, pendakwah mempunyai tanggungjawab yang cukup berat sebagai penyampai (communicator) dalam menyebarkan Islam kepada sasaran (mad’u). Walaubagaimanapun, Mohd Yusof (1985) berpendapat bahawa teori komunikasi Barat juga penting untuk dikuasai oleh orang-orang Islam. Ini kerana ilmu pengetahuan mengenai teori komunikasi Barat akan memberi pendedahan dan kefahaman kepada orang Islam mengenai penggunaan media dan komunikasi moden seperti akhbar, majalah, radio, televisyen serta filem dari segi kesan dan akibat serta potensi untuk mengawalnya.

No comments:

LinkWithin