Followers

Sunday, April 3, 2011

Kertas kerja Bicara Dakwah ke-10

Mungkin boleh berkongsi mengenai kertas kerja yang telah dibentangkan dalam Bicara Dakwah kali ke-10 baru-baru ini yang bertemakan dakwah menerusi media baru. Saya telah membentangkan satu kertas kerja yang bertajuk "Mediamorphosis melalui laman web sosial: dari perspektif sasaran dakwah remaja".


Abstrak
Idea ‘mediamorphosis’ dalam media baru (new media) yang dicetuskan oleh Fidler (1997) melahirkan gabungan penyatuan komunikasi media yang lebih holistik termasuk melalui penggunaan laman web sosial (Social network sites) seperti Facebook, Twitter dan MySpace (Hargittai 2008; Nyland et al. 2007; Nyland 2007; Livingstone 2008) dalam kalangan pengguna internet Malaysia khususnya remaja. Ini dibuktikan dengan peratusan kepenggunaan aplikasi rangkaian sosial di Malaysia yang telah mencatatkan sebanyak 66 peratus, di tangga ketiga selepas Singapura dan Korea Selatan (Syahir dan Fatin 2011). Namun, perkembangan laman web sosial hari ini mewujudkan konflik antara realiti dan alam maya serta mencetuskan dilema pro dan kontra penggunaannya. Laman web sosial selain sebagai medium menghubungkan silaturrahim di antara rakan-rakan lama dan baru, mengisi masa lapang serta sebagai peluang aktiviti perniagaan, ia turut menyumbang kepada kelalaian dan unsur fitnah dengan wujudnya pelbagai aplikasi seperti game dan quizzes serta penyalahgunaan tagging. Justeru, kertas kerja ini bertujuan untuk menilai sejauhmana mediamorphosis melalui laman web sosial sebagai teknologi yang seharusnya dimanfaatkan. Fokus kajian turut menumpukan kepada peranan laman web sosial sebagai metode penyampaian dakwah terutamanya terhadap sasaran dakwah remaja.
Kata kunci: Media baru, mediamorphosis, laman web sosial, dakwah, sasaran dakwah remaja

1. Pengenalan

Kemunculan mediamorphosis (perubahan komunikasi media) alaf baharu menzahirkan penyatuan yang kukuh di antara media baru dan media konvensional bagi membentuk komunikasi media yang saling melengkapi (Fidler 1997; Baltiz 2004; Severin dan Tankard 2010). Laman web sosial merupakan fenomena media baru (new media) yang popular (Nyland 2007; Livingstone 2008; Hargittai 2008), gelombang baru internet (Nyland et al. 2007) dan menjadi medium dalam membina hubungan sosial terutama dalam kalangan remaja (McLoughlin dan Burgess 2009; Sengupta dan Chaudhuri 2008). Merujuk kepada laporan daripada Kaiser Family Foundation mengenai media dalam kehidupan generasi M² (umur dari 8 hingga 18 tahun) menunjukkan mereka menghabiskan sebanyak 25 peratus daripada kehidupan mereka dengan berinteraksi melalui laman web sosial, selain 19 peratus dengan bermain games dan 16 peratus kepada vidoe sites (Vahlberg 2010). Manakala berdasarkan kajian, pengguna Internet di Malaysia telah menjangkau 16 juta orang. Angka tersebut dijangka mencecah 20.4 juta orang menjelang 2012. Daripada jumlah itu, perkhidmatan laman web rangkaian sosial telah mencatatkan penggunaan sebanyak 66 peratus (Nazrul, 2011; Syahir dan Fatin 2011). Sehingga kini, terdapat sejumlah 170 rangkaian sosial interaktif yang terkenal dan aktif digunakan di seluruh dunia seperti Facebook, Twitter, Friendster, MySpace, Tagged dan sebagainya (Syahir dan Fatin 2011). Boyd dan Ellison (2007) membincangkan mengenai timeline kemunculan laman web sosial dunia (Rajah 1). Berdasarkan statistik dari sumber Alexa dan Google Ad Planner, laman rangkaian sosial Facebook telah dikunjungi oleh kira-kira 6.2 juta pengguna Internet di Malaysia dan kira-kira 4.2 juta pula mengunjungi laman Friendster. Rangkaian sosial interaktif MySpace pula dikunjungi oleh 2.1 juta pengguna Internet di Malaysia manakala Twitter menerima kira-kira 750,000 pengunjung (Dlm. Syahir dan Fatin 2011; Dlm. Shahrizan 2010).

Rajah 1: Timeline tahun kemunculan kebanyakan laman web sosial dunia


Sumber: Boyd dan Ellison 2007

Pilihan remaja terhadap laman web sosial seperti facebook, twitter dan my space memberi peluang kepada mereka membentuk interaksi sosial dan pergaulan maya yang lebih luas. Hasil perkembangan komunikasi media yang sememangnya akrab dengan golongan remaja, penggunaan laman web sosial dilihat memenuhi citarasa mereka yang gemarkan gajet-gajet teknologi digital tanpa menghilangkan elemen-elemen media konvensional seperti audio dan visual filem, televisyen, radio dan juga video. Cooke (2005) membincangkan mengenai penyatuan visual (visual convergence) yang mana menggabungkan dua atau lebih teknologi media seperti web TV dengan kombinasi akses dari internet. Justeru, perkongsian maklumat melalui pendigitalan yang terdapat di dalam laman web sosial seperti facebook dan twitter memenuhi selera pengguna internet serta memudahkan mereka mengakses mana-mana elemen media seperti berita online, you tube dan juga video klip. Walaubagaimanapun, laman web sosial turut mendapat persepsi negatif masyarakat apabila wujudnya perkara-perkara negatif dan buruk akibat berleluasa penyalahgunaannya dalam kalangan remaja. Ia dilihat sebagai tempat remaja meloloskan diri daripada kekangan dan peraturan hidup realiti mereka. Mereka merasakan bebas melakukan perkara-perkara yang lebih terbuka seperti meluahkan rasa hati mereka, berkawan dengan sesiapa sahaja serta tagging gambar-gambar. Pendedahan gambar-gambar yang mengaibkan seperti gambar yang membuka aurat serta ‘posing’ yang mengundang fitnah seharusnya dielakkan. Begitu juga dengan ‘posting’ yang menabur fitnah dan bahasa yang tidak sepatutnya digunakan untuk tatapan ramai perlu dihindari. Dalam usaha mempelbagaikan pendekatan dakwah, media baru seharusnya menjadi sebagai medium pilihan para da’ie untuk mendekatkan diri terutama dengan sasaran dakwah remaja. Justeru, laman web sosial yang menjadi pilihan remaja hari ini dalam meluaskan interaksi sosial mereka dilihat sebagai metode yang sesuai demi menyebarkan dakwah dengan lebih berkesan.

2. ‘Mediamorphosis’ Teori Media Baru

Media baru didefinisikan sebagai fenomena yang merangkumi kewujudan teknologi pendigitalan dan penyaluran maklumat serta teknologi komunikasi yang mendasari alaf hari ini (Wikipedia 2011). Pemahaman dan definisi istilah media baru ini selaras dengan apa yang ditakrifkan oleh AIMS (2008) (Advisory Council on the Impact of New Media on Society) sebagai kewujudan teknologi rangkaian komputer. Justeru melalui media baru termasuk laman sesawang, blog dan juga laman web sosial, masyarakat pengguna internet dapat melakukan pelbagai aktiviti atas talian (online) dengan kemudahan pelbagai gajet teknologi interaktif seperti urus niaga pembelian, pembayaran bil, tempahan tiket penerbangan, pencarian maklumat, penghantaran mesej melalui mel elektronik dan mel suara serta interaksi sosial bersama rakan alam maya. Menurut Livingstone dan Borill (1999) media elektronik dan media cetak seperti televisyen, radio, akhbar, filem mahupun majalah dan buku tidak termasuk dalam kategori media baru yang berkembang secara teknologi digital. Malah ia lebih dikenali sebagai media konvensional (Livingstone dan Borill 1999; Rodman 2006; Vivian 2005). Severin dan Tankard (2010) turut membincangkan mengenai media baru ini yang juga disebut sebagai komunikasi siber. Komunikasi siber menurut Wakefield dan Rice (2008) memberi ruang dan peluang kepada pengguna internet untuk mencapai sumber-sumber maklumat dan informasi serta pengalaman budaya yang lebih global.

Antara persoalan kajian yang menjadi perbincangan para sarjana media dan komunikasi ialah mengenai sejauhmana kemunculan perkembangan media baru memberi impak kepada kewujudan media yang sedia ada. Justeru kajian perbincangan media baru ini menjadi fokus utama para sarjana termasuk Fidler (1997) yang memperkenalkan teori ‘mediamorphosis’. Fidler (1997) melahirkan istilah ‘mediamorphosis’ dengan mengaitkan proses perubahan dan penyatuan komunikasi media melalui fungsi dan objektif media baru dan media konvensional bagi membentuk satu media yang lebih lengkap.‘Mediamorphosis’ menurut Fidler (1997:38):
“the transformation of communication media, usually brought about the complex interplay of perceived needs, competitive and political pressures, and social and technological innovations”

Menurut Fidler (1997) media baru hari ini tidak muncul secara spontan dan independent bahkan ianya lahir dari media konvensional melalui proses ‘mediamorphosis’. Teknologi media hari ini saling melengkapi secara menyeluruh. Kelahiran media baru tidak menghalang perkembangan media konvensional seperti teknologi akhbar sebagaimana kemunculan televisyen yang tidak menghapuskan peranan radio dan telah membentuk satu sistem pola yang tersendiri (Fidler 1997; Baltzis 2004; Severin dan Tankard 2010). Justeru, penulis berpendapat keghairahan pengguna internet terhadap media baru tidak akan menafikan hak media lama yang masih diperlukan seperti akhbar, buku, radio, filem dan juga televisyen. Ini kerana Fidler (1997) turut berpendapat bahawa media secara keseluruhannya berasal daripada elemen-elemen melalui sistem yang interdependent. Antara prinsip ‘mediamorphosis’ yang memperlihatkan kekuatan media lama dan baru ialah melalui konsep penyatuan (convergence). Negroponte (1979) (dlm. Fidler 1997) memperkenalkan idea mengenai konsep multimedia ataupun mixed media dengan membandingkan penyatuan di antara penyiaran dan industri perfileman, industri percetakan dan penerbitan serta industri komputer yang wujud pada tahun 1978 dengan tahun 2000. Perbandingan tempoh masa tersebut membuktikan perkembangan media yang berlaku secara global dan lebih menyeluruh. Walaubagaimanapun, melalui convergence, kemunculan media baru tidak menghilangkan fungsi media lama malah gabungan tersebut menyebarluaskan fungsi media tersebut.

3. Mediamorphosis dan Laman Web Sosial

Revolusi media baru bukan satu perubahan baru secara total. Ianya merupakan perubahan daripada kewujudan media yang sedia ada. Sebagai contohnya perkembangan video melalui audio dan visual You Tube masih berpaksikan asas yang sama yang kita dapati daripada penayangan filem dan cerita sama ada melalui sinema ataupun televisyen. Justeru, melalui laman web sosial, ‘mediamorphosis’ berkembang memaparkan elemen-elemen media lama yang masih menggunapakai teknologi digital media baru seperti elemen media televisyen, video game, video, radio dan juga berita akhbar. Menurut Fidler (1997) media lama (konvensional) tidak mati malah mengalami transformasi ke arah perkembangan media baru secara saling melengkapi. Ini turut dijelaskan oleh Cooke (2005) mengenai visual convergence membawa senario baharu dengan penyatuan teknologi dan membina hubungan yang dinamik antara media cetak, televisyen dan juga internet. Ini bermakna secara tidak langsung Cooke (2005) turut menerima idea mediamorphosis dalam menjelaskan mengenai penyatuan teknologi secara pendigitalan. Melalui kertas kerja ini mengenai idea ‘mediamorphosis’ iaitu penyatuan media baru dan media konvensional sebagai gabungan yang saling melengkapi, penulis mendapati kedua-dua media tersebut masih menggunakan elemen-elemen yang sama. Justeru, menerusi perkembangan media baru terutama mengenai fungsi dan peranan laman web sosial memperlihatkan peluang pengguna internet hari ini melebarkan interaksi sosial mereka secara maya tanpa mengabaikan penggunaan aplikasi media lama seperti televisyen, filem dan akhbar.
Antara kelebihan laman web sosial yang menjadikannya sebagai pilihan pengguna internet hari ini adalah disebabkan penawarannya mencipta personal maya dalam setiap profil pengguna serta sebagai bentuk komunikasi dengan pelbagai aktiviti. Ia membenarkan pengguna mencipta identiti mereka sendiri. Begitu juga dengan kemudahan untuk menaik turun dan memuat turun (upload dan download) gambar dan video, mengemaskinikan profile page serta menghantar mesej dan posting di dalam profil sendiri atau rakan-rakan (Nyland 2007; Nyland et al. 2007; Livingstone 2008; Boyd dan Ellison 2007). Nyland et al. (2007) dan Boyd dan Ellison (2007) turut menyatakan bahawa remaja merupakan pengguna laman web sosial yang paling kerap kerana kemampuannya mencipta identiti sehingga menjadi sebahagian dalam kehidupan mereka. Manakala Shahrizan (2010) berpendapat laman web rangkaian sosial menjadi sebagai ‘gaya hidup wajib’ bagi majoriti remaja dan kanak-kanak demi membuktikan ‘kepopularan’ masing-masing dalam kalangan rakan-rakan mereka.

Terdapat kajian yang membuktikan bahawa wujudnya kelompok remaja yang menyalahgunakan laman web sosial sehingga mengakibatkan berlakunya tingkah laku negatif secara berleluasa seperti pembulian siber (cyberbullying) (McLoughlin dan Burgess 2009; Sengupta dan Chaudhuri 2008) dan online harassment (Sengupta dan Chaudhuri 2008) yang semakin meningkat. Menurut McLoughlin dan Burgess (2009), remaja mengambil kesempatan daripada status anonymity (tanpa nama) dalam ruang siber untuk bertindak menjadikan orang lain sebagai mangsa dan mengetepikan peraturan seperti di alam realiti. Ini turut dinyatakan oleh Sengupta dan Chaudhuri (2008) bahawa penyalahgunaan gambar/foto, ‘posting’ maklumat yang tidak benar serta menghantar ugutan dan mesej yang agresif turut dikira sebagai cyberbullying atau internet abuse. Kegilaan pengguna Internet, terutamanya golongan remaja, terhadap aplikasi rangkaian sosial telah menjadi sesuatu yang membimbangkan. Misalnya, seorang gadis berusia 17 tahun di Romania yang galak menggunakan aplikasi rangkaian sosial Twitter telah terbunuh akibat kejutan elektrik ekoran menggunakan komputer ribanya ketika berendam di bilik mandi (Syahir dan Fatin 2011). Laman web sosial juga digunakan sebagai tempat meluahkan perasaan, tempat maki hamun serta tempat sasaran remaja sekolah terhadap guru atau individu lain yang lebih dewasa seperti yang berlaku kepada seorang pelajar tingkatan 4 di sekolah asrama penuh di Kedah yang meluahkan serangan peribadi terhadap pengetua melalui laman web sosial. Pelajar tersebut diambil tindakan dengan diarahkan agar berpindah sekolah (Azrul 2009). Begitu juga dengan kes-kes seperti penceraian, bunuh diri dan keretakan hubungan suami isteri yang dikaitkan dengan penyalahgunaan dan ketagihan laman web sosial (Syedz 2010; Zaharuddin 2010c; Abu Saif 2009).

Masyarakat Malaysia, tidak terkecuali daripada membincangkan mengenai laman web sosial ini terutamanya Facebook yang begitu popular (Shahrizan 2010; Nazrul 2011; Boyd dan Ellison 2007; Abu Saif 2009) dalam kalangan pelajar sekolah, remaja malah golongan profesional dan ahli politik serta selebriti juga tidak ketinggalan daripada memiliki akaun Facebook (Nazrul 2011). Statistik daripada Socialbakers.com (2010) menunjukkan bahawa sebanyak 7.9 akaun baru Facebook berjaya dibuka dalam setiap saat. Ini turut didedahkan oleh Info IT Semasa (2010) bahawa Facebook mendahului senarai pertama sebagai laman web rangkaian sosial paling popular di Malaysia dengan lebih daripada 122 juta jumlah pelawat sebulan diikuti dengan Myspace dan Twitter di tangga kedua dan ketiga. Justeru, banyak perbincangan diutarakan lebih-lebih lagi dari aspek soal hukum serta pro dan kontra penggunaannya seperti apa yang telah dibincangkan oleh Zaharuddin (2010a, 2010b & 2010c) dan juga Abu Saif (2009). Abu Saif (2009) berpendapat bahawa penggunaan Facebook boleh menjadi haram ke atas individu yang menyalahgunakan facebook hingga berlaku kelalaian di tahap yang ekstrim seperti keasyikan pengguna-pengguna Facebook melayan kuiz dan permainan di samping penggunaan sembang bual yang sia-sia. Manakala Zaharuddin (2010a, 2010b dan 2010c) membincangkan secara lebih terperinci mengenai hukum ber’facebook’ dan dosa-dosa, status hukum infinity downline@login FB serta konsep bermuamalah bersama Yahudi.

4. Mendekati Sasaran Dakwah Remaja melalui Laman Web Sosial

Zaman remaja mengalami proses perkembangan dan perubahan sama ada dari aspek psikologi, psikososial mahupun fizikal yang berbeza (Arnett 1999; Williams 2002; Rich 2003; Steinberg 2005; Steinberg 2007). Arnett (1999) mengambarkan kehidupan remaja sebagai kehidupan yang sentiasa ber‘gelora’ dengan “storm” dan “stress”. Manakala Steinberg (2005) menyatakan bahawa perkembangan karakteristik remaja yang terdedah dengan kecelaruan menyebabkan wujudnya ruang pemisah di antara emosi, kognitif serta tingkah laku mereka yang berbeza. Remaja juga sanggup mendedahkan diri mereka dengan tingkah laku berisiko seperti pengaruh alkohol, penyalahgunaan dadah dan seks bebas (Steinberg 2007). Ini turut dibincangkan oleh Jas Laile (2000) yang membuktikan bahawa golongan remaja sering terdedah dengan masalah yang memperlihatkan kawalan psikososial mereka yang lemah sehingga timbul masalah-masalah seperti penagihan dadah, kemurungan, masalah pemakanan serta masalah tingkah laku. Malah emosi yang tidak seimbang turut mengakibatkan mereka sering bertindak di luar kawalan fikiran. Justeru, kelompok remaja sering menjadi sasaran pihak-pihak tertentu terutama pihak media demi meraih keuntungan dan nilaian komersial. Ini kerana golongan remaja lebih mudah dipengaruhi dalam membuat sesuatu keputusan.

Banyak kajian membincangkan remaja dan tingkah laku negatif terutama terhadap pengaruh media baru (Funk et al. 2003; Anderson et al. 2003; Louge 2006). Era globalisasi dunia hari ini merupakan antara faktor penting berlakunya jenayah salah laku remaja secara meluas (Berhanundin et al. 2006). Manakala, Louge (2006) membincangkan mengenai pengaruh internet dan media baru yang mengubah dunia sosial remaja yang mempengaruhi mereka tentang bagaimana cara berkomunikasi, mengekalkan hubungan serta membentuk sistem sosial mereka (support system).
Justeru, penggunaan laman web sosial seharusnya dimanfaatkan oleh para remaja ke arah kebaikan. Ia sewajarnya menjadi teknologi yang dapat menyumbang dalam membina sahsiah diri mereka yang positif. Rich (2003) berhujah bahawa kajian mengenai remaja sepatutnya turut membincangkan mengenai aspek positif perkembangan kendiri remaja sama ada dari segi tingkah laku, psikologi mahupun psikososial mereka. Menurut Fariza (2006), ketika remaja melalui proses perkembangan sahsiah ini, mereka perlu dibimbing dan diberi tunjuk ajar agar perkembangan sahsiah tersebut ke arah perkembangan sahsiah yang selaras dengan ajaran Islam. Oleh itu, dengan perkembangan media baru melalui laman web sosial sebenarnya melengkapkan kehidupan remaja yang gemar membina interaksi sosial bersama-sama rakan-rakan maya mereka. Namun, kelompok remaja ini perlu melihat medium laman web sosial ini bukan sekadar tempat untuk mereka meluahkan emosi dan diri mereka semata-mata. Penggunaan pelbagai medium dalam menyampaikan maklumat Islam ini bukanlah sesuatu yang ditegah malah adalah digalakkan selagi ia selari dengan ajaran Islam dan tidak melibatkan sesuatu yang di luar batasan etika berdakwah Islam (Noor Shakirah 2006). Manakala mesej dakwah dan maklumat Islam yang disampaikan seharusnya sesuai dengan kehendak sasaran dakwah (Sohirin 2008; Ab. Aziz 2005; Ab. Aziz et al. 2006; Zulkiple 2003; Noor Shakirah 2006). Justeru, peranan penggunaan laman web sosial untuk menembusi benteng sasaran dakwah remaja yang gemarkan gajet teknologi pelengkap interaksi sosial mereka seperti melalui facebook, twitter mahupun myspace dilihat sebagai faktor kepada pengimplementasian dakwah alaf baharu.

Dakwah masa kini memerlukan penjanaan pemikiran yang lebih dinamis, sambil tidak menafikan pendekatan dakwah klasik berdasarkan amalan Rasulullah SAW dan para Sahabat r.a. Perkembangan dunia masa ini dengan pelbagai cabaran dan gugatan sosial sangat memerlukan mekanisme dan idea baru dalam penjanaan usaha dakwah sama ada dakwah kepada masyarakat Islam mahupun masyarakat bukan Islam (Ab. Aziz et al. 2006). Menurut Zulkiple (2003) Islam mempunyai mekanisme untuk menangani perubahan zaman dan kemajuan teknologi. Teknologi maklumat menjadikan dunia sebuah kampung kecil di mana maklumat yang dominan lebih berintikan sekularisme. Di celah jaring sekularisme itulah diharap dakwah dapat bertapak, mencambahkan benih-benih kebenaran. Hujah ini turut disokong oleh Noor Shakirah (2006) yang menyatakan bahawa mesej kebenaran itu perlu disampaikan menerusi apa sahaja bentuk media yang terdapat masa kini. Penyampaian maklumat yang berkesan perlu menepati kemajuan teknologi media semasa, sesuai dengan zaman semasa serta perlu disalurkan dengan cara yang hikmah. Asas metode dakwah dan pendekatan dakwah untuk membolehkan sasaran menerima sesuatu dakwah dengan kefahaman yang jelas dan kesedaran yang penuh telah dibincangkan oleh Ab. Aziz (2005) iaitu antara lain ialah secara berperingkat-peringkat, mudah, menjinakkan, adanya sebab di sebalik sesuatu larangan dan suruhan serta bersesuaian dengan keadaan sasaran. Justeru, dengan mengambil kira hujah asas metode dakwah yang menjinakkan dan bersesuaian dengan sasaran seperti yang disarankan oleh Ab. Aziz (2005) ini dapat disesuaikan dengan penggunaan laman web sosial sebagai medium untuk menyampaikan dakwah kepada remaja. Potensi remaja yang gemarkan laman web sosial seperti facebook boleh didekati jika para pendakwah turut melihatnya sebagai ruang yang boleh digunakan untuk menjinakkan golongan remaja.

Perbincangan maya melalui facebook, twitter mahupun myspace dan lain-lain laman web sosial perlu mempunyai pertimbangan yang baik. Ini kerana ia bukan menjadi hak privasi malah menjadi tontonan dan tatapan yang senang dilihat oleh umum. Perkongsian emosi mereka dengan rakan-rakan tidak sepatutnya diluahkan segalanya tanpa mengambil kira hukum syariat agama mahupun lingkungan budaya setempat sebagaimana yang dinyatakan dalam firman Allah SWT dalam surah al-Isra’ ayat 53 yang mengalakkan umat Islam menuturkan bicara hanya melalui perkataan yang baik:



Maksudnya: “Dan katakanlah kepada hamba-hambaKu: Hendaklah mereka mengucapkan perkataan yang lebih baik (benar) Sesungguhnya syaitan itu menimbulkan perselisihan di antara mereka. Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi manusia.”

5. Rumusan dan kesimpulan

Idea ‘mediamorphosis’ yang melibatkan laman web sosial dilihat sebagai pemangkin yang mengukuhkan fungsi laman web sosial. Masyarakat pengguna internet hari ini menerima fungsi laman web sosial sebagai perubahan cara berinteraksi hasil manisfestasi perkembangan kemajuan teknologi pendigitalan. Akhirnya laman web sosial menjadi medium sebagai cara terbaharu manusia mengekalkan hubungan komunikasi antara sesama manusia. Ini berlandaskan fitrah kemanusiaan yang mana manusia tidak boleh hidup tanpa interaksi sosial dan komunikasi sebagai meneruskan kelangsungan hidup. Di tambah faktor-faktor media ‘mediamorphosis’ menyumbang kepada keselesaan manusia menerima laman web sosial sebagai teknologi yang harus dimanfaatkan. Ini kerana melalui laman web sosial, kita masih mampu mengakses dengan elemen-elemen media konvensional seperti akhbar, radio dan televsiyen yang telah diterima sebagai cara hidup masyarakat sejak kemunculan peranan media massa (media cetak dan media elektronik) dalam hidup kita. Walaubagaimanapun, di sebalik keghairahan kita menggunakan laman web sosial ini, beberapa aspek penting harus turut dititik beratkan seperti soal hukum dan juga pro dan kontra penggunaannya. Laman web rangkaian sosial yang menjadi fenomena dalam kehidupan masyarakat seharusnya digunakan secara berhemah dengan pilihan yang bijak. Ini bermakna penggunaannya bukan hanya sekadar meluahkan rasa dan tekanan serta melengkapkan kitaran hidup sosial semata-mata melalui rakan-rakan maya. Malah kewujudannya harus selari dengan matlamat kehidupan manusia Islam khususnya sebagai hamba dan khalifah Allah. Justeru, laman web sosial perlu dijadikan sebagai landasan bagaimana Islam membenarkan dan menggalakkan pergaulan. ‘Facebooker’ muslim sebagai contohnya harus dipenuhi dan dilengkapi dengan nilai-nilai Islam agar setiap perkara yang kita lakukan di atas muka bumi bukan menjadi perkara yang sia-sia tanpa matlamat hidup. Status Facebook perlu menjadi ‘Harga Diri’ kita bukan hanya status yang sia-sia dengan puluhan komen dan respons daripada rakan-rakan. Oleh itu pengalaman diri melalui penggunaan laman web sosial boleh menjadi medium dalam kita menggerakkan dakwah alaf baharu. Dengan kata lain, melalui laman web sosial boleh dijadikan sebagai tapak untuk menulis sesuatu yang dapat memberikan peringatan, membaca sesuatu yang boleh mencuit rasa keimanan serta berkongsi sesuatu yang memuliakan diri dan rakan-rakan maya kita.

Justeru, menggunakan laman web sosial dalam usaha menyampaikan mesej dakwah kepada remaja menepati asas metode dakwah yang dikemukakan oleh Ab. Aziz (2005) iaitu menjinakkan dan sesuai dengan sasaran. Ini dapat difahami bahawa mendekati sasaran dakwah remaja yang gemarkan laman web sosial dapat menjinakkan mereka dengan sesuatu yang mereka selesa dan suka. Ini dapat mempermudahkan usaha menyebarkan dakwah kepada golongan remaja dengan menggunakan medium laman web sosial dengan sebaik mungkin sehingga dapat menarik perhatian kepada perkara-perkara yang mendekatkan diri mereka dengan Islam. Justeru, para dai’e harus berpandangan positif dalam menggunakan laman web sosial ini sebagai medium penyampaian dakwah selagi mana usaha dan penggunaannya tidak menyalahi hukum dan syariat Islam. Firman Allah SWT:


“Sesungguhnya dengan rahmat daripada Allah, engkau (Muhammad saw) bersikap lemah-lembut kepada mereka (orang beriman yang telah melakukan kesalahan itu), kerana sekiranya engkau bersikap kasar lagi keras hati tentu sekali mereka menjauhkan diri daripada sekeliling engkau... (al-‘imran: 159)

No comments:

LinkWithin